CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 8 April 2009

I'tikaf : Jalan Mencari Ketenangan


I'TIKAF : JALAN MENCARI KETENANGAN

(BILANGAN 150 BAHAGIAN PERTAMA)


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah



I‘tikaf ialah suatu ibadah yang mempunyai kelebihan dan hikmat tertentu. Di antaranya membersihkan hati daripada sifat-sifat yang tercela, menyerahkan diri sepenuhnya beribadah kepada Allah demi memohon darjat yang tinggi, menjauhkan diri daripada kesibukan dunia yang menghalang daripada mendekatkan diri kepadaNya.

Maksud asal pensyariatan i‘tikaf itu ialah menanti sembahyang untuk berjemaah. Diibaratkan orang yang beri‘tikaf itu seperti Malaikat yang tidak melakukan dosa kepada Allah, melakukan segala apa yang disuruh dan bertasbih malam dan siang. (Al-Mausu‘ah Al-Feqhiyyah: 5/207)

I‘tikaf tidak terikat dengan waktu bahkan sunat beri‘tikaf pada setiap waktu, sama ada di bulan Ramadhan mahupun di bulan-bulan lain. Cuma ia lebih dituntut dan afdhal, jika dilakukan pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan kerana fadhilat beri‘tikaf pada bulan tersebut lebih banyak dibandingkan waktu-waktu pada bulan-bulan lain.


Pengertian I‘tikaf

I‘tikaf dari segi bahasa bermaksud diam dan duduk berhenti pada sesuatu tempat, tidak kira sama ada tempat itu baik atau sebaliknya. Manakala menurut pengertian syarak i‘tikaf bermaksud duduk di dalam masjid oleh seseorang yang tertentu dengan niat. (Al-Fiqh Al-Islam Wa Adillatuh: 2/693)


Tuntutan I‘tikaf



I‘tikaf disyariatkan dalam Islam melalui Al-Qur’an, As-Sunnah dan ijma‘ ulama.

Di antara dalil-dalil yang menunjukkan tentang tuntutan i‘tikaf itu sebagaimana Allah Ta‘ala berfirman yang tafsirnya :

“Dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beri‘tikaf di dalam masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa”.


(Surah Al-Baqarah: 187)



Allah berfirman di dalam ayat yang lain yang tafsirnya :

“Dan ingatlah ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk beribadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Maqam Ibrahim (tempat berdiri Nabi Ibrahim) itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Isma‘il (dengan berfirman): “Bersihkanlah RumahKu (Ka‘bah dan Masjid Al-Haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beri‘tikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang ruku‘ dan sujud”.


(Surah Al-Baqarah: 125)



Dalil daripada As-Sunnah pula ialah hadis riwayat Ibnu ‘Umar, Anas dan ‘Aisyah Radhiallahu ‘anhum yang maksudnya :

“Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma telah berkata: “Sesungguhnya Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasallam beri‘tikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan”.


(Hadis Riwayat Al-Bukhari)



Dalam hadis yang lain yang maksudnya :

“Daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha iaitu isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam beri‘tikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Baginda melakukan amalan i‘tikaf tersebut sehingga Baginda wafat. Kemudian para isteri Baginda meneruskan amalan i‘tikaf selepas itu”.


(Hadis riwayat Al-Bukhari)



Ulama sepakat mengenai pandangan Az-Zuhri yang mengatakan:
“Sungguh anih manusia, bagaimana boleh mereka meninggalkan i‘tikaf. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu tetapi Baginda tidak pernah meninggalkan i‘tikaf sehingga wafat”.
I‘tikaf juga pernah terdapat di dalam syariat Nabi Ibrahim ‘alaihissalam (Al-Fiqh wa Adillatuhu: 2/694) sebagaimana dalam firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :

“Dan kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Isma‘il (dengan berfirman): “Bersihkanlah RumahKu (ka‘bah dan Masjid Al-Haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf dan orang-orang yang beri‘tikaf (yang tetap tinggal padanya) dan oang-orang yang ruku‘ dan sujud”.


(Surah Al- Baqarah: 125)


Hukum Dan Waktu I‘tikaf

Hukum i‘tikaf adalah sunat muakkad. Ia dilakukan pada setiap waktu sama ada dalam bulan Ramadhan ataupun pada bulan-bulan lain. Afdhal melakukan i‘tikaf itu pada sepuluh hari yang terakhir daripada bulan Ramadhan (Nihayah Al-Muhtaj: 3/214) sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Menurut Imam As-Syafi‘e dan para pengikutnya, bagi orang yang ingin mendapatkan pahala sunnah (mengikut perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan i‘tikaf 10 terakhir bulan Ramadhan) sayugialah dia masuk masjid dengan niat i‘tikaf sebelum masuk matahari hari ke 20 (malam ke 21) Ramadhan dan keluar daripada masjid pada malam hari raya selepas masuk matahari. Malahan lebih afdhal lagi jika dia kekal di dalam masjid hingga malam hari raya dan sembahyang hari raya serta keluar pada hari raya tersebut. (Raudhah: 2/255 dan Al-Majmuk: 6/469)

Bagi sesiapa yang beri‘tikaf sehari semalam atau lebih hendaklah memulakan i‘tikaf itu (di masjid) sebelum matahari terbenam dan keluar daripada masjid setelah masuk matahari hari berikutnya. (Al-Majmuk: 6/483)

Kategori I‘tikaf

I‘tikaf terbahagi kepada dua iaitu i‘tikaf sunat dan i‘tikaf wajib.

1. I‘tikaf sunat ialah berniat i‘tikaf sunat kerana Allah Ta‘ala sama ada dengan masa sebentar (lahzah), satu hari, satu hari satu malam atau sebagainya.

2. i‘tikaf wajib hanya dengan cara bernazar untuk melakukannya sebagaimana pendapat jumhur ulama mengenainya. (Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyah: 5/208)


Rukun I‘tikaf

Rukun I‘tikaf ada empat perkara:

1. Mu‘takif iaitu orang yang mengerjakan i‘tikaf. Syarat bagi orang yang beri‘tikaf itu hendaklah beragama Islam, berakal, suci daripada junub, haid dan nifas. I‘tikaf itu sah dilakukan oleh lelaki, perempuan dan kanak-kanak mumayyiz.

2. Mu‘takiffun fihi iaitu tempat melakukan i‘tikaf. Tempat i‘tikaf disyaratkan di dalam masjid kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, isteri dan para sahabat Baginda hanya beri‘tikaf di dalam masjid. Tidak ada perbezaan dari segi hukum, beri‘tikaf di dalam masjid, sama ada di atas bumbung (suthuh), beranda dan halaman (ruhbah) masjid. (Tuhfah Al-Muhtaj: 3/464 dan Nihayah Al-Muhtaj: 3/216) Imam As-Syafi‘e dan pengikutnya bersepakat mengenai menara masjid yang terletak di halaman masjid yang dinaiki oleh bilal dan lainnya juga tidak membatalkan i‘tikaf. (Al-Majmu‘: 6/494-496)

Menurut pengarang kitab Tuhfah beri‘tikaf adalah lebih utama dilakukan di Masjid Jami‘ (masjid tempat mendirikan sembahyang Jumaat dan sembahyang berjemaah) berbanding dengan masjid lain. Ini adalah untuk mengelak daripada bercanggah (khilaf) dengan pendapat yang mewajibkannya. Lagipun berjemaah di masjid Jami‘ lebih ramai dan tidak perlu lagi keluar untuk bersembahyang Jumaat. (Tuhfah Al-Muhtaj: 3/465).

Sumber : Mufti Brunei

Tiada ulasan: