CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Khamis, 19 November 2009

Hadith Bitoqoh, Pembuka Harapan Bagi Mereka Yang Lalai Dan Berdosa

Perhatian : Artikel ini perlu dibaca keseluruhan untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas di bawah label : Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Selamat)

Al-Hakim mengeluarkan dalam al Mustadraknya pada hadith no 1937 dan mensahihkannya begitu juga Ibnu Hibban dalam sahihnya pada hadith no 225 dari AbduLlah bin 'Amar bin al 'Ash, dia berkata : RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :

يصاح برجل من أمتي على رؤوس الخلائق يوم القيامة فينشر له تسع و تسعون سجلا كل سجل مد البصر ثم يقال له أتنكر من هذا شيئا ؟ فيقول ألك عذر أو حسنة ؟ فيهاب الرجل فيقول لا يا رب فيقول بلى إن لك عندنا حسنات و إنه لا ظلم عليك فيخرج له بطاقة فيها: أشهد أن لاإله إلا الله وأشهد أن محمدا عبده و رسوله فيقول يا رب ما هذه البطاقة مع هذه السجلات ؟ فيقول إنك لا تظلم قال فتوضع السجلات في كفة فطاشت السجلات وثقلت البطاقة

Ertinya : "Seorang lelaki dari ummatku akan dipanggil pada hari kiamat nanti di hadapan sekalian makhluk lalu dibentangkan kepadanya 99 buku catatan amal. Panjang tiap-tiap buku catatan amalnya sejauh mata memandang. Kemudian dikatakan kepadanya : "Apakah ada diantaranya yang tidak engkau setujui ? Lelaki itu berkata : "Tidak wahai Tuhanku". ALlah berfirman : "Apakah engkau memiliki keuzuran atau kebaikan?". "Tidak wahai Tuhanku". Jawab lelaki itu. ALlah berfirman: "Bahkan sebaliknya, menurut Kami engkau memiliki beberapa kebaikan dan engkau tidak akan dizalimi.


Lalu Allah subahanahu wa ta'ala mengeluarkan bitoqoh yang di dalamnya tertulis lafaz:

أشهد أن لا إله إلا الله و أشهد أن محمدا عبده ورسوله

Lelaki itu berkata : "Wahai Tuhanku apakah erti bitoqoh berserta lembaran buku catatan amal ini ?" ALlah berfirman : "Engkau tidak akan dizalimi". Lalu beberapa buku catatan amal itu diletakkan di dalam satu piring timbangan dan bitoqoh itu pada piring timbangan yang lain. (Ternyata) beberapa buku catatan amal itu menjadi ringan dan bitoqoh itulah yang berat.


Hadith ini juga dikeluarkan oleh at Turmudzi dalam sunannya pada hadith no 2639 dan dia menganggapnya hasan. Juga dikeluarkan oleh Ibnu Majah dalam sunannya pada hadith no 4300 dan Imam Ahmad dalam musnadnya pada hadith no 6994.

Lalu bagaimana boleh sesudah hadith yang agung ini membuka pintu harapan bagi mereka yang lalai dan berdosa. Kita menghukumkan kepada mereka yang bersalah bahawa mereka adalah penghuni neraka tanpa ada pemberitahuan dari ALlah kepada kita ?

Padahal ALlah subahanahu wa ta'ala menjadikan manusia di hari kiamat nanti terdiri dari dua golongan. Satu golongan di dalam syurga dan satu golongan lagi di dalam neraka. Adapun penghuni syurga , maka mereka adalah kaum Muslimin dan mereka terdiri dari tiga jenis. ALlah subahanahu wa ta'ala telah berfirman :


ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ (٣٢) جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ يَدۡخُلُونَہَا يُحَلَّوۡنَ فِيہَا مِنۡ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ۬ وَلُؤۡلُؤً۬اۖ وَلِبَاسُہُمۡ فِيہَا حَرِيرٌ۬ (٣٣)

Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (32) (Balasan mereka ialah) Syurga-syurga "Adn", yang mereka akan masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera. (33)
Surah al Fathir ayat 32-33)

Kemudian ALlah subahanahu wa ta'ala menjelaskan tentang keadaan orang-orang bukan Islam melalui firmanNya :


وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ لَهُمۡ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقۡضَىٰ عَلَيۡهِمۡ فَيَمُوتُواْ وَلَا يُخَفَّفُ عَنۡهُم مِّنۡ عَذَابِهَاۚ كَذَٲلِكَ نَجۡزِى كُلَّ ڪَفُورٍ۬ (٣٦)

Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka Neraka Jahanam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa) dan tidak pula diringankan azab Neraka itu dari mereka dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya.
(Surah al Fathir : 36)

Dengan demikian maka tidak ada pada Hari Kiamat nanti kecuali Muslim yang masuk syurga dan kafir yang masuk neraka. Berkata Ibnu Kathir :
"Ketika menjelaskan keadaan kaum Muslimin di Hari Kiamat nanti berdasarkan ayat ini, Ibnu Abbas radiyaLlahu 'anhu berkata : "Orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan akan masuk syurga dengan tanpa hisab dan orang yang muqtasid (sama dosa dan kebaikannya) akan masuk ke syurga dengan rahmat ALlah, sedangkan orang yang menzalimi dirinya sendiri dan ashabul a'raf akan masuk syurga dengan syafaat Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam"
(lihat tafsir Ibnu Kathir III/556).

Oleh kerana itu, Imam al Qurtubi menyebutkan bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam ketika membaca ayat : ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ Beliau berkata :
"Semua mereka akan masuk syurga", Umar pernah membaca ayat ini lalu berkata : "RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda : Orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan di antara kami akan lebih dahulu masuk syurga, orang yang pertengahan di antara kami akan beroleh keselamatan dan orang yang menzalimi diri sendiri akan diampunkan oleh ALlah".
(Lihat tafsir al Qurtubi 14/346)

Disebutkan pula dalam tafsir tersebut :
"Menurut satu pendapat, orang yang menzalimi diri sendiri itu sengaja didahulukan agar dia tidak berputus asa dari rahmat ALlah dan diakhirkan orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan itu agar dia tidak 'ujub (bangga) dengan amalnya. Berkata Ja'far as Shadiq bin Muhammad bin Ali radiyaLLahu 'anhu : "ALlah mendahulukan orang yang menzalimi diri sendiri adalah untuk memberitahu bahawa dia tidak boleh mendekati ALlah kecuali dengan semata-mata rahmat dan kemuliaanNya dan bahawa kezaliman terhadap diri sendiri itu tidak membawa pengaruh dal hal isthofa'iyyah (keterpilihan) jika di sana sudah ada bantuan dari ALlah.

Kemudian Allah menyebutkan muqtashid itu di urutan kedua kerana mereka berada di antara harap dan cemas lalu ALlah mengakhiri dengan sabiq bil khairat agar dia tidak merasa aman dari murka ALlah dan semua mereka akan masuk syurga lantaran kemuliaan dari kalimaul ikhlas La ilaha illaLLah Muhammad RasuluLLah"
(Lihat tafsir al Qurtubi 14/349)/

Imam ats Tsa'libi meriwayatkan dari Ibnu Mas'ud radiyaLlahu anhu bahawa beliau berkata :
"Pada hari kiamat nanti ummat ini akan terbahagi tiga : sepertiga akan masuk syurga dengan tanpa hisab, sepertiga akan dihisab dengan hisab yang ringan dan sepertiga lagi akan datang membawa dosa yang banyak maka ALlah 'azza wa jalla berfirman : "Siapakah mereka ini ? - padahal Dialah yang paling mengetahui tentang mereka - Malaikat menjawab : "Mereka adalah orang-orang yang berdosa akan tetapi mereka tidak berbuat syirik". Maka berfirmanlah ALlah azza wa jalla: "Masukkan mereka ke dalam rahmatKu yang luas! "

Imam ats Tsa'libi juga meriwayatkan dari Abi Hasan as Syazili radiyaLlahu 'anhu, beliau berkata :
"Muliakanlah orang-orang yang beriman walaupun mereka berbuat maksiat lagi fasiq dan suruh mereka melakukan yang ma'ruf serta cegah mereka dari berbuat kemungkaran. Boikot mereka kerana kasih sayang kepada mereka, bukan kerana menghindari mereka. Andai disingkapkan nur orang Mukmin yang berbuat maksiat nescaya nur itu akan menutupi langit dan bumi, lalu bagaimanakah menurutmu nur orang Mukmin yang taat ? Cukuplah bagimu firman ALlah : ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا sebagai pengagungan ALlah terhadap orang-orang Mukmin walaupun mereka terkadang lalai terhadap ALlah.

Perhatikanlah bagaimana ALlah menetapkan mereka sebagai bahagian orang-orang yang terpilih walaupun mereka berbuat zalim terhadap diri sendiri.
(Lihat tafsir ats Tsa'libi III/259)

Lalu bagaimana mungkin, sesudah dikemukakan sekian banyak athar dan hadith yang menjelaskan tentang luasnya rahmat ALlah - seorang Mukmin disempitkan sedemikian rupa dan seorang Muslim berani dihukum masuk neraka hanya lantaran dosa yang dia lakukan tanpa menyerahkan pengetahuan yang demikian itu kepada ALlah subahanahu wa ta'ala ?

Sesungguhnya pandangan para pengaku Firqoh Najiah itu benar-benar telah mencapai titik melampau hingga mereka berani berkeyakinan bahawa hanya mereka yang termasuk Firqoh Najiah, bukan seluruh kaum Muslimin. Berbagai aliran pemikiran dan mazhab menurut mereka tidaklah termasuk Firqoh Najiah, semua itu secara pasti akan masuk neraka. Tidak ada yang selamat dan masuk syurga selain mereka walaupun sehebat apapun dia dalam hal taqwa, ibadah, ilmu mahupun amal.

Tiada ulasan: