CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Sabtu, 19 Januari 2019

Latarbelakang Almarhum.Ustaz Abdul Ghani bin Muda




PERGINYA SEORANG LAGI ULAMA TERENGGANU

Beliau ialah Al-Marhum Tuan Guru Sheikh Ustaz Abdul Ghani bin Muda. Di kalangan rakan-rakan dan junior ada yang memanggilnya sebagai Sheikh (ini menunjukkan betapa mereka menghormati dan mengiktiraf kedudukan ilmunya) dan ada juga yang memanggilnya sebagai tuan guru (seperti yang tertera dalam poster di bawah) dan biasanya beliau disapa sebagai ustaz. Beliau membuka pondok di Setiu Terengganu.

Beliau merupakan seorang yang faqih. Sangat menguasai Fiqh Shafie. Mana tidaknya beliau khatam 3 kali Fathul Wahab dan Mahalli dengan the legendary Tok Guru Hj Abbas yang sangat masyhur itu. (Siapa yang tidak kenal dengan Tok Guru Hj Abbas?!Beliau ialah guru kepada Tok Guru Nik Aziz, Maulana Lambak, Tok Guru Hj Hadi, Ust Harun Taib, Ust Awang Jidin dll) Tok Guru Hj Abbas pula khatam Fathul Wahab, Mahalli dan Asna matholib dengan Mufti Shafie di Mekah lantikan Khalifah Usmaniah iaitu Sheikh Said Yamani (ayah kepada mufti Terengganu Sheikh Hasan Yamani).

Saking faqihnya Al-Marhum Ustaz Abdul Ghani ini sehingga beliau memang ingat setiap inci masail dalam Fathul Wahab dan khilaf mazhab Shafie dalam Mahalli.

Bahkan beliau ingat di mana khilafnya Sheikh Zakaria Ansori dengan qaul muktamad Mazhab Shafie. Itu sudah menunjukkan betapa lumatnya dan cerapnya ilmu beliau. Maklumlah 3 kali khatam. Mana nak jumpa dah orang yang khatam kitab2 tersebut di zaman ini. Khatam pula dengan tok guru yang khatam dengan ulama besar di zamannya. Di zaman ini kalau ada pun banyak yang mengaji tebuk2 dan tidak khatam. Mengaji pula dengan tok guru yang tebuk2 juga. Al-maklum.

Selain itu, pada pandangan saya beliau juga seorang yang tabahhur dalam ilmu usul fiqh. Beliau khatam kitab Syarah Sheikh Zakaria Ansari atas Lubbul Usul (mukhtasar kepada Jamu’l Jawami’) dengan Tok Guru Hj Abbas beberapa kali. Banyak kali saya perasan beliau sering meng’tahqiq’ furu’ atas usul setiap kali mengajar mahalli atau Jamu’l Jawami’ di pondok beliau. Beliau juga mengaji Nihayatus Sul sewaktu belajar di Al-Azhar.

Selain itu juga, beliau sangat menguasai perbahasan aqidah Asyairah dan Maturidiah. Beliau khatam Syarah Baijuri a’la Ummul Barahin, Aqaid Durrriah, Fathul Majid dll dengan Tok Guru Hj Abbas dan juga khatam Syarah Taftazani ala’ A’qaid Nasafi dengan Maulana Lambak. Selain itu al-marhum juga talaqqi kitab Syarah Ibnu Aqil, Qatrunnada, Sahih Bukhari, Muwatta’, Syarah Tahzib Mantik dengan Tok Guru Hj Abbas. Yang istimewanya Al-Marhum sempat membaca sahih Bukhari one to one dengan Tok Guru Hj Abbas (sempat sampai bab haji sahaja). Ini merupakan sanad yang a’li kerana Tok Guru Hj Abbas diketahui khatam sahih bukhari one to one dengan Maulana Anwar Shah Kashmiri. Al-marhum Ustaz Ghani juga khatam secara tafaqquh Sahih Bukhari, Sunan Tirmizi dan Abi Daud dengan Maulana Lambak.

Al-marhum bermulazamah dengan Tok Guru Hj Abbas selama lebih kurang 10 tahun dan menjadi menantu beliau. Kemudian melanjutkan pengajiian di Al-Azhar pada 1992 di usia yang agak lewat. Al-marhum sewaktu belajar di Al-Azhar sering kali menjadi tumpuan pelajar melayu untuk bertalaqqi terutama pelajar dari Terengganu. Semacam Sheikh Nuruddin juga lah yang digelar Azhar Tsani. Bahkan beliau sempat khatam mengajar Mahalli dan kitab2 lain di sana dengan pelajar2 melayu. Ramai juga anak2 murid beliau di Fakulti Islam Kontemporari UniSZA dan lain2 tempat.

Al-marhum meninggal dunia semalam pada hari yang mulia. Al-fatihah.
0445

18 JAN 2019 (JUMAAT)
Cc: Ustaz Lotpi Yusob
Tambahan :
saya sempat menjadi menantu kpd beliau tidak lama, dalam 3 tahun sahaja... Tetapi, sungguh kami adalah saksi amal soleh beliau...

Sumber : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2250244035008068&id=100000674791521&ref=m_notif&notif_t=feedback_reaction_generic