CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Memaparkan catatan dengan label Kata-kata Hikmah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kata-kata Hikmah. Papar semua catatan

Ahad, 4 Mac 2012

Apakah Kunci Untuk Mendapatkan Ilmu ?

Apakah Kunci Untuk Mendapatkan Ilmu ? 

Imam Abdullah bin 'Alawi al Haddad pernah mengatakan :

"Bertanya itu adalah kunci yang dapat menyampaikan seseorang kepada makna-makna ilmu dan rahsia-rahsia ghaib yang ada di dalam dada dan hati. Sepertimana seseorang tidak akan dapat menjumpai barang-barang dan harta benda yang berharga di dalam rumah kecuali dengan menggunakan kunci yang diperbuat daripada besi dan kayu. Demikianlah pula seseorang tidak akan dapat sampai kepada ilmu dan pengetahuan yang ada pada ulama, tetapi dengan pertanyaan-pertanayaan yang ditujukan untuk mengambil manfaat yang disertai dengan kesungguhan, keinginan dan adab yang baik"

 (Manhaj As Sawi, Syarh Usul at-Toriq as Saadah al Ba'lawi).

Muhammad bin Sirin dan Malik bin Anas mengatakan "Ilmu adalah agama maka lihatlah dengan siapa kamu sekalian menimba ilmu." - Ustaz Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al Linggi, Majalah Q & A, m/s 31, Bil 01

Sabtu, 30 Januari 2010

Renungilah ke dalam Diri Sendiri Untuk Terus Memperbaiki Diri

Oleh : Ustaz Mukhlis

Seseorang yang ingin menyempurnakan diri sendiri, setelah bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan, maka hendaklah dia sentiasa fokus melihat keaiban diri sendiri dan meninggalkan kesibukan melihat keaiban orang lain.

Manusia yang sentiasa mencari salah dan kelemahan orang lain sentiasa lalai daripada melihat keaiban diri sendiri. Ia bagai pepatah yang mengatakan:
“kuman di seberang laut pun kelihatan, tetapi gajah di hadapan mata sendiri pula tidak kelihatan”


Imam Hasan Al-Bashri r.a. pernah berkata:

“Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain”.

Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah s.w.t. dan dengan bantuanNya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.

Muhasabah dari sudut bahasa bererti: memerhatikan dan memperhitungkan.

Muhasabah dari sudut syarak pula bererti: perasaan yang timbul dalam batin seseorang, yang mencela kejahatan nafsu dan perbuatan maksiat yang telah dilakukan, yang mana, dari perasaan tersebutlah, timbulnya rasa keinsafan.

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Orang yang sentiasa muhasabah dirinya, sentiasa berusaha untuk menjauhi dirinya daripada jalan-jalan yang membawa kepada kemaksiatan, dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan ketaatan."
[Haqo'iq 'ani At-Tasawwuf m/s 235]

Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya:
"…dan adalah keadaannya itu melewati batas.”
(Surah Al-Kahfi: 28)

Imam Qotadah r.a. berkata berkenaan dengan ayat ini:

"Sesungguhnya, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini telah mensia-siakan dirinya dan merugikan dirinya. Dia menjaga harta-hartanya namun menggadaikan agamanya, akibat tidak muhasabah dirinya…"
[Tibb Al-Qulub bagi Ibn Qayyim: m/s 85]

Telah berkata Imam Al-Hasan berkenaan dengan ayat ini:
"Sesungguhnya, seseorang hamba itu, sentiasa dalam kebaikan, jika dalam dirinya ada seruan yang mencela dirinya, dan muhasabah diri merupakan sifat keutamaannya".

Firman Allah s.w.t. lagi:

Maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang Telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)”
(Surah Al-Hasyr: 18)

Maksud ayat tersebut ialah, Allah s.w.t. menyuruh kita memperhatikan setiap amalan yang dilakukan oleh kita, samada ianya suatu ketaatan ataupun suatu kemaksiatan bagi memastikan kebahagiaan di akhirat kelak.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
"Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…"
(Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah).

Maksud perkataan "daana nafsahu" dalam hadith tersebut bererti, menghitung dan muhasabah diri.

Imam Az-Zarruq r.a. berkata:

"Kelalaian daripada muhasabah diri itu membawa kepada kerosakan diri. Gagal dalam memperhatikan nafsu diri, membawa kepada sikap redha terhadap keburukan nafsu tersebut."
[Qawa'id At-tasawwuf m/s 75]

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Sesungguhnya, muhasabah diri itu akan menyemai suatu rasa bertanggungjawab dalam diri seseorang, terhadap Allah s.w.t., makhluk-makhlukNya dan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri untuk melaksanakan syariat Allah s.w.t.. Dengan muhasabah diri, seseorang dapat menghayati bahawa, dirinya tidak diciptakan secara sia-sia."

Jenis-jenis Muhasabah Diri

Muhasabah diri ada dua jenis iaitu, muhasabah sebelum beramal dan muhasabah setelah beramal.

Jenis Pertama: Muhasabah Diri Sebelum Melakukan Sesuatu

Maksudnya: Seseorang itu menghitung di permulaan amalannya, samada amalan tersebut perlu dilakukan ataupun perlu ditinggalkan. Jika amalan tersebut sesuatu yang diperlukan, maka lihatlah, adakah ia bersesuaian dengan syariat ataupun bertentangan. Sekiranya bertentangan dengan syariat, maka sewajarnya dia meninggalkan niatnya untuk melakukan perbuatan tersebut, selagimana tidak sampai tahap mudarat. Jika mudarat, maka boleh dilakukan sekadar ingin menolak kemudaratan.

Al-Hasan berkata:


"Allah s.w.t. merahmati seseorang yang berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu, lalu memperhatikan niatnya. Jika amalan itu ingin dilakukan, maka dia meneruskan amalannya. Adapun jika bukan kerana Allah s.w.t., maka dia meninggalkannya."


Seterusnya, jika dia pasti, niat perkara yang ingin dilakukannya itu kerana Allah s.w.t, dan perkara tersebut perlu dilakukannya, maka hendaklah dia pastikan, adakah dia mampu untuk melakukannya ataupun tidak. Jika dia tidak mampu lakukan kesorangan, maka tinggalkanlah dahulu perkara tersebut, ataupun meminta bantuan daripada orang lain.

Jika dia mampu melakukan perbuatan tersebut, maka dia perhatikan pula, adakah perbuatan itu lebih baik dilakukan atau lebih baik ditinggalkan daripada melakukannya.

Jika perbuatan itu lebih baik dilakukannya, daripada ditinggalkannnya, maka perhatikanlah, adakah faktor pendorong dia melakukan amalan tersebut, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah s.w.t., ataupun kerana inginkan ganjaran duniawi dan ganjaran makhluk.

Jika faktor amalan tersebut kerana inginkan ganjaran makhluk, maka, baikilah niat, barulah meneruskan amalan tersebut. Jika faktor pendorong melakukan amalan tersebut kerana Allah s.w.t., maka teruskanlah melakukan perkara tersebut dengan meminta bantuan daripada Allah s.w.t, untuk kejayaan usaha tersebut, kerana seseorang hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah s.w.t..

Jenis Kedua: Muhasabah Setelah Melakukan Sesuatu:

Maksudnya, seseorang itu memperhitungkan amalan yang telah dilakukannya iaitu:

Pertama: Menilai semula, adakah amalan tersebut menepati seluruh hak-hak Allah s.w.t. dalam ketaatan.

Kedua: Memerhatikan semula, kemungkinan ada amalan yang sebenarnya, lebih patut ditinggalkan daripada ianya dilakukan, lalu berazam untuk tidak mengulangi kembali kesalahan tersebut.

Ketiga: Memerhatikan semula, niatnya dalam amalan tersebut. Jika kerana Allah s.w.t, maka hendaklah dia bersyukur kepada Allah s.w.t., kerana membantunya dalam ketaatan kepadaNya. Jika kerana makhluk atau kepentingan duniawi, maka hendaklah dia meminta ampun kepada Allah s.w.t. daripada dosa tersebut lalu berazam untuk tidak mengulanginya.

Kesimpulan

Muhasabah diri adalah antara akhlak yang mulia yang dapat membantu seseorang untuk terus menyempurnakan aspek kehambaan dirinya dalam mencapai keredhaan Allah s.w.t.. Lihatlah kepada diri sendiri, nescaya akan terzahir bahawasanya segala yang berlaku di sekelilingmu adalah untuk menyempurnakan kehambaanmu. Itulah interaksi Allah s.w.t. kepadamu melalui perbuatan-perbuatan dan ketentuanNya.

Semoga Allah s.w.t. berikan kepada kita kekuatan untuk merealisasikan makna muhasabah dalam diri kita agar kita dapat mencontohi Saidin Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkataan, perbuatan dan hal hubungan hati Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam dengan Allah s.w.t..

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

‘AmalahuLlahu bi althofiHi al-Khafiyyah

Sumber : Http://Mukhlis101.Multiply.Com

Sabtu, 26 Disember 2009

Mencontohi Salafussoleh

Oleh Al Harits Al Muhasibi (wafat 243 H)

Dapatkan sejarah peninggalan mereka yang bertambah takut dengan ilmu, bertambah celik dengan amalan dan bertambah kenal dengan akal.

Imam Ibnu Hajar di dalam Hadyus Sari Muqaddimatu Fathul Bari ada menyebut bahawa Muhammad bin Mansur pernah menceritakan :
Pernah satu ketika kami menghadiri majlis Imam Bukhari, lalu ada orang mencampakkan kotoran yang ada di janggutnya ke lantai. Aku dapati, Imam Bukhari memerhati kotoran itu dan memerhatikan orang ramai, lalu apabila ia merasakan orang ramai sedang leka, ia mengambil kotoran tersebut dan memasukkan ke dalam bajunya. Dan apabila ia keluar dari masjid ia pun mencampakkan kotoran itu di atas tanah.

Andaikata kamu tidak dapat mengikuti cara mereka akibat kekurangan adab maka hendaklah kamu mencela dirimu sendiri. Sesungguhnya sifat orang yang ikhlas tidak akan tersembunyi dari orang-orang yang berilmu.

Ketahuilah bahawa setiap fikrah terdapat adab dan setiap isyarat terdapat ilmu. Yang akan dapat membezakan demikian itu hanyalah mereka yang dapat memahami kehendak ALlah 'azza wa jalla dan dapat memetik buah-buah keyakinan dari firman-firmanNya.

Tanda-tanda demikian itu yang terdapat pada orang yang sodiq (benar) ialah :

1. Apabila ia melihat ia akan mengambil iktibar

2. Apabila ia berdiam ia akan berfikir

3. Apabila ia bercakap ia akan berzikir

4. Apabila ia terhalang ia akan sabar

5. Apabila diberi ia akan bersyukur

6. Apabila diuji ia mengucap tarji' إن لله و إنا إليه راجعون

7. Apabila dilakukan tindakan bodoh ke atasnya ia berlemah lembut

8. Apabila ada ilmu ia merendah diri

9. Penyayang apabila mengajarkan ilmu

10. Dan apabila ditanya ia berusaha untuk menjawab

Beliau adalah penawar kepada orang yang mengharapkan, pembantu kepada yang meminta panduan, sebagai rakan kebenaran, gua kebaikan, suka merelakan bagi hak dirinya dan sangat tinggi kemahuannya pada hak ALlah subahanahu wa ta'ala.

Niatnya lebih baik dari amalannya, amalannya pula lebih baik dari cakapnya, dalamannya adalah kebenaran, pengikatnya adalah malu, dikenali sebagai warak, penonjolannya diyakini, ia mempunyai cahaya-cahaya kewarasan yang digunakan untuk berpandangan, mempunyai ilmu-ilmu yang benar untuk diungkapkan dari dalil-dalil keyakinan untuk diperkatakan.

Yang akan mencapai peringkat ini hanyalah orang yang memujahadahkan dirinya (latihan dan usaha untuk melawan hawa nafsu agar tidak haoba terhadap dunia) kerana ALlah, mengistiqomahkan tekadnya untuk mentaati ALlah, mentakuti ALlah dalam keadaan terdedah mahupun tersembunyi, memendekkan angan-angan, memperkemaskan ikatan ketelitian dan ia menyelamatkan (diri dari kemurkaan ALlah) dengan tiupan angin keselamatan di lautan ibtihal (munajat dan memohon kepada ALlah).

Justeru waktunya dalam keuntungan, keadaannya sentiasa selamat, tidak akan terkabur dengan hiasan dunia yang menipu dan kilauan fatamorgana serta kelembutan bayu dunia tidak dapat melalaikannya tentang kedahsyatan hari kebangkitan.

Sedarilah bahawa orang yang berakal setelah jelas keilmuannya dan nyata keyakinannya akan mengetahui bahawa tidak ada sesuatu yang akan menyelamatkannya dari Tuhannya melainkan kejujuran, lantaran ia akan bertekun mendapatkannya dan akan mencari orang-orang yang jujur dengan harapan ia akan hidup sebelum matinya (memanfaatkan hidupnya dengan amalan dan kerja yang berfaedah), agar ia bersedia untuk hari yang kekal setelah matinya, maka ia menjual harta dan jiwanya kepada Tuhan, justeru ia pernah mendengar firmanNya :


إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٲلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَ‌ۚ


Ertinya : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga,
(Surah At Taubah : 111)

Lantas ia berilmu setelah kejahilan, kaya setelah fakir, terhibur setelah kesepian, dekat setelah kejauhan, lega setelah keletihan. Teraturlah sudah urusannya dan terkumpul sudah harapannya.

Slogannya adalah kepercayaan dan keyakinan dan keadaannya adalah berawasan (muraqabah) tidakkah kamu memerhatikan sabdaan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam :

أعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك

Ertinya : Sembahlah ALlah bagaikan kamu melihatnya, walau pun kamu tidak dapat melihatnya justeru (sedarlah sebenarnya) Dia sedang melihat kamu
(Riwayat Muslim)

Orang jahil menyangkanya seorang yang pekak dan lesu, kebijaksanaannyalah yang memekakkannya, orang menyangkanya seorang yang bodoh bercakap merapu, bernasihat kerana ALlah lah yang membuat ia berbicara, orang menyangkanya seorang yang kaya, sikap tidak memintalah yang mengkayakannya dan orang menyangkanya fakir, sikap tawadhuklah yang merendahkannya.

Dia tidak menyampuk sesuatu yang tidak berkenaan dengannya, tidak menggagahi lebih dari keperluannya, tidak mengambil apa yang tidak dihajati, tidak mengabaikan apa yang diamanahkan kepadanya. Orang ramai rasa senang dan tidak terganggu dengannya, sementara ia merasa letih berhadapan dengan nafsunya. Ia telah memautkan halobanya dengan warak. menyekat tamaknya dengan takwa dan menghilangkan hawa nafsunya dengan cahaya ilmu.

Bentuklah diri seperti ini, berkawanlah dengan orang-orang sedemikian,

Daripada Abu Hurairah radiyaLLahu 'anhu, daripada Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam sabdanya yang bererti :
ALlah mempunyai beberapa malaikat peronda yang sentiasa bergerak di atas bumi, apabila mereka naik ke langit ALlah subahanahu wa ta'ala akan bertanya kepada mereka, sedangkan Ia lebih mengetahui : Dari mana kamu datang ? Jawab mereka : Kami datang dari beberapa orang hambaMu di atas muka bumi yang sedang bertasbih, bertakbir dan bertahlil, bertahmid dan memohon doa dan keampunan dariMu. Lalu ALlah berfirman : Sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka, aku memberikan apa yang mereka minta dan aku melindungi mereka dari apa yang mereka mohon perlindungan. Para malaikat pun berkata : Tetapi, bersama mereka ada satu orang yang banyak melakukan kesalahan, dia hanya duduk bersama mereka secara kebetulan ia lintas di situ sahaja. Jawab ALlah : Kepadanya pun aku ampuni, mereka adalah kaum yang tidak akan mencelakakan orang yang duduk bersama mereka
(Riwayat Muslim)

jejakilah tauladan mereka dan beradablah dengan tingkahlaku mereka. Mereka adalah simpanan yang terjamin, membeli mereka dengan dunia adalah untung, mereka adalah senjata dalam kesusahan dan pendamping yang boleh dipercayai. Andai kamu kefakiran mereka akan mengkayakan kamu dan andai mereka berdoa kepada Tuhan kamu tidak akan dilupakan.

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ حِزۡبُ ٱللَّهِ‌ۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (٢٢)

Ertinya : "Mereka adalah penyokong-penyokong (agama) ALlah, ketahuilah, sesungguhnya penyokong-penyokong agama ALlah itu adalah orang-orang yang berjaya"


(Surah al Mujadalah: 22)

Sumber Rujukan : Imam Harith Al Muhasibi, Risalah al Murtasyidin, Pent Ustaz Ilyas bin Haji Ismail, Cet 2006, Darul Fawwaz, Kedah.

Selasa, 3 November 2009

Nasihat Imam Ja'far As Sadiq Kepada Puteranya

Duhai anakku,

Barangsiapa merasa cukup dengan apa yang telah diberikan ALlah, maka dia kaya.

Barangsiapa suka memandang harta orang lain, dia akan mati miskin.

Barangsiapa tidak redha (tidak rela) dengan apa yang telah diberikan ALlah kepadanya, maka dia telah menentang keputusanNya (qadha'Nya)

Barangsiapa memandang remeh kesalahannya, maka dia akan memandang besar kesalahan orang lain.

Barangsiapa memandang besar kesalahannya, maka dia akan memandang remeh kesalahan orang lain.


Duhai anakku,

Barangsiapa membuka aib orang lain, maka aib keturunannya akan tersingkap.

Barangsiapa menghunus pedang seorang yang bengis, maka dia akan terbunuh darinya.

Barangsiapa menggali lubang untuk mencelakakan saudaranya, maka dia sendiri akan terjerumus ke dalamnya.

Barangsiapa memasuki tempat-tempat biasa dikunjungi orang-orang bodohm maka dia akan direndahkan.

Barangsiapa bergaul dengan ulama, maka dia akan dimuliakan.

Dan barangsiapa memasuki tempat-tempat kemaksiatan, maka dia akan dituduh berbuat maksiat.

(Habib Ahmad bin Zain al Habsyi Ba'lawi, Syarhul 'Ainiyyah, cet 1, 1987, Kerjaya, Singapura, hal 23-24)

Jumaat, 14 Ogos 2009

Manfaatkan Umurmu

Oleh : Ibnu Athaillah Askandari


Ketahuilah, sebuah umur yang awalnya disia-siakan, sayugianya sisanya dimanfaatkan. Jika seorang ibu memiliki sepuluh anak dan sembilan di antaranya meninggal dunia. Tentu ia akan lebih mencintai satu-satunya anak yang masih hidup itu.

Kamu telah menyia-nyiakan sebahagian besar umurmu, oleh kerana itu, jagalah sisa umurmu yang sangat sedikit itu.

Demi ALlah, sesunguhnya umurmu bukanlah umur yang dihitung sejak engkau lahir, tetapi umurmu adalah umur yang dihitung sejak hari pertama engkau mengenal ALlah Ta'ala.


Ibnu 'Athaillah As Sakandari, Tajul Aris, Maktabatul Munawwar, Semarang-Indonesia, 1395 H, hal. 10.

Sumber :Novel bin Muhammad Alaydrus, Orang Bijak Berkata - Kumpulan Nasihat Sepanjang Masa, Cet 5 2008, Penerbit Taman Ilmu, Semanggi-Surakarta.

Selasa, 9 Jun 2009

Tujuh Keutamaan Bergaul Dengan Ulama'

Oleh : Syeikh Abul Laits

Barangsiapa duduk dalam majlis ilmu bersama seorang yang berilmu, tetapi tidak mampu menghafaz sedikitpun ilmu yang disampaikan di sana, maka dia telah mendapatkan tujuh kemuliaan :

Pertama : Dia mendapatkan pahala yang disediakan bagi para penuntut ilmu.

Kedua : Selama duduk di dalam majlis itu, dia terhindar dari perbuatan dosa.

Ketiga : Rahmat ALlah menghampirinya ketika dia keluar dari rumah menuju majlis itu.

Keempat : Ketika orang-orang yang berada dalam majlis ilmu tersebut memperoleh rahmat, maka dia juga akan memperoleh bahagian darinya.

Kelima: Selama dia mendengarkan kajian di dalam majlis itu, dia tercatat sebagai seorang yang sedang beribadah kepada ALlah.

Keenam : Ketika dia sedih kerana kurang mampu memahami kajian yang disampaikan, maka kesedihannya itu menjadi sebuah penghubung untuk mendekatkan diri kepada ALlah.

Ketujuh : Di majlis itu, dia akan melihat kemuliaan seorang yang berilmu dan kehinaan seorang penderhaka. Akhirnya dia akan menyukai ilmu dan membenci perbuatan fasik.

Sumber : Muhammad Nawawi bin Umar al Jawi, Nasa'ihul 'Ibad, Bungkul Indah, Surabaya - Indonesia, hal 46.

Isnin, 8 Jun 2009

Lima Mutiara Berharga

Dari : Saidina Ali bin Abu Thalib radiyaLlahu 'anhu

Hafalkanlah lima hal ini, andaikata kalian menunggang unta untuk mendapatkannya, maka hingga unta itu kurus kalian tidak akan memperolehinya.

Pertama : Seorang hamba hendaknya tidak berharap kecuali kepada ALlah

Kedua : Seorang hamba hendaknya hanya takut akan dosa-dosanya.

Ketiga : Seorang yang bodoh hendaknya tidak merasa malu untuk bertanya.

Keempat : Seorang yang berilmu ketika ditanya tentang sebuah persoalan dan tidak mengetahui jawapannya, hendaknya tidak malu untuk mengatakan :
"ALlah yang Maha Mengetahui."


Kelima : Bagi iman - sabar ibarat kepala sebuah tubuh, sehingga tidak (sempurna) iman seseorang yang tidak memliki kesabaran

Sumber : Muhammad bin 'Alwi Al Maliki, Al Mukhtar Min Kalamil Akhyar, cet 1, 1978, Hal 40.a

Jumaat, 30 Januari 2009

Kata-kata Hikmah

Diam dan Kebodohan

Sebahagian ulamak mengatakan di dalam diam itu terdapat 7 ribu kebaikan, yang terhimpun dalam 7 kalimat :

1. Ia adalah ibadah tanpa susah payah.
2. Perhiasan tanpa intan permata.
3. Kewibawaan tanpa kekuasaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Tidak perlu meminta maaf kerana salah berbicara.
6. Memberi istirehat bagi Kiraman Katibin
7. Menutupi aib yang dapat timbul kerana banyak berbicara.

Sedangkan kebodohan itu mempunyai 6 ciri :


1. Marah tanpa alasan yang tetap.
2. Berbicara tanpa manfaat
3. Memberi tidak pada tempatnya.
4. Membukakan rahsia kepada siapa sahaja.
5. Percaya kepada setiap orang.
6. Tidak mengenal siapa kawan siapa lawan.