CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Jumaat, 20 September 2019

ADAKAH TERDAPAT NAMA SURAH DAJJAL DI DALAM AL-QURAN?



NAMA-NAMA SURAH DI DALAM AL-QURAN ADALAH TAUQIFIYAH .

Oleh: Ustaz Nazrul Nasir

Jumhur para Ulama seperti yang ditegaskan oleh al-Imam as-Suyuti rahimahullah di dalam al-Itqan mengatakan bahawa nama-nama surah di dalam Al-Quran adalah bersifat Tauqifi iaitu yang ditentukan oleh Syara' bukan dengan dengan Ijtihadi.

Maka nama-nama Surah bermula daripada al-Fatihah sehingga An-Nas adalah Tauqifi.
Al-Imam as-Suyuti rahimahullah telah menyebutkan di dalam kitabnya yang agung al-Itqan bahawa terdapat 25 nama bagi surah al-Fatihah.

Manakala Surah Al-Israa' juga dikenal dengan Surah Bani Israel kerana di dalamnya banyak disebut tentang Bani Israel.

Surah At-Taubah dan Surah al-Ahzab disebut juga sebagai surah al-Fadhihah kerana disebut didalamnya dibongkarkan segala perkara dan segala sifat golongan Munafik.

Surah Al-Maidah juga dikenal sebagai surah al-Uqud kerana di dalamnya ada ayat :
( ﯾَـٰۤﺄَﯾُّﻬَﺎ ﭐﻟَّﺬِﯾﻦَ ﺀَﺍﻣَﻨُﻮۤﺍ۟ ﺃَﻭۡﻓُﻮﺍ۟ ﺑِﭑﻟۡﻌُﻘُﻮﺩِۚ ﺃُﺣِﻠَّﺖۡ ﻟَﻜُﻢ ﺑَﻬِﯿﻤَﺔُ ﭐﻟۡﺄَﻧۡﻌَـٰﻢِ ﺇِﻟَّﺎ ﻣَﺎ ﯾُﺘۡﻠَﻰٰ ﻋَﻠَﯿۡﻜُﻢۡ ﻏَﯿۡﺮَ ﻣُﺤِﻠِّﯽ ﭐﻟﺼَّﯿۡﺪِ ﻭَﺃَﻧﺘُﻢۡ ﺣُﺮُﻡٌۗ ﺇِﻥَّ ﭐﻟﻠَّﻪَ ﯾَﺤۡﻜُﻢُ ﻣَﺎ ﯾُﺮِﯾﺪُ )

Segala surah ini walaupun disebut dengan pelbagai nama NAMUN hakikatnya ianya adalah sifat yang disebutkan di dalam surah-surah tersebut serta ianya disebut di dalam hadis Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam.

Syaikhuna Al-Allamah al-Imam Dr Ali Jum'ah hafizahullah pernah menyebut :
" Bilamana ada sekelompok orang membaca surah an-Nahl , mereka mendapati di dalam surah tersebut terdapat padanya sistem ekonomi Islam yang hebat iaitu terdapat padanya rukun al-Mawarid Al-Iqtisadiyah ( Economics Resources ) iaitu :

1) Al-Amal atau di dalam istilah ekonominya Labor

2) Ra'sul Maal ( Modal ) yang dikenal di dalam istilah ekonomi sebagai Capital

3) al-Ardh ( ﺍﻷﺭﺽ ) yang dikenal di dalam istilah ekonomi sebagai Land

4) at-Tandzim wal Idarah atau lebih dikenal di dalam istilah ekonomi sebagai Entrepreneur.

Keempat-empat perkara ini ada pada gerak kerja Lebah di dalam koloninya.

Maka adakah kita boleh namakan Surah an-Nahl ini sebagai Surah Iqtisad Islami ? Surah Ekonomi Islam? "

Maka Syaikhuna Al-Allamah al-Imam Dr Ali Jum'ah hafizahullah mengatakan bahawa : " Tidak boleh kerana walaupun sifatnya memang terkandung di dalam surah tersebut namun ianya tidak disebut oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam"
Perhatian ini perlu diambil oleh sebahagian pendakwah agar jangan bersenang- senang dan bermudah-mudah untuk melariskan produk kita dengan meletakkan nama Surah pada buku dan tulisan kita agar ianya tidak bercanggah dengan Syara'.

Niat bagus tidak menghalalkan cara kita.
Maka saya menasihati adik-adik pendakwah yang bersemangat dan mungkin berniat baik untuk mendekati audien agar sentiasa berhati-hati dan sentiasalah menuntut Ilmu daripada jalan para Guru yang bersambung silsilah Sanad pengajiannya sehingga Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam.
Tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan , maka kamu akan tumbuh dengan baik. Pokok yang tidak sempurna penjagaannya tidak akan menghasilkan buah yang baik untuk umat.
Rendahkan diri, teruskan belajar dan jangan sombong menerima nasihat.
ﺑﺎﺭﻙ ﺍﻟﻠﻪ ﻓﻴﻜﻢ .

Selasa, 10 September 2019

Dr Mohd Khafidz bin Soroni







Oleh : Ibnu Jawi

Terkenal sebagai seorang yang tawaduk dan lembut tutur katanya, Dr Khafidz Soroni berjaya dalam kajian PhD nya bagi membandingkan ilmu hadis dalam mazhab Syafie dan mazhab Hanafi tanpa sebarang pembetulan.

Dr Mohd Khafidz bin Soroni @ Hj Ahmad Mughni dilahirkan pada 1 Oktober 1974 di Klang, Selangor. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda dari Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Hadis. Seterusnya, beliau menyambung pengajian ke Universiti Malaya pada peringkat Master dalam bidang al-Quran dan Hadis pula.

Dalam kajian peringkat PhD di Kolej Universiti Islam Antarabangsa, tesis Dr Khafidz Soroni mendapat kepujian yang tinggi. Judul tesis tersebut adalah “Ulum al-Hadis Antara Mazhab Hanafi dan Mazhab Syafie : Perbandingan Antara Kitab Zafar al-Amani dan Kitab Manhaj Dhawi al-Nazar”.
Dr Khafidz Soroni berjaya mengkaji perbandingan pengaruh mazhab Fiqh dalam karya ulum hadis. Kitab yang menjadi subjek kajian adalah karya ulama besar terkenal dari dua mazhab.

Pertama, kitab Manhaj Dhawi al-Nazar fi Sharh Manzumah ‘Ilm al-Athar karya Syeikh Muhammad Mahfuz al-Tarmasi daripada kalangan ulama mazhab Syafie.

Kedua, kitab Zafar al-Amani fi Mukhtasar al-Jurjani karya Syeikh Abdul Hayy al-Laknawi daripada kalangan ulama mazhab Hanafi.
Al-Tarmasi berkecenderungan kepada usul dan prinsip Mazhab Syafie. Beliau sentiasa merujuk kepada pandangan tokoh-tokoh ilmu hadis mazhab Syafie seperti al-Hakim, Ibn al-Salah, Ibn Hajar, al-Nawawi, al-Iraqi dan al-Suyuti. Ini kerana kitab-kitab para ulama hadis tersebut merupakan sumber rujukan utama beliau dalam kitab Manhaj Dhawi al-Nazar.

Al-Tarmasi asy-Syafie banyak menggunakan istilah-istilah yang menunjukkan kecenderungannya pada mazhab Syafie. Al-Tarmasi asy-Syafie dalam beberapa tempat mengangkat dan memperkukuhkan pandangan mazhab Syafie di dalam karyanya ini.

Al-Laknawi lebih cenderung kepada usul dan prinsip mazhab Hanafi. Lebih menjelaskan lagi, kajian mendapati Al-Laknawi al-Hanafi di dalam kitabnya Zafar al-Amani ini menggunakan banyak istilah-istilah yang menunjukkan kecenderungan beliau kepada mazhabnya itu.

Al-Laknawi al-Hanafi banyak mentarjihkan pandangan mazhab Hanafi apabila berlaku pertembungan antara berbagai pandangan di dalam karyanya ini. Selain itu, dapat dilihat dalam syarahnya, al-Laknawi al-Hanafi merujuk kepada banyak kitab-kitab ulama Hanafi.

Bagi melihat kecenderungan mazhab antara al-Tarmasi asy-Syafie dalam kitab Manhaj Dhawi al-Nazar dan al-Laknawi al-Hanafi dalam kitab Zafar al-Amani, beberapa perbahasan hadis dalam kitab mereka dapat dilihat secara jelas. Antaranya adalah hadis Basmallah al-Fatihah dalam solat, Hadis al-Qullatain dan Hadis al-Isfar.

Melalui kajian terhadap contoh-contoh hadis dalam kitab Manhaj Dhawi al- Nazar dan kitab Zafar al-Amani, jelas membuktikan bahawa perbahasan ilmu hadis juga tercorak melalui disiplin mazhab fiqh. Ini kerana penulis kedua-dua kitab tersebut menghurai hadis-hadis menurut kecenderungan mazhab masing-masing.

Selain kajian mengenai perbezaan ilmu Hadis dalam mazhab Syafie dan mazhab Hanafi, Dr Khafidz Soroni juga banyak mengarang jurnal akademik, seminar, laporan penyelidikan, prosiding dan penulisan popular lain. Antaranya, pakar hadis ini giat menulis sebagai kolumnis majalah atau akhbar, bab-bab dalam buku, menyunting bahkan memiliki banyak karya berbentuk buku sendiri.

Antaranya adalah :-

– Mustalah al-Hadith al-Muyassar.
– Kaedah-kaedah Takhrij al-Hadith.
– Manahij al-Muhaddithin: Metod dan Pendekatan Sarjana Hadith
– Syeikh Muhammad Yasin Al-Fadani (1916 – 1990) Dan Ketokohannya Dalam Ilmu Riwayah Al-Hadith
– 40 Hadith Tentang Keberkatan. Kuala Lumpur
– Q & A Hadith : Pencerahan 41 Hadits Yang Masyhur Dalam Masyarakat
– 40 Hadith Tentang Kanak-kanak
– 200 Hadis Pembangunan Insan

Beliau juga menyelia latihan ilmiah serta kertas kerja dan mengajar dalam lapangan ilmu hadis seperti Mustalah al-Hadis, Dirasat al-Asanid, Mabadi’ al-Ta’amul Ma’ al-Sunnah, Ilm al-Rijal, Manahij al-Muhaddisin, Ilm al-Takhrij, Ilm Rijal al-Hadith, al-Hadith al-Mawdhu’i dan lain-lain. Beliau merupakan felo Pusat Kajian Hadis (INHAD) serta banyak menyampaikan ceramah-ceramah ilmiah.

Selain menjadi ahli Lajnah Tahqiq Hadith Kementerian Dalam Negeri, beliau juga merupakan salah seorang Ketua Lajnah Hadis ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI). Beliau sebelum ini giat menghurai tafsiran hadis-hadis akhir zaman agar tidak dipesongkan maknanya oleh golongan teori konspirasi di sawanih.blogspot.com atau https://www.facebook.com/sawanih/

Sumber : https://www.thepatriots.asia/dr-khafidz-soroni-pakar-hadis-yang-membandingkan-ilmu-hadis-mazhab-syafie-dan-mazhab-hanafi/?

Isnin, 9 September 2019

Maulana Wan Tahir al-Mazahiri ﺣﻔﻈﻪ ﺍﻟﻠﻪ

Maulana Wan Tahir al-Mazahiri ﺣﻔﻈﻪ ﺍﻟﻠﻪ
Maulana Wan Tahir al-Mazahiri (gelaran al-mazahiri beliau gunakan sebagai mengikuti senior beliau-beliau (meskipun beliau tidak sempat menamatkan pengajian beliau di sini) seperti Maulana Razif al-Mazahiri ﺣﻔﻈﻪ ﺍﻟﻠﻪ ، Maulana Hazim al-Mazahiri ﺣﻔﻈﻪ ﺍﻟﻠﻪ (abang ipar beliau) dan juga untuk tabarukkan)

Asal: Temerloh, Pahang

Sejarah pengajian beliau

1. Darul Ulum Deoband (Sampai Tahun Pertama sahaja kerana mengikuti senior-senior beliau berpindah ke Madrasah Mazahirul Ulum, Saharanfur).

2. Madrasah Mazahirul Ulum, Saharanfur (Tahun 2-4 kerana masalah visa).

3. Menyambung pengajian ke Hadramaut, Yaman (Darul Mustafa selama Darul Mustafa selama sebulan sebagai tabarruk (alami masalah visa).

4. Berpindah ke Jamiah Al-Yamaniah. Berada di sini dalam tempoh lebih kurang 2 tahun, di sini beliau bertalaqqi feqah Syafi'i dengan Syeikh Qosimul Bahr ﺣﻔﻈﻪ ﺍﻟﻠﻪ , Syeikh Abduh Sulaiman ﺣﻔﻈﻪ ﺍﻟﻠﻪ , Sheikh Makbul Hasan Al-Ahdal ﺣﻔﻈﻪ ﺍﻟﻠﻪ . dan di sini juga berkawan dengan beberapa figure Wahabbi Malaysia yang belajar di Jamiah ini. (Ada kisah menarik di sini mengenai figure-figure Wahhabī Malaysia ini , jika nak tahu, kene belanja saya chai dulu).

5. Bertalaqqi dengan masyaikh di Hudaidah (di sini lebih tersusun pengajian feqah Syafi'i beliau).

6.Merasakan diri kekurangan dalam ilmu Hadīth, beliau ke Pakistan, menyambung baki menyambung baki pengajian tafsir Dan daurah al-Hadith di Jamiah Tafsiriyah Syamsul Uloom, Rahim Yar Khan dengan keputusan Mumtaz. Kemudian beliau telah melanjutkan pengajian dalam bidang Takhassus fil Hadith di bawah bimbingan Maulana Nur Basyar ﺣﻔﻈﻪ ﺍﻟﻠﻪ di Jamiah Farooqia, Karachi, Pakistan juga dengan keputusan Mumtaz. Juga mendapat ijazah Daurah al-Hadith (Sunan Sittah) dari Maulana Salemullah Khan ﺣﻔﻈﻪ ﺍﻟﻠﻪ iaitu ketua Wefaqul Madaris, Pakistan dan antara pemegang Sanad Sahih al-Bukhari tertinggi di dunia.

7. Menyambung pengajian peringkat Takhasus fil Hadīth di Jamiah yang sama dan memperolehi keputusan Mumtaz.

8. Ketika berada di Pakistan juga, beliau mulai melazimi pengajian bersama Maulana Ilyas Ghuman ﺣﻔﻈﻪ ﺍﻟﻠﻪ sehingga mendorong beliau menyambung pengajian Takhasus firqah Batilah di markaz ASWJ di Sarghoda di bawah bimbingan Maulana Ilyas Ghuman ﺣﻔﻈﻪ ﺍﻟﻠﻪ .

Penglibatan dalam Jemaah Tabligh

1 . Setelah tamat pengajian beliau, beliau telah keluar berdakwah selama 1 tahun di India,Pakistan dan Bangladesh mengikut nisab pelajar agama dalam Jemaah Tabligh.
Penglibatan dalam tariqat/Tasawwuf

1. Beliau telah berbi'ah dengan kesemua 4 cabang tariqat yang muktabar di benua Hindustan iaitu Naqshabandiyyah, Chistīyyāh, Suhwardiyyah, Qadiriyyah dengan beberapa mursyid Tariqat muktabar Pakistan.

2. Beliau dilantik sebagai khalifah majaz lil baiah oleh Sheikhul Tarikat Mutakalim Islam Maulana Ilyas Ghuman dalam keempat-empat cabang tariqat dan memimpin cabang tariqat Chistiyyah
Penglibatan dalam pengajaran/tadris

1. Setelah beliau menamat pengajian, beliau telah dipujuk oleh Maulana Abd Hamid ﺣﻔﻈﻪ ﺍﻟﻠﻪ ketika itu mudir madrasah Miftahul Ulum, Sri Petaling untuk berkhidmat sebagai penyarah hadith di madrasah ini tetapi beliau menolak kerana ada sebab dan alasan beliau yang tersendiri.

2. Beliau telah membuka madrasah yang bernama Mazahirul ulum, di Surau at-Rayyan, Seksyen 7,Shah Alam, Selangor. Madrasah ini hanya memfokuskan pengajian Alim kitab turath (Sunan Sittah) dan pengajian bahasa Arab.

Penglibatan dalam penulisan

1. Beliau amat meminati bidang penulisan. Sekarang beliau sedang giat menterjemahkan kitab al-Muhannad ala al-Mufannad beserta syarahan dari guru beliau Maulana Ilyas Ghuman ﺣﻔﻈﻪ ﺍﻟﻠﻪ ke dalam bahasa Melayu (doakan semoga cepat siap).

Penglibatan dalam kelas pengajian umum.

1. Selain mengajar di madrasah beliau, beliau aktif dalam memberikan pengajian di masjid & surau sekitar Shah Alam.
Demikianlah sedikit sebanyak maklumat mengenai guru saya yang saya mahu kongsi bersama dengan kawan-kawan semua.

Sumber : https://m.facebook.com/groups/398637443880126?view=permalink&id=749453692131831&ref=m_notif&notif_t=feedback_reaction_generic5

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10205071425540076&id=1676430727&ref=m_notif&notif_t=feedback_reaction_generic