CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Jumaat, 20 September 2019

ADAKAH TERDAPAT NAMA SURAH DAJJAL DI DALAM AL-QURAN?



NAMA-NAMA SURAH DI DALAM AL-QURAN ADALAH TAUQIFIYAH .

Oleh: Ustaz Nazrul Nasir

Jumhur para Ulama seperti yang ditegaskan oleh al-Imam as-Suyuti rahimahullah di dalam al-Itqan mengatakan bahawa nama-nama surah di dalam Al-Quran adalah bersifat Tauqifi iaitu yang ditentukan oleh Syara' bukan dengan dengan Ijtihadi.

Maka nama-nama Surah bermula daripada al-Fatihah sehingga An-Nas adalah Tauqifi.
Al-Imam as-Suyuti rahimahullah telah menyebutkan di dalam kitabnya yang agung al-Itqan bahawa terdapat 25 nama bagi surah al-Fatihah.

Manakala Surah Al-Israa' juga dikenal dengan Surah Bani Israel kerana di dalamnya banyak disebut tentang Bani Israel.

Surah At-Taubah dan Surah al-Ahzab disebut juga sebagai surah al-Fadhihah kerana disebut didalamnya dibongkarkan segala perkara dan segala sifat golongan Munafik.

Surah Al-Maidah juga dikenal sebagai surah al-Uqud kerana di dalamnya ada ayat :
( ﯾَـٰۤﺄَﯾُّﻬَﺎ ﭐﻟَّﺬِﯾﻦَ ﺀَﺍﻣَﻨُﻮۤﺍ۟ ﺃَﻭۡﻓُﻮﺍ۟ ﺑِﭑﻟۡﻌُﻘُﻮﺩِۚ ﺃُﺣِﻠَّﺖۡ ﻟَﻜُﻢ ﺑَﻬِﯿﻤَﺔُ ﭐﻟۡﺄَﻧۡﻌَـٰﻢِ ﺇِﻟَّﺎ ﻣَﺎ ﯾُﺘۡﻠَﻰٰ ﻋَﻠَﯿۡﻜُﻢۡ ﻏَﯿۡﺮَ ﻣُﺤِﻠِّﯽ ﭐﻟﺼَّﯿۡﺪِ ﻭَﺃَﻧﺘُﻢۡ ﺣُﺮُﻡٌۗ ﺇِﻥَّ ﭐﻟﻠَّﻪَ ﯾَﺤۡﻜُﻢُ ﻣَﺎ ﯾُﺮِﯾﺪُ )

Segala surah ini walaupun disebut dengan pelbagai nama NAMUN hakikatnya ianya adalah sifat yang disebutkan di dalam surah-surah tersebut serta ianya disebut di dalam hadis Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam.

Syaikhuna Al-Allamah al-Imam Dr Ali Jum'ah hafizahullah pernah menyebut :
" Bilamana ada sekelompok orang membaca surah an-Nahl , mereka mendapati di dalam surah tersebut terdapat padanya sistem ekonomi Islam yang hebat iaitu terdapat padanya rukun al-Mawarid Al-Iqtisadiyah ( Economics Resources ) iaitu :

1) Al-Amal atau di dalam istilah ekonominya Labor

2) Ra'sul Maal ( Modal ) yang dikenal di dalam istilah ekonomi sebagai Capital

3) al-Ardh ( ﺍﻷﺭﺽ ) yang dikenal di dalam istilah ekonomi sebagai Land

4) at-Tandzim wal Idarah atau lebih dikenal di dalam istilah ekonomi sebagai Entrepreneur.

Keempat-empat perkara ini ada pada gerak kerja Lebah di dalam koloninya.

Maka adakah kita boleh namakan Surah an-Nahl ini sebagai Surah Iqtisad Islami ? Surah Ekonomi Islam? "

Maka Syaikhuna Al-Allamah al-Imam Dr Ali Jum'ah hafizahullah mengatakan bahawa : " Tidak boleh kerana walaupun sifatnya memang terkandung di dalam surah tersebut namun ianya tidak disebut oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam"
Perhatian ini perlu diambil oleh sebahagian pendakwah agar jangan bersenang- senang dan bermudah-mudah untuk melariskan produk kita dengan meletakkan nama Surah pada buku dan tulisan kita agar ianya tidak bercanggah dengan Syara'.

Niat bagus tidak menghalalkan cara kita.
Maka saya menasihati adik-adik pendakwah yang bersemangat dan mungkin berniat baik untuk mendekati audien agar sentiasa berhati-hati dan sentiasalah menuntut Ilmu daripada jalan para Guru yang bersambung silsilah Sanad pengajiannya sehingga Baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam.
Tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan , maka kamu akan tumbuh dengan baik. Pokok yang tidak sempurna penjagaannya tidak akan menghasilkan buah yang baik untuk umat.
Rendahkan diri, teruskan belajar dan jangan sombong menerima nasihat.
ﺑﺎﺭﻙ ﺍﻟﻠﻪ ﻓﻴﻜﻢ .

Tiada ulasan: