CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Selasa, 10 September 2019

Dr Mohd Khafidz bin Soroni







Oleh : Ibnu Jawi

Terkenal sebagai seorang yang tawaduk dan lembut tutur katanya, Dr Khafidz Soroni berjaya dalam kajian PhD nya bagi membandingkan ilmu hadis dalam mazhab Syafie dan mazhab Hanafi tanpa sebarang pembetulan.

Dr Mohd Khafidz bin Soroni @ Hj Ahmad Mughni dilahirkan pada 1 Oktober 1974 di Klang, Selangor. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda dari Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Hadis. Seterusnya, beliau menyambung pengajian ke Universiti Malaya pada peringkat Master dalam bidang al-Quran dan Hadis pula.

Dalam kajian peringkat PhD di Kolej Universiti Islam Antarabangsa, tesis Dr Khafidz Soroni mendapat kepujian yang tinggi. Judul tesis tersebut adalah “Ulum al-Hadis Antara Mazhab Hanafi dan Mazhab Syafie : Perbandingan Antara Kitab Zafar al-Amani dan Kitab Manhaj Dhawi al-Nazar”.
Dr Khafidz Soroni berjaya mengkaji perbandingan pengaruh mazhab Fiqh dalam karya ulum hadis. Kitab yang menjadi subjek kajian adalah karya ulama besar terkenal dari dua mazhab.

Pertama, kitab Manhaj Dhawi al-Nazar fi Sharh Manzumah ‘Ilm al-Athar karya Syeikh Muhammad Mahfuz al-Tarmasi daripada kalangan ulama mazhab Syafie.

Kedua, kitab Zafar al-Amani fi Mukhtasar al-Jurjani karya Syeikh Abdul Hayy al-Laknawi daripada kalangan ulama mazhab Hanafi.
Al-Tarmasi berkecenderungan kepada usul dan prinsip Mazhab Syafie. Beliau sentiasa merujuk kepada pandangan tokoh-tokoh ilmu hadis mazhab Syafie seperti al-Hakim, Ibn al-Salah, Ibn Hajar, al-Nawawi, al-Iraqi dan al-Suyuti. Ini kerana kitab-kitab para ulama hadis tersebut merupakan sumber rujukan utama beliau dalam kitab Manhaj Dhawi al-Nazar.

Al-Tarmasi asy-Syafie banyak menggunakan istilah-istilah yang menunjukkan kecenderungannya pada mazhab Syafie. Al-Tarmasi asy-Syafie dalam beberapa tempat mengangkat dan memperkukuhkan pandangan mazhab Syafie di dalam karyanya ini.

Al-Laknawi lebih cenderung kepada usul dan prinsip mazhab Hanafi. Lebih menjelaskan lagi, kajian mendapati Al-Laknawi al-Hanafi di dalam kitabnya Zafar al-Amani ini menggunakan banyak istilah-istilah yang menunjukkan kecenderungan beliau kepada mazhabnya itu.

Al-Laknawi al-Hanafi banyak mentarjihkan pandangan mazhab Hanafi apabila berlaku pertembungan antara berbagai pandangan di dalam karyanya ini. Selain itu, dapat dilihat dalam syarahnya, al-Laknawi al-Hanafi merujuk kepada banyak kitab-kitab ulama Hanafi.

Bagi melihat kecenderungan mazhab antara al-Tarmasi asy-Syafie dalam kitab Manhaj Dhawi al-Nazar dan al-Laknawi al-Hanafi dalam kitab Zafar al-Amani, beberapa perbahasan hadis dalam kitab mereka dapat dilihat secara jelas. Antaranya adalah hadis Basmallah al-Fatihah dalam solat, Hadis al-Qullatain dan Hadis al-Isfar.

Melalui kajian terhadap contoh-contoh hadis dalam kitab Manhaj Dhawi al- Nazar dan kitab Zafar al-Amani, jelas membuktikan bahawa perbahasan ilmu hadis juga tercorak melalui disiplin mazhab fiqh. Ini kerana penulis kedua-dua kitab tersebut menghurai hadis-hadis menurut kecenderungan mazhab masing-masing.

Selain kajian mengenai perbezaan ilmu Hadis dalam mazhab Syafie dan mazhab Hanafi, Dr Khafidz Soroni juga banyak mengarang jurnal akademik, seminar, laporan penyelidikan, prosiding dan penulisan popular lain. Antaranya, pakar hadis ini giat menulis sebagai kolumnis majalah atau akhbar, bab-bab dalam buku, menyunting bahkan memiliki banyak karya berbentuk buku sendiri.

Antaranya adalah :-

– Mustalah al-Hadith al-Muyassar.
– Kaedah-kaedah Takhrij al-Hadith.
– Manahij al-Muhaddithin: Metod dan Pendekatan Sarjana Hadith
– Syeikh Muhammad Yasin Al-Fadani (1916 – 1990) Dan Ketokohannya Dalam Ilmu Riwayah Al-Hadith
– 40 Hadith Tentang Keberkatan. Kuala Lumpur
– Q & A Hadith : Pencerahan 41 Hadits Yang Masyhur Dalam Masyarakat
– 40 Hadith Tentang Kanak-kanak
– 200 Hadis Pembangunan Insan

Beliau juga menyelia latihan ilmiah serta kertas kerja dan mengajar dalam lapangan ilmu hadis seperti Mustalah al-Hadis, Dirasat al-Asanid, Mabadi’ al-Ta’amul Ma’ al-Sunnah, Ilm al-Rijal, Manahij al-Muhaddisin, Ilm al-Takhrij, Ilm Rijal al-Hadith, al-Hadith al-Mawdhu’i dan lain-lain. Beliau merupakan felo Pusat Kajian Hadis (INHAD) serta banyak menyampaikan ceramah-ceramah ilmiah.

Selain menjadi ahli Lajnah Tahqiq Hadith Kementerian Dalam Negeri, beliau juga merupakan salah seorang Ketua Lajnah Hadis ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI). Beliau sebelum ini giat menghurai tafsiran hadis-hadis akhir zaman agar tidak dipesongkan maknanya oleh golongan teori konspirasi di sawanih.blogspot.com atau https://www.facebook.com/sawanih/

Sumber : https://www.thepatriots.asia/dr-khafidz-soroni-pakar-hadis-yang-membandingkan-ilmu-hadis-mazhab-syafie-dan-mazhab-hanafi/?

Tiada ulasan: