CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Jumaat, 17 Januari 2020

MENJAWAB KEKELIRUAN TOP 10 SILAP FAKTA TENTANG SIRAH NABI S.A.W?

MENJAWAB KEKELIRUAN :TOP 10 SILAP FAKTA TENTANG SIRAH NABI S.A.W ?

Atas pertanyaan ramai tentang isu 10 kesilapan fakta berkaitan sirah Rasulullah SAW, saya dengan berat hati cuba menjawab mengenainya sekadar mampu atas kepercayaan timbulnya sedikit kekeliruan di kalangan mereka dan bukannya atas tujuan untuk melagakan. Terutama kerana ada di antaranya yang sudahpun masyhur diterima dalam pengajian sirah dan bacaan mawlid di Malaysia.

Justeru, saya berpendapat isu tersebut perlu dilihat secara saksama, halus dan teliti. Kebanyakan isu tersebut adalah bersifat ijtihadi sahaja dan masing-masing berhak untuk memilih pandangan yang dirasakannya terbaik. Memang diakui ada di antaranya merupakan kesilapan fakta disebabkan kepalsuan hadisnya, dan ada di antaranya yang tidak boleh disebut sebagai kesilapan fakta kerana perselisihan ulama mengenainya telah pun masyhur, dan pendapat yang kuat di antaranya pula hanya bersifat ijtihadi.

Sekalipun sesuatu dalil tidak kuat, namun dalam bab sirah, para ulama membenarkan periwayatan hadis daif mengenainya, malahan selama mana sesuatu hadis itu tidak jelas palsunya dan tidak ada pula riwayat lain yang menyanggah.

Dalam periwayatan, adakalanya kaedah “diterima oleh umat Islam dengan penuh penerimaan” (تلقي الأمة بالقبول) merupakan qarinah (bukti sokongan) kuat bahawa sesuatu riwayat itu bukanlah riwayat yang boleh dinilai sebagai palsu dengan begitu mudah. Apatah lagi banyak isu yang dibawa adalah berkaitan perkara-perkara yang berlaku di zaman sebelum kebangkitan Nabi SAW lagi, di mana belum muncul lagi perawi-perawi hadis, bahkan agama Islam itu sendiri pun belum zahir.

Nombor 10:

Benar, hadis Nabi SAW sebelum wafat mnyebut: “Ummati, ummati” adalah tidak sahih kerana tidak ada sebarang sumber riwayat asal yang memberitakannya.

Nombor 9:

Mengenai umur Siti Khadijah 40 tahun ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW, meskipun ia riwayat dhaif daripada al-Waqidi, namun ia tidak dikritik oleh para ulama terdahulu sebagai fakta yang silap. Di samping ada pendapat lain yang menyebut usia seperti: 45 tahun, 44 tahun, 35 tahun, 28 tahun dan 25 tahun.

Tidak mustahil juga kalau kemungkinan angka 40 itu merupakan angka bundar daripada angka 39 misalnya, kerana maksud perawi ialah bagi menceritakan bahawa Siti Khadijah RA lebih berumur daripada baginda Nabi SAW. Antara dalil sahih Siti Khadijah RA lebih berumur daripada baginda Nabi SAW ialah hadis ‘Aisyah RA yang menceritakan beliau pernah berasa cemburu kepadanya walaupun Siti Khadijah RA telah tiada, dengan katanya kepada baginda Nabi SAW: (ما تَذكر من عجوز من عجائز قريش حمراء الشدقين هلكت في الدهر، قد أبدلك الله خيرًا منها؟) “Apa sebab selalu engkau sebut wanita tua dari kalangan Qurasiy yang merah gusi tepinya itu (kerana tiada gigi), yang telahpun mati sejak dulu, sedangkan Allah telah menggantikanmu dengan yang lebih baik daripadanya?” (HR al-Bukhari dan Muslim).

Sifat-sifat Khadijah RA yang digambarkan oleh ‘Aisayaah RA ini jelas menunjukkan ciri usianya sebelum kewafatannya. رضي الله عنهما. Kerana itu Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah menyebut Khadijah RA hidup sehingga usia 65 tahun (40+15+10). Walaupun, kemudian beliau menyebut: “Dikatakan, usia 50 tahun dan ia adalah yang paling sahih” (25+15+10). Bagaimanapun, pendapat beliau ini belum dikira muktamad, kerana usia 50 atau kurang daripada itu semasa ‘Aisayaah RA melihatnya, pada saya tidak sesuai dengan konotasi kalimah (عجوز) sepertimana dalam hadis sahih tadi, kerana kalimah tersebut adalah lebih sesuai bagi mereka yang telah berusia lebih daripada 50 tahun ke atas.

Nombor 8:

Kisah Nabi SAW berjumpa Rahib Bahira di Sayaam telah diriwayatkan oleh at-Tirmizi dalam Sunannya, katanya: "Hasan gharib”, Ibn Abi Sayaaibah dalam al-Musannaf, Abu Nu'aim dalam Dala’il an-Nubuwwah, al-Baihaqi dalam Dala’il an-Nubuwwah (ia tidak palsu menurut sayaaratnya), al-Hakim dalam al-Mustadrak, katanya: "Sahih menurut syarat Sayaaikhain (al-Bukhari dan Muslim)”, dan lain-lain. Kata Imam al-Baihaqi: “Kisah ini masyhur di sisi ahli al-maghazi”. Kata Imam as-Suyuti dalam al-Khasa’is al-Kubra: "Ia mempunyai beberapa sayaawahid yang menunjukkan kesahihannya”.

Jika diperhatikan, kisah ini sudah pun masyhur di dalam sirah Nabi SAW dan tidak dianggap sebagai palsu oleh para ulama sejak sekian lama. Sehingga kurun ke-8 Hijrah, baru ia dikatakan sebagai sangat munkar sekali, hingga boleh jadi palsu, sebagaimana pendapat al-Hafiz az-Zahabi dalam Talkhis al-Mustadrak. Namun, pendapat beliau bukanlah muktamad dan masih terbuka kepada perbahasan. Kerana bukan mustahil jika asal riwayat tersebut adalah sabit.

al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Isabah mengatakan semua para perawinya thiqah, kecuali pada pernyataan nama Abu Bakr RA dan Bilal RA sebagai lafaz tambahan yang munkar kerana kedua2 mereka tidak ada semasa peristiwa itu. Maka, kalau yang dimaksudkan silap fakta ialah bahagian yang terakhir ini, maka ia amat dipersetujui.

Nombor 7:

Memang telah jelas disepakati ulama bahawa nama Rasulullah SAW bukanlah Muhammad sahaja. Dan saya tidak pasti kenapa ia disenaraikan dalam 10 kesilapan fakta berkaitan sirah Rasulullah SAW.

Nombor 6:

Walaupun semua riwayat tentang Nabi SAW lahir dalam keadaan sudah berkhatan dan putus tali pusat adalah daif. Namun, tidak mustahil jika secara majmuk ia mampu menyokong antara satu sama lain.

Secara rumusan, terdapat empat pandangan ulama yang berbeza dalam isu ini, iaitu;
i. Pandangan pertama: Nabi SAW telah dilahirkan berkhatan. Ini berdasarkan hadis-hadis mengenainya yang diriwayatkan oleh Anas RA, Ibn ‘Umar RA, Abu Hurairah RA, ‘Abbas RA dan Ibn ‘Abbas RA. Walaupun setiap satu jalan riwayat ini antara daif dan sangat daif, namun ia dapat menguatkan antara satu sama lain dan menunjukkan ia ada asalnya. ad-Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Mukhtarah menilai riwayat Anas RA sebagai sahih atau hasan. Pandangan ini dinukilkan daripada al-Qadhi 'Iyadh, Ibn Sayyid an-Nas, Imam as-Suyuti dalam al-Khasa’is al-Kubra dan juga daripada ramai ulama Sirah dan pengarang kitab Maulid. al-Hakim mengatakan ianya mutawatir. Namun, Imam al-Qastallani dalam al-Mawahib mengulas: "Kemungkinan yang dimaksudkan dengan mutawatir ialah kemasyhurannya dan banyaknya terdapat di dalam kitab-kitab Sirah, bukannya dari segi sanad yang telah menjadi istilah di sisi imam-imam hadis (kerana ia tidak menepati syarat-syarat hadis mutawatir).”
ii. Pandangan kedua: Nabi SAW dikhatankan oleh Jibril AS. Ini pendapat Ibn al-‘Adim. Namun, status riwayatnya munkar menurut az-Zahabi.
iii. Pandangan ketiga: Nabi SAW dikhatankan oleh datuknya, ‘Abdul Muttalib pada hari ketujuh. Ini pendapat Ibn al-Qayyim. Terdapat sebuah riwayat daripada Ibn ‘Abbas RA dengan sanad yang daif. Namun ia bercanggah dengan riwayat Ibn ’Abbas RA yang lain.
iv. Pandangan keempat: Bertawaqquf, iaitu menangguhkan keputusan mengenainya kerana tiada dalil yang sabit. Ini merupakan pandangan Imam Ahmad.

Jelasnya, tiada satu pun hadis yang bersanad sahih mengenainya. Maka, dalam isu kecil ini, tidak perlu untuk kita mengaibkan mana-mana pandangan ulama yang berbeza. Pernyataan al-Hakim (w. 405H) mengisyaratkan kepada kita bahawa beliau belum pernah melihat hal ini disanggah atau dibangkang oleh mana-mana ulama di zamannya mahupun di zaman sebelumnya. Tidak semestinya jika hal tersebut terjadi, maka ia dianggap sebagai suatu kecacatan dan keaiban, sebagaimana yang difaham oleh sesetengah ulama. Para ulama bersepakat bahawa jasmani Nabi SAW memiliki segala sifat-sifat kesempurnaan. Dan secara logik, umat Islam berkhatan supaya berubah dari keadaan tidak sempurna kepada keadaan sempurna, dan bukannya mencacatkan diri!

Nombor 5:

Setuju bahawa tidak ada riwayat sahih yang Nabi SAW lahir terus bersujud. al-Suyuti dalam al-Khasa’is al-Kubra menukilkan riwayat Abu Nu‘aim daripada Ibn ‘Abbas RA, antaranya Aminah menceritakan:
فلما خرج من بطني نظرت إليه فإذا أنا به ساجدا قد رفع إصبعيه كالمتضرع المبتهل.
“Maka tatkala dia keluar daripada perutku, aku pun melihatnya, lalu aku dapati dia sedang bersujud seraya mengangkat dua jarinya seperti orang yang memohon doa”. Pada sanadnya terdapat Yahya al-Babalati dan Abu Bakr bin Abi Maryam yang kedua-duanya daif.

Riwayat ini berbeza dengan gambaran dalam riwayat-riwayat lain yang lebih masyhur tanpa ada disebutkan ‘bersujud’. al-Zahabi dalam Tarikh al-Islam menukilkan daripada Ibn Ishaq hadis Halimah al-Sa‘diyyah RA yang pernah bertemu dengan Aminah, antara ceritanya:
ثم وضعته فما وقع كما يقع الصبيان وقع واضعا يديه بالأرض رافعا رأسه إلى السماء.
“Kemudian akupun melahirkannya, namun dia tidak keluar sebagaimana keluarnya bayi-bayi yang lain. Dia keluar dengan meletakkan kedua-dua tangannya di lantai, sambil mengangkat kepalanya ke langit”. Kata al-Zahabi: “Hadis ini baik sanadnya”, meskipun perawinya Jahm disebut oleh beliau sendiri dalam al-Mizan: “Tidak diketahui, beliau meriwayatkan kisah Halimah al-Sa‘diyyah”. Manakala Ibn Hibban merekodkannya di dalam kitab al-Thiqat. Kata Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah: “Hadis ini telah diriwayatkan daripada beberapa jalan riwayat lain dan ia termasuk hadis-hadis masyhur yang beredar di kalangan ahli as-siyar wa al-maghazi”.

Ibn Kathir juga menukilkan daripada al-Waqidi hadis Ibn ‘Abbas RA dengan makna yang serupa tanpa sbarang komentar. Antara riwayat penguat yang lain, riwayat ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf dengan sanad yang sahih daripada az-Zuhri secara mursal, katanya: “Sesungguhnya ibu baginda SAW pernah berkata: Sungguh telah aku lahirkannya ketika aku melahirkannya, lalu dia keluar meniarap dengan meletakkan kedua-dua tangannya, seraya mengangkat kepalanya ke langit”.

[*Kedudukan al-Waqidi secara ringkas seperti yang dirumuskan oleh az-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’ ialah: “Telah pun jelas nyata bahawa al-Waqidi adalah daif. Beliau hanya diperlukan dalam bab peperangan dan sejarah. Dan kami hanya mncatatkan riwayat-riwayatnya tanpa berhujah dengannya. Adapun dalam bab fara’idh (ahkam), maka tidak sewajarnya beliau disebut…” “Kedudukannya di sisiku, bahawa beliau di samping daifnya, masih boleh ditulis hadisnya dan diriwayatkan kerana aku tidak menuduhnya memalsukan hadis…”]

Nombor 3 & 4:

Ya, hadis tentang api biara Majusi terpadam dan istana Kisra Parsi bergegar itu daif dan tidak ada riwayat yang bersanad sahih. Namun, tiada pula ulama terdahulu yang menilainya sebagai palsu.

Kata al-Zahabi dalam Tarikh al-Islam: “Hadis ini munkar gharib.” Menurut al-Suyuti dalam al-Khasa’is al-Kubra, Ibn ‘Asakir (dalam Tarikh Dimasayaq) berkata: “Hadis gharib, tidak kami tahu kecuali daripada hadis Makhzum daripada bapanya. Ia hanya diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Bajali”. Namun di tempat lain, Ibn ‘Asakir menyatakan ia turut diriwayatkan oleh Ma‘ruf bin Kharbuz daripada Bisayar bin Tayyim al-Makki (sebagai penyokong kepada riwayat Makhzum). Kata al-Suyuti lagi: “Daripada jalur riwayat ini turut dikeluarkan oleh ‘Abdan dalam Kitab al-Sahabah dan kata Ibn Hajar dalam al-Isabah: Ianya mursal”.

Ulama moden yang menilainya palsu, tidak semestinya memansukhkan pandangan para huffaz muhaddithin terdahulu yang lebih ahli seperti Ibn Jarir, Abu Nu‘ayim, al-Baihaqi, Ibn ‘Asakir, al-Zahabi, Ibn Kathir, Ibn Hajar, al-Suyuti, dll yang tidakpun menilai kisah berkenaan sebagai palsu dan rekaan.

Justeru, masih tidak jelas kepalsuannya serta tiada riwayat lain yang jelas menunjukkan sebaliknya ia langsung tidak berlaku. Pendapat yang menyatakan bahawa kisah tersebut tidak didengari dari sejarah Parsi sendiri bukanlah bermakna ia langsung tidak berlaku. Berapa banyak peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah manusia, namun atas perbagai sebab tertentu ia hanya diceritakan secara lisan saja dan tidak dicatatkan dalam lipatan sejarah kecuali setelah berlalu beberapa waktu. Boleh jadi juga ia ada direkodkan, namun kerana baginda Nabi SAW telah mendoakan kehancuran dan keruntuhan buat empayar Kisra Parsi (rujuk riwayat al-Bukhari: أَنْ يُمَزَّقُوا كُلَّ مُمَزَّقٍ), maka rekodnya juga mungkin turut hilang ditelan zaman.

Nombor 2:

Riwayat mengenai Siti Aminah diberitahu anak dalam kandungannya yang akan lahir adalah bakal penghulu & Nabi umat ini, diriwayatkan oleh Ibn Saad melalui jalan al-Waqidi daripada makcik Wahb bin Zum‘ah secara mursal dengan lafaz: (بسيد هذه الأمة ونبيها); dan oleh Abu Nu‘aim daripada Buraidah RA dan Ibn ‘Abbas RA dengan lafaz: (بخير البرية وسيد العالمين). Demikian dalam al-Khasa’is al-Kubra oleh al-Suyuti.

Meskipun sanad-sanadnya dikritik, namun ia tidaklah bertentangan dengan hadis yang meriwayatkan bahawa keluar cahaya daripada tubuh Siti Aminah sehingga menerangi Syam. Ini jelas mmbuktikan, beliau mengetahui bahawa bayi yang dilahirkannya itu bukanlah sama sepertimana bayi-bayi biasa yang lain.

Daripada al-‘Irbadh bin Sariyah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya aku di sisi Allah (telah tertulis sebagai) penutup para Nabi, sedang Adam masih lagi terhampar dalam tanahnya. Dan akan kukhabarkan kalian mengenainya (yakni kenabianku) iaitu; doa bapaku Ibrahim, khabar gembira ‘Isa, dan mimpi ibuku yang telah dilihatnya dan demikian juga ibu-ibu para Nabi melihatnya. Sesungguhnya ibu Rasulullah SAW telah melihat ketika melahirkannya satu cahaya sehingga ia menerangi istana-istana Syam”. (HR Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim dll dengan status sahih berdasarkan syaawahidnya). Dalam riwayat Ahmad: “Dan ibuku telah melihat ketika mengandungkanku bahawa telah keluar daripada tubuhnya satu cahaya sehingga ia menerangi istana-istana Syam”.

Nombor 1:

Riwayat Ibnu Ishaq bahawa Nabi Muhammad SAW lahir pada 12 Rabiulawwal merupakan riwayat yang masyhur dan diterima oleh ramai ulama. Menurut Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah; Ibn Abi Syaaibah dalam al-Musannaf meriwayatkan daripada Jabir RA dan Ibn ‘Abbas RA kata mereka: “Rasulullah SAW dilahirkan pada tahun gajah, hari Isnin 12 Rabiulawwal, pada hari Isnin juga baginda dibangkitkan, diangkat ke langit, berhijrah dan meninggal dunia”. Inilah yang masyhur di sisi jumhur ulama, والله أعلم (2/242). Ibrahim al-‘Ali dalam kitab Sahih al-Sirah al-Nabawiyyah menyatakan sanadnya sahih (hlm. 48).

Manakala pendapat lain menyebut 10, 9, 8, 3 dan 2 Rabiulawwal. Meskipun ada yang menyatakan pendapat yang paling sahih ialah Nabi SAW lahir sama ada 9 atau 10 Rabiulawwal. Namun, ini tidak menunjukkan bahawa riwayat 12 Rabiulawwal itu sebagai satu kesilapan fakta kerana ia masih di dalam lingkungan perselisihan pendapat yang masyhur di kalangan ulama dan pengiraan falak mengenainya juga masih dikira bersifat ijtihadi.

Perlu juga diketahui, ketepatan tarikh tersebut bukanlah menjadi tujuan utama sambutan Maulidur Rasul SAW. Tetapi yang menjadi objektif dan tujuan utama yang lebih besar daripada itu ialah sebagai medium dakwah untuk menyemarak dan menyuburkan kembali rasa cinta umat Islam kepada baginda Nabi SAW, di samping peluang dakwah untuk masyarakat non muslim lebih mengenali dan mendekati ajaran agung baginda Nabi SAW.

Moga pencerahan ini dapat menjawab sedikit kekeliruan yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Kerana antara kesilapan fakta dan perselisihan ulama adalah dua perkara yang jauh berbeza. Wallahu a‘lam.

-------------------------------------------------------------
Dr. Mohd Khafidz bin Soroni
Ketua Lujnah Hadis
Majlis Akademik ISLAMI

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1384886461678656&id=558058371028140