Jawapan :
Dalam satu bulan (Qamariyah) sebanyak 29 hingga 30 hari. Apabila dikelompokkan maka ia akan menjadi tiga iaitu 10 hari pertama, 10 hari kedua dan 10 hari ketiga iaitu terakhir.
Nabi SallaLlahu 'alaihi wasallam telah menyebutkan ketiga-tiga fasa tersebut kerana memang dalam satu bulan bila dikelompokkan kepada 10 hari. 10 hari pertama, 10 hari kedua dan 10 hari terakhir. Nabi SallaLlahu 'alaihi wasallam menganjurkan pada fasa yang ketiga iaitu 10 hari terakhir agar lebih meningkatkan ibadah pada malam harinya. Kerana di antara malam-malam ganjil akan turun malam yang lebih baik dari 1000 bulan yang dikenali sebagai Lailatul Qadar.
Pada fasa yang ketiga iaitu 10 hari terakhir Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam memperbanyakkan ibadah sunnah dan i'tikaf, juga membangunkan ahli keluarganya.
Aishah RadiyaLlahu 'anha berkata : Bahawa sesungguhnya RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam apabila telah masuk (fasa ketiga Bulan Ramadhan) sepuluh hari terakhir beliau bangun dan solat sepanjang malam dan membangunkan keluarganya serta tidak mencampuri isterinya (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim) . Nailul Authar IV/270 dan Mukhtasor Sahih Bukhari hal 383.
Dan dalam riwayat Ahmad dan Muslim dari Aisyah RadiyaLlahu 'anha : "Adalah Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersemangat memperbanyakkan ibadah pada sepuluh hari terakhir berbeza dengan sebelumnya. (Nailul Author Juz IV/270)
Hadith tersebut sudah jelas, bahawa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam menyebutkan fasa-fasa tersebut. Kalau hadith tersebut menyebutkan ada fasa terakhir iaitu fasa ketiga, bererti ada fasa pertama dan fasa kedua. Hadith berikut ini juga menegaskan adanya tiga fasa tersebut dan justeru itu 10 hari (fasa) pertama disebut rahmat, fasa kedua iaitu 10 hari kedua Maghfirah dan fasa ketiga iaitu 10 hari terakhir disebut itqun minannaar (pembebasan dari neraka).
Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam memberikan khutbah kepada kami pada akhir hari bulan Sya'ban, baginda bersabda : "Wahai manusia, telah hampir datang bulan suci Ramadhan yang penuh berkah, bulan yang didalamnya terdapat malam yang lebih baik dari ibadah seribu bulan. Bulan yang dijadikan oleh Allah, puasa pada siang harinya suatu kewajipan dan solat pada malamnya (selain solat fardhu) sebagai solat sunnah. Barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan amal kebaikan, pahalanya laksana orang yang melakukan kewajipan pada selain bulan Ramadhan. Barangsiapa yang melakukan kewajipan di bulan tersebut, pahalanya laksana pahala orang yang melaksanakan tujuh puluh kewajipan di lain bulan suci Ramadhan. Ia adalah bulan sabar, bagi orang yang bersabar tidak lain balasannya syurga, dan merupakan bulan toleransi, dan bulan ditambahkannya rezeki bagi orang Mukmin, orang yang memberi buka puasa bagi orang yang berpuasa maka diampuni dosanya dan dibebaskan dari neraka dan baginya pahala seperti pahala orang yang diberinya berbuka puasa tanpa dikurangi sedikitpun pahalanya.
Mereka bertanya : "Wahai RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam, tidaklah semua kami ini mampu memberikan makanan untuk berbuka puasa bagi orang lain ? Maka RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda : "Allah akan memberikan pahala tersebut bagi orang yang memberikan makanan bagi orang yang berpuasa sekalipun hanya dengan satu biji kurma atau seteguk minuman air putih atau sepotong susu kering. Dan adalah Bulan Ramadhan awwalnya (10 hari pertama) rahmat, pertengahannya (10 hari kedua) keampunan dan akhirnya (10 hari terakhir) pembebasan dari neraka.
Barangsiapa meringankan hamba sahayanya pada bulan itu Allah mengampuni dosanya dan dibebaskan dari neraka. Maka perbanyakkanlah di Bulan Ramadhan 4 hal. Dua hal kamu mendapat redha Tuhanmu dan dua hal kamu tidak akan merasa puas dengannya. Adapun dua hal yang membuatkan kamu diredhai Allah adalah : Mengucapkan dan bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah, dan kamu mohon keampunan kepada-Nya. Adapun dua hal yang kamu tidak akan merasa puas dengannya adalah : Kamu minta syurga kepada-Nya dan minta perlindungan dari api neraka.
Dan barangsiapa yang memberi minum orang yang berbuka puasa, maka Allah akan memberinya minum dari telagaku, sekali minum sahaja tidak akan haus selamanya sehingga masuk ke syurga ". Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya, kemudian berkata hadith ini sahih. dan diriwayatkan dari jalan al Baihaqi, dan diriwayatkan Abu Asy Syaikh Ibnu Hibban dalam at Tsawwab dengan ringkas (at Targhib wa at Tarhib II/94) dan Al Feqh Al Islamiy Wa Adillatuh (2/572)
Sumber Rujukan : Drs. KH. M. Sufyan Raji Abdullah LC. Menyikapi Masalah-masalah yang dianggap Bid'ah, Cet Pertama 2010, Pustaka Al Riyadl, Jakarta
Tiada ulasan:
Catat Ulasan