FUN FAIR BOLEH MENYUMBANG KEPADA JUDI
(Bilangan 107 Bahagian Akhir)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
(Bilangan 107 Bahagian Akhir)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
PERMAINAN-PERMAINAN DALAM FUN FAIR
Fun fair berasal daripada perkataan Inggeris dan menurut Kamus Dewan funfair adalah pesta ria.
Sebagaimana biasanya funfair dibuat di suatu lokasi atau tempat untuk bersuka ria. Selain daripada menyediakan gerai jualan barang-barang, ada juga disediakan pelbagai jenis hiburan dan permainan yang menawarkan hadiah-hadiah istimewa seperti rantai emas, jam dan sebagainya. Ia disediakan mengikut syarat-syarat yang telah diaturkan.
Kebiasaannya, di antara permainan-permainan yang disediakan termasuklah membaling gelang besi ke sasarannya. Untuk menyertai permainan ini, pelanggan terlebih dahulu dikehendaki membeli gelang besi tersebut. Cara permainannya, gelang akan dibaling ke sasarannya, jika masuk pada sasarannya, maka si penjual akan memberikan hadiah. Antara hadiah-hadiah yang disediakan ialah berupa anak patung atau lain-lain. Manakala pelanggan yang tiada satupun daripada gelang besi yang dibeli itu menepati sasarannya maka tiadalah hadiah yang diberikan.
Antara jenis permainan yang diadakan lagi ialah seperti memancing kepingan papan di atas air. Kepingan papan berkenaan diukir menjadi berbagai bentuk. Di belakang kepingan papan tersebut tertulis jumlah markah seperti 100, 200 atau kosong. Sebelum itu pelanggan diberitahu agar memancing ukiran papan itu sebanyak mungkin untuk mengumpul jumlah markah daripada ukiran papan tersebut. Biasanya pelanggan akan dikenakan bayaran bagi setiap ukiran papan yang dipancingnya. Sesudah pelanggan memancing ukiran papan tersebut dan membayar setiap satu ukiran yang diperolehi baharulah penjual itu menjumlahkan markah yang diperolehi pelanggan, kemudian memberi hadiah yang ditentukan mengikut kadar jumlah markah tersebut. Jika markah pelanggan itu tinggi, maka mahal dan istimewalah hadiah yang diberikan.Tetapi jika tidak mencapai pada markah yang sudah ditentukan itu maka tiadalah hadiah yang diberikan kepadanya. Cara permainan ini adalah sama dengan permainan di zaman Jahiliyyah iaitu at-tazji‘ah.
Ada juga permainan dengan cara memasukkan duit syiling di dalam bekas yang dipenuhi dengan duit syiling yang lain. Apabila duit yang dimasukkan itu terkena pada sesuatu tempat yang menyebabkan terjatuhnya sebilangan kumpulan duit, maka berjayalah pelanggan itu untuk mendapatkan duit syiling yang banyak dari bekas tersebut.
Begitulah di antara jenis dan corak permainan yang terdapat di dalam funfair tersebut mengikut syarat-syarat yang ditentukan. Walau bagaimanapun tidak dinafikan permainan-permainan yang lebih menarik dan canggih telah direka tanpa menyusahkan si pemain, hanya dengan membeli kupon akan diketahui sama ada dia menjadi pemenang atau sebaliknya setelah diadakah undian. Permainan seperti ini dinamakan al-yanasib (judi loteri). Walaupun tidak menimbulkan permusuhan dan tidak menghalang pelakunya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala, akan tetapi perlaksanaan undian loteri itu mempunyai akibat-akibat buruk seperti juga pada jenis judi yang lain. Akibat-akibat buruk yang dimaksudkan ialah kenyataannya ia merupakan salah satu cara untuk mendapatkan harta orang lain secara tidak sah. Cara-cara seperti ini diharamkan oleh syara‘. (Ensiklopedia Hukum Islam: 3/1055)
Berdasarkan kepada contoh-contoh permainan yang disebutkan di atas, adalah jelas ia merupakan permainan-permainan yang mempunyai unsur pertaruhan dan mengadu nasib.
Jika dibandingkan dengan pengertian judi dan unsur-unsur yang ada pada judi sepertimana yang disebutkan sebelum ini, maka permainan-permainan seperti di atas adalah termasuk dalam kategori judi kerana ia mempunyai unsur-unsur yang sama.
Dari itu, hendaklah diingat bahawa mana-mana permainan yang mempunyai unsur pertaruhan, mengadu nasib atau salah satu pihak akan kerugian adalah judi.
(Bazlul Majhud: 16/402)
Walau bagaimanapun tidak semua yang berbentuk permainan atau perlumbaan itu termasuk dalam kategori judi, seperti seseorang yang berkata kepada teman-temannya yang diajak bertanding dalam suatu perlumbaan: “Jika kamu boleh mengalahkan saya, saya akan memberimu hadiah. Sebaliknya jika kamu kalah tidak ada kewajipan apa pun atas kamu untuk saya”. Kriteria seumpama ini telah disebut dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abdullah Bin Haris bahawa Rukanah, salah seorang kafir Quraisy, pernah mengajak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk mengikuti permainan beradu tenaga seperti gusti. Dia menawarkan beberapa ekor kambing jika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menang. Dalam perlawanan itu, ternyata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menang.
Sayugia diingatkan bahawa permainan-permainan seumpama itu, sebenarnya sangat melalaikan bahkan tanpa disedari membawa kepada pembaziran wang.
Maka, jelas bahawa yang haram itu wajib dijauhi dalam segala hal dan keadaan, wajib memelihara diri daripadanya dengan apa jua sekalipun. Maka dalam keghairahan mencari harta dengan jalan berniaga atau lain-lain sumber pencarian, adalah wajib kita berhati-hati daripada terjebak kepada perkara-perkara yang tidak sah dalam jual beli, apa lagi jika ia membawa kepada yang haram.
Sumber : Mufti Brunei
Tiada ulasan:
Catat Ulasan