الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن نصرهووالاه
Ad-dhalal dan Al-ghadhab ; Penyakit bawaan syaitan laknatullah
Setiap hati sentiasa dihinggapi penyakit. Dalam diam penyakit-penyakit ini menghapuskan segala rasa takjub dengan kekuasaan ALLAH SWT Yang Maha Mulia. Penyakit-penyakit ini jualah yang menyebabkan hamba hilang pertimbangan dalam segala usahanya. Tanpa berasa mahu menyerahkan segala urusan selepas usaha kepada ALLAH SWT sebagai Maha Pencipta Segala Daya.
Penyakit kalbu yang dinyatakan adalah sangat berbahaya kepada jiwa. Penyakit yang pertama dinamai ia dengan ad-dhalal (kesesatan) dan al-ghadhab (keangkara-murkaan).
Penyakit ad-dhalal timbul disebabkan kurangnya keilmuan, manakala timbulnya penyakit al-ghadhab adalah kerana tidak menjumpai tujuan hidup.
Inilah dua penyakit induk kepada hati yang tidak dibajai dengan hidayah Shiraathal Mustaqim yakni Al-Quran. Pohonlah hidayah kepada ALLAH SWT Yang Maha Mulia dalam menjauhi penyakit kesesatan. Sesat dalam ibadah, malah paling parah ialah sesat dalam akidah kepada ALLAH SWT.
Sesungguhnya hidayah yang dipohon sering hadir ke dalam hati-hati kita setiap detik dan ketika. Lihat sahaja kepada laungan azan yang didengari saban lima kali sehari. Itulah antara hidayah yang dicampakkan ke dalam hati manusia. Namun amat sedikit yang menyambutnya, untuk menunduk sujud kepada Keesaan serta Kemuliaan ALLAH SWT.
Begitu juga dengan hidayah yang dicampakkan oleh ALLAH SWT, ketika kita melihat penyakit tidak berubat seperti usia di kalangan warga tua. Ketika itulah fikiran perlu dialih agar memikirkan bahawa kita juga akan melalui penyakit tua tersebut. Lalu bagi yang menyambut hidayah daripada ALLAH SWT, maka lorongkan diri agar menyambut hidayah dengan segala persediaan sebelum usia mencapai tua.
Bagi tujuan mengubati penyakit rosak tujuan atau mendapat kemurkaan adalah dengan merenungi pengertian kepada Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’iin. Melalui perenungan kepada maksud tujuan hidup bahawa hanya ALLAH SWT adalah tujuan kepada segala amalan di dunia pinjaman. Pemikiran kepada titik noktah hidup adalah antara syurga atau neraka serta azab ALLAH SWT kepada pemuka dosa, maka seharusnya hati yang hidup rasa bertuhan pasti tahu jalan yang harus dipilihnya.
Tuan-tuan yang dimuliakan oleh ALLAH SWT.
Musuh yang nyata dalam kehidupan insan. Itulah syaitan dan iblis laknatullah. “merekalah” digelar mal’un (yang dilaknat). Dadah, arak, merosak gadis-gadis atau katakan sahaja segala hal dosa, puncanya ialah daripada kedua makhluk ALLAH SWT tersebut.
Bagaikan seorang yang akan ditentang di gelanggang iman, sudah pasti dia akan melakukan segala persediaan bagi menghadapi si penentang. Diteliti dan dikaji segala segi bakal lawanya. Begitulah apabila berdepan dengan syaitan dan iblis laknatullah. Namun di alam realiti, walaupun umum mengetahui bahawa syaitan dan iblis laknatullah itu adalah musuh abadi kepada manusia. Namun, perihal musuh ini tidak diambil peduli.
Kelemahan tanpa kekuatan musuh-musuh ini tidak dikaji dalam mempertingkatkan persediaan iman. Malah, manusia yang mengakui punya akal serta IQ tertinggi masih tewas dalam perjuangan melawan dorongan nafsu yang diperkuatkan oleh syaian dan iblis laknatullah.
Tujuh cara tipuan syaitan
Dalam mencapai kecintaan tidak berbelah bahagi kepada ALLAH SWT, adalah menjadi kewajiban kepada setiap jiwa yang mengaku Muslim dan beriman kepada ALLAH SWT dan Rasulnya untuk memperdalamkan ilmu dengan segala daya tenaga.
Di dalam perjalanan untuk mencari ilmu yang asrar yakni tinggi tahap fahamnya serta pelbagai kemuliaan yang khatir, maka bersedialah dalam mengorbankan tenaga serta memerah usaha kepada guru-guru yang mursyid dalam memahami tingkatan tipuan syaitan.
Pelbagai daya syaitan dan iblis dalam meminggirkan usaha mukmin daripada ibadah kepada ALLAH SWT;
1. Syaitan dengan berterusan melarang manusia daripada taat kepada ALLAH.
Sedangkan kepada orang-orang yang sentiasa patuh kepada ALLAH SWT pasti menolak ajakan syaitan dengan berkata “aku mengharapkan pahala daripada ALLAH SWT. Untuk itu, hanya bekalan di dunia ini mampu membawaku kepada akhirat yang kekal”.
2. Dalam ibadat juga syaitan akan memujuk manusia meninggalkan taat kepada ALLAH SWT. Kata syaitan laknatullah ; “lakukan ibadatmu di waktu tua, masa masih muda”.
Bagi hamba ALLAH SWT yang terpelihara pasti menyatakan “Kematianku bukan terletak ditanganmu wahai syaitan dan iblis laknatullah. Sekiranya aku menundakan beramal pada hari ini untuk hari esokku, dapatkah aku beramal pada masa yang akan datang? Sedangkan mati itu sahaja tidak tahu bila bakal menjemputku. Apakah yang akan ku jawab didepan Tuhanku?”
3. Sifat tergesa-gesa adalah sifat syaitan.
Maka syaitan akan mengesa manusia mempercepatkan amalan. Contohnya solat tanpa tomakninah, bagaikan ayam yang mematum-matuk makanan. Syaitan laknatullah akan mengatakan ; “cepatlah engkau beramal, perihal dunia yang lebih penting menantimu”
Manakala, bagi orang-orang yang selamat amalnya, pasti berkata ; “Amal yang baik tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna”
4. Kemudian, syaitan laknatullah akan meneruskan usahanya dengan tahapan lebih tinggi dengan menyuruh orang-orang yang soleh dan mukhlish beramal agar melaksanakan amal ibadat dengan sempurna agar tidak dicela orang lain.
Kepada orang-orang yang ikhlas amalnya pasti berkata ; “Cukuplah hanya ALLAH SWT sebagai penilai kepada segala amalanku, bukan kerana manusia aku ini beramal”
5. Tusukan hasutan syaitan diteruskan dengan membisikan pujian kepada orang yang beramal ; “hebat dan tersusun ibadatmu hingga engkaun kelihatan mempunyain darjat yang tertinggi berbanding orang lain”
Apabila mendengar lintasan itu, orang-orang soleh yang celik kehambaannya kepada ALLAH SWT akan berkata segala keaggungan dan pujian itu adalah dikembalikan kepada pemiliknya iaitu ALLAH SWT Yang Maha Jamil lagi Kamil. Bukanlah kekuatan itu miliku. ALLAH SWT adalah pemberi redha NYA hingga aku beramal sebagaimana diredhai NYA. Tanpa kurnia NYA Yang Esa, apalah yang dapatku harapkan daripada amalku yang tidak setanding dengan banyaknya dosaku.
6. Apabila mengetahui kegagalan usaha syaitan laknatullah, diteruskannya pula menghasut sesat manusia dengan cara yang lebih hebat. Caranya dengan membisikkan kepada manusia ; “bersungguh-sungguhlah engkau beramal dengan sirr, jangan sampai diketahui amalmu itu oleh orang. Sesungguhnya hanya ALLAH akan mengkhabarkan kebaikan serta keikhlasanmu kepada orang lain”
Melihatkannya, menampakkan kebaikkan yang dilakukan pasti mendapat tempat di sisi ALLAH SWT Yang Maha Mulia. Namun, kepada Ahlul Haq pasti menyedari itu adalah usaha syaitan laknatullah meletakkan penyakit riya di hati.
Berkatalah Ahlul Haq dengan kebesaran ALLAH SWT ;
“hai syaitan laknatullah, tiada guna segala usahamu menyesatkan ku. Engkau berpura-pura memperbaiki amalanku, sedangkan engkau menginginkan kerosakkan amalku. Aku adalah hamba ALLAH SWT, aku tertakluk kepada kekuasaan NYA. Jika DIA berkehendak, ALLAH akan melahirkan atau menyembunyikan amalanku. DIA lah yang akan menentukan duduk letak mulia atau hina amalanku. Tiadalah kekhuatiran kepadaku andai amalanku dinampakkan atau tidak di kalangan manusia, kerana itu bukan urusan makhluk setarafku”
7. Seterusnya, syaitan laknatullah dengan segala usaha akan mengoda manusia dengan membisikkan ; “hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadah. Sekiranya ALLAH telah menetapkanmu sebagai orang yang berbahagia pada hari ‘azali kelak, maka meninggalkan ibadah tidak akan memudaratkan dirimu. Dan jika ALLAH menetapkan dirimu sebagai orang yang celaka, tiada gunanya engkau beribadah, kerana engkau akan tetap celaka ”
Ketika inilah lahirnya golongan jabariah, qadariyyah (perbuatan mereka bukan daripada ALLAH, tetapi terhasil daripada diri sendiri), bahkan mujjassimmah dengan meletakkan ketentuan berdasarkan akal. Pada rupa luarnya seakan berlainan, namun jauh tersimpang dari manhaj Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Berhati-hatilah kalian dalam menghadapi tipu daya syaitan laknatullah.
Bagi orang-orang yang dipelihara oleh ALLAH akan hatinya pasti segera menolak ajakan itu dengan berkata ;
“Aku hanyalah hamba ALLAH. Wajib bagi diriku mengikuti segala perintah NYA. ALLAH Maha Mengetahui. Menetapkan dengan kehendakNYA, dan berbuat apa sahaja mengikut kehendakNYA.”
“Walau bagaimana keadaanku, amalanku tetap bermanfaat. Jika ditetapkan untuk aku menjadi orang yang berbahagia, akan ku tetap beribadah sebagai jalan mendapat pahala. Dan sekiranya ditetapkan untukku sebagai orang yang celaka, aku pasti tetap beribadah, agar tidak menjadi penyesalan buatku”
Tambah orang bertaqwa lagi ;
“Sekiranya aku masuk neraka, pada ketika aku adalah orang yang taat, itu lebih ku sukai daripada aku masuk neraka kerana aku berbuat maksiat.”
“Tetapi tidak begitu kenyataannya, kerana janji ALLAH itu janjiNYA pasti terbukti, segala firmanNYA adalah benar. ALLAH SWT telah menjanjikan pahala kepada sesiapa yang taat kepadaNYA”
“Barangsiapa yang mati dalam keadaan beriman dan taat kepada ALLAH tidak akan dimasukkan ke dalam neraka, melainkan syurga tempatnya.”
Justeru, wahai syaitan laknatullah, ketahuilah segala pujukanmu adalah gagal keatasku. Itulah tanda kasih ALLAH SWT. Bahawa DIA Yang Maha Mulia tidak sesekali mempersiakan hambaNYA yang ikhlas beribadah kerana NYA semata-mata. Masuknya hamba ke dalam syurga, bukanlah kerana amalanya, walau dikumpul tidak mampu menandingi nikmat serta rahmat ALLAH SWT ke atas hambaNYA. Tetapi, masuknya hamba ALLAH ke dalam syurga adalah kerana janji ALLAH Yang Maha Suci.
Begitulah sedikit sebanyak jalan-jalan yang dilalui oleh hamba-hamba yang menuju kepada redha ALLAH ke atas diri-diri mereka. Bahawa musuh yang tidak nampak (syaitan iblis laknatullah) itu adalah lebih payah untuk dikalahkan tanpa ilmu sebagai bekalan. Sedangkan yang kelihatan berilmu dan gah dengan jawatan turut terkubur dengan keasyikan dunia dengan segala kemewahan.
Ayuh! Usah bertangguh menuju jalan yang diredhai. Sudahi hidupmu sebagai safiyullah!
Wallahu’alam
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وبارك وسلم أجمعين،والحمد لله رب العالمين
Al-Haqir ila ALLAH AL-GHANIY:
Almukminun
http://almukminun.blogspot.com/
06 Zulkaedah 1429H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan