Soalan:
Menurut apa yang dikatakan: "Susuk itu ialah logam emas, perak atau besi yang amat kecil, dimasukkan ke tubuh seseorang yang kononnya untuk menjadikan dia 'kebal' atau 'cantik' supaya ramai orang yang jatuh hati kepadanya. Apakah hukum amalan yang demikian?
Jawapan:
Hukum bersusuk adalah haram dan tidak sayugia diamalkan oleh orang-orang Islam kerana:
1. Cara 'bersusuk' itu pada ghalibnya menggunakan amalan sihir. Sebagaimana yang diketahui bahawa beramal dengan amalan sihir itu adalah terlarang.
Para ulama Mazhab juga telah menyatakan pendapat masing-masing dalam hal sihir itu.
Menurut qaul yang aujah dari Mazhab Syafie, jika seorang itu percaya bahawa perbuatan sihir itu harus, maka hukumnya dia menjadi kafir, tetapi jika ia belajar ilmu sihir itu untuk tidak terjerumus ke dalam sihir, hukumnya harus iaitu tidak berdosa.
Menurut Mazhab Hambali, beramal dengan ilmu sihir itu hukumnya 'kafir' sama ada orang itu beriktikad bahawa perbuatan tersebut harus atau tidak.
2. Tujuan orang-orang bersusuk itu biasanya adalah untuk menjadi kebal atau supaya kelihatan cantik dan menarik.
3. Mereka yang memakai susuk itu biasanya yakin bahawa 'susuknya' akan dapat memberi sebesar-besar pertolongan kepadanya. Perbuatan yang demikian sudah termasuk dalam ertikata atau boleh membawa kepada syirik pula.
Negara asal : Singapore
Badan yang mengisu fatwa : Majlis Ugama Islam Singapura
Tiada ulasan:
Catat Ulasan