CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 29 April 2009

Solat Sunat Tasbih Bab 2

SEMBAHYANG SUNAT TASBIH
KERJAKANLAH ! WALAUPUN SEKALI SEUMUR HIDUP

(BILANGAN 217 BAHAGIAN KEDUA)



(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bagi kemudahan para pembaca didetilkan kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu:

1. Lafaz niat sembahyang sunat Tasbih jika dua rakaat satu salam ialah:



Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih dua rakaat kerana Allah ta‘ala.”

Atau jika dilakukan empat rakaat:



Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih empat rakaat kerana Allah ta‘ala.”

2. Membaca doa Iftitah.

- (Peringatan: Mengikut kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang kedua, bacaan tasbih yang pertama sebanyak 15 kali bermula selepas takbiratul ihram dan membaca doa iftitah iaitu sebelum membaca surah al-Fatihah.)

3. Membaca Ta‘awwudz

4. Membaca surah al-Fatihah.

5. Membaca surah al-Hadid atau surah at-Takatsur pada rakaat pertama (boleh juga membaca surah-surah yang lain).

Begitu juga pada rakaat kedua afdhal membaca surah al-Hasyr atau surah al-‘Asr, pada rakaat ketiga surah as-Shaff atau surah al-Kafirun dan pada rakaat keempat surah al-Jumu‘ah atau surah al-Ikhlas.

6. Setelah selesai membaca al-Fatihah dan surah selepasnya dan sebelum rukuk membaca tasbih sebanyak 15 kali.

- (Peringatan: Mengikut kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang kedua bacaan tasbih itu dibaca lagi selepas surah al-Fatihah dan surah selepasnya sebanyak 10 kali kemudian rukuk. Bacaan tasbih seterusnya dibaca semasa rukuk, i‘tidal, sujud pertama, duduk antara dua sujud dan sujud kedua adalah sama sebanyak 10 kali, tetapi bacaan tasbih semasa duduk istirahah sebelum bangun untuk rakaat kedua tidak dibaca begitu juga semasa tahiyat akhir pada rakaat kedua juga tidak dibaca.)

7. Rukuk dan membaca tasbih rukuk 3 kali.




8. Setelah selesai membaca tasbih rukuk terus sambung membaca tasbih 10 kali.

9. I‘tidal sambil membaca tasmi‘ kemudian tahmid.



10. Membaca tasbih selepas membaca tahmid i‘tidal 10 kali.

11. Sujud dan membaca tasbih sujud 3 kali.



12. Membaca tasbih selepas tasbih sujud 10 kali.

13. Duduk antara dua sujud dan membaca doa.





14. Membaca tasbih selepas membaca doa duduk di antara dua sujud 10 kali.

15. Sujud kedua dan membaca tasbih sujud 3 kali.

16. Membaca tasbih selepas tasbih sujud kedua 10 kali.

- (Peringatan: Disinilah bacaan tasbih terakhir bagi kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang kedua. Begitulah seterusnya pada rakaat kedua, ketiga dan keempat.)

17. Bangkit dari sujud yang kedua iaitu duduk istirahah (duduk sebelum berdiri untuk rakaat yang seterusnya) dan membaca tasbih 10 kali.

18. Ulangilah bacaan tasbih itu pada rakaat kedua, ketiga dan keempat pada tempat yang sama sepertimana bacaan pada rakaat pertama kecuali:

- Jika sembahyang sunat Tasbih itu dikerjakan pada waktu malam lebih utama dikerjakan setiap dua rakaat sekali salam. Oleh yang demikian hendaklah dibaca tasbih pada rakaat kedua itu sebelum atau selepas membaca tahiyat akhir.

- Begitu juga jika sembahyang sunat Tasbih itu dikerjakan di waktu siang adalah lebih afdhal dikerjakan empat rakaat sekali salam. Oleh yang demikian hendaklah dibaca tasbih terakhir pada rakaat kedua sebelum atau selepas tahiyat awal dan pada rakaat keempat hendaklah membaca tasbih terakhir sebelum atau selepas tahiyat akhir.

19. Begitulah kaifiyat membaca tasbih dalam sembahyang sunat Tasbih, kesemua jumlah tasbih yang dibaca dalam empat rakaat adalah sebanyak 300 tasbih iaitu 75 tasbih pada setiap rakaat.

20. Kemudian sunat membaca doa selepas tahiyat akhir dan sebelum salam.

Doa masyhur sepertimana yang diterangkan oleh Imam Kurdi dan Syarqawi di dalam kitab Fath al-‘Allam selepas tahiyat akhir dan sebelum salam ialah:

Ertinya:

“Ya Allah! Kami bermohon dariMu taufiq seperti golongan yang mendapat pertunjuk, ibadat golongan yang yakin, ketulusan golongan yang bertaubat, keazaman golongan yang sabar, kewaspadaan golongan yang takut, pengharapan golongan yang tekun, peribadatan golongan yang wara’, kebijaksanaan golongan yang berilmu sehingga kami menjadi takut kepadamu.”

“Ya Allah! Kami bermohon kepadaMu sifat takut yang akan menjadikan benteng dari berbuat maksiat kepadaMu, (kami bermohon kepadaMu) amalan yang dengannya kami mendapat keredhaanmu sehingga (menjadikan) kami dapat beramal dengan penuh ketaatan, (kami bermohon) rasa takut kepadaMu sehingga (menjadikan) kami memohon nasihat kepadaMu di dalam taubat, (kami bermohon) rasa cinta kepadaMu sehingga (menjadikan) kami ikhlas kepadaMu dalam meminta nasihat, (kami bermohon) bersangka baik kepadaMu Tuhan yang Maha Suci pencipta nur (cahaya) sehingga (menjadikan) kami bertawakkal kepadaMu di dalam setiap urusan.”

Di dalam riwayat yang lain ada juga yang menambah dengan doa ini:

Ertinya:

Wahai Tuhan kami sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari sekalian yang mengasihi.

Doa ini dilakukan setiap kali sebelum salam, jika melakukan sembahyang sunat Tasbih ini setiap dua rakaat sekali salam hendaklah membaca doa ini dua kali iaitu setiap kali sebelum memberi salam, dan jika dilakukan dengan empat rakaat sekali salam hendaklah membaca doa ini sekali sahaja. Sepertimana perkataan Syabramillisi: “Doa ini dibaca sekali jika melakukan sembahyang sunat Tasbih dengan sekali takbiratul ihram dan dibaca doa ini dua kali jika melakukannya dengan dua kali takbiratul ihram.”

21. Kemudian memberi salam ke kanan dan ke kiri.



22. Kemudian selepas mengucapkan salam bolehlah memohon dengan membaca doa-doa lain supaya diperkenankan segala hajat.

Begitulah kaifiyat sembahyang sunat Tasbih dan bacaan tasbih sepertimana yang diterangkan dalam hadis di atas dan ditambah dengan bacaan:



Sebagaimana yang disebut dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj.

Hukum Sembahyang Sunat Tasbih

Menurut Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitabnya Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyah, sembahyang sunat Tasbih adalah di antara sembahyang sunat mutlak yang tidak berkaitan dengan masa dan sebab tertentu, maka sunat dilakukan pada setiap masa, sama ada di waktu malam ataupun siang dan haram dilakukan di dalam waktu-waktu yang diharamkan bersembahyang.

Sembahyang sunat Tasbih ini dianjurkan melakukannya, sehinggakan jika mampu, afdhal dikerjakan pada tiap-tiap hari. Jika tidak mampu, bolehlah dikerjakan sekali pada setiap Jumaat. Jika tidak mampu juga, bolehlah dikerjakan sebulan sekali. Jika tidak mampu, bolehlah dikerjakan setahun sekali dan jika tidak mampu juga, bolehlah dikerjakan seumur hidup sekali. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya:

“Jika engkau mampu mengerjakannya sekali setiap hari maka kerjakanlah, jika engkau tidak mampu membuatnya maka kerjakanlah sekali setiap Jumaat, jika engkau tidak mampu, maka kerjakanlah sekali sebulan, jika engkau tidak mampu maka kerjakanlah sekali setahun, jika engkau tidak mampu juga maka kerjakanlah sekali seumur hidup.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Oleh yang demikian, sunat dilakukan sembahyang sunat Tasbih itu berulang kali walaupun dalam masa yang berdekatan.

Surah-Surah Yang Sunat Dibaca Dalam Sembahyang Sunat Tasbih

Sunat dibaca surah at-Takatsur pada rakaat pertama, surah al-‘Asr pada rakaat yang kedua, surah al-Kafirun pada rakaat yang ketiga dan surah al-Ikhlas pada rakaat yang keempat.

Menurut setengah ulama pula, surah yang lebih utama dibaca ialah surah yang pada permulaan ayatnya disebut perkataan tasbih iaitu surah al-Hadid pada rakaat pertama, surah al-Hasyr pada rakaat kedua, surah as-Shaff pada rakaat ketiga dan surah al-Jumu‘ah pada rakaat keempat. Jika tidak mampu, maka bolehlah membaca surah az-Zalzalah pada rakaat pertama, surah al-‘Adiyaat pada rakaat kedua, surah at-Takatsur pada rakaat ketiga dan surah al-Ikhlas pada rakaat keempat.

Boleh juga membaca surah-surah lain jika tidak hafal semua surah yang di atas, akan tetapi surah-surah di atas itu adalah yang lebih afdhal atau lebih utama dan mendapat pahala mengikut keutamaan surah-surah tersebut.

Bilangan Rakaat Sembahyang Sunat Tasbih Dan Waktunya

Sembahyang sunat Tasbih dikerjakan pada bila-bila masa sebanyak empat rakaat. Jika dikerjakan pada waktu siang adalah lebih baik dikerjakan empat rakaat itu dengan satu salam. Jika dikerjakan pada waktu malam adalah lebih baik dikerjakan empat rakaat itu dengan dua salam.

Sumber : Mufti Brunei

bersambung

Solat Sunat Tasbih Bab 1

SEMBAHYANG SUNAT TASBIH
KERJAKANLAH ! WALAUPUN SEKALI SEUMUR HIDUP

(BILANGAN 217 BAHAGIAN PERTAMA)



(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Perintah supaya bertasbih disebut di beberapa tempat dalam al-Quran termasuk penentuan waktunya iaitu pagi dan petang.

Amat rugi sekiranya manusia tidak bertasbih kepada Allah sedang langit yang tujuh, bumi dan segala isi di dalamnya bertasbih kepadaNya, tiada ada sesuatu melainkan bertasbih dengan memuji Allah, hanya sanya manusia tidak dapat mengerti dan memahami tasbih mereka itu.

Bertasbih adalah salah satu daripada bentuk zikir dalam rangka mengingati Allah. Bahkan sering juga dipakai perkataan tasbih itu untuk menggantikan perkataan zikir yang banyak macamnya itu.

Salah satu cara mengingati Allah itu ialah melalui sembahyang sunat Tasbih. Dinamakan ia sebagai sembahyang sunat Tasbih kerana mengingat banyaknya lafaz-lafaz tasbih yang diucapkan dalam sembahyang itu. Oleh yang demikian, maka ruangan Irsyad Hukum kali ini akan mengupas dan menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan sembahyang sunat Tasbih itu, dan cara melakukannya dan fadhilat-fadhilatnya serta lain-lain hukum yang berkaitan dengannya.

Fadhilat Membaca Tasbih

Bertasbih adalah di antara jalan untuk kita ingat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, ia juga mempunyai fadhilat yang besar sebagaimana diterangkan oleh al-Quran dan hadis;

1. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirannya:

Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”

(Surah al-Ahzaab 35)

2. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya:

Ada dua kalimah yang ringan disebut dengan lisan tetapi sangat berat timbangannya, dan ia sangat disukai Allah Tuhan yang Rahman. Kedua kalimah itu ialah ucapan: ertinya “Maha Suci Allah dan segala puji hanya bagiNya, Maha Suci Allah yang Maha Agung.”

(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

3. Daripada Abu Malik al-Asy‘ari Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:

“Bersuci itu sebahagian daripada iman, dan ucapan dapat memenuhi daun timbangan dan ucapan dapat memenuhi kedua daun timbangan itu, atau memenuhi apa yang terdapat di antara langit dan bumi.”

(Hadits riwayat Imam Muslim)

4. Hadis yang lain, daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan:

Maksudnya:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Demi sesungguhnya saya berkata: adalah kerana saya lebih suka daripada matahari naik (yakni dunia dan isinya, kerana dunia akan pergi sementara pahala zikir-zikir ini tetap kekal tiada putus-putus).”

(Hadits riwayat Imam Muslim)

Menghitung Tasbih Dengan Jari

Antara perkara yang berkaitan dengan tasbih itu ialah bagaimana cara menghitungnya. Ada bermacam-macam cara menghitungnya, antaranya menghitung dengan jari sebagaimana yang diterangkan dalam hadis.

Maksudnya:

“Daripada Abdullah bin ‘Amr berkata: “Saya melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyimpulkan (menghitungkan) tasbih pada tangan Baginda.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam hadis yang lain Yusairah Radhiallahu ‘anha daripada golongan Muhajirin meriwayatkan bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:

“Hendaklah kamu tetap membaca tasbih, tahlil dan taqdis, dan simpullah (hitunglah) bacaanmu itu dengan anak-anak jari, kerana sesungguhnya jari-jari itu akan bertanggungjawab tentang perbuatannya dan janganlah kamu abaikan, nanti kamu lupa akan rahmat.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Berdasarkan hadis-hadis di atas maka membaca tasbih dengan menghitungnya dengan jari itu hukumnya adalah sunat kerana ia adalah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Walau bagaimanapun harus juga menghitung tasbih dengan sesuatu yang diperbuat daripada batu, kayu atau biji kurma atau tali disimpul sebagaimana yang dibuat oleh sahabat dan ulama yang mana perkara ini disebut oleh Imam as-Suyuthi.

Mudah-mudahan setiap kali melihat buah tasbih itu mengingatkan bahawa tasbih itu adalah alat untuk mengingat Allah Ta‘ala.

Riwayat Hadis Mengenai Sembahyang Sunat Tasbih

Mengikut riwayat hadis di bawah ini sembahyang sunat tasbih boleh dilakukan dalam dua kaifiyat:

- Kaifiyat yang pertama sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma yang mana kaifiyat bacaan tasbih di dalam hadis ini bermula selepas membaca surah al-Fatihah dan surah selepasnya:

Maksudnya:

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Abbas bin Abdul Muthalib: “Wahai Abbas, bapa saudaraku, apakah suka ku beri kurnia. Ku beri hadiah istimewa, ku ajari sepuluh macam keistimewaan yang mana jika engkau membuatnya dihapuskan oleh Allah bagi engkau sepuluh macam dosa, baik yang terdahulu mahupun yang sekarang, yang sudah lama mahupun yang baru, yang tidak disengaja mahupun yang sengaja, yang kecil mahupun yang besar, yang tersembunyi mahupun yang terang.

Sepuluh macam keistimewaan itu ialah: Hendaklah engkau sembahyang empat rakaat, pada setiap rakaat membaca al-Fatihah dan satu surah (ayat al-Quran). Setelah selesai daripada membaca pada rakaat pertama dan engkau dalam keadaan berdiri maka bacalah (Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan yang patut disembah melainkan Allah dan Allah Maha Besar) sebanyak 15 kali. Kemudian engkau rukuk, dan dalam rukuk engkau baca kalimah tasbih itu 10 kali. Kemudian engkau angkatlah kepala dari rukuk dan bacalah kalimah tasbih itu 10 kali. Kemudian engkau sujud dan bacalah kalimah tasbih itu 10 kali. Kemudian angkatlah kepala dari sujud (duduk antara dua sujud) dan bacalah kalimah tasbih itu 10 kali. Kemudian engkau sujud kembali selepas itu bacalah tasbih 10 kali. Kemudian angkatlah kepala dari sujud (duduk istirahah sebelum berdiri untuk rakaat selanjutnya) dan bacalah kalimah tasbih 10 kali. Seluruh kalimah tasbih itu dibaca 75 kali pada setiap rakaat, dan kerjakanlah di dalam empat rakaat.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

Daripada hadis di atas, jelas bahawa sembahyang sunat Tasbih ialah salah satu sembahyang sunat yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada bapa saudaranya Saiyidina Abbas Ibnu Abdul Muthalib, dan dilakukan dengan empat rakaat dan kaifiyat bacaan tasbih itu adalah pada rukun-rukun tertentu bermula selepas membaca surah al-Fatihah dan surah selepasnya dibaca tasbih tersebut sebanyak 15 kali, kemudian selepas membaca tasbih rukuk dibaca 10 kali, begitu juga semasa i‘tidal dibaca 10 kali, kemudian selepas membaca tasbih sujud pertama dibaca 10 kali, kemudian selepas membaca doa duduk antara dua sujud dibaca 10 kali, kemudian selepas membaca tasbih sujud kedua dibaca 10 kali dan semasa duduk istirahah atau selepas tahiyat awal (jika mengerjakan 4 rakaat dengan satu salam) dibaca 10 kali tasbih, semua tasbih itu dibaca sebanyak 75 kali tasbih pada setiap rakaat dan jumlah keseluruhan tasbih dalam empat rakaat sebanyak 300 kali tasbih.

Kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang pertama dan diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma inilah yang arjah (lebih tepat) sepertimana yang diterangkan dalam kitab Fath al-‘Allam.

- Kaifiyat kedua pula sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mubarak yang mana di dalam hadis ini kaifiyat bacaan tasbih itu bermula selepas mengangkat takbiratul ihram dan sebelum membaca surah al-Fatihah.

Maksudnya:

“Ahmad bin Abdah Adh-Dhabbi menceritakan kepada kami, Abu Wahb memberitahukan kepada kami, ia berkata: “Saya bertanya kepada Abdullah bin al-Mubarak tentang sembahyang yang didalamnya ada bacaan tasbih”. Dia menjawab: “Dia (Orang yang bersembahyang) mengangkat takbir kemudian membaca:

(Maha Suci Engkau Ya Allah dan dengan memujiMu dan Maha Suci NamaMu dan Maha Luhur PangkatMu, Tidak ada Tuhan selain Engkau). Kemudian membaca lima belas kali:

(Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar). Kemudian membaca Ta‘awwudz, membaca Basmalah, membaca surah al-Fatihah dan membaca surah yang lainnya. Kemudian membaca tasbih itu sepuluh kali lagi. Kemudian rukuk dan membaca tasbih itu sepuluh kali, kemudian mengangkat kepala (dari rukuk) dan membaca tasbih itu sepuluh kali, kemudian sujud dan membaca tasbih itu sepuluh kali, kemudian mengangkat kepala (dari sujud) dan membaca tasbih tersebut sepuluh kali, kemudian sujud yang kedua dan membaca tasbih itu sepuluh kali.

Dia bersembahyang empat rakaat dengan bacaan sebanyak tujuh puluh lima kali tasbih pada setiap rakaat. Dimulai pada setiap rakaat dengan lima belas kali bacaan tasbih, kemudian membaca (surah al-Fatihah dan surah tertentu) dan kemudian membaca tasbih lagi sebanyak sepuluh kali lagi, jika dikerjakan pada waktu malam, yang lebih disukai adalah mengucapkan salam pada setiap dua rakaat dua rakaat, dan jika dikerjakan di waktu siang ucaplah salam jika mahu (pada setiap dua rakaat), dan jika tidak mahu, janganlah ucapkan salam (setiap dua rakaat tetapi setelah empat rakaat).”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hadis ini menjelaskan bahawa bacaan tasbih itu bermula selepas mengangkat takbir dan sebelum membaca surah al-Fatihah dan surah selepas al-Fatihah 15 kali dan membaca 10 kali lagi setelah selesai membaca surah al-Fatihah dan surah selepasnya, kemudian selepas membaca tasbih rukuk 10 kali, begitu juga semasa i‘tidal 10 kali, kemudian selepas membaca tasbih sujud pertama 10 kali, selepas membaca doa duduk antara dua sujud 10 kali dan selepas membaca tasbih sujud kedua 10 kali.

Walaubagaimanapun kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang pertama itu adalah arjah (lebih tepat) akan tetapi kaifiat sembahyang sunat Tasbih yang kedua ini juga boleh dilakukan sepertimana riwayat hadis di atas, dan kedua-dua kaifiyat ini juga diamalkan di sebahagian masjid-masjid di negara kita khususnya pada malam sepuluh terakhir bulan ramadhan untuk menghidupkan malam tersebut dan mengharapkan kehadiran Lailatul Qadar.

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 4

Anggapan Sebahagian Orang Bahawa Makna Al Jama'ah itu Bukan Jama'ah Muslim

Sebahagian mereka menolak pemahaman Al Jama'ah dengan Jama'ah Muslimin. Mereka tetap menganggap bahawa yang selamat itu hanyalah sekelompok kecil dari kaum Muslimin. Mereka berdalil dengan hadith yang ditakhrij oleh Imam Muslim di mana Nabi SallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :

"Sekelompok dari ummatku akan senantiasa mampu mempertahankan kebenaran (al-haq) sampai tiba hari kiamat".

Padahal hadith ini tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa hanya sekelompok kecil (tho'ifah) itu yang selamat sementara yang lain tidak. Bahkan dalam sahih Bukhari pada hadith no 2667 dijelaskan bahawa yang dimaksud tho'ifah dalam hadith itu ialah Ahlul Ilmi iaitu para ulama. Dengan demikian maka hadith di atas tidak ada kaitannya sama sekali dengan masalah ini. Adapun hadith-hadith yang terdahulu itu menjelaskan tentang mana yang selamat dari neraka dan mana yang tidak. (Sekiranya hadith ini dipakai untuk menentukan golongan yang selamat dan yang tidak maka kaum muslimin yang bukan ulama termasuk golongan yang sesat Pent.)

Selasa, 28 April 2009

Manusia Dan Akal Yang Terbatas..

Dahulu diperkenalkan Intelligent Quotient oleh Alfred Binet - iaitu untuk menjadi seorang yang berjaya perlulah mempunyai daya pemikiran yang tinggi. Bijak, mempunyai daya taakulan yang baik, cepat tangkap dalam menyelesaikan masalah. Dan daripadanya dibuat banyak ujian-ujian yang berkaitan untuk mengetahui tahap IQ seseorang. Antaranya, Stanford-Binet, WISC-R, Raven's Progressive Matrices, Cattell Culture Fair III dan jika tidak dapat menjawab atau mencapai markah yang ditetapkan maka kemungkinan besar ada masalah dari segi mental orang yang mengikuti ujian tersebut samada ia cacat otak atau sebagainya.


Nampaknya ia digunakan secara meluas antaranya di dalam mencari profesion kerja, di dalam soalan bertulis sebelum ke sesi temuduga yang kadangkala sebenarnya belum tentu menunjukkan IQ individu tersebut, bahkan ada item soalan yang diberikan amat bercanggah dengan norma tatasusila masyarakat timur sebagaimana yang digunapakai oleh orang barat.

Seterusnya apabila IQ manusia diperkenalkan dan mendapat banyak kritikan serta keputusan yang tidak boleh digunakan untuk mewakili IQ seseorang individu. Didapati seseorang yang mempunyai IQ yang tinggi tidak semestinya mempunyai hubungan baik sesama manusia, serta kajian mendapati IQ yang tinggi juga tidak menunjukkan bahawa seseorang itu mampu mengawal emosinya dengan baik. Kedapatan, orang yang mempunyai IQ yang tinggi, hidupnya tidak normal, dan ramai menjadi gila kerana tidak mempunyai kawalan emosi yang mantap.

Lalu muncul pula teori hasil dari kajian Wayne Payne's iaitu Emotional Quotient. Betapa hebatpun seseorang yang mempunyai Intelligent Quotient tetapi sekiranya ia mempunyai Emotional Quotient yang rendah - kemungkinan besar ia mempunyai emotional disorder! Yang boleh membawa kepada Mental Disorder.

Fitrah Manusia Mencari Tuhan

Apapun fitrah manusia sebenarnya akan kembali jua kepada pencipta - maka manusia akan berterusan mencari Tuhan. Bila dikaji dan terus mengkaji, walaupun di situ ada kehebatan IQ dan keseimbangan EQ, tanpa kekuatan jiwa akan rosak jua kedua-duanya. Maka terhasil pula di dalam pemikiran mereka SQ diperkenalkan oleh Dana Zohar Ian Marshall- iaitu Spiritual Quotient yang menghubungkan kepandaian akal, keseimbangan emosi dengan kekuatan ruhaniyyah. Dengan adanya agama maka manusia mempunyai akhlaq, mempunyai nilai. Akal yang hebat, mempunyai motivasi, empati dan hubungan baik dengan manusia tetapi tiada panduan dan matlamat hidup. Tidak ketahuan halanya.

Di dalam satu kajian yang dibuat pada tahun 1990 oleh neuropsychologist iaitu Michael Persinger dan neurologist V.S. Ramachandran di University of California membawa kepada penemuan di bahagian otak di mana manusia cenderung untuk memikirkan tentang Tuhan.

Dan begitulah - sememangnya setiap kajian yang hanya bersandar pada akal semata-mata akan selalu berubah-ubah. Kadang-kadang terdorong dengan nafsu, ditipu daya syaitan.

Kini - marilah kita kembalikan diri kepada mengenali wahyu yang datangnya dari ALLah kepada utusanNya Muhammad RasuluLLah. Al Quran mengajar kita mengenal Dia, menyembahNya. Mengajar kita mengenal diri sebagai hamba, mengajar kita agar tidak mempersekutukanNya, beribadah kepadaNya.

Ertinya :

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada ALlah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam Islam. Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali ALlah (agama Islam( dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat ALlah kepada Kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah), lalu ALlah menyatukan antara hati-hati kamu sehingga dengan itu kamu bersaudara dan dahulu kamu telah berada di jurang neraka disebabkan kekufuran kamu, lalu ALlah selamatkan kamu daripada neraka itu. Demikian ALlah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya supaya kamu mendapat hidayah
- Surah Ali Imran: 102-103

Islam yang diredhai - memandu akal manusia untuk menjadi bijak dengan acuan melalui al Quran dan Sunnah, Islam mengajar tentang akhlaq dalam setiap inci kehidupan. Cukuplah di dalam Islam itu sendiri yang dibawa oleh Nabi Muhammad melalui wahyu yang diturunkan oleh ALlah sudah mengandungi IQ, EQ dan SQ.

ALlah telah berfirman yang bermaksud :
Wahai sekalian manusia, beribadahlah kepada Tuhan kamu yang telah mencipta kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang yang) bertaqwa. Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkan hujan dari langit, lalu dikeluarkannya dengan air itu berbagai-bagai jenis buah-buahan yang menjadi rezki bagi kamu. Maka janganlah kamu mengadakan bagi ALlah sekutu padahal kamu mengetahu bahawa ALlah ialah tuhan yang Maha Esa.
(Surah al Baqarah : 21-22)

Islam.. ialah yang tertinggi tiadalah yang tertinggi selainnya..

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 3

Al Jama'ah Sebagai Golongan Yang Selamat (Firqah Najiah) Adalah Seluruh Kaum Muslimin

Hadith-hadith yang telah disebutkan di atas merupakan petunjuk yang kuat bahawa perpecahan pada ummat ini memang terjadi, akan tetapi di dalam hadith-hadith tersebut kita tidak mendapatkan keterangan mengenai siapa yang selamat di antara golongan-golongan itu. Keterangan itu baru kita dapatkan pada hadith-hadith yang lain antaranya :

1. Hadith Anas bin Malik radiyaLLahu 'anhu yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, hadith no 12229 yang bererti :

"Dari Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam, beliau bersabda: Sesungguhnya Bani Isra'il telah berpecah menjadi 72 golongan dan kamu semua akan berpecah sebanyak itu juga, semuanya di dalam neraka kecuali satu golongan"
Hadith ini sebagaimana yang kita lihat menghadkan bahawa hanya ada satu golongan yang selamat (Firqah Najiah)

2. Riwayat yang terdapat dalam Mustadrak al Hakim 1/47 dari Katsir bin AbduLLah bin Amar bin 'Auf bin Zaid dari ayahnya, dari datuknya dia berkata yang bererti :

"Kami duduk di sekitar RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam di Masjid Nabawi lalu beliau berkata : Sesungguhnya kamu semua kelak akan menempuh sunnah-sunnah ummat yang sebelum kamu dengan sama sepertinya dan kamu semua akan mengambil seperti apa yang mereka ambil. Jika sejengkal kamupun ikut sejengkal, jika sehasta kamu juga ikut sehasta dan jika sedepa kamu pun ikut sedepa sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak kamu juga akan ikut masuk ke dalamnya. Akan tetapi Bani Israel telah berpecah pada masa Nabi Musa menjadi 71 golongan, semuanya sesat kecuali satu golongan iaitu Islam dan jema'ahnya. Dan di masa Nabi Isa, Bani Israel berpecah menjadi 71 golongan, semuanya sesat kecuali satu golongan iaitu Islam dan jemaahnya. Kemudian kamu semua akan berpecah menjadi 72 golongan, semuanya sesat kecuali satu golongan iaitu Islam dan jemaahnya".


Hadith ini jelas menunjukkan bahawa Firqah Najiah itu adalah semua orang yang telah masuk Islam dan menjadi jema'ahnya. Dan orang yang Islam (Muslim) adalah mereka yang telah mengucapkan La ilaha illaLlah Muhammad RasuluLlah. Dialah kalimat yang menyebabkan orang Kafir yang mengucapkannya menjadi seorang Musim. Makna seperti ini dikuatkan oleh hadith yang terdapat dalam Sahih Bukhari di mana Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :

"Siapa yang mengucapkan La ilaha illaLLah maka dia pasti masuk syurga".


3. Imam Tabrani dalam al Mu'jam al Kabir jilid 17 halaman 13 menyebutkan potongan terakhir hadith Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam sebagai berikut yang bererti :

"Kemudian kamu semua akan berpecah menjadi 72 golongan, semuanya di dalam neraka kecuali satu iaitu Islam dan jema'ahnya".


Makna al jama'ah di sini adalah semua umat Islam kecuali mereka yang sengaja dengan ikhtiyarnya sendiri keluar dari Islam atau melakukan sesuatu yang telah disepakati dapat menyebabkan kekafiran. Oleh kerana itu, dalam banyak hadithnya yang lain Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam mengisyaratkan Firqah Najiah itu dengan Al Jama'ah (di ma'rifahkan dengan alif lam) yang bererti Jama'ah Muslimin atau umat Islam. Bukan sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian penuntut ilmu dengan mengalihkan ma'rifah di situ sebagai nakirah lalu berkata bahawa Firqah Najiah itu adalah Jama'atun minal Muslimin (sekelompok dari kaum Muslimin).

Hadith lain yang menguatkan bahawa al Jama'ah di situ bermakna Jama'ah Muslimin (kerana kata al Jama'ah di ma'rifahkan dengan alif lam) adalah :

1. Hadith yang terdapat dalam sunan Ibnu Majah no 3994 :

Dari Abu Hurairah radiyaLlahu 'anhu dia berkata : RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda :
Orang-orang Yahudi berpecah menjadi 71 golongan, satu masuk syurga dan 70 dalam neraka. Orang-orang Nasrani juga berpecah menjadi 72 golongan, 71 dalam neraka dan satu masuk ke syurga. Dan demi jiwa Muhammad yang ada dalam kekuasaanNya sesungguhnya ummatku akan berpecah menjadi 73 golongan , satu masuk syurga dan 72 masuk dalam neraka. RasuluLlah ditanya: Siapakah mereka (yang masuk syurga itu)?, Beliau menjawab : "Al Jama'ah".


2. Hadith dalam Sunan Ibnu Majah no 3995 dari Anas bin Malik radiyaLlahu 'anhu di mana RasuluLlah bersabda yang bererti :
Sesungguhnya Bani Israel berpecah menjadi 71 golongan, dan ummatku akan berpecah menjadi 72 golongan, semuanya masuk neraka kecuali satu iaitu al Jama'ah".


3. Hadith dalam Musnad As Syamiyyin no 988 dari Auf bin Malik dia berkata yang bererti :

"RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda : Orang-orang Yahudi berpecah menjadi 71 golongan, satu masuk syurga dan 70 dalam neraka. Orang-orang Nasrani juga berpecah menjadi 72 golongan, satu masuk syurga dan 71 dalam neraka. Demi jiwaku yang ada dalam kekuasaanNya sesungguhnya ummatku akan berpecah menjadi 73 golongan, satu masuk ke syurga dan 72 masuk dalam neraka. RasuluLlah ditanya : Siapakah mereka (yang masuk syurga itu)? Beliau menjawab : Ahlul Jama'ah.


4. Hadith dalam Al Mu'jam al Kabir Imam Thabrani jilid 18 halaman 70 dari 'Auf bin Malik dia berkata yang bererti : "RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :
Orang-orang Yahudi juga berpecah menjadi 71 golongan. Orang-orang Nasrani juga berpecah menjadi 72 golongan, Demi jiwaku yang ada dalam kekuasaanNya sesungguhnya ummatku akan berpecah menjadi 73 golongan, satu masuk syurga dan 72 dalam neraka. RasuluLlah ditanya : Siapakah golongan (yang masuk syurga itu)? Beliau menjawab : "Al Jama'ah".

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 2

Hadith-hadith Tentang Perpecahan Ummat

Di antara hadith-hadith sahih yang menjelaskan tentang iftiroqul ummah adalah :

1. Tersebut dalam Mustadrak al Hakim I/44 yang bererti :

"Dari Abu Hurairah radiyaLlahu 'anhu dia berkata : Aku telah mendengar RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda: Orang-orang Yahudi terpecah menjadi 71 atau 72 golongan. Orang-orang Nasrani berpecah seperti itu juga sedangkan ummatku berpecah menjadi 73 golongan".

Al Hakim berkata : Hadith ini sahih menurut pensyaratan Imam Muslim tetapi Muslim sendiri tidak mentakhrijnya.

2. Tersebut dalam Sunah Abu Daud IV/197 yang bererti :

"Dari Abu Hurairah radiyaLLahu 'anhu dia berkata: Bersabda RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam: Orang-orang Yahudi berpecah menjadi 71 atau 72 golongan. Orang-orang Nasrani berpecah menjadi 71 atau 72 golongan . Dan ummatku berpecah menjadi 73 golongan".


3. Tersebut dalam Sahih Ibnu Hibban (Hadith no 6237) yang bererti :

"Dari Abu Hurairah radiyaLLahu 'anhu dia berkata: Bersabda RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam : Orang-orang Yahudi terpecah menjadi 71 golongan dan orang-orang Nasrani berpecah menjadi 72 golongan sementara ummatku akan berpecah menjadi 73 golongan".

Anda Ingin Bercinta ?

Zaman remaja adalah zaman untuk mencari dan mengenal diri. Setelah akal semakin mampu untuk berfikir jauh. Sekurang-kurangnya sudah mengenal mana baik dan buruk, halal dan haram, najis dan yang suci, syurga dan neraka.

Umur sebegini, orang muda cenderung untuk hidup di dalam perkumpulan. Gemar juga untuk mencari penyelesaian di luar rumah dibandingkan dengan berbincang dengan ibu dan ayah. Dan ketika inilah jiwa sudah menyubur untuk mengenal apa itu cinta (berlainan jenis).

Mengapa bercinta?

Terkadang bercinta dengan sebab ikut-ikutan (kerana melihat kawan sedang 'bahagia'). Terkadang ia bercinta supaya 'pointer' selalu meningkat naik. Dan katanya agar ada teman yang dapat memberi nasihat. Alamat.. jika salah bercinta, bubur tidak akan kembali menjadi nasi..

Sebelum bercinta fikirkan perkara-perkara ini wahai orang muda :

1. Sudahkah anda bersedia untuk bercinta?

Adakah sudah bersedia menghadapi risiko di dalam percintaan? Adat orang mengatakan cinta itu bersatu, dan ada kalanya ia membutakan mata. Manakala yang tidak nampak jalannya habis hancur masa depan hidupnya.

Cinta tidak semestinya bersatu, ada kalanya ia terputus di tengah jalan. Dan ada kalanya ia berjaya sehingga ke jinjang pelamin. Risiko putus cinta selalu membuatkan manusia seolah-olah putus asa. Hilang hala tuju hidupnya. Entah berapa ramai yang sudah menamatkan nyawanya sendiri bila cinta nafsu lebih diharapkan dari cinta kepada Illahi.

2. Apa matlamat Anda bercinta?

  • Mungkin untuk merosakkan anak gadis atau hati orang lain?
  • Ikut-ikutan atau suka-suka sahaja?
  • Untuk mencari pengganti pasangan yang telah pergi? (tetapi sekiranya ia ingin kembali semula suatu hari nanti, anda dengan rela diri meninggalkan pasangan baru anda yang telah diberikan harapan?
  • Sekadar cinta monyet yang tiada matlamat di masa hadapan?
  • Untuk mendirikan rumah tangga yang membawa kasih sayang dan rahmat dari ALLah?
Orang yang mulanya bercinta - hatinya akan berbunga-bunga. Tidak ia sedar apa yang berlaku di sekelilingnya kerana disibukkan dengan apa yang dicintainya. Segalanya nampak cantik, molek, comel dan sempurna belaka. 'Pijak semut tidak mati'. Segalanya berjalan dengan penuh optimis dan positif. Lalu mungkin 'menipu diri sendiri' sudah menjadi pegangan agar hubungan berlangsung dengan menarik dan dapat dikekalkan.

Apabila perhubungan cinta anda mulai 'berkelap kelip' - mulalah anda akan berfikir semula akan buruk dan baiknya pasangan anda. Mungkin ketika ini anda akan berusaha mencari solusi. Sekiranya berjaya perhubungan anda akan berjalan seperti biasa. Dan sekiranya dalam bahaya, ia akan membawa kepada 'putus cinta'. Perkataan inilah yang menjadi penghancur jiwa, rasa kecewa, terhina, rendah diri, sakit hati, dendam, putus asa. Maka istilah-istilah cinta yang dahulunya berkisarkan fantasi, anda akan sedar ia bukanlah realiti.

Menjadi hipokrit satu perkara, iaitu masalah yang akan dibawa apabila hidup di dalam sebuah rumah di atas pernikahan yang sah. Segala-galanya yang 'cantik', 'molek' akan ditunjukkan juga sebagai satu hakikat yang perlu anda terima. Samada anda terima dengan terpaksa atau redha selamanya.

3. Mengapa Anda Bercinta?

  • Kerana ALLah?
  • Kerana cantik rupanya? Mancung hidung, kumisnya tebal? Badannya serupa model? - yang pasti semuanya ini tidak kekal lama. Berapa ramai wanita yang menghidapi sakit barah kulit kerana taksubnya kepada yang dinamakan 'KECANTIKAN' ? Berapa ramai pula yang sanggup berhutang, mengorbankan identiti seorang Muslimah dan Muslim kerana tertarik dengan namanya KEMODENAN?
  • Kerana duitnya? Harta yang bertimbun?
  • Kerana empunya diri itu sendiri?
  • Kerana Agamanya? Ia akan di bawa di dunia dan akhirat. Tetapi ramai juga yang terjerumus di lembah hina. Kerana yang dibawa rupanya selama ini adalah nafsu tetapi disolek dengan nama Agama.
Anda akan dapat apa yang anda niatkan. Ingat perjalanan cinta sesama manusia amat jauh, dan mungkin juga dekat, ataupun ia satu perjalanan yang tidak pasti.

4. Apa Modal Untuk Bercinta?

  • Adakah dengan modal air liur? Atau jari jemari menulis sms?
Sedarkah anda? apabila bercinta dan anda meletakkan sesuatu di dalam hati seseorang. Ini telah memberikan ia pengharapan baru dalam hidupnya. Dan ia akan berusaha untuk mencapainya. Jika cinta anda sekadar cinta monyet, cinta untuk merosakkan anak orang, ikut-ikutan dan hanya menjadikan orang lain sebagai batu galas - CINTA NAFSU. Eloklah lupakan sahaja. Anda hanya akan menjadikan diri anda sendiri bahan fitnah yang akan orang ingat sampai bila-bila.

Sedarkah anda? Mahligai perkahwinan itu memerlukan pengorbanan bukan sahaja dari segi jari jemari dan air liur. Tetapi lebih dari itu adalah modal ilmu untuk mendirikan sebuah keluarga yang beragama, cintakan ALLah dan rasul-Nya. Modal harta iaitu pekerjaan dari sumber rezeki yang halal untuk anda berikan kepada isteri, dan anak-anak. Modal hati dan perasaan untuk dikongsi, difahami, kesabaran dan sebagainya.

5. Berapa Lama Anda Ingin Bercinta?

  • Seminggu?
  • Sebulan?
  • Tiga, empat tahun?
  • Sehingga habis belajar?
  • Cinta hingga ke akhirat?
Apabila anda bercinta, setiap pasangan pastinya ingin mengetahui sampai bilakah mereka akan bercinta? Dan apabila perhubungan itu diketahui oleh sang ibu dan ayah, tentunya mereka akan bertanya bila pula tarikh merisik, pertunangan dan perkahwinan pula akan dijalankan? Dan tentunya kaum kerabat pula akan tertanya-tanya, dengan siapa anda berkawan. Mungkin ada yang sudah diusung ke hulu dan hilir - orang kampung pun sudah mulai berbisikan. Walaupun anda sangkakan di bandar orang bersikap tidak ambil peduli. Tetapi malaikat di kiri dan kanan tetap juga menulis catatan..

6. Kos Cinta

  • Duit yang anda habiskan semata-mata untuk sidia - telefon (sms, mms, chat etc), bil elektrik, bil internet,
  • Masa yang anda korbankan untuk sidia
  • Hati dan perasaan

Sikap Matang Dalam Mencari Cinta

Wahai pemuda dan pemudi, menyebut perkataan cinta sesama manusia itu mudah, tetapi untuk melaksanakannya amatlah payah. Bercinta bukan menjadi tiket yang menghalalkan anda menyerahkan jasad kehormatan anda. Bukan juga bermakna anda sudah menjadi juara dan normal sebagaimana insan lain yang bercinta (sudah fahamkah erti cinta yang sebenarnya?). Anda rosak kerana cinta? - ia adalah kesalahan anda sendiri di dalam menterjemahkan cinta yang suci dan abadi. Semaklah semula adatnya bagaimana RasuluLlah menyalurkan perasaan cinta.

Jika berbaloi dengan bercinta - anda dapat merasai hidup bahagia serta mendapat keredhaan ALlah kerana matlamat anda jelas, anda sedia redha dengan kemungkinan yang berlaku serta tidak menyalahkan taqdir, perjalanan cinta tidak melanggar batas syarak. Maka silalah untuk bercinta.

Fikirkan.. Dalam masa bercinta, bagaimana hubungan kita dengan ALlah dan manusia serta makhluk yang lain? Semakin baik ataupun semakin jauh dan terus menjurang. Adakah ia menjadikan kita hamba ALlah yang bertaqwa ataupun hamba ALlah yang derhaka?

Ahad, 26 April 2009

Konsep Tasawuf Menurut Kacamata Ahli Sufi

KONSEP TASAWUF MENURUT KACAMATA AHLI SUFI*

Oleh: Dr. Abdul Manam bin Mohamad al-Merbawi**

Universiti Darul Iman Malaysia

Pendahuluan

Tasawuf merupakan satu cabang ilmu keislaman yang sudah diakui kebenarannya. Dari segi penamaan, ia ternyata baru muncul dalam dunia Islam. Namun hakikatnya tasawuf itu sudahpun wujud di zaman Nabi s.a.w. dan lebih dikenali dengan nama ilmu ihsan, ilmu nafi`, ilmu batin atau ilmu di dalam hati (fi al-qalb). Nama tasawuf hanya mula muncul di zaman pengkelasan ilmu. Ilmu ini semakin hari semakin dipinggirkan, bahkan ia merupakan ilmu yang mula-mula akan pupus dari jiwa manusia. Mengenai ilmu ini `Ubadah bin Samit menjelaskan “sekiranya engkau ingin tahu, akan aku khabarkan kepadamu ilmu yang mula-mula diangkat dari manusia, iaitu al-khusyu`”. Tulisan ini akan menjelaskan mengenai ilmu tasawuf tersebut dengan memberikan tumpuan kepada konsep dan kedudukannya dalam Islam, cara mencapainya dan juga peranannya.

Beberapa Tanggapan Yang Kurang Tepat Mengenai Tasawuf

Tasawuf seringkali disalahfahami dan dijelaskan secara yang mengelirukan. Gambaran-gambaran yang diberikan terhadap tasawuf adakalanya bersifat menakutkan, sukar atau mustahil dicapai atau menyentuh sudut-sudut tertentu tasawuf itu. Hal ini selalunya terjadi apabila tasawuf itu dihuraikan oleh orang yang tidak berkeahlian serta tidak memiliki pengetahuan yang mencukupi mengenainya, atau orang yang sememangnya tidak menyukai tasawuf, atau mereka yang terpengaruh dengan ulasan-ulasan yang diberikan oleh pengkaji-pengkaji tasawuf semata-mata tanpa menyelami dan menghayatinya dari kalangan orang-orang Islam itu sendiri atau orientalis barat.


Antara gambaran yang selalu diberikan kepada tasawuf ialah semata-mata kemuliaan akhlak, tiada yang lain dari itu. Penelitian terhadap definisi tasawuf yang diberikan oleh para ulama mendapati bahawa di antara definisi itu ada yang menyentuh kemuliaan akhlak, namun tokoh yang sama juga ada memberikan definisi lain yang menyentuh sudut yang lain pula. Hal seperti ini selalu terjadi dalam tasawuf dan ini berdasarkan kepada kaedah yang diketahui umum di kalangan ahli tasawuf iaitu sesuatu jawaban itu adalah berdasarkan kepada situasi orang yang bertanya. Mengaitkan tasawuf dengan akhlak adalah betul, kerana tasawuf itu tidak dapat dipisahkan dari akhlak di mana ia merupakan buah atau hasilnya, tetapi menggambarkan tasawuf sebagai semata-mata akhlak adalah tidak tepat. Ini kerana kedapatan dari kalangan ahli falsafah yang menjuarai, membela dan memperjuangkan akhlak ini, namun mereka buka ahli sufi. Begitu juga ditemui orang-orang yang berakhlak mulia, tetapi mereka sendiri tidak beriman kepada Allah dan rasul-Nya.

Tasawuf juga selalu dikaitkan dengan kezuhudan yang merujuk kepada makna ketiadaan pemilikan atau membuang, menolak serta menjauhkan diri dari perkara-perkara keduniaan. Gambaran itu ternyata tidak tepat, meskipun ditemui definisi yang diberikan oleh sebahagian ulama tasawuf yang menyentuh sudut kezuhudan ini. Ternyata bahawa kezuhudan sebenar yang mereka maksudkan ialah kezuhudan jiwa. Ini kerana dari kalangan mereka ada yang merupakan golongan hartawan dan hidup kaya seperti Sayyiduna `Uthman ibn `Affan r.a. yang disifatkan oleh ahli tasawuf sebagai orang yang berada pada maqam tamkin. Kalaulah tasawuf itu memestikan seseorang itu membuang duniawi sehingga tidak memiliki apa-apa, bererti mereka itu tidak tergolong dalam golongan ahli tasawuf yang diakui. Adapun ahli tasawuf yang memilih hidup dalam suasana kezuhudan, mereka itu berbuat demikian kerana beberapa sebab, antaranya kerana mereka secara kebetulan merupakan orang-orang miskin, atau mereka sedang menjalani riyadah ruhaniyyah, atau kerana jiwa mereka sedang mengalami dhawq yang cenderung kepada gaya hidup zuhud.

Tasawuf juga selalu digambarkan sebagai peribadatan lahiriah, iaitu ahli tasawuf itu ialah orang yang menekuni ibadat khusus seperti solat, puasa, qiyam al-lail, zikir dan sebagainya, dan menghabiskan masa dengan ibadat itu sahaja tanpa memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang lain dari itu. Gambaran itu juga tidak tepat meskipun terdapat definisi tasawuf yang menyentuh sudut peribadatan ini. Sememangnya ahli tasawuf itu suka menekuni ibadat sebagai bukti pengabdian diri mereka terhadap Allah. Namun tidak semua dari kalangan ahli tasawuf itu yang kehidupan mereka bercorak peribadatan lahiriah semata-mata seperti yang terlihat pada gambaran kehidupan golongan `ubbad/nussak, bahkan ditemui dari kalangan ahli tasawuf itu yang selalu sibuk dengan pelbagai urusan kehidupan, seperti Sayyiduna Abu Bakr al-Siddiq r.a. yang disifatkan oleh ahli tasawuf sebagai orang yang terawal mengeluarkan ungkapan yang mengandungi isyarat sufi.

Selain itu tasawuf juga sering digambarkan sebagai kecenderungan dan usaha memperolehi kekeramatan yang merujuk kepada pengertian kejadian luar biasa. Menggambarkan tasawuf seperti ini ternyata tidak tepat dan mengelirukan sekalipun ia biasa terjadi di kalangan ahli tasawuf. Terjadi perkara-perkara yang menyalahi adat kebiasaan pada diri ahli tasawuf itu bukanlah satu kemestian bahkan perkara luar biasa juga boleh terjadi pada orang yang terlibat dengan kekufuran dan kesyirikan seperti pendita, petapa dan ahli sihir. Ahli tasawuf yang sebenar tidak memberikan tumpuan kepada perkara seperti itu, malah apa yang menjadi tumpuan mereka ialah kekeramatan ilmu, iman dan taqwa. Inilah pendirian para ulama tasawuf ternama seperti al-Qushayri, al-Tustari, al-Tusi, al-Shadhili, Ibn al-`Arabi dan lain-lain. Oleh itu memahami tasawuf sebagai usaha mencapai kejadian luar biasa adalah suatu kekeliruan.

Pengertian Tasawuf Menurut Ahlinya

Menggambarkan tasawuf dengan gambaran akhlak, kezuhudan, peribadatan dan kekeramatan lahiriah semata-mata seperti yang telah dijelaskan, ternyata tidak tepat dan tidak menggambarkan intipati serta gambaran menyeluruh tentang tasawuf itu. Pengertian sebenar tasawuf itu ialah pencapaian darjat ihsan yang digambarkan dalam hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud
“ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”
. Ternyata bahawa hakikat ihsan itu tercapai dengan dua perkara iaitu ibadah yang sempurna lagi berterusan dan kehadiran hati, kesedaran jiwa, serta penyaksian batin terhadap makna-makna ketuhanan (hakikat-hakikat tauhid) dalam ibadah tersebut. Penyaksian batin ini diistilahkan oleh ulama tasawuf sebagai muraqabah dan mushahadah dan ia mempunyai tingkatan-tingkatan yang tertentu. Pencapaian mushahadah inilah yang akan membuahkan berbagai ahwal dan maqamat dan dari sini jugalah timbulnya berbagai persoalan ilmu tasawuf.

Dengan kata lain, hakikat sebenar tasawuf itu ialah tercapainya kebersihan diri, zahir dan batin. Kebersihan zahir membawa maksud keterikatan anggota lahiriah manusia dengan peraturan atau hukum-hukum agama iaitu apa yang diistilahkan sebagai `ibadah. Kebersihan batin pula bermaksud kebersihan hati dari sifat-sifat tercela (takhalli) dan terhiasnya ia dengan sifat-sifat terpuji (tahalli) iaitu apa yang disebut sebagai `ubudiyyah. Manakala kemuncak kebersihan batin manusia itu ialah terbuangnya sesuatu yang lain dari Allah dari lubuk hati dan nyata kebenaran Allah di cermin hati itu (tajalli) iaitu apa yang dinamakan `ubudah. Kebersihan batin inilah yang membawa kepada tercapainya darjat ihsan seperti yang digambarkan dalam hadis.

Pengertian tasawuf seperti inilah yang dapat dilihat pada definisi yang diberikan oleh Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Menurut beliau, tasawuf itu ialah pembersihan hati (tasfiyah) dari sesuatu yang lain dari Allah. Menurut beliau, tasawuf itu diambil dari perkataan safa (musafat) iaitu bermaksud orang yang Allah bersihkan batinnya. Pengertian ini jugalah yang ditemui pada definisi tasawuf yang dikemukakan oleh Shaykh Abu Bakr al-Kattani. Menurut beliau, tasawuf itu ialah kejernihan hati (safa’) dan penyaksian batin (mushahadah). Shaykh Ahmad Zaruq pula menjelaskan bahawa tasawuf telah dihurai, ditafsir dan didefinisikan sejumlah hampir dua ribu, semua itu terhimpun pada satu pengertian sahaja iaitu benarnya tawajjuh hati kepada Allah. Permulaan tawajjuh hati itu ialah terhasilnya intibah (kesedaran jiwa) yang membawa kepada taubah yang benar. Pertengahannya ialah merasai ahwal dan mencapai maqamat. Kesudahannya pula ialah tertumpu pandangan hati hanya kepada Allah semata-mata, tidak kepada yang lain dari-Nya. Di sinilah terhasilnya mushahadah dan inilah kemuncak ihsan.

Kedudukan Tasawuf Dalam Islam

Tasawuf adalah maqam ihsan. Ia merupakan sebahagian dari tiga bahagian utama agama iaitu islam, iman dan ihsan. Ketiga-tiga rukun agama ini dapat dilihat dengan jelas dalam hadis Jibril a.s. Ketika Jibril a.s. datang menemui Nabi s.a.w. dalam rupa seseorang yang tidak pernah dikenali oleh para sahabat, beliau telah mengemukakan beberapa pertanyaan mengenai Iman, Islam dan Ihsan. Pertanyaan itu sebenarnya merupakan suatu perkhabaran iaitu bertujuan mengkhabarkan kepada umat tentang rukun-rukun agama. Perkara ini dapat dilihat di mana Nabi s.a.w. menjelaskan bahawa
“ Dialah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan kepada kamu tentang agama kamu”.


Dari penjelasan Nabi s.a.w. terhadap pertanyaan Jibril jelas menunjukkan bahawa Islam itu merujuk kepada amalan lahiriah iaitu perlaksanaan terhadap perintah-perintah agama yang berpaksi pada lima rukun utamanya iaitu shahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Iman pula merujuk kepada keyakinan hati terhadap rukun-rukun iman yang berpaksi pada enam rukun utamanya itu kepercayaan kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari akhirat dan qada’ serta qadar. Manakala ihsan pula merujuk kepada amalan batin manusia iaitu penyaksiaan hati terhadap hadrat ilahi. Oleh itu islam melibatkan anggota lahiriah manusia, iman pula melibatkan anggota dalaman manusia iaitu hati, manakala ihsan pula merupakan gerak jiwa manusia.

Iman itu boleh diumpamakan sebagai tapak binaan, islam itu sebagai binaan asas, dan ihsan itu pula ialah pelengkap, penyempurna dan penyeri binaan. Tanpa iman, binaan tidak akan terbina kerana ketiadaan tapak. Tanpa islam, bererti hanya memiliki tapak tanpa ada binaan. Tanpa ihsan, bererti hanya memiliki tapak dan binaan asas tanpa pelengkap dan penghiasnya. Kesempurnaan hanya tercapai dengan ketiga-tiga perkara itu. Memiliki tapak semata-mata tanpa ada bangunan menjadikan seseorang itu merasai keperitan kepanasan matahari dan kesejukan hujan. Demikian juga orang yang hanya beriman tanpa melaksanakan tuntutan islam akan diazab di akhirat sekiranya dosa-dosanya itu tidak diampunkan Allah, namun kesudahannya dia tetap ke syurga juga kerana keimanannya itu. Memiliki tapak dan binaan asas pula menjadikan seseorang itu dapat berteduh namun tempat berteduhnya itu tidak sempurna kerana tidak memiliki kelengkapan dan hiasan, malahan seringkali terdedah kepada kecurian. Demikian juga orang yang beriman dan melaksanakan tuntutan islam tetapi tidak berihsan, amalan yang dilakukan itu kurang sempurna malahan kadang-kadang amalan tersebut tidak diterima dan mengundang kemurkaan Allah. Perkara seumpama inilah yang dapat dilihat pada firman Allah yang bermaksud “celakalah bagi orang yang bersolat”.

Tasawuf sebenarnya merupakan saripati atau jiwa agama. Dengannya agama itu dapat dirasai kebenaran dan kemurniannya. Ia merupakan penyempurna kepada agama itu sendiri di mana ia memberikan nilaian tambahan terhadap keimanan dan keislaman. Dalam hal ini Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “iman yang paling utama ialah bahawa engkau mengetahui bahawa Allah itu menyaksikan engkau di mana sahaja engkau berada”. Hadis ini menunjukkan bahawa iman itu mempunyai tingkatan yang berbeza, dan tingkatan iman yang paling utama ialah iman yang didasari atas pengetahuan dan penyaksian terhadap hakikat tilikan Allah serta taklukan sifat-sifat-Nya terhadap diri manusia. Inilah yang dikatakan ihsan seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. yang bermaksud “ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.

Cara Mencapai Tasawuf

Menurut Imam al-Ghazali, setiap maqam agama itu seperti taubat, sabar, syukur, reda, tawakkal dan sebagainya, adalah terdiri dari tiga perkara iaitu ilmu, amal dan hal (nur). Dengan ketiga-tiga perkara inilah tercapainya kesempurnaan maqam agama itu. Hal atau nur inilah merupakan intipati ilmu tasawuf. Ilmu diperolehi menerusi pengkajian dan pembelajaran dan ilmu itu pula menghendaki pengamalan. Amal yang jujur, bersungguh-sungguh, istiqamah dan berdasarkan ilmu itulah yang akan membuahkan hal. Oleh itu tasawuf dicapai menerusi ilmu dan amal. Perkara ini dapat dilihat pertunjuknya dalam banyak ayat-ayat al-Qur’an, antaranya ialah firman Allah yang bermaksud “dan orang-orang yang bermujahadah pada jalan Kami (Allah), pasti Kami (Allah) akan tunjukkan (hidayat) kepada mereka jalan-jalan Kami (Allah)”, firman Allah yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia (Allah) akan menjadikan untuk kamu pemisah (furqan iaitu nur yang memisahkan antara haq dan batil)”, dan ayat-ayat lain lagi.

Adapun amal yang menghasilkan tasawuf itu ialah amal yang berfungsi membersih dan mentawajjuhkan hati kepada Allah iaitu apa yang diistilahkan sebagai mujahadah dan riyadah. Amalan, tata-cara, adab-adab serta tunjuk-ajar dalam melaksanakan mujahadah dan riyadah inilah yang dinamakan tarekat. Mengenai amal tarekat ini, ulama tasawuf menjelaskan bahawa tarekat itu ialah engkau mengqasadkan hatimu kepada-Nya. Iaitu bermaksud, tarekat itu ialah berusaha sedaya upaya mentawajjuh dan menumpukan tumpuan hati kepada Allah menerusi amalan yang dilaksanakan. Apabila tawajjuh hati mula dicapai dan dirasai serta menjadi semakin kuat dan teguh, ia akan membawa kepada penyaksian batin (mushahadah) terhadap hakikat-hakikat tauhid iaitu apa yang disebut hakikat. Mengenai hakikat ini ulama tasawuf menjelaskan bahawa hakikat itu ialah engkau menyaksikan-Nya.

Intipati dari semua amal mujahadah dan riyadah yang membawa kepada tercapainya tasawuf itu ialah zikir. Menurut Ibn Qayyim, semua amal itu disyariatkan adalah untuk melaksanakan dhikrullah, iaitu apa yang dimaksudkan dengan amal-amal itu ialah dhikrullah. Menurut beliau lagi, tidak ada jalan untuk mendapatkan ahwal dan ma`rifah itu kecuali menerusi zikir. Zikir sebagai amal penting dalam riyadah dan mujahadah ini dapat dilihat kebenarannya dalam banyak pertunjuk Nabi s.a.w. kepada para sahabat r.a. Dalam satu riwayat, Nabi s.a.w. ada menganjurkan para sahabat supaya memperbaharui iman. Mereka bertanya tentang cara bagaimana iman itu dapat diperbaharui. Nabi s.a.w. menjelaskan dengan sabda baginda yang bermaksud “perbanyakkan menyebut La ilaha illallah”. Memperbaharui iman itu bukan bermaksud menambah kepercayaan-kepercayaan baru, tetapi bermaksud memperteguh, memperdalam dan memperhalusi keyakinan sehingga hakikat-hakikat tauhid yang diimani dapat disaksikan kebenarannya oleh matahati. Caranya ialah selalu mengulangi kalimat tauhid sehingga ia tertanam teguh dalam hati sanubari.

Dalam riwayat yang lain, Nabi s.a.w. pernah mentalqinkan kalimat tauhid ini kepada sekumpulan sahabat. Shaddad ibn Aus meriwayatkan bahawa kami berada di sisi Nabi s.a.w. ketika baginda bersabda “angkatkan tangan-tangan kamu, lalu katakanlah La ilaha illallah”.

Kesan-Kesan Tasawuf

Tasawuf selalu dilihat sebagai sesuatu yang bersifat peribadi. Memang benar tasawuf itu bersifat peribadi kalau ia dilihat dari segi intipati atau hakikat tasawuf itu. Namun tasawuf itu mempunyai kaitan rapat dengan perkara-perkara lain yang tidak dapat dipisahkan dan mempunyai natijah serta kesan yang tertentu hasil dari pencapaiannya. Secara umumnya, pencapaian tasawuf itu akan mewujudkan, memperteguhkan dan mengharmonikan dua bentuk hubungan iaitu hubungan dengan Allah sebagai pencipta dan pentadbir alam ini dan hubungan dengan manusia sebagai penghuni dan pemakmur dunia ini.

Hakikat ini dapat diperhatikan kenyataannya dalam satu riwayat di mana Nabi s.a.w. pernah ditanya oleh para sahabat mengenai orang yang paling afdal dan tinggi darjatnya di sisi Allah pada hari kiamat. Nabi s.a.w. menjawab “iaitu orang-orang yang banyak zikirnya terhadap Allah”. Ternyata bahawa zikir yang merupakan kekunci penting dalam usaha mencapai tasawuf itu menjadi ciri utama bagi orang yang dikira sebagai paling utama dan tinggi darjatnya di sisi Allah pada hari kiamat. Dengan tercapainya tasawuf itu akan membuahkan berbagai ahwal, maqamat dan amalan yang dengannya seseorang itu mendapat kemuliaan dan mencapai ketinggian darjat di dunia dan juga di sisi Allah. Antara kesan-kesan tasawuf itu ialah:

1-Memperteguhkan keimanan dan membina jatidiri muslim.

Tasawuf berfungsi memperteguhkan keimanan dan keyakinan serta menetapkan pendirian seseorang muslim. Apabila batin manusia bersih dari kekotoran sifat-sifat yang tercela dan dari kecintaan terhadap sesuatu yang lain dari Allah, akan terpancarlah (tajalli) cahaya kebenaran ilahi di dalam hati. Kesannya manusia dapat menyaksikan hakikat kebenaran Allah dan kepalsuan sesuatu yang lain dari-Nya dengan terang dan nyata. Inilah nur yang disebut dalam firman Allah yang bermaksud “maka sesiapa yang dilapangkan Allah dadanya untuk Islam, maka dia itulah orang yang berada di atas cahaya (nur) dari Tuhannya”. Mengenai nur ini Nabi s.a.w. menjelaskan “bahawa nur itu, apabila memasuki hati, ia akan menjadi luas dan lapang (terbuka hijab)”. Iaitu hati yang terhijab dengan pelbagai hijab rohani sehingga ia terhalang dari menyaksikan kebenaran Allah, apabila ia disinari dengan nur ilahi, akan tersingkaplah hijab-hijab tersebut lalu ia dapat menyaksikan kebenaran ilahi.

Nur tersebut membawa kepada peningkatan darjat keimanan dan keyakinan hati serta memperteguhkan pendirian. Dalam keadaan ini, hati manusia tidak lagi dipengaruhi oleh sebab musabab, tidak merasa bimbang dan takut terhadapnya serta tidak lagi meletakkan pergantungan hati terhadapnya. Dia tidak merasa gelisah terhadap sumber-sumber rezeki, persoalan hidup atau mati, susah atau senang, kaya atau miskin, untung atau rugi, dapat atau tidak, menang atau kalah dan sebagainya lagi. Ini kerana hatinya telah menyaksikan dengan terang dan nyata kebenaran kewujudan Allah dan adanya ketentuan (qada’ dan qadar) dari-Nya terhadap semua makhluk-Nya. Dia berkeyakinan penuh bahawa tidak akan terjadi sesuatu itu kecuali dengan kekuasaan, kehendak, ketentuan dan keizinan dari-Nya. Inilah kewalian yang sebenar-benarnya seperti yang digambarkan dalam firman Allah yang bermaksud “ketahuilah bahawa wali-wali Allah itu tidak ada ketakutan ke atas mereka dan mereka itu tidak berduka cita”.

Inilah tingkatan iman yang utama iaitu iman yang didasari penyaksian batin terhadap kebenaran ketuhanan Allah. Mengenai perkara ini Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “iman yang paling afdal ialah bahawa engkau mengetahui (dengan yakin) bahawa Allah menyaksikan dirimu di mana saja engkau berada”. Di sinilah letaknya jati diri seseorang mukmin. Allah memperteguhkan orang mukmin itu dengan keyakinan ini. Dalam al-Qur’an dijelaskan bahawa “Allah memperteguhkan orang-orang yang beriman dengan kata-kata yang teguh”. Menurut ahli tafsir, kata-kata yang teguh itu ialah kalimat tauhid (La ilaha illallah), iaitu kalimat iman dan taqwa.

2-Menimbulkan kesedaran jiwa

Intipati tasawuf itu ialah benarnya tawajjuh hati ke hadrat ilahi. Permulaan tawajjuh hati itu ialah timbulnya kesedaran jiwa (intibah). Seseorang yang mengalami intibah itu akan menyedari kelemahan, kekurangan dan kesilapan dirinya. Kesedaran inilah yang akan membawa kepada taubat dan usaha memperbaiki dan menyempurnakan diri. Kesedaran ini jugalah yang membangkitkan usaha gigih dalam meningkatkan dan memartabatkan diri. Isyarat ini dapat dilihat dalam al-Qur’an di mana Allah berfirman yang bermaksud “dan orang-orang yang apabila mereka melakukan perkara keji atau menzalimi diri mereka sendiri lalu mereka mengingati Allah, lantas mereka beristighfar terhadap dosa-dosa mereka, dan tiadalah yang mengampunkan dosa-dosa itu melainkan Allah, dan mereka itu tidak berlarutan dalam melakukan apa yang telah mereka lakukan sedangkan mereka mengetahuinya”.

3-Membina keperibadian dan akhlak mulia.

Tasawuf itu dari satu sudut ialah pencapaian akhlak mulia. Akhlak tidak dapat dipisahkan dari tasawuf di mana akhlak itu adalah merupakan buah atau hasil dari tasawuf. Pencapaian tasawuf membawa kepada pembentukan akhlak mulia. Mengenai akhlak ini, Abu Bakr al-Kattani menjelaskan bahawa “tasawuf itu ialah akhlak, sesiapa yang menambahkan akhlakmu, maka sesungguhnya dia telah menambahkan kesufianmu”. Hakikat ini sesuai dengan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud “orang-orang mukmin yang paling sempurna iman ialah mereka yang paling baik akhlak”

Apabila seseorang itu mula merasai hakikat tasawuf dengan sendirinya dia akan berakhlak mulia, kerana pencapaian hakikat tasawuf itu membawa kepada kelembutan hati. Kelembutan hati itulah yang melahirkan berbagai akhlak mulia. Oleh itu semakin tinggi tahap kesufian seseorang itu maka semakin mulia akhlaknya. Nabi s.a.w yang merupakan imam ahli tasawuf adalah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia sebagaimana sabda baginda yang bermaksud “sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

4-Membentuk insan yang bertanggungjawab

Tasawuf itu dari satu dimensi ialah merasai hakikat iman dan mencapai martabat ihsan. Sekurang-kurang martabat ihsan itu ialah seseorang itu merasai dan menyedari bahawa dirinya sentiasa dalam tilikan dan pandangan Allah. Kesedaran inilah yang akan menjadikan seseorang itu merasa bertanggungjawab. Orang yang mengalami kesedaran ini akan merasai bahawa dirinya akan dipersoalkan di hadapan Allah mengenai tanggungjawabnya terhadap dirinya, keluarganya dan juga masyarakatnya. Mengenai perkara ini Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “perumpamaan orang-orang yang beriman dalam perkara kasih sayang, rahmat merahmati, dan belas kasihan sesama mereka adalah seumpama satu tubuh, apabila satu anggota mengadu kesakitan maka seluruh anggota yang lain akan merasainya dengan tidak dapat tidur malam dan demam”.

Dalam satu riwayat, Nabi s.a.w. ada menjelaskan bahawa “iman itu ada lebih dari enam puluh tiga cabang, yang paling tinggi ialah ucapan La ilaha illallah, yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang menyakiti di jalanan, dan sifat malu merupakan salah satu cabang iman”. Kemantapan dan kemurnian iman hasil dari pencapaian tasawuf akan menimbulkan rasa prihatin dan tanggungjawab terhadap orang lain. Timbulnya dorongan untuk tidak menyakitkan orang lain dan membuang sesuatu yang boleh menyakitkan mereka seperti yang disebut dalam hadis adalah merupakan hasil dari kemurnian jiwa atau tercapainya tasawuf.

5-Mewujudkan persaudaraan, perpaduan, dan sifat rahmat sesama manusia

Tasawuf itu dari satu sudut merupakan peningkatan tahap keimanan dan kesempurnaannya. Apabila tasawuf itu dicapai dan dirasai hakikatnya ia akan menimbulkan suatu keadaan kejiwaan di mana seseorang itu merasa kasih dan bertanggungjawab terhadap semua manusia dan juga makhluk-makhluk lain. Mengenai perkara ini Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “tidak beriman seseorang kamu itu sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dikasihinya untuk dirinya sendiri”. Demikian juga Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “orang mukmin terhadap orang mukmin yang lain adalah seumpama binaan di mana sebahagiannya memperteguhkan sebahagian yang lain”.

Penutup

Dari penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa tasawuf itu sebenarnya merupakan pencapaian martabat ihsan yang merupakan jiwa agama. Ia adalah satu dari tiga tunggak utama agama Islam. Pencapaian martabat ini bukan sahaja memperteguhkan hubungan seseorang itu dengan Tuhannya dalam bentuk peningkatan nilai keimanan, ibadah dan akhlak, malah juga hubungannya dengan sesama manusia dalam bentuk kewujudan rasa hormat menghormati, tanggungjawab dan keharmonian muamalah.

* Tajuk ini adalah salah satu tajuk kertas kerja yang pernah dibentangkan di Seminar Kebangsaan Kefahaman Taswwuf Nusantara anjuran Persatuan Pelajar Usuluddin UDM dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu pada 13 Februari 2006. Ketua Pengarah seminar ini adalah saya sendiri. Sebarang persoalan sila hubungi saya.

** Merupakan salah seorang pensyarah saya di Universiti Darul Iman Malaysia dalam matapelajaran Tasawuf. Beliau juga adalah khalifah bagi tarikat Qadariyah Wal Nadsyabandiyah.

Sumber : Ustaz Buluh Iluvislam