Soalan:
Apakah hukum mencium tangan para ulama dan orang soleh? Adakah ia suatu bid'ah atau ia dianjurkan oleh syarak?
Jawapan :
Mencium tangan ulama, orang-orang soleh dan pemimpin yang adil adalah sunat dan bukanlah suatu yang bid'ah selagi mana ia tidak menyebabkan mereka yang dicium tangan itu tertipu (ghurur). Sekiranya keadaan itu terjadi, dosa dibebankan kepada orang yang diciumkan tangannya dan bukannya kepada orang yang mencium, kerana yang mencium itu hanya bermaksud untuk memuliakan dan menghormatinya.
Dalil bagi masalah ini adalah seperti berikut :
1. Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh At Tirmidzi dan Abu Daud dengan sanad yang hasan sahih daripada Safwan bin 'Assal radiyaLLahu 'anhu katanya : "Seorang Yahudi berkata kepada sahabatnya: "Mari kita pergi bertemu dengan nabi ini." Lalu mereka berdua pergi menemui Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam dan bertanyakan kepadanya sembilan tanda yang nyata. Maka RasuluLlah pun menjawab : "Janganlah kamu mensyirikkan ALLah dengan sesuatu apapun, jangan kamu mencuri, jangan kamu berzina, jangan kamu membunuh jiwa yang diharamkan ALLah melainkan dengan haknya, jangan kamu berjalan dengan bebas kepada seorang yang mempunyai kekuasaan lalu dia membunuh kamu, jangan kamu mengamalkan sihir, jangan kamu memakan riba, jangan kamu menuduh melakukan zina kepada seorang wanita yang suci, jangan kamu berpaling tadah (berundur) dari medan peperangan, jangan kamu bekerja pada hari sabtu."
Safwan berkata: "Lalu kedua Yahudi itu mencium tangan dan kaki baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam dan berkata : "Kami bersaksi bahawa engkau adalah seorang nabi." Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam bertanya: "Apakah yang menghalang kamu daripada mengikutiku?" Salah seorangnya menjawab : "Sesungguhnya Nabi Daud 'alaihissalam pernah berdoa kepada Tuhannya supaya sentiasa mengutuskan nabi di kalangan zuriatnya, dan kami takut sekiranya kami mengikutimu, kami akan dibunuh oleh orang-orang Yahudi."
2. Hadith yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih bahawa Ummu Aban binti Wazei' bin Zarei' daripada datuknya Zarei' radiyaLLahu 'anhu dan beliau bersama-sama di dalam rombongan qabilah Abdul Qais katanya: "Tatkala kami tiba di Madinah, kami segera meninggalkan kenderaan-kenderaan kami, lalu kami mengucup tangan dan kaki RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam. Tetapi al Munzir al Arsyah menunggu sehingga tibanya Utbah, lalu beliau memakai kedua pakaiannya, kemudian pergi menemui Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam. Nabi bersabda kepadanya :
"Sesungguhnya pada kamu ada dua sifat yang dikasihi oleh ALLah iaitu : sabar dan lemah lembut." Al Munzir bertanya : "Wahai RasuluLLah adakah aku yang berusaha untuk berakhlak dengan kedua-dua sifat itu atau ianya dikurniakan oleh ALlah? RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam menjawab : Ia dikurniakan oleh ALlah kepada kamu." Lalu Munzir mengucap: "AlhamduliLlah yang telah mengurniakan kepadaku dua sifat yang dicintai ALlah dan rasul-Nya."
Jika terdapat dakwaan mengatakan ia hanya dikhususkan kepada Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam. Maka kami akan menjawab begini : Dakwaan ini perlulah dikemukakan bersama dalil yang menyatakan mengucup tangan dan kaki hanya khusus untuk RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam tetapi tidak ada satupun dalil mengenai perkara tersebut.
Prinsip asalnya ialah setiap sesuatu yang diakui oleh RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam atau dilakukan dan diucapkan oleh baginda menjadi syariat untuk baginda dan umatnya selagimana tiada dalil yang menyatakan ia dikhususkan untuk RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam.
Manakala pendapat yang mengatakan sekiranya diharuskan mengucup tangan atau kaki, nescaya ia membawa kepada tunduk yang dilarang. Maka jawapannya begini : Bukan semestinya setiap bentuk tunduk itu ditegah syarak, tetapi yang ditegah ialah tunduk untuk tujuan mengagungkan dan rukuk. Bukankah apabila sesuatu barang kamu jatuh ke tanah, maka kamu menundukkan badan untuk mengambilnya? Jadi, begitulah juga menundukkan badan di sini adalah untuk mengucup tangan atau kaki, bukannya untuk menyembah atau mengagungkan.
Sumber Ambilan : Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur
3 ulasan:
jazakallah khairan..
ada tak dalil mencium kaki para2 ulama???
ada tak dalil mencium kaki ?
Jawapan Dari Ustaz Ayman Akiti :
Setahun dahulu, ada orang yang menyesatkan amalan mencium kaki kerana menta'zimkan orang yang lebih tua atau lebih mulia kerana ilmu. Ketika dibawakan hadis taqrir Rasulullah SAW amalan cium kaki, dia menjawab bahwa ini adalah hadis sufi, oleh kerana itu ia adalah batil, padahal hadis ini ada di dalam kitab al-Adab al-Mufrad karangan Imam Bukhari RA. Sekarang, setahun sudah, sempat mengikuti bacaan kitab al-Adab al-Mufrad oleh Syaikh Mahmud Said Mamduh bersama-sama dengan Syaikh Fuad Kamaluddin di Hay Asyir. Dalam muqaddimah, Syaikh Mahmud menyebutkan bahwa hadis-hadis yang terdapat dalam kitab ini ada 5 martabat:
1) Sahih sebagaimana yg terdapat di dalam al-Jami' al-Shahih Imam al-Bukhari
2) Sahih sesuai dengan Syarat Imam Bukhari
3) Sahih tapi bukan dengan syarat Imam Bukhari
4) Hasan
5) yang menyamai derajat Hasan.
Sekarang biarlah dia tahu bahwa hadis yang dimaksud adalah berada pada bab khusus tentang mencium kaki dan ini adalah kalam Imam al-Bukhari sendiri (sebagaimana yang kita tahu bahwa judul bab dalam kitab-kitab al-Bukhari adalah berarti fiqh beliau).
Terjemahan Bebas:
(Bab Mencium Kaki) al-Wazi' bin Amir berkata: aku maju kehadapan maka disebut: "Itu Rasulullah" maka aku mengambil kedua tangannya dan kedua kakinya, aku mencium-nya (kedua tangan dan kakinya).
Shuhaib berkata: Aku melihat Ali mencium tangan al-Abbas dan kedua kakinya.
Maka benarlah kata-kata seorang sahabat, menisbatkan hadis maudhu' terhadap Rasul adalah suatu penghinaan kepada Nabi, akan tetapi menafikan hadis yang sabit ke atas Rasul juga adalah penghinaan terhadap Rasul!!!
Wallahu a'lam...
Catat Ulasan