(f) Mendakwa Kiamat Akan Berlaku Pada 1710H/ 2280M
Kumpulan Anti Hadith ini juga mendakwa kiamat akan berlaku pada 1710H/2280M berdasarkan kepercayaannya kepada Kod 19. Kenyataan ini terkandung di dalam buku "HADIS JAWAPAN KEPADA PENGKRITIK" tulisan Kasim Ahmad.
"Angka 309 ada disebut dalam Quran dalam konteks yang berkaitan dengan tamatnya dunia dan kiamat. Ini bermakna Quran sendiri mengesahkatarikh tamatnya dunia dan kiamat. Oleh yang demikian, dunia ini akan berakhir 309 tahun Hijrah dari 1400 atau 300 tahun masihi dari 1980 pada 1710 T.H. bersamaan dengan 2280 T.M." (hal. 59)
ULASAN
Tidak ada siapa daripada makhluk Allah yang mengetahui tentang bilakah akan berlakunya Hari Kiamat. Perkara ini adalah termasuk di dalam perkara ghaib yang tidak boleh dicapai oleh pancaindera manusia, juga oleh para malaikat. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Katakanlah lagi: "Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah. Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati). (Surah An-Naml: Ayat 65)
Nabi-nabi dan Malaikat sendiripun tidak mengetahui bilakah berlakunya hari kiamat. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud: Daripada Ibnu Umar ra. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya (oleh Malaikat Jibril)
"...... Beritahulah kepadaku tentang hari Kiamat". Nabi berkata: "tidakkah orang yang bertanya lebih mengetahui daripada orang yang ditanya" (Riwayat Muslim)
Allah Maha Berkuasa menentukan bila berlakunya hari kiamat. Manusia tidak dapat meramal waktu dan masanya. Manusia tidak disuruh dan diperintah untuk meramal hari kiamat. Sebaliknya manusia dituntut supaya memakmurkan bumi Allah ini dengan kerja-kerja kebajikan dan bukannya melakukan perkara-perkara yang boleh membantut pembangunan negara dan seterusnya akan memberi kesan buruk kepada masyarakat kerana mereka akan meramalkan sikap "anti establishment". Sikap seumpama ini amat bercanggah dengan ajaran Islam. Islam menuntut umatnya supaya berlumba-lumba mengerjakan amal kebajikan sebagaimana firman Allah s.w.t.:
"Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana sahaja kamu berada, maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Surah Al-Baqarah: ayat 148)
Agama Islam melarang keras umatnya yang menjadi tukang tilik atau menenung nasib seseorang terhadap sesuatu perkara ghaib, kerana perbuatan sedemikian adalah termasuk di dalam perkara keji dan kotor. Ini jelas diperakui oleh Al-Quran melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari pesyaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya". (Surah al-Maidah: ayat 90)
Kita sebagai manusia biasa seharusnya insaf dan sedar bahawa kita ini semuanya hamba Allah s.w.t. yang dikurniakan oleh Allah ilmu-ilmu.yang terbatas sahaja dan tidak mampu untuk menjangkau dan memiliki alam ghaib dan sepatutnya kita akur dan tawadhu' bahawa Allah s.w.t. sahaja yang Maha Berkuasa di dalam perkara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan