CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 31 Disember 2008

Hukum Membaca Talqin

Talqin - Raudhatuth Tholibin

Amalan membaca talqin setelah mayat dikebumikan adalah satu amalan yang diterima sebagai sunnat atau mustahab dalam mazhab Syafi'i. Dan amalan ini telah diamalkan oleh umat Islam di Nusantara ini sejak awal kemasukan Islam lagi, tanpa ada yang mempertikaikannya atau menolaknya. Maka kenapa kini amalan sebegini dijadikan sasaran untuk menghukum orang lain sebagai pelaku bid'ah yang tidak mengikuti sunnah? Jika pun tidak mahu bertalqin, maka sewajarnya berlapang dadalah kerana ianya termasuk dalam bab khilafiyyah pada furu', di mana dalam mazhab Syafi'i ianya adalah sesuatu yang dihukumkan sebagai sunnat atau mustahab. Imam an-Nawawi rhm. menulis dalam kitab "Raudhatuth Tholibiin" seperti berikut:-









... Dan mustahab hukumnya mentalqinkan mayyit setelah dikebumi. Maka dikatakan: "Wahai hamba Allah anak hamba perempuan Allah, ingatlah dengan apa yang atasnya engkau keluar meninggalkan dunia, iaitu penyaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad pesuruh Allah. Sesungguhnya syurga itu benar, neraka itu benar, kebangkitan itu benar, hari kiamat pasti datang tanpa keraguan, dan Allah akan membangkitkan sesiapa sahaja dari kubur. Sesungguhnya engkau telah redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai nabi, al-Quran sebagai panutan, ka'bah sebagai qiblat dan kaum mukminin sebagai saudara". Telah warid dengannya hadits Junjungan Nabi s.a.w.

Selanjutnya Imam an-Nawawi meneruskan lagi:-












Inilah talqin yang dihukumkan mustahab oleh perhimpunan daripada sahabat kami (yakni para ulama asy-Syafi'iyyah), antara mereka adalah al-Qadhi Husain, Shohibut Tatimmah, Syaikh Nashr al-Maqdisi dalam kitabnya "at-Tahdzib" dan selain mereka. Qadhi Husain telah menukilkan bahawa secara mutlak di sisi ulama Syafi'i, membaca talqin ini adalah mustahab . Dan adapun hadits yang datang mengenai hukum talqin ini adalah dhoif, akan tetapi hadits-hadits (dhoif) berkaitan keutamaan (fadhoil) adalah tidak mengapa untuk diamalkan di sisi ahli ilmu daripada kalangan muhadditsin dan selain mereka. Dan telah diperkukuhkan hadits mengenai talqin ini dengan kesaksian beberapa hadits yang shohih, seperti hadits :

"Mohonlah kepada Allah baginya (yakni bagi si mati) akan ketetapan (yakni ketetapan dalam menjawab fitnah kubur),"

dan wasiat Sayyidina 'Amr bin al-'Aash:

"Berdirilah kamu di sisi kuburku (walaupun hanya) selama kadar menyembelih seekor sembelihan dan membahagi-bahagi dagingnya, sehingga aku dapat merasakan ketenangan dengan kalian dan aku mengetahui dengan apa akan aku kembalikan utusan-utusan Tuhanku (yakni Munkar dan Nakir)", sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam shohihnya. Sentiasalah penduduk Kota Syam beramal dengan amalan talqin ini sejak zaman permulaan Islam lagi, iaitu zaman di mana orang-orangnya dijadikan ikutan.


Maka berkata para sahabat kami (yakni ulama Syafi'i): " Dan duduklah orang yang membaca talqin itu di sisi kepala kuburan si mati, dan adapun anak kecil yang belum baligh dan seumpamanya, maka tidaklah ditalqinkan."

Oleh itu, janganlah memandang remeh urusan talqin mayyit setelah dikubur. Ianya adalah amalan yang punya dalil dan asas dalam Mazhab Syafi'i. Bukan hanya kita di Malaysia yang bertalqin zaman berzaman, Imam an-Nawawi rahimahullah telah menyatakan bahawa umat Islam di Kota Syam turut mengamalkannya sejak dahulu lagi. Jauhilah sikap mempersenda-sendakan amalan orang lain, apatah lagi jika ianya yang punya dasar, dan diamalkan oleh para ulama dan awliya'. Negeri Sembilan Darul Khusus adalah negeri yang telah mewartakan fatwa berhubung talqin. Di mana dalam Warta Kerajaan Jil. 50 No. 19 bertarikh 11 September 1997 mewartakan fatwa berikut:-

1. Talqin hukumnya adalah sunat dan masa talqin itu ialah semasa ihtidar (hampir mati) dan atau selepas dikebumikan.

2. Semasa di dalam ihtidar (hampir mati) maka sunat diajarkannya mengucap kalimah syahadah iaitu La ilaha illallah dan bagi mayat yang telah dikebumikan maka dikata di sisi kuburnya, kata olehmu Tuhanku Allah, Agamaku Islam, Nabiku Muhammad S.A.W. hingga akhir talqin.

3. Mana-mana orang atau kumpulan orang adalah dilarang -

(a) membid'ahkan mana-mana orang lain yang membacakan talqin kepada mayat.

(b) memegang, mengamal atau mengajarkan bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang.

(c) menyiar, menyebar, menghebahkan atau mendedahkan dengan apa-apa cara pun bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang.

4. Mana-mana orang Islam adalah dilarang menjadi anggota, pemimpin atau penyokong mana-mana orang atau kumpulan orang yang dilarang di dalam perenggan 3.

Tiada ulasan: