Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah, golongan ahlul hadith di zaman salafus-soleh sendiri, yang kononnya hanya ianya semata-mata adalah ahlus-sunnah wal jamaah, mengakui mereka memerlukan bantuan ahlul fiqh dalam memahami nas-nas hukum. Sejak dari zaman pengkhususan ilmu-ilmu Islam di zaman salafus soleh, sehingga hari ini, ulama-ulama dan ahli hadith sendiri mengakui memerlukan ahli fiqh untuk membantu mereka dalam mengistinbath hukum-hukum daripada nas-nas Islam.
Abdullah bin Mubarak (seorang ulama' Hadis dari Khurasan) r.h.l. pernah berkata:
"Jika Allah s.w.t. tidak membantu saya dengan perantaraan Abu Hanifah dan Sufian (dua ulama' Fiqh), nescaya aku sama sahaja seperti orang awam (yang tidak memahami Hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam) ". (Kitab "Tibyiidh As-Shohafiyyah" m/s 16)Sufian bin 'Uyainah r.h.l. pernah berkata:
"Orang yang pertama membantu saya dalam memahami hadis dan menjadikan saya seorang ahli Hadis ialah Imam Abu Hanifah (seorang ulama' fiqh)" (Kitab "Jawahir Al-Mudhiyah" jilid 1 m/s 31)
Abdulla bin Wahab r.h.l. (seorang ahli hadis juga sahabat Imam Malik r.h.l.) juga pernah berkata:
"saya telah berjumpa dengan tiga ratus enam puluh ulama', (bagi saya) tanpa Imam Malik dan Imam Laith r.h.l (ulama'-ulama' Fiqh), nescaya saya akan sesat dalam ilmu." (Ibn Hibban, muqoddimah Kitab "Al-Majruhin")
Beliau juga diriwayatkan pernah berkata:
"Kami mengikuti empat orang ini dalam ilmu, duanya di Mesir dan dua orang lagi di Madinah. Imam Al-Laith bin Sa'ad dan Amr bin Al-Harith di Mesir, dan dua orang lagi di Madinah ialah Imam Malik dan Al-Majishun. Jika tidak kerana mereka, nescaya kami akan sesat."Imam Al-Kauthari r.h.l. berkata di dalam kitab Al-Intiqa' karangan Ibn Abdil Bar, telah berkata Abdullah bin Wahab (dari sanad Ibn 'Asakir):
"Jika tiada Imam Malik bin Anas dan Imam Al-Laith Sa'ad, nescaya saya akan binasa. Dulu, saya menyangka setiap yang datang dari Rasulullah (sallallahu'alaihi wasallam) (As-Sunnah dan Al-Hadis), perlu diamalkan".
Maksud kesesatan dalam perkataan beliau ialah: percanggahan dengan maksud Hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam). Kemudian, Imam Al-Kauthari mengulas:
"Kesesatan yang dimaksudkan sepertimana berlaku pada kebanyakan manusia yang jauh dari ilmu Fiqh dan tidak dapat membezakan tentang hadis yang diamalkan dan selainnya. Ktab "Al-Intiqa' fi Fadhail Al-A'immah Ath-Thalathah Al-Fuqoha'" m/s 27-28
Al-Qodhi 'Iyadh r.h.l. meriwayatkan, Ibn Wahab r.h.l. juga pernah berkata:
"Andai Allah s.w.t. tidak menyelamatkan saya dari kesesatan melalui Imam Malik dan Al-Laith r.h.l., nescaya saya akan sesat." Beliau ditanya: "Mengapa begitu?" Beliau menjawab: " Saya telah menghafal banyak hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam), sehingga timbul pelbagai persoalan. Kemudian, saya pergi ke Imam Malik dan Al-Laith untuk bertanya mengenainya, maka mereka berkata kepada saya: "Hadis ini kamu amalkan dan ambil ia sebagai hujah, dan hadis yang ini pula kamu tinggalkan (tidak perlu menggunakannya)." (Kitab "Tartib Al-Madarik" jilid 2 m/s 427)Sufian bin 'Uyainah pernah berkata:
"Hadis itu menyesatkan kecuali kepada Al-Fuqoha' (ulama' ahli Fiqh). Kadangkala, suatu hadis itu tidak boleh dipegang secara zahir sahaja, malah ada ta'wilannya. Kadangkala, sesuatu Hadis itu pula ada maksud yang tersembunyi. Ada juga Hadis yang perlu ditinggalkan dengan sebab-sebab tertentu, yang mana, semua itu hanya diketahui oleh orang yang mahir dan berilmu luas khususnya dalam Fiqh (kefahaman)." (Imam ibn Abi Zaid Al-Qairawani, "Al-Jami'" m/s 118)
Ibn Rusyd r.h.l. pernah ditanya tentang kata-kata:
"Hadis itu menyesatkan kecuali bagi ahli Fiqh". Beliau ditanya lagi: "Bukankah seorang ahli Fiqh itu juga perlu tahu mengenai Hadis terlebih dahulu.?!" Beliau menjawab: "Kata-kata itu bukanlah dari Rasulullah (sallallahu'alaihi wasallam), ia merupakan kata-kata Ibn 'Uyainah r.h.l. dan ahli-ahli Fiqh yang lain. Maksud kata-kata itu tepat, kerana kadangkala, sesuatu hadis itu diriwayatkan dalam sesuatu keadaaan yang khusus, tetapi maknanya umum, begitu juga sebaliknya. Ada juga Hadis yang Nasikh dan Hadis yang Mansukh (tidak digunakan lagi). Kadangkala pula, ada hadis yang secara zahirnya seolah-olah menyerupakan Allah dengan makhluk (Tasybih). Ada juga hadis yang maksudnya hanya diketahui oleh para ahli Fiqh sahaja. Barangsiapa yang hanya mengumpul hadis tetapi tidak memahaminya tidak dapat membezakan antara hadis yang maksudnya umum atau khusus. Oleh kerana itu, ahli Fiqh (Faqih) itu bukanlah orang yang sekadar mengetahui tentang Hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam) sahaja, bahkan memahaminya secara mendalam. Jika seseorang itu tdak mampu memahami secara mendalam dalam masalah hadis mahupun Fiqh, maka dia bukanlah seorang ahli Fiqh (Faqih), walaupun dia mengumpul banyak Hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam). Inilah sebenarnya maksud kata-kata Sufian bin 'Uyainah. (Abu 'Abbas Al-Wansyarishi "Al-Mi'yar Al-Mu'rab" jilid 12 m/s 314 )
Abdullah bin Mubarak r.h.l. pernah berkata mengenai fiqh Imam Abu Hanifah r.h.l.:
"Jangan kamu katakan fiqh ini (mazhab Imam Abu Hanifah) merupakan pendapat beliau, tetapi katakanlah, ia (mazhab Abu Hanifah) merupakan tafsiran bagi hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam). Kitab "Manaqib Al-Muaffaq Al-Makki" m/s 234
Para ulama' salafus soleh dan mereka yang mengikut jejak langkah mereka, dalam segenap bidang termasuk dalam kelompok Jamaah Muslimin, samada golongan fuqoha' (ahli fiqh), golongan muhaddithin (ahli hadith), golongan mutakallimin daripada kelompok Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah, golongan sufi yang muhaqqiq dan sebagainya.
Di zaman salafus-soleh sendiri, pengkhususan dalam segenap bidang ilmu Islam tidak pernah mengeluarkan sesiapa daripada Jamaah umat Islam, ataupun menyebabkan mana-mana kelompok mendominasi penggunaan Jamaah Umat Islam lalu mengeluarkan selain daripada mereka, daripada Jamaah Umat Islam tersebut.
Golongan fuqoha' seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Auza'ie, Imam Laith dan sebagainya saling bekerjasama dengan ulama' hadith seperti Imam Az-Zuhri, Imam Al-Madani, Ibn Juraij, Ibn Mubarak dan sebagainya. Begitu juga, para ulama' tafsir tidak ketinggalan dalam menjalinkan kerjasama dengan kedua-dua golongan tersebut. Para ulama' sufi yang lebih dikenali dengan golongan Zuhhad (orang-orang Zuhud) juga dalam masa yang sama terlibat secara langsung ataupun secara tidak langsung dengan golongan-golongan tersebut. Bahkan, Imam Hasan Al-Basri yang merupakan penghulu dan ulama' para sufi juga dalam masa yang sama dikenali sebagai ulama' dalam bidang hadith, tafsir dan fiqh. Imam Malik juga walaupun dikenali sebagai ulama' fiqh, tetapi dari satu sudut yang lain, beliau juga adalah sebagai ulama' hadith yang mengarang buku Al-Muwatta', buku yang mengandungi kesepaduan antara ilmu fiqh dan hadith di zaman tersebut.
Dari satu sudut yang lain, seolah-olah ada pertembungan dan perselisihan antara golongan yang dikenali sebagai ahlul-hadith (yang dipelopori oleh Imam Malik) dengan golongan ahlul-ra'yi (golongan ahli akal yang dipelopori oleh Imam Abu Hanifah di Iraq). Namun, perselisihan tersebut tidak menjurus kepada sikap mengeluarkan mana-mana golongan daripada kelompok jamaah muslimin.
Setelah kemunculan Imam As-Syafi'e yang mengambil ilmu dan manhaj daripada para ulama' kedua-dua golongan (ahlul-hadith dan ahlul-ra'yi), beliau membuat suatu tajdid (pembaharuan) dalam lapangan ilmu Islam lalu menggabungkan kedua-dua manhaj dengan suatu manhaj pertengahan yang sederhana. Manhaj beliau jelas dalam menggabungkan kepentingan hadith-hadith dalam menggali hukum (manhaj utama ahlul hadith), dan kepentingan akal dalam berinteraksi dengan nas-nas tersebut (manhaj golongan ahlul-ra'yi).
Manhaj tajdid yang dibawa oleh Imam As-Syafi'e dalam menggabungkan kedua-dua manhaj gurunya (Imam Malik) dan guru kepada gurunya (Imam Abu Hanifah) dalam bidang fiqh diwarisi oleh Imam Ahmad bin Hanbal yang pada mulanya terkenal dalam bidang hadith.
Setelah itu, perkembangan ilmu Islam terus berlaku di mana, berlakunya pengkhususan dalam setiap lapangan ilmu Islam. Para ulama' hadith menyusun manhaj untuk menjaga ketulenan hadith dengan menyusun buku-buku bagi menghimpunkan hadith-hadith sesuai dengan manhaj penyusunan mereka.
Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim contohnya, menghimpunkan hadith-hadith yang dinilai sahih dari sudut periwayatannya (sanadnya) dalam buku-buku mereka yang bernama "As-Sahih".
Imam At-Tirmizi pula menghimpunkan hadith-hadith yang digunakan oleh beliau sebagai hujah dalam amalan-amalan beliau, tanpa menetapkan syarat bahawa hadith itu perlu sahih (sepertimana manhaj Imam Al-Bukhari). Begitu juga para ulama' hadith lain seperti Imam Abu Daud, Imam An-Nasa'ie dan sebagainya, yang menyusun kitab hadith-hadith mereka sesuai dengan manhaj yang mereka inginkan, lalu dikenali sebagai kitab-kitab "sunan".[1]
Para ulama' hadith tersebut tetap bekerjasama dengan para ulama' fiqh di zaman mereka, yang memegang peranan berijtihad dan menggali hukum daripada hadith-hadith dan Al-Qur'an. Ini kerana, mereka (para ulama' hadith) tahu, bahawa para ulama' fiqh lebih layak berijtihad kerana mereka menguasai ilmu usul fiqh, qawa'id fiqhiyyah dan ilmu ifta' (berfatwa) berbanding mereka (ulama' hadith).
Oleh kerana itu, jarang kelihatan fatwa-fatwa para ulama' hadith seperti Imam Al-Bukhari, Imam Muslim, Imam At-Tirmizi dan sebagainya, dalam keseluruhan cabang bidang fiqh Islam. Ini kerana, mereka tahu kelayakan para ulama' fiqh dalam berfatwa, sedangkan mereka (ulama' hadith) berperanan utama dalam menjaga ketulenan sumber hukum Islam.
Ulama' sufi pula menumpukan usaha mereka dalam bidang pentarbiahan umat Islam, sehinggakan, Imam Junaid Al-Baghdadi yang dikenali sebagai penghulu dua golongan (sufi dan fiqh) –Ibn Qayyim turut mengakuinya dalam muqoddimah kitab Tariq Hijratainnya- tidak banyak kelihatan fatwa-fatwanya dalam fiqh tertulis dalam kitab-kitab fiqh, kerana penumpuan beliau kepada bidang tarbiah.
Ulama' aqidah yang lebih dikenali sebagai golongan mutakallimun pula, lebih menumpukan perbahasan dalam bidang aqidah Islam, dengan menghancurkan hujah-hujah golongan ahlul-bid'ah dalam bidang aqidah seperti golongan muktazilah, hasyawiyah, mujassimah, jabbariyah, qadariyah, syiah, khawarij dan sebagainya. Golongan ulama' aqidah dari kalangan ahlus-sunnah wal jamaah adalah dari kalangan golongan Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan