CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 12 Januari 2009

Siapakah Ahlu Sunnah Wal Jama'ah? Bab 2

Hendaklah Kamu Bersama-sama Dengan Jamaah (Ahlus Sunnah wal Jamaah)



Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"…Hendaklah kamu menyertai jamaah (majoriti umat Islam) dan janganlah kamu berpecah (mengikut golongan yang tersesat)…Sesiapa yang mahu menghuni taman syurga, maka hendaklah dia mengikut jamaah" (Hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, dan Al-Hakim).

Telah berkata Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:


"…Dan sesungguhnya pada jamaah itu ada rahmat, dan pada perpecahan itu ada azab." (Hadith riwayat Imam Ahmad, Al-Bazzar dan At-Tabrani).


Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

"…Aku tidak menyembunyikan sesuatupun (daripada kebenaran). Hendaklah kamu semua bertaqwa dan bersama-sama dengan jamaah. Janganlah kamu berpecah (mengikut golongan yang terkeluar daripada jamaah). Sesungguhnya (dengan keluar dari jamaah) itulah kesesatan. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menhimpun umat Muhammad dalam kesesatan" (Hadith riwayat At-Tabrani)

Daripada Ibn Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

"…Yadd (bantuan) Allah itu bersama-sama jama'ah…" (Hadith riwayat Al-Hakim daripada jalan Ad-Dhiya' Al-Maqdisi)
Dalam hal ini, ramai para ulama' telahpun membincangkan mengenai mafhum jamaah secara terperinci yang lebih dikenali dengan istilah Ahlus-sunnah wal jamaah. Ada yang menyatakan bahawasanya, yang dimaksudkan dengan Al-Jamaah atau ahlus sunnah wal jamaah tersebut adalah golongan Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah. Ada juga yang mengatakan bahawasanya, golongan ahlus-sunnah wal jamaah (Al-Jamaah) adalah golongan Al-Athariyah (ahlul hadith), Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah (termasuklah dari kalangan ahli fiqh dan ahli sufi yang kebanyakkannya adalah Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah).

Imam As-Subki berkata:

Ahlus Sunnah wal Jamaah telah bersepakat tentang apa yang wajib, apa yang mustahil dan apa yang harus bagi Allah s.w.t., walaupun berbeza dalam metodologi dan asas perbahasan mereka berkenaan hal-hal tersebut.

Pertama: Golongan Ahlul Hadith

Kedua: Golongan Ahli Penelitian (An-Nazhor) iaitu Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah

Ketiga: Golongan Sufiyah.

(rujuk Syarah Aqidah Ibn Hajib oleh Imam As-Subki)

Imam Ibn Rusyd Al-Maliki ketika ditanya tentang Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah, maka beliau menjawab:

"Mereka adalah yang dinamakan sebagai imam-imam yang menjadi ikutan, di mana dengan mengikuti mereka, merupakan suatu kwajiban kerana mereka membela syariat (bahkan aqidah Islam), membatalkan kesesatan fahaman yang songsang…Tiada siapa yang menyesatkan mereka melainkan dia adalah seorang yang jahil ataupun seorang ahli bid'ah. (Al-Fatawa 2/802)

Imam As-Safarini menegaskan bahawa, ahlus sunnah adalah:

golongan Athariyah (pelopornya ialah Imam Ahmad r.a.), golongan Al-Asya'irah dan golongan Al-Maturidiyah. (lawami' Al-Anwar Al-Bahiyyah: 73)


Imam Az-Zabidi dalam Ittihaf Saadah Al-Muttaqin juga berkata bahawa,
jika dikatakan tentang ahlus-sunnah wal jamaah, maka yang dimaksudkan adalah Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah.


Bagaimanapun, sepertimana yang dijelaskan oleh Imam As-Subki, bahawasanya, ahlus-sunnah wal jamaah adalah golongan yang bersepakat dalam masalah usul aqidah walaupun berbeza manhaj dan asas perbahasan mereka mengenainya. Mereka adalah golongan ahlul hadith, golongan Al-Asya'irah (kebanyakkan ulama' fiqh mazhab Al-Maliki, As-Syafi'e dan sebahagian ulama' mazhab Hanbali), golongan Al-Maturidiyah (kebanyakkan ulama' fiqh bermazhab Hanafi) dan para sufi (yang juga pada asasnya bermazhab Al-Asya'irah).

Ada sebahagian pihak yang ta'assub dengan kelompok mereka sendiri, justeru mengatakan bahawasanya, ahlus-sunnah wal jamaah ataupun Al-Jamaah dalam hadith tersebut hanyalah merujuk kepada kelompok ahli hadith semata-mata sedangkan selain daripada mereka dari kalangan Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah (yang merupakan majoriti umat Islam) bukanlah dari kalangan ahlus sunnah wal jamaah.

Ini suatu kerangka pemikiran yang jumud dan berbaur ta'asub dan tasyaddud. Jika hanya ahli hadith (ahli isbat) semata-mata yang merupakan ahlus-sunnah wal jamaah, sedangkan selain daripada mereka yang merupakan majoriti umat Islam dari kalangan Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah adalah terkeluar daripada mafhum Al-Jamaah tersebut, maka ianya bererti, Al-Jamaah adalah golongan minoriti dalam umat Islam semata-mata, sejak zaman berzaman. Adakah ia suatu kebenaran? Atau suatu khayalan natijah ta'assub dan berlebih-lebihan?

Kelompok yang cuba mengeluarkan golongan Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyyah daripada kesatuan Ahlus-Sunnah wal Jamaah merupakan golongan yang menisbahkan diri mereka kepada seorang pemuka terutama mereka iaitu Sheikh Ibn Taimiyah (yang kononnya dinisbahkan juga kepada ahlul hadith) sedangkan pemikiran dan kefahaman Ibn Taimiyah yang menjadi anutan mereka itu sendiri bukanlah suatu kefahaman dan manhaj para ahlul-hadith ataupun manhaj para salafus soleh sama sekali!!

Tiada ulasan: