CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Jumaat, 16 Januari 2009

Kesan Tatu Dalam Ibadat

Kesan Tatu Dalam Ibadat

Adapun kesan kepada peribadatan orang yang bertatu itu, antara lain seperti berikut:-

(i) Bersuci

Orang yang diwajibkan menghilangkan tatunya, jika dia bersuci sedang tatunya belum hilang maka tidak akan terangkat hadatsnya itu. Ini kerana anggota-anggota yang ditatunya itu mengandungi najis disebabkan darah yang bercampur dengan celak tatu tersebut.
Adapun orang yang tidak diwajibkan menghilangkan tatunya, jika dia bersuci maka terangkat hadatsnya. Ini kerana anggotanya yang ada tatu itu dimaafkan najisnya.

(ii) Sembahyang

Orang yang diwajibkan menghilangkan tatunya, jika dia mengerjakan sembahyang sedang tatunya belum hilang maka tidak sah sembahyangnya itu. Demikian juga tidak sah apabila
dia menjadi imam. Adapun orang yang tidak diwajibkan menghilangkan tatunya, adalah sah sembahyangnya dan dia boleh menjadi imam.

(iii) Urusan Jenazah

Apabila orang yang diwajibkan menghilangkan tatunya itu meninggal dunia sebelum sempat dia menghilangkan tatunya, maka tidak wajib bahkan haram dihilangkan tatu mayat itu. Ini
kerana bagi menjaga kehormatan mayat tersebut dan kerana kewajipannya menghilangkan tatu itu bagi mengerjakan sembahyang telahpun luput.

(iv) Kesaksian

Salah satu syarat saksi itu hendaklah mempunyai sifat al-‘adalah iaitu tidak fasiq. Orang yang fasiq itu adalah orang yang melakukan dosa-dosa besar atau berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Oleh yang demikian, orang yang fasiq tidak diterima persaksiannya melainkan setelah bertaubat menyesali perbuatannya itu.

(v) Wali nikah

Salah satu syarat wali nikah itu hendaklah juga mempunyai sifat al-‘adalah iaitu tidak fasiq. Oleh yang demikian, orang yang fasiq tidak sah menjadi wali nikah melainkan setelah bertaubat.

Oleh itu, perlulah diambil peringatan bahawa bertatu itu bukan sahaja dilarang oleh syara‘ bahkan ia juga dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya. Seseorang yang dilaknat
akan berada jauh daripada mendapat rahmat, taufiq, petunjuk Allah dan jauh daripada segala kebaikan. Janganlah hanya disebabkan kecantikan atau trend kehidupan terkini, seseorang itu sanggup melakukan perbuatan dosa-dosa besar dengan mengetepikan suruhan dan larangan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ketahuilah bahawa azab seksa Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu amat pedih.

Sumber : Mufti Brunei

Tiada ulasan: