CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Ahad, 18 Januari 2009

Hukum Hakam Mengenai Lintah Bab 7

Hukum menggunakan Lintah di dalam Perubatan

Terdapat hadis & dalil yang terlalu banyak berhubung perubatan menggunakan lintah. Kesemuanya secara khusus di dalam kaedah berbekam. Disebutkan di sini dalil-dalil utama sahaja;

1) Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasaie, al-Hakim, Ahmad dan at-Tabrani;

Maksudnya: Daripada A’sim bin Umar bin Qatadah berkata: Datang bertemu keluarga kami Jabir bin Abdullah dan terdapat seorang lelaki yang mengadu bengkak bernanah yang menimpanya atau luka. Maka Jabir berkata: Kenapa kamu mengeluh?. Dia menjawab: bengkak nanah di tubuh ku yang menyusahkan aku. Jabir berkata: Wahai budak, bawak ke sini tukang bekam. Dia berkata: Apa yang engkau nak buat dengan tukang bekam wahai Abu Abdullah. Jabir berkata: Aku ingin letakkan mangkuk bekam pada kawasan bengkak nanah itu. Dia berkata: Demi Allah, lalat sahaja tersentuh kawasan bengkak itu atau baju yang tersentuh dah amat menyakitkan aku dan menyusahkan. Apabila Jabir melihat tidak yakinnya untuk berbekam. Dia berkata: Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah J bersabda:” Jika ada kesembuhan pada salah satu dari ubat-ubat kalian, nescayalah pada pisau bekam atau meminum madu atau menempelkan besi panas”. Bersabda Nabi J: “Aku tidak suka berubat menggunakan besi panas”. Asim berkata: Maka dia membawa datang tukang bekam dan menghiris kawasan luka maka hilanglah segala bengkak nanah di tubuhnya.

Keterangan:

i) Berkata Imam Nawawi: “Hadis ini di antara perkara yang mengagumkan di dalam perubatan pada mereka yang spesialis. Ini kerana penyakit lebihan hanya berlaku pada darah atau hempedu atau lendir hitam atau kahak. Jika pada darah maka cara mengubatnya dengan mengeluarkan darah. Jika pada tiga terakhir yang berbaki maka cara mengubatnya dengan cara beri pelancar (metabolik stimulan) dengan bahan pelancar yang sesuai dengan setiap ramuan dicampurkan dengannya (madu). Seolah-olah baginda Nabi J memberi peringatan dengan madu sebagai pelancar (metabolik stimulan), juga peringatan dengan hijamah[59], fasodah, meletakkan lintah dan selainnya yang semaksud dengannya. Baginda menyebut perubatan dengan besi panas kerana ia digunakan ketika ubatan secara minuman dan seumpamanya tidak memberi manfaat. Perubatan terakhir ialah menggunakan besi panas”[60]

ii) Berkata Badruddin Al-Aini: “(Penyembuh pada tiga benda) Nabi tidak memaksudkan daripada sabda baginda J pada tiga itu sahaja. Penyembuh mungkin juga dari selainnya akan tetapi baginda menyebut dengan tiga penyembuh ini kerana ia paksi penyembuh. Ini kerana sakit tidak terlepas disebabkan darah atau hempedu atau bendalir hitam atau kahak. Pada darah dengan mengeluarkannya iaitu dengan cara berbekam di kepala. Nabi J menyebut secara khusus berbekam di kepala kerana Arab banyak melakukannya dan mengenalnya berlainan dengan berbekam di tubuh. Walaupun ia termasuk di dalam kategori berbekam juga akan tetapi tidak menjadi kebiasaan mereka. (pisau bekam) termasuk bekam pada tubuh, meletakkan lintah dan selain keduanya yang memberi maksud seumpama keduanya...”[61].

2) Al-Baihaqi dan Ibn Abi Syaibah meriwayatkan;

وَرُوِّينَا عَنِ الشَّعْبِيِّ ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ، مُرْسَلا ، خَيْرُ الدَّوَاءِ السَّعُوطُ ، وَاللَّدُودُ ، وَالْحِجَامَةُ وَالْمَشْيُ وَالْعَلَقُ

Maksudnya: Diriwayatkan kepada kami daripada as-Sya’bi daripada Nabi J secara mursal: Sebaik-baik ubat ialah dimasukkan ke hidung[62], ubat disuapkan ke mulut[63], berbekam, berjalan ke tandas (julap) dan lintah.

3) Hadis yang diriwayatkan oleh A’mir secara mursal[64];


حديث عامر : خَيْرُ الدَّوَاءِ العَلَقُ والحِجَامَةُ

Maksudnya: Sebaik-baik ubat ialah lintah dan berbekam.

Keterangan: Hadis yang kedua dan ketiga tidak boleh dijadikan hujah;

i) Kedudukan kedua-dua hadis ini mursal.

ii) Kemungkinan maksud al-alaq di situ bukan membawa maksud lintah akan tetapi kain yang digantung kepada kanak-kanak yang diserang penyakit tonsil (العُذْرَة) sehingga berdarah. Ibu kanak-kanak akan menggulung kain dan dimasukkan ke hidung lalu menekan kepada kawasan sakit. Darah hitam akan keluar dengan perbuatan tersebut. Ia juga proses membuang darah kotor kepada kanak-kanak tersebut. Panjang lebar dibahaskan di dalam kitab-kitab hadis berhubung perbuatan sebegini sama ada dibenarkan atau dilarang.

4) Adat kebiasaan daripada zaman salaf as-soleh yang tidak menafikan untuk menggunakan lintah dalam perubatan.

Daripada dalil-dalil yang dikemukakan dapat diambil kesimpulan bahawa penggunaan lintah di dalam perubatan dahulu hanya sebagai pembuang darah kotor atau di dalam kata lain sebagai kegunaan luaran sahaja. Dengan kemajuan sains dan teknologi pada hari ini, kegunaan lintah diperluaskan lagi.

Kesimpulan Perbahasan

1) Lintah diguna pakai pada zaman dahulu hanya sekadar untuk mengeluarkan darah kotor

2) Imam Nawawi, Imam al-Aini dan selain mereka mengiktiraf perubatan menggunakan lintah.

Tiada ulasan: