CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 12 Januari 2009

Siapakah Ahlu Sunnah Wal Jama'ah? Bab 4

Kesatuan dalam Perselisihan dan Perbezaan Manhaj

Namun, di sebalik tradisi pengkhususan peranan dalam pelbagai lapangan ilmu Islam, tidak timbul mana-mana kelompok yang mewakili mana-mana pengkhususan dalam mana-mana lapangan ilmu, yang mengeluarkan kelompok yang lain daripada entiti ahlus-sunnah wal jamaah.

Para ulama' hadith, para ulama' fiqh, para ulama' tafsir, para ulama' ahli bahasa, para ulama' sufi, dan para ulama' Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah bersepakat dalam sebuah entiti kefahaman aqidah yang satu, iaitu aqidah Tauhid (mengesakan zat, sifat dan nama-nama Allah s.w.t.) dan bermanhaj Tanzih (menyucikan sifat-sifat Allah s.w.t. daripada ciri-ciri sifat makhluk) dalam aqidah khususnya yang melibatkan masalah usul seperti sifat-sifat ketuhanan.

Para ulama' ahlul hadith tidak pernah bercanggah dengan para ulama' Al-Asya'irah dalam kesepakatan manhaj Tauhid dan Tanzih dalam perbahasan sifat-sifat ketuhanan, walaupun para ulama' hadith tidak membahaskan masalah sifat-sifat ketuhanan secara terperinci sepertimana para ulama' Al-Asya'irah, kerana lebih menumpukan dalam bidang hadith.

Kesepakatan dalam perkara usul berkenaan masalah aqidah Islam, khususnya melibatkan bab ketuhanan ini, iaitu tauhid dan tanzih, antara golongan ahli hadith salafus-soleh dengan manhaj Al-Asya'irah jelas dalam banyak perkataan mereka.

Contohnya:

Imam At-Tirmizi berkata dalam mensyarahkan tentang hadith "melihat Allah s.w.t.":
"Adapun yang menjadi mazhab (pegangan beliau) dalam masalah ini adalah perkataan para ahli ilmu dalam kalangan para imam, seperti Imam Sufiyan At-Thauri, Imam Ibn Mubarak, Imam Ibn Uyainah, Imam Waqi' dan sebagainya mereka berkata: "Kami meriwayatkan hadith ini sebagaimana ianya diriwayatkan (secara zahirnya). Kami beriman dengannya (lafaznya) tetapi tidak boleh ditanya: "bagaimana ia", dan kami tidak menafsirkannya (memahaminya dengan maknanya yang zahir) dan tidak membayangkannya (menetapkan bentuk bagi sifat-sifatNya)." (Sunan At-Tirmizi: 4/692, Al-Itqan 2/986)


Inilah manhaj tanzih para ulama' hadith yang menyucikan Allah s.w.t. daripada sifat-sifat yang tidak layak bagi Allah s.w.t., secara ringkas. Biarpun ianya suatu manhaj yang ringkas, tetapi selari dengan manhaj Al-Asya'irah dalam asas tanzih tersebut dengan tidak memahami lafaz-lafaz mutasyabihat dengan makna zahirnya.

Manhaj tanzih berkenaan nas-nas mutasyabihat terutamanya ada dua iaitu, ta'wil ijaz (ta'wil ringkas) yang dikenali sebagai tafwidh (menyerahkan makna sebenar kepada Allah s.w.t. tanpa memahaminya daripada sudut bahasa) dan ta'wil tafsili qarib (ta'wil secara terperinci yang bersesuaian dengan kaedah bahasa Arab dan kaedah kiasa Arab).

Contoh perkataan Imam At-Tirmizi tadi berkaitan dengan ta'wil ijaz atau tafwidh. Adapun contoh di mana ulama' hadith menggunakan manhaj ta'wil tafsili qarib dengan memberi ta'wil kepada perkataan-perkataan mutasyabihat adalah seperti berikut:

Dalam hadis sahih Al-Bukhari di mana Rasulullah s.a.w. menyebut:
“Yadhak Allah” (dalam bahasanya bermaksud: Allah telah ketawa), dan Imam Al-Bukhari menta’wilkannya dengan maksud: “Allah merahmati”. Beliau menta’wilkan ketawa dengan makna rahmat. (Fathul Bari 6/123-124).


Jelaslah di sini, bahawa, ahlul-hadith dari kalangan salafus-soleh juga tidak menolak manhaj ta'wil mentah-mentah seperti fahaman sebahagian yang mendakwa diri mereka mengikut ahlul-hadith zaman ini.Di sinilah keseragaman kefahaman para ulama' ahlus-sunnah wal-jamaah dalam aqidah Islam yang melibatkan perbahasan usul tentang sifat-sifat ketuhanan, biarpun siapa sahaja yang mereka, samada dari kalangan ahli hadith, ahli fiqh, mutakallimun, ahli bahasa Arab, ahli tafsir dan ahli sufi. Mereka inilah majoriti ulama' Islam yang memayungi majoriti umat Islam, dalam kesepakatan aqidah yang sama, khususnya melibatkan masalah sifat-sifat ketuhanan.

Di sinilah yang dimaksudkan dalam hadith:

Sabda Nabi s.a.w.:

إنّ أمّتي لا تجتمع على ضلالة فإذا رأيتم الإختلاف فعليكم بالسواد الأعظم

Maksudnya:

"Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti sawadul a'zhom (majoriti umat Islam)…" (Hadith riwayat Ibn Majah).

Jelas di sini, Rasulullah s.a.w. menjamin kebenaran golongan majoriti umat Islam dengan jaminan bahawa, umat Baginda s.a.w. tidak akan bersepakat dalam kesesatan.

Tiada ulasan: