CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 4 Mei 2009

IMAM HASSAN AL-BANNA RAHIMAHULLAH DAN PANDANGANNYA TENTANG TASAWUF

Pada hari Jumaat baru-baru ini tanggal 6 Jumadil Awwal 1430 bersamaan 1 Mei 2009,saya bersama Ustaz Hairul Nizam pergi bertandang ke rumah seorang ulama besar Hadis di Mesir iaitu al-Alim al-Allamah Doktor Syeikh Saad Jawish hafizahullah. Saya diberitahu oleh Ustaz Hairul bahawa Syeikh sakit dan kesempatan waktu yang ada kami gunakan untuk melawat ulama besar ini.

Kehadiran kami pada mulanya hanya untuk melawat Fadhilatul al-Syeikh bertukar menjadi majlis ilmu yang sangat kami nanti-nantikan. Syeikh menyuruh Ustaz Hairul untuk membacakan sebahagian hadis yang terdapat di dalam kitab Sunan al-Sughra oleh al-Imam Baihaqi radhiyallahu anhu. Inilah sikap para ulama yang sentiasa dipenuhi masanya dengan ilmu. Bila mengenangkan peristiwa ini, teringat saya kisah yang berlaku kepada al-Imam Abu Yusuf ,Murid kepada al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhum (113-182H), ketika di dalam keadaan nazak masih lagi sempat membahaskan tentang ilmu. Sedikitpun waktu tidak dibuang sia-sia begitu sahaja melainkan dipenuhi dengan ilmu dan hikmah. Kisah ini saya petik daripada kitab :

قيمة الزمن عند العلماء


Kitab ini dikarang oleh Syiekh al-Allamah Muhaddis Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah. Kisah Imam Abu Yusuf ini diceritakan oleh murid beliau al-Imam Qadhi Ibrahim bin al-Jarrah rahimahullah ketika beliau melawat al-Imam yang sedang sakit, tiba-tiba si Imam bertanya pendapat Qadhi Ibrahim tentang satu masalah ilmu. Qadhi Ibrahim terkejut dan mengatakan: Wahai tuan guru, adakah kamu ingin berbincang tentang masalah ilmu dalam keadaan kamu sebegini(sakit yang teruk).Kata Sang Imam : Tidak mengapa, moga-moga dengannya akan sama-sama beroleh faedah(penyelamat di akhirat kelak).

Maka al-Imam Abu Yusuf bertanya: Wahai Ibrahim , manakah yang lebih afdhal ketika melontar Jamrah(ketika haji) sama ada menaiki kenderaan(binatang) atau berjalan?

Maka Qadhi Ibrahim menjawab: Menunggang binatang lebih afdhal. Sang Imam menjawab: Kamu salah memberikan jawapan. Qadhi Ibrahim menjawab lagi: Berjalan lebih afdhal. Maka Sang Imam menjawab: Tetap jawapan kamu salah. Maka kata Qadhi Ibrahim: Berikanlah jawapannya wahai Tuan Guru, moga Allah meredhaimu.

Sang Imam menjawab: Jika kamu ingin berhenti untuk berdoa ketika melontar Jamrah tersebut,maka afdhalnya ,kamu melontar dalam keadaan berjalan. Tetapi jika kamu tidak ingin berdoa ketika itu , maka afdhal bagimu menaiki kenderaan.

Selepas beberapa ketika bersama dengan al-Imam , maka Qadhi Ibrahim pun bangun untuk pulang. Bilamana Qadhi Ibrahim sampai ke muka pintu, maka beliau mendengar al-Imam Abu Yusuf menarik nafas dengan kuat. Bila Qadhi mendapatkan al-Imam, maka didapati Sang Imam yang mulia telah meninggal dunia. Moga Allah merahmati mereka semua. Amin..

Inilah sikap dan peribadi para ulama. Sangat terkesan kami pada malam tersebut dengan sikap dan peribadi Syeikh Saad Jawish Hafizahullah.Moga Allah memanjangkan usiamu wahai syeikh yang kami cintai. Kami masih dahagakan ilmumu.

Saya sempat meminta Syeikh memberikan ijazah umum kitab-kitab hadis yang syeikh perolehi daripada Guru-guru beliau. Alhamdulillah beliau berkenan untuk mengijazahkan kepada saya dengan apa yang beliau perolehi daripada guru-guru beliau. Antara guru-guru Syeikh Saad Jawish ialah Syeikh Yassin al-Fadani , Syeikh Hafiz al-Tijani, Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari , Syeikh Zaki Ibrahim dan lain-lain rahimahullah.

Kemudian Syeikh juga menghadiahkan kepada kami majalah Muslim yang dikeluarkan oleh Maahad Sufi ( Asyirah Muhammadiyah). Sebaik sampai di rumah, saya menyelak helaian majalah tersebut. Apa yang menarik perhatian saya ialah sebuah artikel yang ditulis oleh al-Imam al-Ra’id Syeikh al-Allamah Muhaddis Zaki Ibrahim rahimahullah berkenaan pertentangan yang berlaku di antara Jamaah al-Ikhwan al-Muslimun dan golongan Sufi di Mesir seperti yang diwara-warakan oleh wartawan Majalah Tahrir. Jamaah al-Ikhwan al-Muslimun dikatakan sering mengatakan kepada golongan sufi bahawa jalan yang di bawa oleh ulama sufi adalah salah dan menyeleweng daripada jalan sebenar Islam.

Maka al-Imam Zaki Ibrahim rahimahullah, menulis artikel tersebut menerangkan hakikat sebenar Tasawuf menurut pandangan al-Imam Hasan al-Banna dan al-Ikhwan al-Muslimun. Syeikh Zaki Ibrahim menyebutkan, jika Tasawuf Islami dikatakan bid’ah yang sesat maka Imam al-Banna juga merupakan orang yang sesat dan Jamaah al-Ikhwan al-Muslimun sejak ditubuhkan sehingga kematian Imam boleh dianggap sesat.

Kata Syeikh Zaki lagi: Imam al-Banna adalah salah satu hasil yang lahir daripada kelompok halaqah Zikir Tariqat Syazuliyah,ditarbiah dengan acuan Tariqat Syazuliyah. Malah beliau membawa manhaj Ikhwan dengan apa yang terkandung di dalam Tariqat Syazuliyah itu sendiri. Ketika majalah pertama al-Ikhwan al-Muslimun diterbitkan dikhususkan satu bahagian di dalamnya untuk Tasawuf yang dikarang sendiri oleh al-Imam Hassan al-Banna.


Kata Syeikh Zaki Ibrahim lagi: “Aku sendiri pernah menghadiri majlis ibadah gologan Sufi bersama al-Imam Hassan al-Banna”. Perkara sebegini diteruskan oleh Imam al-Banna dan perkara tersebut boleh kita dapati sekarang di dalam penulisan-penulisan beliau yang masih kekal seperti Ma’surat , melazimkan kepada ahli gerakan melaksanakan zikir dan wirid dan lain-lain.

Keluarga Imam al-Banna juga terkenal sebagai sebuah keluarga sufi. Bapa beliau sendiri merupakan seorang ulama Hadis yang hebat dan juga Sufi yang masyhur. Saudara kandung beliau juga iaitu Syeikh Abdul Rahman al-Banna juga merupakan salah seorang penggerak utama Tariqat Syazuliyah.

Saya tidaklah menukilkan satu persatu kalam Syeikh al-Allamah Zaki Ibrahim rahimahullah tentang hakikat ini. Penjelasan sebegini sudah jelas bagi menerangkan bahawa al-Imam al-Banna rahimahullah adalah golongan Sufi yang menjadi penggerak kepada Gerakan Islam terbesar di dunia. Tohmahan yang mengatakan bahawa golongan sufi tidak bergerak menyokong gerakan Islam adalah satu tohmahan yang tidak berasas.

Jika kita menyedari hakikat ini, maka tentu kita dapat berfikir dengan baik. Golongan yang hebat sebegini, hakikatnya dibentuk dengan acuan yang satu. Duduk bersama orang-orang soleh, belajar dengan para ulama dan belajar dengan acuan ahlussunnah yang benar adalah perkara yang tidak boleh tidak mesti dilakukan oleh seorang yang ingin menjadikannya sebagai Ahli Gerakan Islam yang sebenar.

Saya sangat terkilan dengan sebahagian pelajar yang berada di Mesir, yang kononnya ingin mengambil acuan Ikhwan al-Muslimun dan sering menimbulkan kebobrokkan pemikiran dikalangan mahasisiwa al-Azhar dan sahabat-sahabat perubatan, pernah menyebutkan kepada salah seorang teman saya dengan mengatakan bahawa: Ilmu-ilmu yang ada di Mesir ini adalah ilmu yang mentah.Kalau tauhid, fiqh dan sebagainya, di Malaysia pun kita boleh dapatkan perkara tersebut. Kita datang ke Mesir nie sebenarnya nak ambil selain daripada ilmu mentah nie,ada sesuatu yang lebih istimewa iaitu Ilmu Gerakan Ikhwan al-Muslimun.

Saya ingin berpesan kepada golongan yang semangat “tak tentu hala” sebegini(seperti loghat Kedah), agar berhati-hati bila mengeluarkan perkataan. Jangan di sebabkan semangat tanpa ilmu sebegini (yang hanya berpada dengan usrah-usrah yang kononnya lebih baik daripada usrah yang dibawa oleh Persatuan Pelajar disini iaitu PMRAM)menyebabkan kalian hilang arah sebenar datang ke Mesir. Pemikiran-pemikiran songsang akan makin merebak di bumi Malaysia jika pemikiran yang mengatakan “ ilmu di al-Azhar adalah ilmu Mentah” sebegini masih dikekalkan di dalam kesatuan kamu. Saya tidak menjuruskan perkataan saya ini kepada sesiapa. Bak kata pepatah: Siapa yang makan Cili maka dialah yang akan merasa pedasnya.

Ingat, semangat tanpa ilmu tidak mencukupi . Ambillah contoh sebenar Imam al-Banna rahimahullah. Kaji semula Manhaj dan perjuangan asal Imam al-Banna.Moga kita semua mendapat petunjuk daripada Allah taala.Aminn.

Artikel asal daripada blog Ustaz Nazrul Nasir bekas kempimpinan PMRAM. Boleh rujuk di sini.

1 ulasan:

Mohamad Lutfi berkata...

salam...ana tertarik dengan artikel ini kerana dikaitkan Hassan al-Banna dengan tarekat syazuliyah. agak ganjil dakwaan ini kerana hassan al-banna sendiri menganggap perbahasan sifat 20 tidak perlu dipanjangkan memandangkan maslahah umat yg lain lebih besar berbanding memperincikan perbahasan sifat 20 ni. (ana belajar dulu sifat Allah 99, wallahu a'lam)