CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Memuatkan ...

Rabu, 27 Mei 2009

Kepentingan Adab Dalam Menuntut Ilmu

May 27th, 2009 by Aljoofre

Alhamdulillah, dengan taufiq Allah selesai pembacaan kitab Ta’limul Muta’allim semalam di Shoubra. Moga sama-sama yang mengajar dan yang belajar dapat faedah.

Pada permulaan kitab ini, Assyaikh Burhanul Islam Azzarnuji telah menulis:

“Maka apabila aku melihat ramai penuntut ilmu pada zaman kita ini bersungguh-sungguh kepada ilmu, dan mereka tidak sampai pula (tidak mendapat manfaat dan hasilnya iaitu beramal dan menyebarkannya), terhalang kerana bahawasanya mereka telah salah jalannya dan meninggalkan syarat-syaratnya. Dan setiap yang tersalah jalan akan sesat, dan tidak mendapati tujuan, sedikit mahupun banyak. Maka aku ingin dan suka menerangkan kepada mereka jalan menuntut ilmu….”

Seterusnya Assyaikh Azzarnuji pun menyebutkan adab-adab atau jalan-jalan menuntut ilmu daripada niat menuntut ilmu itu sendiri hinggalah kepada memilih guru dan rakan-rakan, pentingnya mengagungkan ilmu dan ulamak, warak dan pelbagai lagi jalan yang sebenar dalam menuntu ilmu.

Saya sebutkan perkara di atas apabila mendapati pada zaman kita hari ini, terlalu banyak (dan tentu lebih banyak lagi dari zaman Imam Zarnuji hampir 10 abad yang lalu) di kalangan kita yang mencari ilmu dengan bersungguh-sungguh, akan tetapi tidak mendapat faedah daripada ilmunya, baik untuk dirinya sendiri mahupun untuk masyarakat. Malah hari ini ramai yang bukan dari aliran agama pun ingin belajar ilmu agama. Sangat baik. Tetapi mengapa tidak didapati barakahnya?

Antara sebabnya adalah “tersalah jalan” itu sendiri. Adab menuntut ilmu sudah terlalu jauh untuk diamalkan. Ingatlah menuntut ilmu agama ini bukanlah dengan mengumpul dan menghadam maklumat di otak kita sahaja. Saya selalu sebutkan, jika demikianlah, maka harddisk saya jauh lebih alim dari kita semua. Di dalamnya mengandungi hampir 100 Gigabyte maklumat dari jutaan helaian kitab. Kita, berapa helai sangat dapat menghafal?

Salah jalan ini biasanya berlaku pada perkara-perkara yang telah disebutkan oleh Syaikh Azzarnuji itu sendiri. Saya sebutkan tiga daripadanya:

1) Niat

- Berapa ramai di kalangan kita belajar kerana mudah bekerja dan mengumpul harta dunia nanti dengan sekeping pengiktirafan ijazah?
- Berapa ramai pula yang belajar untuk menunjukkan diri lebih alim daripada orang lain?
- Berapa ramai pula yang belajar untuk menjadikan dirinya dipuji dan dihormati?
- Berapa ramai pula di kalangan kita yang belajar untuk mencari-cari kesalahan ulamak terdahulu?
- Berapa ramai yang belajar untuk mencari bukti bahawa pendapat aku sahaja yang betul sedangkan amalan ummat Islam di Malaysia sebenarnya salah belaka?
- Berapa ramai pula menutut ilmu tanpa diniatkan langsung untuk balik ke tempat masing-masing bagi berjuang menegakkan Islam?

2) Memilih guru

- Berapa ramai di kalangan kita yang tidak berhati-hati memilih guru lantas belajar dengan orang yang tidak betul pemikirannya?
- Berapa ramai di kalangan kita yang belajar dengan guru yang tidak menjaga adab sebagai guru (mengutuk sana sini, mencerca alim ulamak, tidak berakhlak dalam kata-kata mahupun perbuatan dsb.)?
- Berapa ramai di kalangan kita belajar sesuatu ilmu bukan dari ahlinya (belajar Feqh dari jurutera, belajar hadis dari ahli bahasa dsb.)?
-Lebih teruk lagi, berapa ramai pula yang belajar tanpa guru? Membaca sana dan sini, lalu mengambil fahaman sendiri daripada penulisan ulamak.

3) Mengagungkan ilmu dan ulamak

- Berapa ramai dari kita yang mengetahui cara mengagungkan ilmu yang disebutkan oleh para ulamak terdahulu?
- Berapa ramai di kalangan kita yang tidak menghormati kitab ilmu?
- Berapa ramai di kalangan kita yang meletakkan ilmunya sendiri di tempat yang rendah, lalu dengan mudah boleh dijual beli dengan kepentingan dunia?
- Berapa ramai pula yang tahu adab sebagai seorang murid tetapi tidak tahu atau tidak mempraktikkan ada sebagai guru?
- Berapa ramai yang tidak pula tahu membezakan antara meletakkan ilmu di tempat yang tinggi dengan takabbur atau menghina diri?
- Berapa ramai pula tidak reti-reti beradab dengan para ulamak agung, lalu diletakkan ulamak itu setaraf dengannya dalam pemikiran dan pemahaman dengan alasan mereka jua manusia yang tidak maksum?
- Berapa ramai di kalangan kita yang terpengaruh dengan kalam beberapa kerat ustaz mee celup hari ini yang dengan lantang mengkritik ulamak silam, lalu merasa sangsi dengan para ulamak itu?
- Berapa ramai di kalangan kita yang bermulut celupar mengutuk deretan ulamak yang sudah lama mengorbankan diri untuk perjuangan Islam?
- Berapa ramai pula yang bermulut celupar terhadap para ulamak terdahulu dan dengan sesedap hati mengatakan ulamak terdahulu sesat, melakukan bid’ah, berfalsampah dalam bab Aqidah, dan pelbagai lagi kata nista?

Apabila kita nilai semula semua persoalan di atas, tentu sekali kita akan menjawab, “teralalu banyak.” Maka tidak hairanlah apabila kita dapati terlalu banyak orang yang ingin mendalami ilmu agama, akan tetapi jauh tersasar dari kebenaran, barakah tiada, manfaat juga sirna, lalu tidak dapat menegakkan yang haq.

Jelaslah pada kita betapa pentingnya adab dalam menuntut dan menyebarkan ilmu. Tiada adab, nescaya tersalah jalanlah kita. Salah jalan bermakna sesat. Kalau orang yang belajar agama pun boleh sesat, bagaimana pula dengan yang tidak mahukan agama kan…

Penulis : Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre

Tiada ulasan:

KONGSIKAN

Jom Ikut Kuliah Agama Secara Online!

Ahli Aqidah/Usuluddin/Tasawuf

Ahli Tafsir/Usul Feqh/Feqh/Feqh Perbandingan

Ahli Hadith

Ahli Mazhab Syafie

Ahli Perubatan Islam

Ahli Psikologi/Kaunseling

Ahli Perbandingan Agama

Ahli Bahasa Arab

Ahli Qira'at / Tajwid

  • Renungan - BERUNTUNGNYA ORANG YANG RAJIN MENGAJI. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil k...
    Setahun yang lalu
  • FAWASIL (SURAH UMM AL-QURAN) - MATAN NAZIMAH AL-ZUHR (MATAN ILMU FAWASIL) KARANGAN IMAM AL-SYATHIBI سورةُ أُمُّ القُرْآن وأُمُّ القُرْآن الكُلُّ سَبْعاً يَعُدُّها ولَكِن ع...
    Setahun yang lalu
  • Video Bacaan Hukum Qalqalah - Sekiranya anda telah membaca artikel saya yang lepas tentang hukum bacaan Qalqalah, tentu anda telah pun faham secara teorinya apakah yang dikatakan qalqal...
    4 tahun yang lalu

Ahli Pemikir Islam

Ahli Kajian Dan Penyelidikan