CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Sabtu, 16 April 2022

Ulasan Mengenai Syarahan Perdana Prof. Dr. Jawiah Dakir: “Keberadaan al-Mawdu' dalam Masyarakat Melayu” (2014)

 




Ulasan Mengenai Syarahan Perdana Prof. Dr. Jawiah Dakir: “Keberadaan al-Mawdu' dalam Masyarakat Melayu” (2014)


Oleh : Dr Khafidz Soroni (KUIS)


1- Pertama sekali, kerana banyak permintaan, perlu saya nyatakan ulasan ini hanya merujuk kepada laporan berita yang tersebar mengenai Syarahan Perdana Prof Dr Jawiah Dakir sahaja. dan bukannya ulasan untuk menolak kajian atau syarahan Prof Dr Jawiah Dakir tersebut. Tujuannya supaya laporan yang mengandungi ungkapan berlebih-lebihan, bercampur aduk, tidak tepat dan berulang kali tersebar itu tidak terus diviralkan, Kandungan laporan itu tidak mencerminkan syarahan sebenar dan menimbulkan kegusaran ramai masyarakat hingga dikhuatiri mungkin terus menimbulkan perspesi negatif terhadap sifat amanah para alim ulama serta rasa curiga apakah kini masih ramai ilmuwan yang bersandarkan kepada hadis palsu?  


2- Saya telah mendengar Syarahan Perdana Prof Dr Jawiah Dakir bertajuk: “Keberadaan Al-Mawdu' dalam Masyarakat Melayu” (2014). Antara lain, beliau menjelaskan tentang kajian-kajian yang dijalankan pada tahun 90an, definisi hadis palsu, sejarah dan faktor kemunculan hadis palsu, contoh-contoh hadis palsu yang direka oleh golongan pemalsu hadis dan seterusnya dihuraikan tentang keberadaan hadis palsu dalam masyarakat Melayu. 


https://youtu.be/dx3N2epbZY8


3- Bagaimanapun, laporan berita dimulakan dengan mengatakan 34.42% daripada hadith yang sering dipetik dan digunakan di kalangan masyarakat Melayu adalah mawdu atau palsu. Sedangkan, ia sebenarnya hanya merujuk kepada nisbah peratus bagi 285 hadis sahaja berbanding jumlah keseluruhan 828 hadith yg dikaji, bukannya jumlah keseluruhan hadis yang wujud dan diamalkan dalam masyarakat Melayu. 


4- Oleh kerana laporan dimulakan dengan menyebut masyarakat Melayu, maka penjelasan seterusnya seolah berkaitan dengan masyarakat Melayu sahaja, sedangkan sebenarnya bukan begitu. Antaranya;   


• hadis palsu membawa kepada perpecahan umat pelbagai puak serta percanggahan dalam aqidah sehingga merangkumi soal ibadat dan penghayatan. [-Pada hal ini merujuk kepada sejarah kemunculan hadis palsu dan ia memang disebut dalam kebanyakan rujukan ‘ulum al-hadith]


• hadith palsu itu bukan saja diperkatakan oleh orang yang tidak mempunyai kelayakan agama, tetapi oleh orang yang bertauliah (seperti para asatidz ASWJ Nusantara, juga habib-habib yang mengaku dari zuriat Nabi salallaahu alaihi wassalam) dalam bidang keagamaan. [- Ybhg Prof tidak menyebut apa yang ditulis dalam kurungan di atas yang seakan sengaja membawa unsur fitnah dan ‘pembunuhan’ karakter para ulama dan ahlul bait ASWJ].


• hadis palsu diungkapkan dalam khutbah Jumaat di seluruh negara [-Walhal kajian hanya dibuat di dua buah negeri sahaja. pada tahun 2004], dalam kitab agama bahasa Arab, buku motivasi dan buku mengenai hari-hari penting dalam Islam seperti Israk-Mi’raj. [- Ini pula merujuk kepada sumber-sumber dapatan kajian tahun 2009] 


• kedengaran di kaca TV dalam rancangan seperti "Forum Perdana" yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) sendiri. [-Walhal kajian hanya merujuk kepada individu tertentu sahaja. bukan semua individu yang terbabit pada sepanjang masa]


• tokoh-tokoh agama termasuk imam, habib habib dan para asatidz mengambil jalan mudah dengan mengulangi hadith hadith yang disampaikan oleh ‘ulama’ terdahulu. [Ungkapan berbau generalisasi ini tidak sepertimana yang diungkapkan oleh Yang Berbahagia Prof]


• ia diulangi berkali-kali hingga merentasi zaman dan benua. Itulah sebabnya hadith mawdu/palsu demikian terus digunakan sehingga ke hari ini. [Ungkapan berbentuk bombastik ini juga tidak sepertimana yang diungkapkan oleh Yang Berbahagia Prof]


5- Saya yakin gambaran ‘kronik’ yang digembar-gemburkan seperti laporan di atas tidaklah sekronik pada realiti sebenar masa kini (2021). Terutama apabila masyarakat sudah semakin celik mengenai hadis. Saya yakin Yang Berbahagia. Prof sendiri telah memberi sumbangan kepada kesedaran masyarakat ini. Jika masih ada pun, maka ia disebabkan mereka yang tidak mahu merujukkan hadis kepada ahli pakarnya, dan peratusnya telah sedikit berbanding hadis sabit yang diguna pakai. 


6- Laporan itu menyebut lagi, daripada 828 hadith yang popular dalam masyarakat Melayu 285 adalah mawdu‘/palsu. Walhal disebut dalam syarahan, ia merujuk kepada hadis yang tidak boleh dijadikan hujah sebagai hadis kerana ia sama ada mawdu/palsu, la asla lah (tiada asal baginya), tidak ditemui lafaznya, kata-kata sahabat, tabiin atau ulama. Prof masih menyebut jika ia kata-kata sahabat, tabiin atau ulama, maka sandarkanlah kepada mereka, bukannya kepada Nabi SAW. Jumlah 285 itu pula adalah yang dikutip daripada pelbagai sumber seperti kitab jawi, majalah agama, kitab bacaan awam seperti Israk Mikraj, buku fadilat, buku motivasi dan ceramah umum tv. Itu pun brdasarkan kajian tahun 2009, iaitu hampir 12 tahun yang lalu. Walaupun masih timbul persoalan, jumlah 285 hadis yang dinilai demikian itu apakah semuanya disepakati palsu atau ada perselisihan pendapat di kalangan ulama tentang statusnya? Dari aspek ini menurut pendapat saya, masih terbuka untuk kajian lanjutan.   


7- Laporan turut menyebut, kitab "Ihya’Ulum al-Din" oleh Imam al-Ghazali mengandungi sehingga 265 buah hadith yang dikenal pasti sebagai mawdu‘/palsu dalam pelbagai bab, termasuk mengenai AQIDAH. Walhal jumlah 265 hadis itu bukan hadis mawdu‘ sahaja, tetapi termasuk hadis-hadis yang dikritik. Bilangan itu pun hanya merujuk kepada takhrij dan penilaian al-Hafiz al-'Iraqi sahaja. Prof kemudian menyatakan, namun masih beribu-ribu lagi hadis Ihya’ yang boleh diamalkan dan menyarankan kitab Ihya’ dibaca dgn takhrij al-‘Iraqi, tanpa menafikan kewibawaan Imam al-Ghazali.   


Di samping, saya percaya jika kajian merujuk kepada Ithaf al-Sadah al-Muttaqin oleh al-Hafiz Murtada al-Zabidi yg menemui sumber hadis yang tidak ditemui sebelumnya dan meneliti apakah semuanya disepakati palsu atau ada perselisihan pendapat tentang statusnya, nescaya angka tersebut akan menurun lagi. Kita yakin, Imam al-Ghazali bukan sengaja memuatkan hadis palsu itu -jika disepakati- di dalam kitab Ihya’nya. Ya, kitab Ihya’ perlu dibaca bersama takhrij al-Hafiz al-‘Iraqi dan juga al-Hafiz Murtadha al-Zabidi. Malah, kini ada kajian terbaru yang lebih halus dan teliti dibuat oleh sesetengah sarjana Ahlus Sunnah Wal Jama'ah. Lihat juga artikel saya; https://sawanih.blogspot.com/2011/12/status-imam-al-ghazali-450-505h-dalam.html


8- Selain kitab "Ihya’ Ulum al-Din", turut disebutkan beberapa kitab masyhur ulama terdahulu, secara tidak sengaja telah menggunakan hadith-hadith demikian dalam kitab-kitab mereka seperti "Durrah al Nasihin", "Irshad al-‘Ibad Ila Sabil al-Rashad", "Matla‘ al-Badrayn”, dan “al Jawhar al Mawhub wa Munabbihat al-Qulub". Namun, ada yang dinyatakan peratusannya masih dikira rendah. Perlu diketahui, kewujudan hadis palsu dalam sesebuah kitab ulama, bukan alasan untuk mencela kitab tersebut dan merendah-rendahkan pengarangnya. Kewujudan hadis palsu dalam karya ulama, khususnya yang bukan ahli hadis hakikatnya bukanlah satu perkara yang pelik. Perkara ini pernah saya sentuh dalam artikel: Tak Pelik Ulama ‘Terguna’ Hadis Palsu: http://sawanih.blogspot.my/2013/12/tak-pelik-ulama-terguna-hadis-palsu.html


Secara ringkas, Ybhg Prof tidak menafikan sumbangan, ketokohan dan jasa para ulama tersebut yang wajar disanjung. Menurutnya, karya berkaitan tidak perlu ditolak, malah gagasan ilmunya masih releven untuk dirujuk. Hanya aspek hadis saja yang perlu diberi penekanan dari segi statusnya. 

 

9- Laporan juga menyatakan sebab-sebab hadith dipalsukan hingga telah menyelinap masuk ke kitab yang ditulis oleh ulama’ yang disegani. Antaranya kerana konflik yang tercetus di antara Sunni dan Syiah menyebabkan wujudnya hadith-hadith mawdu/palsu kerana masing-masing ingin menguatkan tuntutan mereka dan telah memalsukan hadith untuk mencapai maksud mereka.


Saya katakan, laporan ini mengelirukan dan seolah membayangkan ia merupakan sebab kepada hadith palsu menyelinap masuk ke kitab yang ditulis oleh ulama’ yang disegani sepertimana kitab-kitab yang telah disebutkan di atas! Walhal tiada kaitan sama sekali di antara konflik Sunni dan Syiah dgn objektif kitab-kitab tersebut. Hakikatnya Prof sedang menjelaskan tentang pengaruh politik dalam sejarah dan faktor awal kemunculan hadis palsu di kalangan umat Islam. 


10- Para ulama Ahlus Sunnah Wal Jama'ah jelas bersepakat haram meriwayatkan hadis palsu. Namun, jika ada hadis yg diperselisihkan sama ada palsu atau tidak, maka tidak wajar kita menuduh salah ijtihad ulama yang memilih penilaian atau status tidak palsu. Tidak sewajarnya juga ilmuwan yang cuai dan tidak tahu kepalsuan hadis digelar sebagai pemalsu atau penyebar hadis palsu dan diaibkan kerana menyebutkan hadis palsu dalam kitab atau ceramah mereka, walhal mereka hanya tidak mahir ilmu hadis. Kita pasti, jika mereka yakin hadis itu benar-benar palsu dan dusta ke atas Nabi SAW, nescaya merekalah orang pertama yang paling menjauhinya.  


Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: