CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Selasa, 19 April 2022

Meluruskan Makna Hadis Najd Tanduk Syaitan


Dr Mohd Khafidz Soroni 

BANYAK fitnah berlaku di Iraq seperti Syiah dan Khawarij, tetapi jangan pula menafikan fitnah yang berlaku di Najd seperti nabi palsu Musailamah al-Kazzab, Qaramitah serta gerakan takfir Wahhabiyyah. 

BANYAK fitnah berlaku di Iraq seperti Syiah dan Khawarij, tetapi jangan pula menafikan fitnah yang berlaku di Najd seperti nabi palsu Musailamah al-Kazzab, Qaramitah serta gerakan takfir Wahhabiyyah. 

Terdapat pelbagai hadis berkaitan Najd (kini Riyadh dan sekitarnya). Antaranya hadis Ibnu Umar RA, Nabi SAW berdoa: "Ya Allah, berilah keberkatan bagi kami pada Syam kami. Ya Allah, berilah keberkatan bagi kami pada Yaman kami." Sahabat bertanya: 'Ya Rasulullah dan juga pada Najd kami?' Rasulullah SAW berdoa lagi: "Ya Allah, berilah keberkatan bagi kami pada Syam kami. Ya Allah, berilah keberkatan bagi kami pada Yaman kami." Sahabat bertanya lagi: 'Ya Rasulullah dan juga pada Najd kami?' Maka seingatku, baginda bersabda pada kali ketiga: "Di sanalah munculnya kegoncangan dan fitnah serta di situlah munculnya tanduk syaitan." Riwayat al-Bukhari, at-Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Hibban Hadis ini jelas menyebut akan munculnya kegoncangan, fitnah dan tanduk syaitan di Najd.

 Terdapat versi lain bagi hadis Ibnu Umar RA ini menggantikan nama 'Najd' dengan nama 'Iraq'. Namun, kebanyakan jalan riwayat versi berkenaan bermasalah dan tidak dapat mengatasi jalan riwayat yang lebih sahih serta lebih muktabar sumbernya. Kaedah pentarjihan (pemilihan riwayat terbaik) ini adalah lebih utama kerana perbezaan kualiti yang ketara. Jika diandaikan versi yang menyebut 'Iraq' juga sahih, maka akan berlaku kecelaruan (idhtirab) terhadap hadis ini. 

Justeru, Imam al-Bukhari yang cukup pakar tentang masalah ini memilih versi yang menyebut 'Najd' adalah lebih kuat. Ada pihak yang cuba menggunakan kaedah penyelarasan antara kedua-dua riwayat. Mereka mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan 'Najd' itu sebenarnya ialah Iraq. Pendapat ini agak aneh kerana Iraq tidak pernah disebut sebagai Najd. Apatah lagi pertanyaan para sahabat RA jelas menyebut: 'Najd kami' yang menunjukkan ia adalah Najd yang dimaklumi berada di Semenanjung Tanah Arab. 

Tidak mungkin mereka menggunakan lafaz samar kerana nama Najd dan Iraq pada zaman itu memang sudah ada dan sedia dimaklumi secara jelas kedudukan masing-masing termasuk hal penentuan miqat haji serta umrahnya. Pencerahan ini bukan bertujuan menggunakan hadis berkenaan untuk menyalahkan sesuatu kumpulan kerana kesesatan sesuatu kumpulan bukan semata-mata isyarat hadis, tetapi adalah berdasarkan ciri-ciri menyalahi syariat yang ada padanya. 

 Hadis hanya sebagai pengukuh kepada ciri-ciri yang disebutkan serta tidak menjadi kesalahan untuk berbuat demikian sekiranya jelas ciri-ciri berkenaan. Benar, banyak fitnah yang berlaku di Iraq seperti Syiah dan Khawarij, tetapi jangan pula menafikan fitnah yang berlaku di Najd seperti nabi palsu Musailamah al-Kazzab, Qaramitah serta gerakan takfir Wahhabiyyah. Kita tidak menafikan bahawa Najd dan Iraq berada di belahan timur Madinah. 

Namun, yang lebih sejajar dengan arah timur Madinah ialah Najd manakala Iraq berada di antara arah timur laut dan utaranya. Antara hadis yang menyebut arah timur secara umum ialah hadis Ibnu Umar RA yang mendengar Rasulullah SAW dalam keadaan menghadap ke arah timur bersabda: "Ketahuilah, sesungguhnya fitnah itu di sini, di mana munculnya tanduk syaitan". Riwayat al-Bukhari dan Muslim Al-Bukhari meletakkan hadis ini dan hadis Najd tadi di bawah judul: 'Bab sabdaan Nabi SAW: Fitnah itu dari arah sebelah timur'. 

Ini jelas menunjukkan bahawa Najd berada di arah timur menurut al-Bukhari. Agak mustahil untuk dikatakan al-Bukhari tidak mengetahui maksud Najd itu sehingga terpaksa ditakwilkan beliau tidak meletakkan Najd khusus untuk Semenanjung Tanah Arab atau tidak mengkhususkan Najd itu di mana, yang kemungkinan bermula dari Madinah ke Iraq, Iran dan kawasan seterusnya. 

Walhal hadis Najd itu mengkhususkan judul bab yang umum, bukannya judul bab yang mengumumkan hadis Najd yang khusus itu. Pihak yang taasub mempertahankan Najd Semenanjung Arab ini cuba membawa naratif bahawa maksud hadis Najd adalah merujuk kepada Iraq dan hadis umum arah timur itu juga merujuk kepada Iraq. Justeru, Najd terkeluar daripada maksud kedua-duanya serta boleh cuci tangan dengan ideologi takfir yang muncul di sana! 

Kita bukan menafikan fitnah yang berlaku di Iraq, hinggakan Salim bin Abdullah bin Umar RA mentafsirkan maksud arah timur itu sebagai Iraq sepertimana dalam riwayat Imam Muslim. Namun, harus saja fitnah te rsebut berlaku di kedua-dua tempat berdasarkan ciri-ciri menyalahi syariat yang wujud. 

 Bagaimanapun, hadis yang menyebut Nabi SAW menghadap ke arah timur, mengisyaratkan ke tempat tinggal Aisyah RA, berserta kedudukan koordinat, geografi dan topografi, juga kedudukan kabilah Rabi'ah dan Mudhar, adalah lebih jelas semuanya ditujukan kepada Najd Semenanjung Arab. 

Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Tiada ulasan: