CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Ahad, 17 April 2022

Pencerahan Mengenai Hadis Perpecahan Umat

Dr Mohd Khafidz Soroni
Sejarah membuktikan perpecahan dalam kalangan umat Islam satu realiti yang benar-benar berlaku. Perpecahan yang dikeji oleh syarak ini berpunca daripada masalah usul dan pokok agama, bukannya yang berpunca daripada masalah furuk serta cabangnya. Daripada aspek berkenaan munculnya pelbagai fahaman bidaah yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) seperti Syiah, Khawarij, Muktazilah, Qadariyyah, Jabariyyah, Jahmiyyah, Mujassimah, Musyabbihah, Batiniyyah, Wahhabiyyah, Liberalisme, Anti-Hadis dan sebagainya. Bagaimanapun, semua ahli bidaah itu masih dianggap golongan minoriti sahaja kerana majoriti umat Islam dari dahulu sehingga kini masih berpegang teguh dengan fahaman ASWJ berkat usaha gigih yang digemblengkan oleh ulama muktabar.
Terdapat hadis yang mengungkapkan tentang bahaya perpecahan umat ini iaitu hadis Muawiyah bin Abi Sufyan RA katanya: "Rasulullah SAW pernah berdiri menghadap kami lalu bersabda: 'Ketahuilah bahawa sesungguhnya golongan sebelum kamu daripada kalangan ahli kitab telah berpecah kepada 72 kumpulan dan sesungguhnya umat ini pula akan berpecah kepada 73 kumpulan iaitu 72 di dalam neraka dan hanya satu di dalam syurga iaitu al-jamaah.'" Riwayat Ahmad, al-Darimi dan Abu Dawud dengan sanad hasan
Hadis yang semakna juga diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat RA. Antara yang serupa dengan hadis Muawiyah RA yang menyebutkan hanya satu kumpulan di dalam syurga iaitu al-jamaah ialah hadis Anas bin Malik RA (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dan Abu Ya'la) dan hadis Awf bin Malik RA (Riwayat Ibn Majah).
Dalam hadis Abdullah bin Amr bin al-As RA, kumpulan yang di dalam syurga itu disebut sebagai kumpulan yang mengikut jalan Nabi SAW dan sahabatnya RA iaitu sabdanya: "Jalan yang aku dan para sahabatku berada di atasnya." Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan gharib
Lafaz ini turut disokong oleh hadis Anas RA (Riwayat at-Tabarani dalam al-Mu'jam as-Saghir dengan sanad baik). Terdapat sebuah lagi hadis yang menjelaskan tentang kumpulan yang selamat itu iaitu hadis Abu Umamah al-Bahili RA yang diriwayatkan dengan lafaz 'as-sawad al-a'zam' yang bermaksud: "Kumpulan yang terbesar." Riwayat at-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Awsat dan al-Kabir dengan sanad hasan
Dengan mengumpulkan semua jalan riwayat, dapat dirumuskan bahawa maksud al-jamaah ialah kumpulan umat Islam terbesar yang mengikut jalan Nabi SAW dan sahabatnya RA. Merekalah yang dikenali sebagai Ahli Sunah Waljamaah. Ini berdasarkan pandangan ramai ulama seperti al-Khattabi, Abdul Qahir al-Baghdadi, as-Syahrastani, Ibn Hazm dan Ibn al-Jawzi yang menujukan maksud perpecahan umat yang dinyatakan dalam hadis itu ialah perpecahan umat al-ijabah iaitu seluruh umat Islam yang menyahut seruan dakwah Nabi SAW.
Dikukuhkan lagi dengan beberapa hadis Nabi SAW yang antaranya menyebut: "Qadariyyah adalah majusi umat ini. Sekiranya mereka sakit, janganlah ziarahi mereka dan sekiranya mereka mati pula, janganlah saksikan jenazah mereka." Riwayat Abu Dawud dan al-Hakim, katanya: sahih
Begitu juga hadis: "Khawarij adalah anjing-anjing api neraka." Riwayat Ahmad dan Ibn Majah dengan sanad hasan
Bagaimanapun, terdapat banyak hadis yang menyatakan orang yang mempunyai iman walaupun seberat zarah tidak akan kekal di dalam neraka dan mereka akan keluar juga daripadanya berkat kalimah tauhid yang diimani.
Terdapat satu pandangan menarik yang mentafsirkan perpecahan umat yang dinyatakan dalam hadis tersebut ialah perpecahan umat ad-da'wah iaitu seluruh manusia yang ditujukan kepada mereka seruan dakwah Nabi SAW sehingga hari kiamat sama ada Muslim atau kafir. Pandangan ini dikemukakan oleh Syeikh as-Sayyid Muhammad bin Ibrahim al-Kittani dalam kitabnya Ibra' al-Zimmah bi Tahqiq al-Qawl Hawla Iftiraq al-Ummah (1997).
Berdasarkan pelbagai dalil, Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Kittani berpendapat bahawa perpecahan yang berlaku sebenarnya adalah pada umat ad-da'wah, bukannya pada umat al-ijabah (khusus umat Islam). Pendapatnya ini mungkin mengambil iktibar nasib golongan yang kekal di dalam neraka selama-lamanya. Kesimpulannya turut diperkuatkan dengan pelbagai hadis tentang kelebihan menjadi umat Nabi SAW, seperti sabda baginda: "Sesungguhnya kamu sekalian menyempurnakan 70 umat. Kamu sekalian adalah yang paling baik dan paling mulia di sisi Allah." Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Hadis hasan
Meskipun demikian, terdapat banyak dalil lain yang menunjukkan bahawa tidak semua umat Islam selamat daripada api neraka dan masuk ke syurga tanpa melalui proses 'penyucian' disebabkan pelbagai perbuatan maksiat, jenayah serta ideologi bidaah yang bertentangan dengan fahaman ASWJ.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)
Disiarkan pada: Mac 6, 2022 @ 6:00am

Tiada ulasan: