Perihal Berkongsi Menggunakan Perkakas Dapur Dengan Orang Bukan Islam (Bahagian Akhir)
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Ketuhar Gelombang Mikro (Microwave Oven) Digunakan Bersama Orang Bukan Islam
Mengenai ketuhar gelombang mikro yang berfungsi sebagai alat pemanas makanan, udara panas yang keluar untuk memanaskan makanan itu ia adalah dari udara panas yang suci. Jika sekiranya udara panas berkenaan itu mengandungi udara najis, disebabkan kesan daripada makanan yang dipanaskan sebelumnya itu najis, maka menurut setengah ulama, makanan yang dipanaskan selepasnya itu harus juga dimakan. Hal ini dikiaskan kepada roti yang dimasak dengan bahan najis yang kering dan habuknya terkena pada roti, namun roti itu harus dimakan.
Perkara ini disebutkan di dalam kitab Fathul-‘Allam:
Ertinya:
“Dan dimaafkan roti yang dibakar dengan (menggunakan bahan bakar) tahi kering; dengan diletakkan sekeping roti di atas tahi kering selepas menyalakan apinya, atau diuli di atas tanah lapang, maka boleh dimakan roti itu dan mencebisnya pada ketika roti itu lembut walaupun terlekat padanya sedikit debu, dan tidak wajib membasuh mulut jika dia hendak bersembahyang dan sembahyangnya tetap sah dengan menanggungnya.”
Disebutkan lagi di dalam kitab yang sama:
Ertinya:
“Dan jika diletakkan bejana yang mengandungi susu di atas api yang bernajis bagi memanaskan susu itu, lalu berterbangan sesuatu daripadanya ke dalam susu, (sedemikian itu) adalah dimaafkan.” Adapun asap yang sedikit mengikut ‘urf yang timbul daripada makanan yang najis adalah dimaafkan. Demikian juga dimaafkan asap yang timbul daripada kesan makanan yang dimasak (dipanaskan) dengan menggunakan bahan najis seperti tahi lembu yang dikeringkan. Adapun wap yang bukan daripada sebab pemanasan dengan api adalah suci.
Perkara ini dijelaskan oleh Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahullahu Ta‘ala:
Ertinya:
“Dan dimaafkan yang sedikit - menurut ‘urf - asap najis, iaitu asap yang naik daripadanya (najis) dengan sebab (dibakar) dengan api, sekalipun (asap yang timbul) daripada kayu gaharu yang diletakkan di atas seumpama (bara) tahi kering.”
“Dan terkeluar (tidak termasuk) dengan (perkataan) asap najis ialah wapnya, iaitu wap yang naik daripadanya (najis) yang bukan melalui (dipanaskan/dimasak) dengan api, maka wap itu adalah suci. Termasuk dalam kategori ini ialah (seperti) udara yang keluar daripada tandas atau dubur, maka ia adalah suci. Maka jika sekiranya angin itu dipenuhkan dalam satu bekas lalu dibawa dalam sembahyang, maka sembahyang itu tetap sah.”
Berdasarkan petikan pandangan ulama di atas, jelas bahawa asap yang sedikit yang timbul dari kesan memanaskan benda najis adalah termasuk dalam hukum najis yang dimaafkan. Adapun wap dari najis yang timbul bukan sebab dipanaskan dengan api ianya adalah suci.
Oleh itu, memakai semula ketuhar gelombang mikro untuk memanaskan makanan selepas ia digunakan oleh orang bukan Islam untuk memanaskan makanan yang meragukan kehalalannya atau yang jelas haram adalah harus. Walaupun demikian, sebelum menggunakan ketuhar gelombang tersebut seeloknyalah makanan itu dibalut terlebih.
Berlainan halnya jika ketuhar itu jelas bernajis atau terkena najis, maka hendaklah ketuhar tersebut dibersihkan terlebih dahulu mengikut cara-cara membersihkan najis.
Peti Ais Digunakan Bersama Orang Bukan Islam
Berkongsi peti ais dengan orang yang bukan Islam tidak menjadi halangan jika makanan atau minuman yang disimpan di dalam peti ais itu yang halal belaka.
Tetapi jika terdapat makanan yang haram yang disimpan di dalamnya, lebih-lebih lagi daging babi, maka ini membawa keraguan yang terang nyata atau syubhah. Ini kerana sekalipun seseorang itu telah mengambil langkah berhati-hati seperti meletak simpanan barang halal di tempat yang paling atas dalam peti ais untuk mengelak dari titisan air daging babi yang disimpan oleh orang bukan Islam, tetapi tidak ada jaminan dari orang yang empunya daging babi untuk mengambil sikap berhatihati dalam menyimpan daging babinya ke dalam peti ais tersebut agar peti ais dan barang-barang lain yang ada di dalam peti ais itu terpelihara dari terkena sentuhan atau lelehan air daging babi itu.
Perlu diingat bahawa apa-apa sahaja yang bersentuhan dengannya dalam keadaan salah satu daripadanya basah, maka benda yang bersentuhan dengannya itu dihukumkan mutanajjis (bernajis).
Oleh itu sekiranya berkongsi peti ais itu dapat dan mampu dielakkan, maka hendaklah ia dielakkan misalnya dengan memiliki peti ais berasingan yang khusus untuk menyimpan makanan orang Islam. Ataupun dengan menerangkan kepada orang yang bukan Islam itu tentang kesan sentuhan daging babi terhadap makanan atau benda-benda lain.
Tetapi ini bukanlah jaminan, memandangkan orang bukan Islam tidak memahami semua ini. Tetapi jika sekiranya tidak dapat dielakkan daripada berkongsi peti ais dengan orang bukan Islam yang menyimpan daging babi di dalamnya, maka makanan orang Islam yang disimpan di dalam peti ais tersebut adalah dibersihkan menurut cara membersihkan bendabenda yang terkena najis mughallazah sebelum ia digunakan demi untuk menjauhi keraguan atau syubhah memakan makanan yang bernajis (mutanajjis). Sebagai kesimpulan, hukum menggunakan perkakas dapur yang pernah digunakan oleh orang bukan Islam untuk memasak atau menghidang bahan-bahan najis adalah makruh.
Makanan yang dipanaskan di dalam ketuhar gelombang yang dikongsi bersama orang bukan Islam adalah harus dimakan. Asap najis jika ada yang timbul melalui pemanasan ketuhar berkenaan adalah dimaafkan. Apabila tidak yakin dan tidak ada bukti perkakas dapur itu terkena najis mughallazhah, maka tidaklah wajib disertu perkakas tersebut sekalipun pada kebiasaannya perkakas tersebut digunakan oleh pengguna bukan Islam untuk bahan-bahan najis.
Bukti dan keyakinan itu hendaklah berdasarkan penglihatan atau pengetahuan sendiri atau perkhabaran orang yang adil lagi dipercayai. Jika yakin perkakas dapur berkenaan terkena najis samada najis mughallazhah, najis mutawassithah ataupun najis mukhaffafah, maka wajiblah dibersihkan perkakas tersebut mengikut cara penyucian sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘.
Sungguhpun demikian, orang-orang Islam adalah dituntut mengambil sikap wara‘ dengan berhati-hati mengguna pakai perkakas-perkakas dapur termasuk peti ais yang dikongsi itu. Sementara langkah lebih selamat adalah tidak menggunakan perkakas-perkakas tersebut kerana semuanya itu dikategori sebagai syubhah atau meragukan. Menjauhi perkara atau benda yang meragukan adalah merupakan tuntutan syara‘.
Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil3_bhg2-2012.pdf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan