Perihal Berkongsi Menggunakan Perkakas Dapur Dengan Orang Bukan Islam (Bahagian Pertama)
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Bagi setengah orang Islam, berkongsi menggunakan perkakas dapur dengan orang bukan Islam adakalanya menjadi suatu perkara yang tidak dapat dielak dalam kehidupan mereka sehari-hari terutama di kalangan pelajar Islam yang belajar di luar negeri yang tinggal sebumbung dengan pelajar bukan Islam, mahupun di kalangan pekerja Islam yang berkongsi dapur dengan pekerja bukan Islam atau pelancong-pelancong Islam yang tinggal di apartmen-apartmen di luar negeri.
Tidak dinafikan adakalanya perkakas tersebut digunakan untuk makanan dan minuman yang tidak halal seperti daging babi atau bahagian lain dari binatang tersebut, daging binatang yang tidak disembelih menurut cara Islam serta cecair yang memabukkan. Benda-benda tersebut merupakan najis di dalam syara‘ dan haram ke atas umat Islam untuk memakan atau meminumnya.
Pengetahuan kebanyakan orang bukan Islam mengenai makanan haram itu mungkin hanya pada zat yang diharamkan seperti daging babi atau daging yang tidak disembelih menurut cara Islam. Mereka tidak tahu cara membersihkan benda-benda najis atau yang terkena najis. Maka dakwaan atau sangkaan suatu makanan itu tidak mengandungi bahan yang haram atau tidak najis semata-mata sahaja, belum tentu betul. Justeru situasi berkongsi bagi orang-orang Islam yang faham boleh mengundang rasa ragu, khuatir dan kurang selesa kepada mereka.
Hukum Menggunakan Perkakas Dapur Orang Bukan Islam dan Perkakas Yang Berkemungkinan Terkena Najis
Setiap individu Islam adalah sangat dituntut untuk sentiasa menitikberatkan kebaikan, kesucian dan kebersihan makanan atau minuman yang hendak dimakan mahupun diminum, bahkan wajib hukumnya untuk memakan makanan yang baik dan halal berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai manusia! Makanlah (makanan) dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik …” (Surah al-Baqarah: 168)
Secara tidak langsung, tuntutan ini termasuklah menjaga kesucian dan kebersihan perkakas yang digunakan di dalam penyediaan sesuatu makanan atau minuman. Pada hakikatnya, perkakas atau alat-alat dapur orang bukan Islam adalah termasuk perkara-perkara syubhah (yang diragukan kesuciannya). Risiko terdedah atau terkena najis adalah sangat besar.
Setiap yang meragukan wajar dijauhi sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abu al-Haura as-Sa‘adi, daripada Hasan bin Ali Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya:
“Tinggalkan apa-apa yang meragukanmu kepada apa-apa yang tidak meragukanmu.”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Meninggalkan perkara yang diragukan dan mengambil yang tidak meragukan adalah jalan yang paling selamat, selama mana ada jalan untuk mendapatkan yang tidak diragukan itu. Bertolak dari keadaan yang meragukan inilah para ulama fiqh menetapkan hukum bahawa minum atau makan pada bejana atau bekas makanan dan minuman orang bukan Islam yang sudah pernah digunakan oleh mereka secara umumnya adalah makruh.
Di dalam kitab Hawasyi asy-Syarwani jelas disebutkan:
Ertinya:
“Makruh menggunakan bejana (perkakas) orang-orang kafir, dan apa yang mereka pakai, dan (manakala) apa yang di bawah-bawah (pakaian dalam) mereka iaitu apa yang langsung menutupi (mengenai) kulit adalah lebih-lebih lagi (makruhnya). Dan (manakala) bejana (perkakas) air mereka itu adalah lebih ringan (makruhnya).”
Demikian juga, makruh hukumnya menggunakan setiap sesuatu yang berkemungkinan besar terkena najis dan setiap yang diyakini terkena najis sebagaimana dijelaskan oleh As-Sayyid al-‘Allamah ‘Abdullah bin ‘Umar bin Abu Bakar bin Yahya Rahimahullahu Ta‘ala di dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin:
Ertinya:
“Ya, adalah makruh menggunakan setiap apa (benda) yang berkemungkinan besar terkena najis dan (makruh menggunakan) setiap apa (benda) yang kita telah yakini terkena najis sekalipun najis mughallazhah (khinzir dan anjing), kemudian ia (benda) itu berkemungkinan telah suci, sekalipun kemungkinan (ia suci) itu jauh.”
Adakah Perlu Disertu Perkakas Dapur Orang Bukan Islam dan Perkakas Yang Berkemungkinan Terkena Najis Mughallazhah?
Pada dasarnya menyertu (membasuh dengan air bersih sebanyak tujuh kali yang salah satunya dengan air bercampur tanah) perkakas dapur tersebut tidaklah wajib, selama tidak ada bukti yang meyakinkan bahawa perkakas tersebut pernah terkena najis mughallazhah.
Perkakas tersebut juga tidak wajib dibersihkan mengikut cara penyucian yang ditetapkan dalam hukum syara‘ selama tidak ada keyakinan ia pernah terkena najis mutawassithah atau mukhaffafah.
Menurut hukum syara‘, sesuatu itu pada asalnya adalah suci melainkan apabila diyakini ia terkena atau bercampur najis maka ia dihukumkan najis atau bernajis, contohnya pada perkakas-perkakas dapur seperti piring, mangkuk, gelas, kuali, ketuhar gelombang mikro (microwave oven), peti ais dan seumpamanya. Semua perkakas tersebut adalah suci pada asalnya.
Maka ia tetap dihukumkan suci melainkan ada sebab iaitu seperti kita yakin perkakas-perkakas itu telah terkena najis. Umpamanya kita dapat tahu bahawa ketuhar gelombang mikro atau peti ais itu ada disimpan atau pernah disimpan daging babi di dalamnya, atau masih ada darah yang melekat padanya. Jika ini berlaku, maka ia dihukumkan tidak suci (bernajis) kerana ada keyakinan tentang kenajisannya. Untuk menentukan sesuatu itu najis atau terkena najis hendaklah ianya dipastikan, iaitu ada zat najis atau sifat-sifatnya yang terdiri daripada rasanya, baunya atau warnanya.
Jika telah pasti maka hendaklah dihilangkan semua perkara itu. Jika tiada wujud salah satu daripada perkara-perkara tersebut, atau memadai dengan hilangnya zat, rasa dan bau atau zat, rasa dan warna, maka tempat atau benda itu tetaplah suci yakni kembali kepada hukum asal (suci), kecuali ada sesuatu yang menyebabkan kita yakin tempat atau benda itu bernajis seperti najis hukmi.
Apabila tidak yakin sesuatu tempat atau benda itu terkena najis, terdapat kaedah penting yang boleh dijadikan sandaran iaitu yang dipegang oleh para ulama fiqh apabila membahaskan perkaraperkara najis yang dimaafkan (ma‘fuwun ‘anhu).
Disebutkan di dalam kitab Fathul Mu‘in, karangan Syeikh Zainuddin alMalibariy, anak murid kepada Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala :
Ertinya:
“Sesuatu yang asalnya suci, lalu ada perasangka ia menjadi najis dengan alasan bahawa barang yang seperti itu pada kebiasaannya najis, maka di sini ada dua pendapat yang terkenal dengan:
Pendapat mengikut asal (ia suci) dan pendapat mengikut zahir atau ghalib (kebiasaan).
Pendapat yang lebih kuat adalah pendapat bahawa barang tersebut suci mengikut kepada yang asal itu lebih diyakini kerana ianya lebih tepat berbanding mengikut kebiasaan yang ia berbeza-beza sesuai dengan keadaan (orang ramai) dan masa.
Yang demikian itu seperti pakaian pembuat arak, pakaian orang haidh, pakaian anak-anak damit, bejana orang-orang (musyrik) yang menggunakan barang najis sebagai kepercayaan agama, daun yang pada kebiasaannya berjatuhan di tempat najis, air liur anak damit, kain tenun jukh yang terkenal diperbuat daripada lemak babi, keju Syria yang terkenal diperbuat daripada perut besar babi.” Walaupun pada kebiasaannya pengguna bukan Islam menggunakan perkakas-perkakas tersebut dengan bahan-bahan najis, tetapi ini sahaja tidaklah dapat dijadikan bukti atau keyakinan.
Bukti dan keyakinan itu hendaklah berdasarkan penglihatan atau pengetahuan sendiri atau perkhabaran orang yang adil lagi dipercayai bahawa perkakas itu pernah terkena najis. As-Sayyid al-‘Allamah Abdullah bin ‘Umar bin Abu Bakar bin Yahya Rahimahullahu Ta‘ala ada menyebutkan:
Ertinya:
“Setiap benda (suci) yang tidak diyakini mengandungi najis, tetapi benda itu pada kebiasaan jenisnya memang mengandungi najis, seperti pakaian anak-anak kecil, orang-orang jahil daripada kalangan tukang-tukang sembelih binatang dan penganut-penganut agama daripada kalangan orang-orang kafir yang mana di dalam syariat mereka menggunakan najis. Seperti para pemakan daging babi, (maka) menurut pendapat yang paling kuat dari dua pendapat mengenai perkara ini ialah beramal dengan hukum asal (sesuatu itu) iaitu ia (dihukumkan) suci.”
bersambung
Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil3_bhg1-2012.pdf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan