Oleh : Ustaz Umar Muhammad Noor
Tulisan ini dilihami oleh persoalan yang diajukan kepada saya: adakah Imam Al-Bukhari beramal dengan hadis dhaif? Soalan ini berlaku apabila sekumpulan orang menegaskan bahawa Al-Bukhari melarang (ada yang berkata: mengharamkan) beramal dengan hadis daif. Pendapat seperti ini memang bukan baru, namun dibina di atas andaian yang belum pernah diuji kesahihannya.[1] Saya berminat membahas perkara ini bukan untuk membela atau membantah mana-mana pihak, akan tetapi untuk menjelaskan salah satu metode ulama mutaqaddimin yang seringkali samar sehingga terbuka untuk kesalahfahaman.
Untuk menjawab soalan ini, saya mengajak anda untuk merujuk Sahih Al-Bukhari sendiri sambil menyadari bahawa kitab ini bukan sekedar “kumpulan hadis-hadis sahih” belaka. Jika begitu, sungguh sia-sia Al-Bukhari menghabiskan 16 tahun daripada usianya hanya untuk membuat sebuah kitab yang hanya mengumpulkan hadis-hadis sahih tanpa menjelaskan kandungan hukum dan pengajaran yang terdapat di dalamnya. Siapa yang membaca kitab ini dengan teliti akan melihat bahawa kitab ini sebuah maha karya ilmu hadis yang sangat kaya dengan pelbagai ilmu, terutama fiqh dan ijtihad. Oleh itu, untuk menjawab soalan ini, saya mengajak kita semua melihat sendiri praktik amali beliau dalam berhujah agar jelas bagi kita adakah beliau berhujah dengan hadis dhaif ataukah tidak?
Fiqh Al-Bukhari dan Hadis Muallaq
Para ulama berkata: “ فقه البخاري في تراجمه ” (Fiqah Al-Bukhari terdapat di dalam tajuk-tajuk babnya).[2] Oleh itu, jika kita hendak mengkaji praktik ijtihad Al-Bukhari, maka kita mesti fokuskan pandangan kita kepada tajuk-tajuk bab yang terdapat di dalam kitab ini.
Dan siapa yang mengkaji tajuk-tajuk ini akan mendapati bahawa hujah fiqh Al-Bukhari sedikitnya terdiri dari dua bentuk hadis: hadis-hadis muallaq yang terdapat di awal bab dan hadis-hadis sahih yang terdapat dalam kandungan bab. Hadis-hadis kategori kedua, yakni yang diletakkan dalam kandungan bab, merupakan hadis-hadis inti yang dijamin kesahihannnya oleh Imam Al-Bukhari, oleh itu terkeluar daripada kajian saya kali ini. Saya hanya akan mengkaji hadis-hadis muallaq yang, menurut Al-Hafiz Ibn Hajar, tidak semuanya sahih, malah terdapat hadis-hadis lemah padanya.[3]
Apabila mengkaji hadis-hadis muallaq ini, kita mesti sadar bahawa tidak semuanya disebutkan Al-Bukhari sebagai hujah. Sebahagiannya malah disebutkan untuk membantah hujah pihak lain dengan menyebutkan ‘illah yang terdapat di dalam hadis ini. Maka, saya akan mencoba melihat dengan hati-hati setiap hadis muallaq dhaif yang disebutkan Al-Bukhari, lalu memastikan apakah beliau berhujah dengannya ataukah tidak? Untuk mengelak subjektifiti, sekaligus meluruskan pemahaman saya yang lemah, saya selalu merujuk pendapat Ibn Hajar berkenaan setiap hadis yang saya sebutkan. Sebab beliau, menurut saya, merupakan ulama yang paling pakar dalam kajian hadis-hadis muallaq ini.[4]
Temuan
Kajian singkat saya menunjukkan bahawa Al-Bukhari sangat teliti memilih hujah-hujahnya. Sedapat mungkin beliau berhujah hanya dengan hadis-hadis yang sahih, namun begitu beliau tidak menutup pintu untuk beramal dengan hadis daif jika terdapat aspek-aspek eksternal (قرائن خارجية) tertentu yang menyokongnya. Beliau menggunakan hadis-hadis dhaif seperti ini bukan hanya dalam fadail a’mal, bahkan dalam beberapa permasalahan hukum. Namun nisbah hadis-hadis seperti ini sangat sedikit dibandingkan hadis-hadis sahih yang beliau gunakan.
Tulisan ini terlalu sempit untuk menghuraikan semua temuan saya, sebahagiannyapun mungkin terbuka untuk bantahan dan penafsiran lain daripada pihak yang tidak setuju. Oleh itu, saya hanya akan menyebutkan beberapa perkara yang menurut saya sangat jelas dalam membuktikan kesimpulan dan rumusan saya tadi.
1. Al-Bukhari beramal dengan hadis daif apabila kandungan hadis itu disokong oleh pelbagai hadis-hadis lain yang serupa dengannya.
Contohnya ucapan Al-Bukhari dalam kitab Al-Zakat:
وَقَالَ طَاوُس : قَالَ مُعَاذ لِأَهْلِ الْيَمَنِ ائْتُونِى بِعَرْضٍ ثِيَابٍ خَمِيصٍ أَوْ لَبِيسٍ فِى الصَّدَقَةِ ، مَكَانَ الشَّعِيرِ وَالذُّرَةِ أَهْوَنُ عَلَيْكُمْ ، وَخَيْرٌ لأَصْحَابِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم بِالْمَدِينَةِ .
Dan berkata Tawus: Berkata Muadz kepada Ahli Yaman: “Berikan kepadaku pakaian yang lebar untuk zakat, sebagai ganti daripada gandum dan jagung, perkara itu lebih ringan untukmu dan lebih baik bagi sahabat-sahabat Nabi Saw di Madinah.”
Hadis ini beliau sebutkan untuk menyokong pendapat beliau berkenaan dengan kebolehan mengambil barang-barang lain selain emas dan perak sebagai zakat. Pendapat ini selari dengan mazhab Hanafi. Berkata Ibn Rusyaid: “Al-Bukhari sepakat dengan Hanafiah dalam masalah ini meski beliau seringkali berbeza pandangan dengan mereka. Dalil yang membawa beliau kepada sikap ini.”[5]
Jika kita kaji, sanad hadis ini sebenarnya munqati (terputus), Tawus bin Kisan tidak berjumpa dengan Muadz bin Jabal. Berkata Ibn Hajar:
هَذَا التَّعْلِيق صَحِيحُ الْإِسْنَادِ إِلَى طَاوُس ، لَكِنَّ طَاوُسًا لَمْ يَسْمَعْ مِنْ مُعَاذ فَهُوَ مُنْقَطِع ، فَلَا يُغْتَرُّ بِقَوْلِ مَنْ قَالَ ذَكَرَهُ الْبُخَارِيّ بِالتَّعْلِيقِ الْجَازِمِ فَهُوَ صَحِيحٌ عِنْدَهُ لِأَنَّ ذَلِكَ لَا يُفِيدُ إِلَّا الصِّحَّة إِلَى مَنْ عُلِّقَ عَنْهُ ، وَأَمَّا بَاقِي الْإِسْنَادِ فَلَا ، إِلَّا أَنَّ إِيرَادَهُ لَهُ فِي مَعْرِضِ الِاحْتِجَاجِ بِهِ يَقْتَضِي قُوَّتَهُ عِنْدَهُ ، وَكَأَنَّهُ عَضَّدَهُ عِنْدَهُ الْأَحَادِيثُ الَّتِي ذَكَرَهَا فِي الْبَابِ .
Ta’liq ini sahih sanadnya kepada Tawus, akan tetapi Tawus tidak mendengar daripada Muadz, jadi ia munqati. Maka janganlah tertipu dengan ucapan orang yang berkata bahawa Al-Bukhari menyebutnya dengan sighat jazm bermakna hadis ini sahih di sisinya, sebab perkara ini hanya menunjukkan kesahihan hingga kepada orang yang dita’liq (yakni Tawus), adapun baki sanadnya tidak (sahih). Akan tetapi, beliau menyebutkan hadis ini untuk hujah menunjukkan kuatnya hadis ini di sisinya.Mungkin menurut beliau (kandungan) hadis ini disokong oleh hadis-hadis yang beliau sebutkan dalam bab ini.[6]
Sebelumnya, hadis ini juga dihukumkan munqati oleh Imam Al-Syafii, namun beliau menerima kandungannya karena beliau percaya Tawus benar-benar mengetahui perkara ini. Berkata Al-Syafii: “Tawus mengetahui perkara Muadz meskipun beliau tidak berjumpa dengannya karena beliau berjumpa ramai dengan murid-murid Muadz di Yaman setahuku.”[7]
2. Al-Bukhari Beramal dengan hadis dhaif apabila kandungan hadis tersebut bersesuaian dengan amal yang disepakati seluruh ulama.
Berkata Al-Bukhari:
وَيُذْكَر أَنَّ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَضَى بِالدَّيْنِ قَبْل الْوَصِيَّة
Disebutkan bahawa Nabi Saw menetapkan bahawa hutang (mesti dibayar) sebelum wasiat.
Al-Bukhari menyebutkan hadis ini untuk menyokong pendapatnya bahawa membayar hutang orang yang meninggal dunia mesti didahulukan daripada melaksanakan wasiatnya. Meski hadis ini lemah sanadnya, namun beliau berhujah dengannya karena aspek lain yang meliputi hadis ini, iaitu para ulama bersepakat mengamalkan hadis ini.
Berkata Al-Hafiz Ibn Hajar:
هَذَا طَرَف مِنْ حَدِيث أَخْرَجَهُ أَحْمَد وَالتِّرْمِذِيّ وَغَيْرهمَا مِنْ طَرِيق الْحَارِث وَهُوَ الْأَعْوَر عَنْ عَلِيّ بْن أَبِي طَالِب قَالَ : " قَضَى مُحَمَّد صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ الدَّيْن قَبْل الْوَصِيَّة ، وَأَنْتُمْ تَقْرَءُونَ الْوَصِيَّة قَبْل الدَّيْن " لَفْظ أَحْمَد وَهُوَ إِسْنَاد ضَعِيف ، لَكِنْ قَالَ التِّرْمِذِيّ : إِنَّ الْعَمَل عَلَيْهِ عِنْد أَهْل الْعِلْم ، وَكَأَنَّ الْبُخَارِيّ اِعْتَمَدَ عَلَيْهِ لِاعْتِضَادِهِ بِالِاتِّفَاقِ عَلَى مُقْتَضَاهُ ، وَإِلَّا فَلَمْ تَجْرِ عَادَته أَنْ يُورِد الضَّعِيف فِي مَقَام الِاحْتِجَاج بِهِ ، وَقَدْ أَوْرَدَ فِي الْبَاب مَا يُعَضِّدهُ أَيْضًا
Ini adalah sebahagian daripada hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Tirmidzi dan lain-lain, dari jalan Harith Al-A’war, dari Ali bin Abi Talib: “Muhammad Saw telah menetapkan bahawa hutang sebelum wasiat, namun kamu membacanya wasiat sebelum hutang.” Demikian lafaz Ahmad. Ia adalah sanad yang lemah, akan tetapi Al-Tirmidzi berkata bahawa amal berlaku atas hadis ini menurut para ahli ilmu.Seolah-olah Al-Bukhari berpegang dengan hadis ini karena sokongan kesepakatan (ulama) akan isinya. Jika tidak, bukan kebiasaan beliau menyebutkan hadis dhaif dengan tujuan berhujah. Beliau juga menyebutkan di dalam bab ini, perkara-perkara yang menyokongnya.[8]
Menarik ucapan Ibn Hajar bahawa bukan kebiasaan Al-Bukhari berhujah dengan hadis dhaif, namun beliau kadangkala melakukannya jika memenuhi syarat-syarat tertentu sebagaimana kesimpulan saya di atas. Ini juga menyokong kesimpulan bahawa Al-Bukhari tidak pernah melarang beramal dengan hadis dhaif, malah kadang melakukannya sebagaimana sikap jumhur fuqaha.
3. Al-Bukhari terkadang beramal dengan hadis dhaif apabila kandungannya menjelaskan atau menafsirkan kandungan hadis lain.
Misalnya, berkata Al-Bukhari:
وَيُذْكَر عَنْ أَبِي حَسَّان عَنْ اِبْن عَبَّاس أَنَّ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَزُور الْبَيْت أَيَّام مِنًى
“Disebutkan daripada Abu Hassan dari Ibn Abbas bahawa Nabi Saw berziarah (maksudnya: melakukan tawaf ziarah/ifadah) pada hari-hari Mina.”
Menurut Al-Hafiz Ibn Hajar, tujuan Al-Bukhari menyebutkan hadis ini adalah untuk menghimpun dua riwayat yang saling bertentangan, yakni riwayat Ibn Umar dan Jabir yang menceritakan bahawa Nabi Saw melakukan tawaf ifadah pada siang hari, dan riwayat Abu Zubeir dari Ibn Abbas bahawa Nabi Saw melakukan tawaf itu pada malam hari. Riwayat Abu Hassan ini menghimpun kedua hadis ini dan menyimpulkan bahawa Nabi Saw melakukan kedua-duanya (tawaf pada siang dan malam hari) sebab baginda tawaf berkali-kali selama mabit di Mina.
Berkata Ibn Hajar: “Maka yang dimaksudkan dalam hadis Jabir dan Ibn Umar adalah hari pertama. Dan hadis Ibn Abbas untuk hari-hari (Mina) yang lain.”[9] Beliau juga berkata: “Terdapat hadis mursal yang menyokong riwayat Abu Hassan ini. Dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dari Ibn Uyainah: telah memberitahuku Ibn Tawus dari bapanya: bahawa Nabi Saw bertawaf setiap malam.”[10]
Jadi, jelaslah bahawa Al-Bukhari berhujah dengan hadis ini dalam sebuah masalah hukum. Padahal, jika kita perhatikan sanad hadis ini, ianya cukup lemah. Guru-gurunya, seperti Ibn Al-Madini dan Ahmad bin Hanbal, mengingkari hadis ini karena tidak ada yang meriwayatkannya dari Qatadah melainkan Hisyam. Agaknya, pandangan Al-Bukhari tentang hadis ini pun tidak jauh beza dengan kedua gurunya. Berkata Ibn Hajar:[11]
وإنَّما مَرَّضَه البُخاريُّ لِشِدَّةِ غَرابَتِهِ
Al-Bukhari menyebutnya dengan sighat tamrid karena sangat munkarnya.
Pendapat Jumhur
Demikian sedikit temuan yang boleh saya kongsikan pada kali ini, tentu sahaja kajian ini sebenarnya lebih luas daripada ini, karena kesempitan tempat. Boleh disimpulkan bahawa Al-Bukhari tidak melarang, apalagi mengharamkan, beramal dengan hadis dhaif jika kandungannya disokong oleh pelbagai aspek eksternal yang menguatkannya. Paling tidak, itulah yang dipahami oleh Al-Hafiz Ibn Hajar apabila mensyarahkan hadis-hadis muallaq tersebut di atas.
Pendirian Al-Bukhari ini samasekali tidak merendahkan darjat beliau sebagai ahli hadis yang paling unggul, malah menunjukkan ketinggian darjat beliau dalam hadis dan fiqh sekaligus. Sebab sikap yang beliau tunjukkan ini tidak lain adalah pendapat majoriti ulama dari kalangan ahli hadis dan ahli fiqh dari kalangan ulama tabiin, juga guru-guru Al-Bukhari, rekan-rekannya, dan murid-muridnya, dan sebahagian besar ulama pada hari ini.
Kenyataan ini sekaligus menyadarkan kita untuk selalu melihat para ulama secara objektif dan bukan melalui mata subjektifiti yang hanya menginginkan mereka berperilaku selari dengan pemahaman dan kemahuan kita. Semoga Allah memberikan kebijaksanaan kepada kita semua dalam melihat kebenaran. Wallahu a’lam bissawab.
[1] Pendapat sedemikian pernah disebutkan oleh Syeikh Al-Qasimi dalam “Qawaíd Al-Tahdith” hal. 113. Beliau berkata: “Yang zahir, mazhab Al-Bukhari dan Muslim seperti itu (yakni tidak beramal dengan dhaif secara mutlak. Menunjukkan perkara itu adalah syarat Al-Bukhari dalam Sahih-nya …”
[2] Muqaddimah Fath Al-Bari hal.17.
[3] Sila kaji perbahasan panjang lebar tentang perkara ini yang disebutkan Ibn Hajar dalam Muqaddimah Fath Al-Bari, hal.24 dan seterusnya.
[4] Kitab beliau bertajuk Taghliq Al-Ta’liq membuktikan perkara itu. Sejauh pengetahuan saya tidak ada kitab yang membahas hadis-hadis muallaq Sahih Al-Bukhari selengkap kitab ini.
[5] Fath Al-Bari 3/392.
[6] Ibid 3/393.
[7] Al-Um 2/12.
[8] Fath Al-Bari 5/462.
[9] Fath Al-Bari 3/716.
[10] Ibid. 3/717.
Sumber : http://umarmnoor.blogspot.com/2012/03/al-bukhari-beramal-dengan-hadis-dhaif.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan