CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Memuatkan ...

Ahad, 31 Oktober 2010

Permasalahan Dalam Saf Ketika Solat Berjemaah Bab 1




















Oleh : Mufti Brunei

Pengertian saf dari segi bahasa adalah barisan yang lurus daripada setiap sesuatu, seperti saf dalam sembahyang jemaah, peperangan dan sebagainya. Manakala pengertiannya dari segi istilah pula tidak lari maknanya dengan pengertian dari segi bahasa. Apa yang ingin dijelaskan di sini penjelasan mengenai masalah-masalah saf dalam sembahyang berjemaah.

SAF DALAM SEMBAHYANG JEMAAH

Jumhur ulama berpendapat bahawa disunatkan bagi makmum meluruskan saf-saf mereka ketika bersembahyang jemaah supaya janganlah ada sebahagian jemaah terkehadapan atau terkebelakang daripada jemaah yang lainnya sehingga menyebabkan tidak sama dan tidak lurus saf mereka. Ketika makmum berdiri, mereka hendaklah meluruskan saf dalam keadaan berdekatkan bahu dengan bahu, kaki dengan kaki dan tumit dengan tumit makmum yang lainnya sehingga tidak ada ruang yang kosong dan renggang. Maka dalam hal ini, imam adalah disunatkan menyuruh makmumnya meluruskan saf-saf mereka sebagaimana yang sering kita dengar sebelum imam mendirikan sembahyang, kerana meluruskan saf itu termasuk dalam kesempurnaan dan keelokan sembahyang. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

"Luruskanlah saf-saf kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu termasuk kesempurnaan sembahyang"
.

(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi yang maksudnya :

"Luruskanlah saf di dalam sembahyang, kerana meluruskan saf itu termasuk keelokan sembahyang".


(Hadis riwayat Muslim)

Mengikut pendapat sebahagian ulama seperti Ibnu Hajar dan sebahagian ulama hadis bahawa meluruskan saf itu hukumnya wajib. Barangsiapa yang melampaui batas (barisan) adalah haram hukumnya, kerana suruhan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis Baginda supaya meluruskan saf adalah menunjukkan perintah wajib. Hal ini jelas diterangkan dengan adanya ancaman mengenainya melalui sebuah hadis yang memerintahkan taswiyyah (meluruskan saf). Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Sungguh kamu mahu meluruskan saf-saf kamu atau Allah akan menggantikan di antara wajah-wajah kamu".


(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam kitab Syarah Shahih Muslim ada menyatakan pendapat-pendapat atau qaul mengenai maksud hadis di atas. Di antaranya pendapat yang mengatakan bahawa maksud "Allah akan menggantikan di antara wajah-wajah kamu" ialah mengubah atau menukarkan shurah atau bentuk rupanya, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Allah menjadikan bentuk rupanya dengan bentuk keldai".


(Hadis riwayat Bukhari)

Pendapat yang azhhar bagi maksud hadis di atas itu, ialah terjadi di antara mereka (orang yang tidak meluruskan saf) permusuhan, kebencian dan perselisihan lubuk hati. (Syarah Shahih Muslim 3/131)

Walau bagaimanapun menurut Ibnu Hajar tidak meluruskan saf dalam sembahyang jemaah itu tidaklah membatalkan sembahyang.
(Al-Mausu‘ah Al-Feqhiah 27/35-36)



KEUTAMAAN MEMENUHI SAF PERTAMA

Telah sepakat para fuqaha adalah sunat bagi para jemaah untuk memenuhi saf yang pertama terlebih dahulu sehingga tidak ada ruang yang kosong atau renggang. Kemudian baharulah diikuti dengan saf yang kedua dan seterusnya, berdasarkan hadis-hadis yang shahih menyentuh perkara ini. Di antaranya, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Sempurnakanlah oleh kamu saf yang depan (saf yang pertama), kemudian saf-saf berikutnya, maka saf yang kurang itu (disebabkan sedikit makmum) hendaklah (saf yang kurang itu berada) di saf bahagian belakang".

(Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa’i)



Oleh yang demikian tidak digalakkan ke atas jemaah untuk mendirikan saf yang kedua atau berikutnya melainkan selepas sempurnanya saf yang pertama atau berikutnya. Dalam erti kata lain, jangan dibiarkan saf yang di hadapan makmum itu kosong atau renggang, bahkan disunatkan ke atas mereka mengisinya.

Adalah disunatkan juga ke atas makmum yang berada di hadapan memberi ruangan kepada makmum yang hendak masuk ke saf tersebut selagi ada ruang baginya, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Luruskanlah oleh kamu saf-saf dan sejajarkanlah di antara bahu-bahu kamu, tutupi celah-celah dan berlaku lembutlah ketika memegang tangan saudaramu (waktu merapatkan saf), dan janganlah kamu biarkan celah-celah (yang kosong) itu untuk syaitan. Barangsiapa menghubungkan saf, maka Allah menghubungkannya (dengan rahmatNya) dan barangsiapa memutuskan saf, maka Allah memutuskannya (daripada rahmat dan pertolonganNya)".


(Hadis riwayat Abu Daud)


KELEBIHAN SAF PERTAMA

Dalam beberapa hadis ada menyebutkan kelebihan atau fadhilat saf yang pertama itu, di mana jika mereka mengetahui akan kelebihannya, nescaya mereka akan berebut-rebut untuk mendapatkannya sehingga terpaksa diadakan undian. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

“Andaikata mereka tahu apa yang ada di dalam saf yang depan, nescaya akan di adakan undian”.

(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi yang maksudnya :

“Andaikata orang-orang tahu apa yang terdapat di dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak mendapatkannya kecuali dengan cara berundi di antara mereka, pasti mereka mahu mengundinya. Andaikata mereka tahu apa yang terdapat di dalam hal melakukan sembahyang, pasti mereka berlumba-lumba mendapatkannya. Andaikata mereka tahu apa yang terdapat di dalam sembahyang Isya dan Subuh, pasti mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak”.


(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)



Dalam hadis yang lain sabda Baginda yang maksudnya :

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya mengucapkan selawat (selawat Allah: rahmat dan selawat malaikat: istighfar) terhadap makmum-makmum di baris pertama”.




(Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa’i)

Sepakat para fuqaha bahawa saf yang afdhal atau lebih utama bagi lelaki sama ada bersama mereka kanak-kanak atau perempuan adalah saf yang pertama. Begitu juga bagi perempuan yang tidak bersama mereka makmum lelaki atau berjemaah bersama dengan lelaki tetapi ada penghalang atau tabir antara keduanya, maka yang afdhalnya di saf yang pertama. Akan tetapi jika perempuan itu berjemaah bersama dengan lelaki tanpa ada penghalang atau tabir, maka yang afdhal atau lebih utama bagi perempuan itu saf yang terakhir, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah saf yang pertama, dan sejelik-jeliknya ialah saf yang terakhir. Sebaik-baik saf bagi wanita adalah saf yang paling belakang, dan sejelik-jeliknya ialah saf yang pertama”.


(Hadis riwayat Muslim)

Di antara kelebihan-kelebihan yang ada di dalam saf juga ialah mengambil tempat dalam kedudukan di sebelah kanan imam lebih afdhal atau utama daripada kedudukan sebelah kiri imam. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengucapkan selawat kepada makmum di saf-saf kanan”.


(Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)


KEDUDUKAN IMAM DAN MAKMUM

Makmum hendaklah berada di belakang imam. Adalah batal sembahyang makmun itu jika dia berada di hadapan imam. Manakala jika imam dan makmun dalam kedudukan yang sama maka tidaklah batal sembahyang mereka, akan tetapi hukumnya adalah makruh.

Disunatkan juga agar kedudukan atau tempat imam tidaklah tinggi dibandingkan dengan kedudukan makmumnya, begitu juga sebaliknya iaitu kedudukan makmum tidaklah tinggi dibandingkan dengan kedudukan imam, melainkan jika imam itu bertujuan untuk mengajar makmumnya perbuatan sembahyang atau makmum itu bertujuan untuk menyampaikan takbir imam kepada makmum yang lain. Dalam keadaan ini, makmum tersebut adalah digalakkan untuk meninggikan tempat kedudukannya. (Majmuk 4/190-191, 4/186-187)

Di antara adab-adabnya juga ialah imam disunatkan berada di antara tengah-tengah saf makmum yang berada di belakang. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

“Jadikanlah kedudukan imam itu berdiri di tengah-tengah dan penuhilah celah-celah saf (yang kosong)”.

(Hadis riwayat Abu Daud)



KEDUDUKAN MAKMUM TUNGGAL DALAM SAF SEMBAHYANG


Apabila sembahyang jemaah itu hanya dengan seorang makmum, maka disunatkan baginya berada di sebelah kanan imam, tetapi hendaklah ke belakang sedikit daripada imam. Manakala jika makmum berada di sebelah kiri atau di belakang imam, disunatkan baginya untuk berpindah ke sebelah kanan dengan menjaga daripada perkara-perkara yang membatalkan sembahyang seperti bergerak lebih daripada tiga kali berturut-turut. Walau bagaimanapun, hanya makruh hukumnya jika dia terus berada di kiri atau di belakang imam. Jika makmum itu tidak juga berpindah disebabkan jahil atau sebagainya, maka disunatkan bagi imam itu memindahkan makmum atau memindahkan dirinya supaya berada di depan sebelah kiri makmum, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radiallahu ‘anhuma katanya yang maksudnya :

“Pada suatu malam saya tidur di rumah Maimunah dan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alahi wasallam berada di sana malam itu. Beliau berwudhu dan berdiri untuk sembahyang. Saya bersamanya dan berdiri di sebelah kirinya tetapi beliau memindahkan saya ke sebelah kanannya”.


(Hadis riwayat Bukhari)



KEHADIRAN MAKMUM KEDUA KETIKA IMAM SEDANG SEMBAHYANG

Apabila makmum yang lain baru datang (masbuk) walaupun kanak-kanak, sedangkan makmum yang pertama berada di sebelah kanan imam dalam keadaan mereka berdiri, maka dalam hal ini, kedudukannya adalah mengikut keadaan tertentu:

Pertama, jika di hadapan imam itu luas dan di belakang makmum sempit, maka imam hendaklah bergerak ke hadapan. Manakala jika sebaliknya iaitu luas di belakang makmum dan sempit di hadapan imam, maka hendaklah makmum itu tadi berundur ke belakang.

Kedua, jika kedua-dua tempat itu luas, maka yang afdhalnya mengikut pendapat yang shahih makmum hendaklah berundur ke belakang dan imam tidak perlu berpindah ke depan kerana mereka mengikut imam. Manakala jika makmum kedua itu datang dalam keadaan mereka duduk atau sujud, maka tidak boleh mereka bergerak ke belakang atau ke hadapan sehinggalah sesudah mereka berdiri semula.

Dalam semua keadaan ini, jika mereka menyalahi aturan saf yang telah ditentukan, seperti seorang makmum berdiri di sebelah kiri atau belakang imam atau dua orang makmum berdiri di sebelah kanan atau kiri imam dan di antara kedua mereka ada yang berdiri di belakang dan seorang lagi berdiri di sebelah kanan imam atau sebagainya, adalah sah juga sembahyang mereka dan tidak perlu lagi diulang ataupun melakukan sujud sahwi, tetapi makruh hukumnya mereka melakukan kesalahan tersebut. (Majmuk 4/184-185)

Dalam keadaan jemaah yang ramai pula, yang dihadiri oleh orang yang baligh, kanak-kanak lelaki, khuntsa dan perempuan, disunatkan lelaki yang baligh itu berada di saf hadapan kemudian diikuti oleh kanak-kanak, khuntsa (orang-orang yang tidak diketahui jantinanya adakah lelaki atau perempuan kerana memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan atau tidak memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan) dan baharulah jemaah perempuan di saf yang terakhir. Manakala jika dihadiri oleh ramai jemaah lelaki, seorang kanak-kanak lelaki, seorang khuntsa dan seorang perempuan, maka jemaah lelaki berada di saf hadapan bersama-sama dengan kanak-kanak tersebut kemudian diikuti di belakang mereka khuntsa seorang diri dan baharulah jemaah perempuan berdiri seorang diri di belakang khuntsa. Jika makmum terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki, seorang khuntsa dan seorang perempuan, maka kanak-kanak itu berdiri di sebelah kanan imam kemudian diikuti oleh khuntsa di belakang kanak-kanak itu dan di belakang khuntsa diikuti pula oleh jemaah perempuan.

Sumber :


3 ulasan:

Zackeym⓰ berkata...

as salam, izin share utk disebarkan dan manfaat kepada saudara yang lain

Muhamad Hatikullah Bin Muhamad berkata...

salam..mohon dishare catatan ini....syukran..

Muhamad Hatikullah Bin Muhamad berkata...

salam..mohon dishare catatan ini....syukran..

KONGSIKAN

Jom Ikut Kuliah Agama Secara Online!

Jom Menuntut Ilmu !

Ahli Aqidah/Usuluddin/Tasawuf

Ahli Tafsir/Usul Feqh/Feqh/Feqh Perbandingan

Ahli Hadith

Ahli Mazhab Syafie

Ahli Perubatan Islam

Ahli Psikologi/Kaunseling

Ahli Perbandingan Agama

Ahli Bahasa Arab

Ahli Qira'at / Tajwid

  • Renungan - BERUNTUNGNYA ORANG YANG RAJIN MENGAJI. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil k...
    Setahun yang lalu
  • FAWASIL (SURAH UMM AL-QURAN) - MATAN NAZIMAH AL-ZUHR (MATAN ILMU FAWASIL) KARANGAN IMAM AL-SYATHIBI سورةُ أُمُّ القُرْآن وأُمُّ القُرْآن الكُلُّ سَبْعاً يَعُدُّها ولَكِن ع...
    Setahun yang lalu
  • Video Bacaan Hukum Qalqalah - Sekiranya anda telah membaca artikel saya yang lepas tentang hukum bacaan Qalqalah, tentu anda telah pun faham secara teorinya apakah yang dikatakan qalqal...
    4 tahun yang lalu

Ahli Pemikir Islam

Ahli Kajian Dan Penyelidikan