CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Selasa, 29 September 2009

Siapakah Sayyid Ja'far al Barzanji ?

Keturunan dan Kelahirannya :

Nama beliau ialah Ja'afar ibn Hasan ibn Abdul Karim ibn Sayyid Muhammad ibn al Qutb al Arif Sayyid Rasul ibn Abdus Sayyid ibn Abdur Rasul ibn Qalandar ibn Abdus Sayyid ibn Isa ibn al Hussain ibn Bayazid ibn al Mursyid Abdul Karim ibn al Qutb al A'zam al Ghauth al Fard al Jami' Isa ibn Ali ibn Yusuf ibn Mansur ibn Abdul Aziz ibn AbduLlah ibn Ismail al Muhaddith ibn al Imam Musa al Kazim ibn al Imam Ja'afar al Sodiq ibn al Imam Muhammad al Baqir ibn al Imam Ali Zainal Abidin al Sajjad ibn al Imam al Syahid al Husain ibn al Imam Amirul Mukminin Ali ibn Abu Talib.

Tarikh Kelahiran

Pada hari Khamis awal bulan Zulhijjah 1126 Hijrah di Madinah al Munawwarah

Perkataan 'Barzanji' yang dinisbahkan kepada namanya diambil dari nama kampung asal keturunannya.

Latar Belakang Pendidikannya

Beliau dibesarkan di bawah didikan dan asuhan ayahandanya. Beliau mempelajari al Quran daripada Syeikh Ismail al Yamani radiyaLlahu 'anhu. Kemudian mempelajari ilmu tajwid daripada syeikh Yusuf al Sa'idi radiyaLLahu 'anhu dan Syeikh Syams al din al Misri radiyaLlahu 'anhu. Di antara guru-gurunya di Madinah ialah :

1. Sayyid Abdul Karim Haidar al Barzanji radiyaLlahu 'anhu

2. Sayyid Yusuf al Kurdi radiyaLLahu 'anhu

3. Sayyid 'AtiyyatuLlah al Hindi radiyaLlahu 'anhu

Setelah itu, beliau mendalami ilmunya dengan ulama' yang berada di Makkah dan menetap di sana selama 5 tahun. Di antara guru-gurunya di Makkah ialah :

1. Syeikh 'AtaiLlah ibn Ahmad al Azhari

2. Syeikh Abdul Wahhab al Tontowi al Ahmadi

3. Syeikh Ahmad al Asybuli dan lain-lain lagi.

Oleh kerana kepakarannya yang tinggi di dalam persada ilmu, beliau telah diijazahkan dengan sanad-sanad ilmu oleh masyaikh pada zamannya. Di antara guru-gurunya yang pernah menganugerahkan sanad kepadanya ialah :

1. Syeikh Muhammad Tayyib al Fasi

2. Sayyid Ahmad al Tobari

3. Syeikh Muhammad ibn Hasan al 'Ujaimi

4. Sayyid Mustafa al Bakari

5. Syeikh AbduLlah al Syubrawi al Misri

Beliau telah belajar daripada mereka pelbagai ilmu pengetahuan. Di antaranya ilmu saraf, nahu. mantiq, ma'ani, bayan, adab, fiqh, usul fiqh, faraidh, matematik, hadith, mustalah hadith, tafsir, dakwah, kejuruteraan, arudh, kalam, bahasa, sirah, qiraat, suluk, tasawwuf dan sebagainya.

Apa yang berlaku pada zaman mutakhir ini, sesetengah ahli masyarakat melemparkan tuduhan bahawa beliau bukan seorang ilmuwan Islam. Anggapan yang tidak berasas ini, menyebabkan kitab maulid karangannya yang selama ini diterimapakai di dalam Majlis Sambutan Maulid Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam di kebanyakan negara Islam dituduh mengandungi banyak perkara khurafat dan bertentangan dengan Al Quran dan Hadith.

Oleh kerana itu, untuk meneutralkan tanggapan negatif ini, adalah wajar diketengahkan sanad beliau yang menghubungkan ilmunya dengan dua buah kitab hadith yang muktabar; al Bukhari dan Muslim sehingga kepada RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bagi membuka mata dan meyakinkan kita bahawa pengarang Kitab Maulid Barzanji yang kita baca selama ini bukanlah calang-calang ulama.

Sanad Jami' Al Sahih Imam Bukhari

Sayyid Ja'far al Barzanji belajar daripada,

1. Syeikh Muhammad Tayyib al Fasi, belajar daripada

2. Syeikh Ibrahim al Dir'i, belajar daripada

3. Syeikhah Fatimah binti SyukriLLah al Uthmaniyyah, bonda nendanya Sayyid Muhammad ibn Abdur Rasul, belajar daripada

4. Al Syams Muhammad ibn Ahmad al Ramli, belajar daripada

5. Syeikh al Islam al Qadhi Zakaria ibn Muhammad al Ansari, belajar daripada

6. al Hafiz Ahmad ibn Ali ibn Hajar al Asqalani, belajar daripada

7. Syeikh Ibrahim ibn Ahmad al Tanukhi, belajar daripada

8. Syeikh Abi al Abbas Ahmad ibn Abi Talib al Hajjar al Dimasyqi, belajar daripada

9. al Siraj al Husain al Mubarak al Zaibidi, belajar daripada

10. Abdil awwal ibn Isa al Harawi, belajar daripada

11. Abdir Rahman ibn Muzaffar al Dawudi, belajar daripada

12. Abi Muhammad AbduLLah ibn Hamawih al Sarkhasi, belajar daripada

13. Syeikh Abdi AbdiLlah Muhammad ibn Yusuf ibn Matar al Farabri, belajar daripada

Pengumpulnya, Amirul Mukminin al Imam al Hafiz al Hujjah Abu AbdiLLah Muhammad ibn Ismail al Bukhari.

Sanad Sohih Muslim

Sayyid Ja'far al Barzanji, belajar daripada

1. Syeikh AbduLlah al Syubrawi al Misri, daripada

2. Syeikh Muhammad Zurqani ibn Abdul Baqi al Maliki al Azhari, daripada

3. Al Hafiz Muhammad ibn 'Ala' al Babili, daripada

4. Syeikh Abi al Naja Salim ibn Muhammad al Sanhuri, daripada

5. Al Najm Muhammad ibn Ahmad al Ghaiti, daripada

6. Syeikh al Islam Zakaria ibn Muhammad al Ansari, daripada

7. Abi al Nu'aim Ridhwan ibn Muhammad, daripada

8. Syeikh Abi Tahir Muhammad ibn Muhammad, daripada

9. Abi al Faraj Abdur Rahman ibn Abdul Hamid al Maqdisi, daripada

10. Syeikh Abi al Abbas Ahmad ibn Abdud Daim al Nablusi, daripada

11. Syeikh Muhammad ibn Ali al Harani, daripada

12. Faqih al Haram Muhammad ibn al Fadhl al Farawi, daripada

13. Syeikh Abi al Husain Abdul Ghafir ibn Muhammad al Farisi, daripada

14. Abi Ahmad Muhammad ibn Isa al Jaludi, daripada

15. Syeikh Abi Ishaq Ibrahim ibn Muhammad ibn Sufyan al Zahid, daripada

Pengumpulnya al Imam al Hujjah Muslim ibn al Hajjaj al Qusyairi al Naisaburi.

Kepakarannya di dalam bidang keilmuwan telah menarik ramai orang datang menemuinya untuk mempelajari ilmu. Beliau mengikuti dan menyelami jalan ahli tasawwuf dan meninggalkan kerehatan dan tidur lebih dari 20 tahun sehingga beliau mempunyai kemahiran di dalam ilmu naqli (berasaskan al Quran dan Sunnah) dan aqli. Beliau pernah mengambil tariqat daripada Sayyid 'AtiyatuLlah al Hindi dan Sayyid Mustafa al Bakari.

Beliau telah mengarang banyak kitab yang menakjubkan dan bermanfaat. Di antaranya ialah kitab Maulid Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam yang tidak pernah ditulis oleh pengarang sebelumnya yang dinamakan dengan 'Iqd al Jauhar fi Maulid al Nabi al Azhar sallaLlahu 'alaihi wasallam.

Hubungan Sosial

Beliau juga mempunyai kredibiliti yang tinggi dalam masyarakat sehingga dilantik sebagai Mufti Mazhab Syafie radiyaLLahu 'anhu di al Madinah al Munawwarah. Beliau memegang jawatan tersebut sehingga kewafatannya dan dianugerahkan dengan kebesaran yang tinggi sehingga kata-katanya diperkenankan dan dilaksanakan oleh raja-raja dan pemerintah-pemerintah di Haramain (Makkah dan Madinah), Mesir, Syam, Rom dan sebagainya.

Kata-katanya juga diterimapakai oleh Jemaah Menteri Kerajaan Uthmaniyyah dan pembesar-pembesar negara tersebut. Suaranya tersebar seperti burung yang berterbangan di seluruh pelusuk dunia hingga hampir tiada sesiapa yang tidak mengenalinya. Karyanya tersebar luas dan kelebihan kitabnya tiada tolok bandingnya pada zamannya.

Akhlaknya

Beliau mempunyai akhlak yang mulia, bersifat tawadhu', hati yang bersih, cepat memaafkan orang lain dan tidak mengabaikan hak orang lain. Beliau merupakan keturunan dari keluarga RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam dan di kalangan ketua yang menjadi tempat rujukan keturunan Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam pada zamannya. Beliau juga merupakan seorang yang zuhud, wara', berpegang dengan al Quran dan Sunnah, banyak berzikir, sentiasa bertafakkur, mengorbankan harta dan jiwa untuk melakukan kebaikan serta banyak bersedekah sehingga dikenali sebagai seorang dermawan.

Beliau juga mempunyai karamah yang dizahirkan oleh ALlah subahanahu wa Ta'ala. Di antaranya, beliau pernah dipanggil dari tempat solatnya pada Hari Jumaat menaiki mimbar RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam. Pada masa tersebut, sedang berlaku kemarau yang panjang. Maka orang bertawassul dengannya supaya diturunkan hujan. Dengan kehendak ALlah subahanahu wa Ta'ala, maka hujan pun turun dengan lebatnya dan tanah yang kering kontang menjadi subur. Ramai di kalangan ulama' yang memujinya sebagaimana yang dirakamkan di dalam syair gubahan mereka. Di antaranya :

سقى الفاروق بالعباس قدما
و نحن بجعفر غيثا سقينا
فذاك وسيلة لهم وهذا
وسيلنا إمام العارفينا


"Dahulu sayyiduna Umar RadiyaLlahu 'anhu pernah bertawassul meminta hujan dengan Sayyiduna al Abbas radiyaLLahu 'anhu, dan kini kami bertawassul dengan Ja'far radiyaLlahu 'anhu, maka diturunkan hujan kepada kami"


Khalifah Umar ibn al Khattab radiyaLlahu 'anhu sepertimana yang diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim daripada Anas radiyaLlahu 'anhu pernah bertawassul dengan bapa saudara Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam, iaitu Abbas ibn Abdul Muttalib ketika berlaku musim kemarau. Umar RadiyaLlahu 'anhu berdoa :

اللهم إنا كنا إذا قحطنا توسلنا إليك بنبينا فتسقنا وإنا نتوسل إليك بعم نبينا محمد صلى الله عليه وسلم فاسقنا, قال : فيسقون


Ya ALlah! Sesungguhnya apabila kami menghadapi kemarau, kami bertawassul kepada Engkau dengan Nabi kami (Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam) maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Dan sekarang ini, kami bertawassul kepada Engkau dengan bapa saudara Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam, maka turunkanlah hujan jepada kami." Anas radiyaLlahu 'anhu menyebut, "Maka hujan pun diturunkan ke atas mereka."


Sila lihat di dalam Kitab Syifa' al Saqqam karangan Syeikh Taqiyuddin al Subki H:171.

Kewafatannya

Beliau wafat pada Hari Selasa selepas Asar 4 Sya'ban 1177 Hijrah.

Sumber Rujukan: Haji Muhammad Fuad Kamaluddin al Maliki, Al Bayan 8, Cet Pertama 2008, Sekretariat Menangani Isu-isu Akidah Dan Syariah, Majlis Agama Islam Negeri Johor. Malaysia.

4 ulasan:

al-aman berkata...

Siapa la yg 'genius' sangat hentam Syeikh Barzanji ye.... ke 'pakar hadith malaysia' tu? huhu..

Semoga Allah memimpin kita... kena ajar geng2 yg x de adab ni supaya beradab.. ish...

IbnuNafis berkata...

Assalamu'alaikum,

Cuba lihat youtube ini. Mungkin ada lagi yang nak perjelaskan dengan lebih lanjut,

Tuduhan Dr Asri ini pernah dijawab di dalam ahli bait di malaysia di sini :

http://forum.asyraaf.net/viewthread.php?tid=601&extra=page%3D1

dan di sini :

http://forum.asyraaf.net/viewthread.php?tid=441&extra=page%3D1

IbnuNafis berkata...

di sini pula mereka yang membela tuduhan dr Asri :

http://www.youtube.com/watch?v=61_ySWlyDxA

Cuba perhatikan dengan betul dan rasional - adakah sebenarnya klip video ini membela tuduhan Dr Asri ?

WaLlahua'lam

IbnuNafis berkata...

Ini Youtube tuduhan Dr Asri :

http://www.youtube.com/watch?v=wdPcL22AsiY&NR=1

Bandingkan kedua-duanya. Lihat Dr Asri memperlekehkan dan meghina Sayyid Ja'far al Barzanji.