CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Selasa, 1 September 2009

Perbezaan Ta’abbud Dan Ta’dzim

Penulis : Ustaz Al Amin Daud

cium hadi “Tuan Guru Haji Hadi bangun bersalam dan mencium dahi Tuan Guru Nik Aziz tanda penghormatan”

Golongan wahabi seringkali mengelirukan umat Islam dengan pandangan yang menyimpang daripada kefahaman yang sebenar.

Di antara persoalan yang ditimbulkan oleh mereka seperti permasalahan mencium tangan orang alim, berdiri menghormati orang alim, memuliakan Nabi SAW dengan panggilan Sayyidina, bertawasul, berhenti di maqam Nabi SAW ketika menziarahi baginda SAW dan banyak lagi persoalan yang digembar-gemburkan sebagai bidaah dan syirik oleh mereka. Pada sangkaan mereka itu termasuk di dalam ibadah kepada selain daripada Allah SWT.

Punca kekeliruan ini berlaku kerana kejahilan mereka dalam membezakan apakah hakikat ibadah dan apakah hakikat تعظيم وتكريم وتشريف (ta’zim, takrim dan tasyrif = memuliakan).

Jika Wahabi selalu menggunakan slogan retorik mereka kembali kepada Al-Quran maka kita mengajak mereka melihat apa yang dinyatakan di dalam Al-Quran.

Firman Allah Ta’ala di dalam surah Al-Baqarah ayat 34;

وإذ قلنا للملائكة اسجدوا لآدم فسجدوا إلا إبليس أبى واستكبر وكان من الكافرين

Ketikamana kami perintahkan kepada malaikat sujudlah kepada Adam maka sekalian para malaikat sujud kecuali Iblis enggan dan sombong jadilah (iblis) daripada golongan yang kufur (kepada perintah Allah)

Di dalam ayat di atas Allah SWT Ta’ala memerintahkan kepada para malaikat sujud kepada Nabi Adam ‘Alaihissalam. Apakah sujud di sini bermaksud ibadah seperti sangkaan golongan wahabi? Apakah Allah Ta’ala mengajar para Malaikat beribadah selain daripadaNya sedangkan Allah Ta’ala menyatakan di dalam ayat yang lain bahawasanya para malaikat tidak pernah menderhakai Allah.

لا يعصون الله ما أمرهم ويفعلون ما يؤمرون

Mengapa iblis dikeluarkan daripada syurga dan dilaknat sehingga hari kiamat disebabkan keengganan mereka sujud kepada seorang manusia yang bernama Adam? Kerana hakikatnya iblis melanggar perintah Allah SWT dengan sebab keangkuhan dan kesombongan mereka yang merasakan mereka lebih mulia berbanding Nabi Adam ‘Alahissalam.

Ulama’ kita menjelaskan di dalam kitab-kitab tafsir bahawa sujud di sini bukan bermaksud sujud ibadah kepada Adam tetapi ia suatu bentuk تكريما وتشريفا (takriman watasyrifan=memuliakan) kepada Nabi Adam ‘Alaihissalam bukan suatu bentuk ibadah.

Di dalam ayat yang lain diceritakan mengenai saudara Nabi Allah Yusuf ‘Alaihissalam sujud kepadanya. Firman Allah di dalam surah Yusuf ayat 100;

ورفع أبويه على العرش وخروا له سجدا

Dan menaikkan (Nabi Yusuf) akan kedua ibubapanya kepada singgah sana dan mereka tunduk bersujud kepadanya (Nabi Yusuf).

Apakah Nabi Yusuf mengajar saudaranya beribadah selain daripada Allah dengan sujud kepadanya? Sudah tentu tidak tetapi ia sebagai bentuk tahiyyat penghormatan sepertimana yang dijelaskan oleh ulama’ di dalam tafsir-tafsir mereka. Sujud ini sebagai takriman wa tasyrifan lahu.

Kedua ayat di atas pada hakikatnya menta’ati perintah Allah kerana ia adalah perintah Allah kepada para malaikat dan iblis. Adapun kisah Nabi Yusuf ‘Alaihissalam berdasarkan takwil mimpi Nabi Yusuf dan mimpi Nabi adalah wahyu daripada Allah SWT berdasarkan sambungan ayat di atas ;

وقال يأبت هذا تأويل رؤياي من قبل

Dan berkata (Yusuf) wahai ayahku inilah takwil mimpiku sebelum ini.

Ayat yang saya bawakan untuk menjelaskan perbezaan di antara perbuatan ibadah dan ta’zim. Namun di dalam syariat Nabi Muhammad tidak diharuskan sujud kepada manusia tetapi ia diharuskan di dalam syariat Nabi Yusuf sepertimana keterangan ayat di atas.

Namun sekadar berdiri kepada orang alim, mencium tangan mereka, memanggil Rasulullah SAW dengan panggilan Sayyidina tidaklah termasuk di dalam ta’abbud kepada selain daripada Allah tetapi sebagai bentuk takrim wan tasyrif (penghormatan dan memuliakan) mereka sesuai dengan kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah SWT.

Cuba kita perhatikan tegahan Allah supaya tidak memanggil Rasulullah seumpama panggilan kita sesama kita. Firman Allah Ta’ala di dalam surah Al-Furqan ayat 63;

لا تجعلوا دعاء الرسول بينكم كدعاء بعضكم بعضا

Jangan kamu jadikan panggilan kepada Rasulullah SAW di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (kamu yang lain).

Lihat ayat di atas! Allah Ta’ala mengajar kita bagaimana beradab dengan Rasulullah SAW.

Lagi ayat yang ditujukan kepada orang yang beriman ketika berbicara dengan Nabi SAW. Firman Allah Ta’ala di dalam surah Al-Hujurat ayat 2;

يا أيها الذين آمنوا لا ترفعوا أصواتكم فوق صوت النبي

Wahai orang yang beriman jangan kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi SAW.

Inilah adab yang diajar oleh Allah kepada orang yang beriman sebagai memuliakan Rasulullah SAW.

Kita lihat pula bagaimana para sahabat memuliakan Nabi SAW;

روى الترمذي عن أنس أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يخرج على أصحابه من

المهاجرين والأنصار وهم جلوس فيهم أبو بكر وعمر فلا يرفع أحد منهم إليه بصره إلا أبو

بكر وعمر فإنهما كانا ينظران إليه وينظر إليهما ويبتسمان إليه ويبتسم لهما

Diriwayat oleh At-Tirmizi daripada Anas sesungguhnya Nabi SAW keluar kepada para sahabatnya daripada orang muhajirin dan ansar dan mereka itu dalam keadaan duduk. Bersama mereka itu Abu Bakr dan Umar. Tidak mengangkat pandangan seorang pun daripada mereka kepada Rasulullah SAW kecuali Abu Bakar dan Umar. Sesungguhnya keduanya (Abu Bakar dan Umar) melihat kepada Rasulullah SAW dan Nabi SAW melihat kepada keduanya. Abu Bakar dan Umar senyum kepada Rasulullah SAW dan Nabi SAW senyum kepada keduanya.

يقول عمرو بن العاص رضي الله عنه وما كان أحد أحب إلي من رسول الله صلى الله

عليه وسلم ولا أجل في عيني منه وما كنت أطيق أن أملأ عيني منه إجلالا له ولو سئلت

أن أصفه ما أطيقت لأنني لم أكن أملأ عيني منه رواه مسلم في الصحيح , كتاب

الإيمان , باب كون الإسلام يهدم ما قبله

Berkata ‘Amru Bin Al-‘Aas Radiallahu ‘Anhu : Tidak ada seorangpun yang paling aku cintai daripada Rasulullah SAW dan tidak ada yang paling mulia di mataku daripadanya (Rasulullah SAW) dan aku tidak mampu menatap sepenuhnya mataku kepadanya kerana memuliakan Rasulullah. Jika diminta untuk menyifatkan baginda aku tidak mampu kerana aku tidak pernah menatap sepenuhnya mataku kepadanya. Riwayat Muslim di dalam sahihnya di dalam kitabul iman bab kaunul Islam yahdimu ma qablahu.

Dikeluarkan oleh At-Tobarani dan Ibnu Hibban di dalam sahihnya daripada Usamah Bin Syarik Radiallahu ‘Anhu telah berkata;

وأخرجه الطبراني وابن حبان في صحيحه عن أسامة بن شريك رضي الله عنه قال : كنا

جلوسا عند النبي صلى الله عليه وسلم كأنما على رؤوسنا الطير ما يتكلم من متكلم

Adalah kami duduk bersama Nabi SAW seumpama atas kepala kami burung tidak ada yang bercakap seorang pun.

Lihatlah dan perhatikanlah bagaimana kelakuan para sahabat dan kenyataan mereka radiallahu ‘anhum mengenai Rasulullah SAW.

Jika selama ini kita ingin kembali kepada manhaj salafussoleh, maka inilah yang dilakukan generasi salaf terhadap Rasulullah SAW. Walaupun Rasulullah sudah tidak ada di depan mata kita tetapi Rasulullah tetap hidup di hati-hati kita. Sewajibnya kita memuliakan Rasulullah SAW dengan selayaknya bagi seorang kekasih Allah.

Firman Allah SWT;

‏النبي أولى بالمؤمنين من أنفسهم

Nabi (Muhammad) itu lebih utama bagi orang mukmin daripada diri mereka

Perhatikan hadis dibawah ini. Bagaimana kecintaan kepada Rasulullah SAW dikaitkan dengan iman ;

عن أنس – رضي الله عنه – أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : لا يؤمن أحدكم

حتى أكون أحب إليه من ولده ووالده والناس أجمعين أخرجه البخاري ومسلم

Daripada Anas Radiallahu ‘Anhu, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : Tidak beriman seseorang kamu sehingga jadilah aku (Rasulullah) paling dicintai kepadanya daripada anaknya, ibubapanya dan manusia sekaliannya. Hadis dikeluarkan oleh Al-Bukhari dan Muslim.

Yang kita peliknya, golongan wahabi tidak pernah membidaahkan panggilan syeikul Islam kepada ulama’ mereka tetapi membidaahkan panggilan sayyidina kepada Rasulullah SAW. Renung-renungkan dan fikir-fikirkan.

Sememangnya Rasulullah itu manusia tetapi bukan manusia biasa seumpama kita tetapi manusia yang luar biasa bahkan makhluk yang paling mulia di sisi Allah SWT. Memuliakan baginda beerti kita menta’ati perintah Allah SWT bukan bermaksud menjadikan Rasul sebagai Tuhan seumpama agama kristian.

Sedar atau tidak atau buat-buat lupa seperti golongan wahabi, Allah Ta’ala menjadikan selawat ke atas baginda sebagai ibadah yang boleh mentaqarrubkan (mendekatkan) kita kepada Allah. Bahkan ia menjadi rukun di dalam solat. Sesiapa yang tidak berselawat kepada baginda SAW di dalam solatnya maka solatnya tidak sah di sisi syara’.

السلام عليك أيها النبي ورحمة الله وبركاته

Perhatikan wahai manusia yang punya hati. Salam yang diucapkan kepada Nabi SAW di dalam solat menggunakan dhomir mukhotob “أنت”. Seolah-olah Nabi SAW berada di hadapan kita. Kita sedia maklum di dalam pengajian ilmu nahu. Jika orang yang tidak ada dihadapan kita digunakan dhomir ghaib هو (dia) bukan أنت (kamu).

Inilah hikmah yang tidak difahami oleh golongan wahabi yang menganggap hubungan kita dengan Nabi Muhammad SAW telah putus setelah kewafatan baginda. Ah, sungguh dangkal pemikiran mereka yang mengaku memartabatkan sunnah Rasulullah tetapi tidak memartabatkan tuan punya sunnah.

Kenapa disyariatkan dan disuruh oleh Allah SWT berselawat dan mengucapkan salam kepada seorang manusia yang bernama Muhammad jika wahabi merasakan Muhammad manusia biasa seumpama kita? Tidak syirikkah perbuatan ini?

Bahkan Allah menjadikan kesaksian kepada Nabi Muhammad SAW di dalam dua kalimah syahadah sebagai syarat sah rukun Islam yang pertama. Tanpa penyaksian kepada Muhammad maka tidak sah syahadah sepertimana yang dijelaskan oleh ulama’ kita.

Jadi apakah itu beerti kita sama seperti golongan kristian yang mendewakan Nabi Isa ‘Alaihissalam sebagai Tuhan? Ataupun ia hanya bentuk memuliakan dan menghormati seorang kekasih Allah yang diutuskan menjadi rahmat kepada sekalian alam.

وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين

Tidak kami utuskan kamu (Muhammad) kecuali menjadi rahmat bagi sekalian alam

Rahmat itu hanya layak dinisbahkan kepada Allah tetapi Allah menisbahkan asbab rahmat kepada kekasihnya Muhammad sebagai ‘inayah kepada sekalian alam.

لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف رحيم

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul daripada kalangan kamu, berat terasa olehnya (Nabi Muhammad) apa yang kamu rasakan, (baginda) sangat menginginkan (keimanan dan kesejahteraan) bagi kamu, sangat lemah lembut dan penyayang terhadap orang-orang mukmin.

Perhatikan ayat di atas. Sifat Rauf dan Rahim merupakan sifat Allah Ta’ala tetapi Allah telah menisbahkan kepada kekasihnya Nabi Muhammad SAW sebagai menunjukkan kelebihan insan yang bernama Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وعلى آله وبارك وسلم.

Sumber : AlAminDaud

Tiada ulasan: