Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni (Jabatan al Quran dan al Sunnah & Institut Kajian Hadith (INHAD) KUIS
Orang Perempuan Kurang Riwayat Hadis?
Wanita dan Periwayatan Hadis
Oleh kerana tak berapa ramai penyertaan kaum wanita dalam majlis daurah periwayatan hadis ni, maka suka saya nak berkongsi di sini tentang penglibatan kaum wanita dalam bidang periwayatan hadis di kalangan alim ulama kita terdahulu. Moga-moga dapat memberi sedikit motivasi kepada kaum wanita untuk bersama-sama mengikuti majlis-majlis periwayatan hadis (kalau tak @ belum disibukkan oleh suami dan anak).
Yang konsisten mengikuti tu, saya ucapkan syabas!..
Meskipun penglibatan dalam bidang periwayatan hadis ini kebanyakannya dimonopoli oleh orang lelaki kerana tradisi dan naturenya begitu. Namun, tidak bermakna seolah-olah ada sekatan khusus bagi kaum wanita dari melibatkan diri.
Perlu diingat, antara tujuh perawi hadis yang paling banyak meriwayatkan hadis di kalangan sahabat Nabi SAW ialah Umm al-Mu’minin Sayyidatuna ‘A’isyah RA. Beliau telah mempelajari banyak ilmu dari baginda SAW. Dan sesudah baginda wafat, beliau tidak lokek untuk meriwayatkan hadis-hadis Nabi SAW kepada orang yang datang kepadanya menuntut ilmu. Maka, banyak ilmu yang ditimba oleh para sahabat dan para tabiin daripada beliau.
Jika kita menelusuri sejarah imam-imam terkenal dahulu, kita akan dapati bahawa bukan semua guru-guru mereka adalah lelaki. Selain kaum lelaki, ramai di antara mereka turut meriwayatkan hadis atau menimba ilmu dari kaum wanita juga. Misalnya, Imam al-Syafi‘i, antara guru beliau ialah Sayyidah Nafisah, tokoh wanita Ahlul Bait yang masyhur makamnya di Mesir. Beliau menghafaz al-Quran dan banyak meriwayatkan hadis-hadis.
Al-Khatib al-Baghdadi, pengarang Tarikh Baghdad dan alim hadis tersohor, telah meriwayatkan kitab Sahih al-Bukhari dari gurunya, Syeikhah Karimah binti Ahmad al-Marwaziyyah, di mana beliau telah membaca Sahih al-Bukhari di hadapannya selama lima hari sahaja di Makkah. Iaitu suatu tempoh yang jarang dapat dilakukan melainkan dengan aturan waktu yang benar-benar ketat dan padat!
Bukan saja al-Khatib al-Baghdadi, bahkan ramai ahli hadis di zamannya yang datang berpusu-pusu kepada Syeikhah Karimah kerana ingin meriwayatkan Sahih al-Bukhari dari beliau. Syeikhah Karimah meninggal dunia dalam usia kira-kira 100 tahun dan tidak pernah berkahwin!
Al-Hafiz Abu ‘Amr Muslim al-Azdi telah meriwayatkan hadis dari 70 orang wanita. Begitu juga al-Hafiz Abu al-Walid Hisyam al-Bahili. Manakala al-Hafiz Abu ‘Abdillah Muhammad Ibn al-Najjar pula telah merekodkan seramai 400 orang wanita dalam senarai guru-gurunya!
Antara tokoh wanita dalam bidang periwayatan hadis ialah Syuhdah binti Abi Nasr Ahmad al-Ibriyyah (w. 549H). Oleh kerana beliau banyak meriwayatkan hadis, maka ramailah orang di zamannya yang datang untuk mendengar hadis daripada beliau pula.
Syeikhah Maryam binti ‘Abd al-Rahman (w. 758H) antara tokoh-tokoh wanita yang alim dengan hadis sehinggakan al-Hafiz Ibn Hajar, pengarang Fath al-Bari, telah menghimpunkan di dalam sebuah kitab seramai 283 orang guru beliau, sama ada lelaki dan wanita yang ada meriwayatkan hadis yang diberi judul: Mu‘jam al-Syaykhah Maryam.
Perlu diperhatikan, bahawa mereka ini bukan saja mendengar sebutir dua hadis lalu meriwayatkannya. Tetapi sebutir dua kitab hadis yang mengandungi ribuan, malah puluhan ribu buah hadis di dalamnya. Cuba lihat misalnya;
‘Atikah binti Abi al-‘Ala’ al-Hasan al-‘Attar (w. 609H) meriwayatkan kitab Sunan Abi Dawud yang mengandungi kira-kira 5,274 buah hadis dan kitab Makarim al-Akhlaq oleh Ibn Lal.
‘Afifah binti Ahmad al-Asbahaniyyah (w. 606H) meriwayatkan al-Mu‘jam al-Kabir dan al-Mu‘jam al-Saghir kedua-duanya oleh al-Tabarani serta kitab al-Fitan oleh Nu‘aym bin Hammad. Kitab-kitab ini semua didengari dari Syeikhah Fatimah binti ‘Abdullah al-Juzadaniyyah. Perlu diketahui, kitab al-Mu‘jam al-Kabir dikatakan mengandungi lebih kurang 60,000 buah hadis!
Zaynab bin Abd al-Rahman (w. 615H) meriwayatkan Sahih al-Bukhari yang mengandungi kira-kira 7,397 buah hadis dan menerima ijazah sanad dari ramai orang syeikh.
Dan sebagainya. Sangat ramai untuk disenaraikan kesemua mereka.
Bagi merakamkan peranan dan sumbangan wanita dalam bidang periwayatan hadis ini, beberapa buah buku telah disusun oleh para sarjana kini. Antaranya;
1- جهود المرأة في رواية الحديث القرن الثامن الهجريoleh Dr. Ṣāliḥ Yūsuf Maʻtūq, khusus tentang sumbangan wanita dalam periwayatan hadis di kurun ke-8 hijrah.
2- صفحات مشرقة من عناية المرأة بصحيح الإمام البخاري oleh Dr. Muhammad bin ‘Azzuz, khusus tentang perhatian wanita terhadap kitab Sahih al-Bukhari.
3- جهود المرأة الدمشقية في رواية الحديث الشريف juga oleh Dr. Muhammad bin ‘Azzuz, khusus tentang sumbangan wanita kota Dimasyq dalam periwayatan hadis.
4- دور المرأة في خدمة الحديث في القرون الثلاثة الأولى oleh Amal Qirdasy binti al-Husayn, tentang peranan wanita dalam periwayatan hadis di tiga kurun pertama hijrah.
5- Dan lain-lain.
Prof. Dr. Muhammad Akram al-Nadwi pula telah berjaya merekodkan seramai lebih 8,000 biografi perawi wanita di dalam kitabnya al-Wafa’ bi Asma’ al-Nisa’ yang setebal 40 jilid!
Justeru, anda di mana?..
Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2012/05/orang-perempuan-kurang-riwayat-hadis.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan