CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Ahad, 20 Mei 2012

Bertudung : Fesyen Lawan Syariat Bab 1




Oleh : Mufti Brunei 

Bertudung: Fesyen lawan Syari‘at 

(Bahagian Pertama)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Menutup aurat merupakan kewajipan utama setiap orang Islam. Bagi kaum wanita, wajib ke atas mereka menutup seluruh badan mereka selain muka dan dua pergelangan tangan apabila berada di hadapan lelaki bukan mahram.  Ini bermakna bahagian kepala wanita termasuk rambut dan telinga adalah wajib ditutup.

Antara cara yang digunakan untuk menutup aurat di bahagian tersebut adalah dengan  memakai tutup kepala
yang lebih dikenali sebagai tudung di kalangan masyarakat kita.

Tidak dinafikan, kebanyakan wanita di negara kita sekarang menunjukkan kesedaran mereka dalam menutup aurat. Kecenderungan mereka untuk memakai pakaian menutup aurat kini didukung pula oleh kemajuan dunia fesyen yang menyajikan pelbagai jenis busana muslimah dan tudung yang nampaknya
seperti cendawan tumbuh di pasaran. Ada yang murah dan ada yang mahal, ada yang besar dan ada yang
kecil, ada yang tebal dan ada yang nipis, ada yang polos dan ada yang berwarna-warni,  bercorak, berkerawang, berlabuci, beropol dan sebagainya.  Tidak kurang juga cara atau  gaya pemakaian  tudung, terdapat bermacam fesyen yang boleh kita lihat. Ada yang dilipat, ada yang dililit, ada yang dimasukkan sahaja, ada yang berlapis-lapis dan ada pula yang hanya diletak di atas kepala dan disidai pada bahu,
boleh turun boleh naik dengan sekelip mata. Semua ini tergantung kepada citarasa si pemakai.

Terdapat fesyen atau cara bertudung yang tidak menepati maksud sebenar menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘. Sebahagian wanita kadang-kadang tersilap  dalam memilih cara seorang muslimah dengan memakai tudung mengikut arus moden atau  up-to-date.  Pada hakikatnya mereka masih belum menepati gaya sebenar yang dituntut dalam menutup aurat. Ini mungkin disebabkan mereka kurang memahami konsep sebenar pemakaian tudung dalam Islam kerana lebih mengutamakan fesyen.

Maka ruangan Irsyad Hukum pada kali ini akan menjelaskan cara yang patut diikuti dalam pemakaian tudung supaya kesilapan mengenainya tidak berterusan  dilakukan oleh orang Islam, khususnya para wanita Islam.

Pensyari‘atan Memakai Tudung 

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat  pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.”  (Surah an-Nur: 31) 

Menurut Imam al-Qurthubi, ayat  di atas diturunkan sebagai panduan dan teguran kepada wanita-wanita  Islam dahulu yang menutup kepala mereka dengan  khimar atau tudung dengan melabuhkannya ke belakang sehingga menyebabkan bahagian dada terbuka, leher dan telinga juga kelihatan.

Menurut Imam Ibnu Katsir, ayat di atas merupakan kewajipan yang diperintahkan Allah  Subhanahu wa Ta‘ala ke atas setiap wanita Islam untuk  membezakannya dari sifat dan perbuatan wanita Jahiliyyah yang bertudung tetapi masih mendedahkan dada, leher, telinga dan rambut.

Lantaran turunnya ayat tersebut, para wanita Muhajirin yang awal terus mematuhi apa yang diperintahkan Allah  Subhanahu wa Ta‘ala dengan memakai tudung yang  labuh melimpasi dada dan menutupi seluruh anggota aurat mereka sebagaimana yang dikhabarkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:

 Maksudnya: “Allah Subhanahu wa Ta‘ala merahmati wanitawanita Muhajirin yang awal kerana apabila Allah Subhanahu wa Ta‘ala menurunkan ayat yang bermaksud “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”, lantas mereka segera mengoyakkan pakaian (kain) bulu mereka dan mereka menutup kepala dengannya.” (Hadits riwayat al-Bukhari) 

Hukum Memakai Tudung

Menutup kepala bagi wanita Islam apabila di hadapan lelaki bukan mahram adalah wajib. Ini bererti, tidak boleh tidak, seorang wanita Islam wajib memakai tudung apabila berada di  khalayak ramai atau di hadapan lelaki asing. Pada dasarnya, wanita yang memakai tudung itu akan mendapat pahala kerana telah menunaikan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana yang dituntut oleh
syara‘. Sekalipun demikian kita perlu mengetahui ciri-ciri dan cara memakai tudung yang menepati kehendak hukum syara‘.

Ciri-Ciri Tudung dan Cara Pemakaian Tudung Yang Dikehendaki Oleh Syara‘ 

Agama Islam telah menggariskan ciri-ciri tudung dan cara pemakaian tudung yang perlu diikuti. Antaranya adalah seperti berikut:

i. Memakai tudung labuh  yang menutupi aurat di bahagian kepala sehingga ke bahagian dada. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya:“Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka..”
(Surah an-Nur: 31) 

Berdasarkan ayat di atas, wajib ke atas wanita Islam memakai tudung yang menutupi seluruh kepala dengan melabuhkannya sehingga ke dada kecuali kawasan muka. Ini termasuk menutupi seluruh rambut, kedua cuping telinga, tengkuk dan leher. Belahan baju itu letaknya di kawasan leher dan dada. Oleh yang demikian, tudung kepala itu hendaklah juga menutup atau menyembunyikan bahagian leher dan dada. Ini bererti tidak memadai memakai tudung itu jika masih nampak rambut, leher, tengkuk, telinga dan bahagian dada.

ii. Memakai tudung yang diperbuat daripada material tebal yang menutupi warna kulit dan rambut dari kelihatan.  Maksud tudung yang tebal ialah tudung tersebut tidak jarang, tidak nipis atau berlubang-lubang sehingga boleh menampakkan warna kulit atau anggota aurat.

Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam  ada mengingatkan perkara tersebut dengan bersabda:

Maksudnya:  “Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian  tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian  tiada menutup aurat  kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama)….”
(Hadits riwayat Muslim)

 Ulama dalam mensyarahkan  hadits ini mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bertelanjang itu adalah wanita yang berpakaian nipis yang masih menampakkan warna kulit dan berpakaian menutupi sebahagian anggota aurat dan membuka sebahagiannya lagi.

 Oleh itu ketahuilah bahawa memakai tudung yang nipis atau yang jarang itu tidak menepati kehendak sebenar cara bertudung untuk menutup aurat kerana  ia masih menampakkan warna kulit. Selain itu, tudung yang terlalu nipis dan ringan juga mudah tersingkap apabila ditiup oleh angin dan menyebabkan aurat terbuka.

Selain itu, terdapat juga telekung yang diperbuat dari material nipis dan jarang serta mempunyai kerawang yang besar dan banyak. Telekung sebegini boleh menyebabkan sembahyang tidak sah kerana syarat menutup aurat masih tidak terlaksana dengan sempurna.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil10_bhg1-2012.pdf

Tiada ulasan: