CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 18 April 2011

Hukum Mengeksploitasi Rukhsah Bab Akhir

Sila baca terlebih dahulu Hukum Mengeksploitasi Rukhsah Bab 1 sebelum meneruskan pembacaan yang terbaharu ini.

Oleh : Allamah Dr Hassan Ali Al Saqqaf

Sesetengah dari kita pada hari ini mengemukakan hujjah bahawa diharuskan untuk kita mengikuti rukhsah dan mengambil pendapat yang paling mudah. Mereka berdalilkan kepada perkataan Sayyidatina 'Aisyah RadiyaLlahu 'anha yang berbunyi :

ما خير رسول الله صلى الله عليه وسلم بين أمرين إلا إختارأيسرهما

ertinya : RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam tidak pernah memilih satu daripada dua perkara melainkan yang terlebih mudah baginya.

Jawabnya :

Ini adalah satu contoh pendalilan yang salah. Sebagai buktinya, Imam Ibnu Hajar al Asqolani di dalam kitabnya Fath al Bari m/s 575 juz 6 (ketika mengomentari hadith ini) mengatakan :
"Perkara yang dimaksudkan dengan memilih dua perkara di sini ialah berkaitan dengan urusan dunia.
Hal ini berdalilkan kepada sabda Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam yang berbunyi

ما لم يكن إثما) لأن أمور الدين لا إثم فيها)


".... selagi mana tidak ada salah." Ini kerana urusan Agama tidak ada salah padanya.


Umum mengetahui bahawa pada masa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam tidak muncul lagi mazhab atau aliran pendapat. RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam berpindah dari satu pendapat baginda kepada pendapat yang lain apabila diturunkan wahyu ke atas Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam. Seolah-olah dikatakan padanya :

"Sesungguhnya Allah subahanahu wa ta'ala memerintahkan padamu begini-begini dan melarangmu begini-begini. Dan Allah subahanahu wa ta'ala tidak menjelaskan padanya : "Di dalam masalah ini terdapat dua atau tiga pendapat". Ataupun tidak difirmankan kepada Baginda : "Di dalam masalah ini wujudnya perselisihan pendapat di kalangan ulamak, maka pilihlah yang lebih mudah."

Maka perhatikanlah dengan sebaik-baiknya wahai pembaca yang budiman.

Dalam satu peristiwa tatkala Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam menjadi tetamu kepada seorang lelaki, Baginda ditanya :
"Wahai RasuluLlah, apakah yang harus aku persembahkan padamu : sedikit cuka (makanan masam) ataupun sepotong daging? Lalu Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam menjawab : "Bawakan kepadaku apa yang senang bagimu".


Hadith ini secara jelas menerangkan kepada kita bahawa mereka yang berhujah dengan menggunakan perkataan Sayyidatina 'Aisyah radiyaLlahu 'anha tidak mengetahui cara pengambilan dalil yang sebenarnya. Ataupun mungkin juga mereka ingin mendatangkan kesamaran pada orang awam sebagai satu keraguan. Seolah-olah apa yang didatangkan itu sesuai dengan hujah yang menepati citarasa nafsu mereka. Kepada Allah subahanahu wa Ta'ala sahaja kita meminta pertolongan.

Dalam bab ini juga sesetengah kita berdalilkan bahawa memilih antara pendapat yang paling mudah adalah toleransi yang dibenarkan syariat Islam.

Bagi kami, kami tidak mengingkari rukhsah (kemudahan) yang diberikan oleh syarak sebagaimana yang dijelaskan oleh ulamak yang bertindak sebagai moderator untuk menjelaskan permasalahan. Akan tetapi permasalahannya ialah pencarian mereka kepada sesuatu yang paling mudah itu akan membawa penukaran daripada halal kepada haram. Ataupun mereka sengaja ingin mencari rukhsah yang salah dalam agama.

Perkara yang dimaksudkan dengan rukhsah atau toleransi di dalam syariat Islam ialah Allah subahanahu wa ta'ala memberikan keringanan kepada orang yang uzur atau sakit dalam mengerjakan ibadat. Bila seseorang itu sakit dibolehkan baginya bersolat secara duduk, tidur atau mengiring.

Di samping itu, syariat juga memberi kelonggaran kepada sesiapa yang tidak mendapati air untuk berwudhuk, mandi wajib atau takut mendatangkan kemudharatan. Dalam soal ini diharuskan baginya untuk bertayammum. Dan begitulah contoh-contoh seterusnya. Perkara ini bermaksud bukanlah mencari kemudahan dari pendapat ulama' ataupun mencari pendapat yang lemah atau salah.

Imam al Hafiz al Zahabi di dalam kitabnya : Siyar A'lam al Nubala' m/s 465 juz 13 (ketika menukilkan perkataan Imam Al Hafiz Ismail al Qadhi dalam satu peristiwa pengadapan khalifah al Mu'thadid) menuqilkan :
"Pertama kali saya masuk mengadap, saya diberikan satu kitab. Di dalamnya dihimpunkan perkara-perkara yang paling mudah hasil kutipan para ulamak. Lalu saya berkata : "Penulis kitab ini seorang yang zindik." Lalu dikatakan kepada saya : "Tidakkah hadith-hadith di dalam kitab itu semuanya sahih ?". Saya menjawab : "Itu sudah tentu. Akan tetapi orang-orang yang mengharamkan arak tidak mengharuskan nikah mut'ah (nikah kontrak), orang-orang yang mengharamkan mut'ah tidak mengharuskan nyanyian. Orang-orang yang menghimpunkan perkara ini adalah orang alim yang menyeleweng. Dan sesiapa yang mengambil pendapat orang alim yang menyeleweng akan hilang agamanya." Lalu saya menyuruh kitab ini dibakar."

Saya pula (penulis) telah menulis satu risalah yang khusus membicarakan tentang tegahan bagi mereka yang mengambil pendapat ulamak yang mudah-mudah dan mengikut hawa nafsu mereka. Maka perhatikanlah dengan sebaik-baiknya di sana. Hanya Allah subahanahu wa Ta'ala sahaja sebaik penunjuk bagi kita.

Penjelasan Beberapa Hadith Al Nabawi :

Adapun hadith :

إن الله يحب أن تؤتى رخصه كما يحب أن تؤتى عزائمه

Ertinya : "Sesungguhnya Allah Subahanahu Wa Ta'ala menyukai untuk memberikan rukhsah sebagaimana Dia menyukai untuk memberikan azimah"


(Hadith Riwayat Ahmad dalam Musnadnya m/s 108 juz 2, Ibn Hibban di dalam Sahihnya m/s 451 juz 6, al Baihaqi di dalam Sunannya m/s 104 juz 3 dll. Hadith ini berpunca dari Ibn Umar, Ibn Abbas dan Ibn Mas'ud. Bagi kami, hadith ini bertaraf mauquf. Dan menjadi kesalahan bagi mereka yang menghukumnya sebagai sahih-marfu'. Lafaz hadith ini adalah berdasarkan riwayat Abd Razaq di dalam kitabnya al Musannaf.)

Hadith ini bukanlah satu alasan bagi membolehkan kita mengambil pendapat yang paling mudah. Sekalipun sahih, ianya tetap tidak boleh dijadikan dalil untuk kita. Penggunaan rukhsah yang diberikan Allah Subahanahu wa Ta'ala di dalam al Quran adalah khusus untuk hambaNya yang berkeuzuran sahaja. Contohnya seperti dibenarkan bertayammum jika ketiadaan air, dibolehkan berbuka puasa bagi musafir, orang yang sakit pada bulan Ramadhan dan lain-lain yang menjadi pengetahuan umum.

Situasi inilah sebenarnya yang menjadi perbezaan dalam kita memahami dan menilai antara rukhsah syariat dan talfiq (mencari sesuatu yang paling mudah dengan mengikut atau mencampur beberapa pendapat ulamak) serta mengikuti pendapat ulamak yang paling mudah. Kegagalam memahaminya menyebabkan mereka beramal separuh yang benar dan separuh yang salah. Justeru, mengertilah keterangan ini. Semoga Allah subahanahu wa Ta'ala mengurniakan kita petunjuk.

Kesimpulan

Setelah kita memahami dan menyedari bahayanya perbuatan di atas iaitu mengambil pendapat yang paling mudah, takwilan yang bathil (salah) dan mencampuradukkan pendapat yang ternyata dihukum fasiq dengan ijmak tentunya perbuatan seperti ini terlarang sama sekali di dalam al Kitab dan al Sunnah.

Oleh yang demikian tidak perlu bagi kita untuk mengikutinya. Bahkan pendapat seperti ini sama sekali tidak boleh diakui. Dalam soal-soal seperti ini juga kita seharusnya menghormati semua pendapat atau mazhab yang jauh dari hawa nafsu dan fanatisme sekalipun kita selalu berselisih dengan mereka selama mana mereka ingin mencari keredhaan Allah subahanahu wa Ta'ala untuk kita. Justeru, kita tidak perlu menyalahkan mereka.

Ulamak seperti inilah bersungguh-sungguh mencurahkan tenaga dan usaha untuk mencari kebenaran. Sesungguhnya mereka mempunyai keupayaan untuk menyelidik dan mengeluarkan natijah hukum. Pendapat mereka seperti ini boleh diikuti selama mana ia tidak syadz (kesamaran) dan tidak bertentangan dengan ijmak.

Adapun bagi sesiapa yang berijtihad bukan pada tempatnya seperti berijtihad kepada sesuatu yang telah diputuskan oleh nas secara jelas. Ataupun bertentangan dengan ijmak serta nas al Kitab dan al Sunnah sambil mendakwa beliau seorang mujtahid (jika salah ijtihadnya dia dapat satu pahala jika benar dua pahala). Bahkan dia menyangka bahawa usahanya itu adalah menzahirkan tradisi ulamak yang hebat-hebat. Dia sebenarnya bercakap seperti mengalahkan singa.

Dakwaan bahawa dia adalah mujaddid (tokoh revolusi), cergas dan mempunyai fikiran yang matang, sebenarnya tidak mempunyai sebarang erti sama sekali. Ini kerana pada hakikatnya beliau ialah seorang yang muflis ilmu. Sewajarnya pendapat orang seperti ini tidak harus dipertimbangkan sebagaimana yang saya sebutkan di atas. Perbuatan seumpama ini hanyalah menyesatkan orang lain !

Justeru janganlah kalian sesekali berpaling kepada pendapat ini. Bahkan perbuatan seumpama ini perlu diberikan perhatian dan diambil tindakan. Kepada Allah subahanahu wa Ta'ala sahaja kita serahkan segala kesudahannya.

Sumber : Dr Hassan Ali al Saqqaf, Sifat Solat Nabi Yang Sahih, Cetakan Ketiga 2011, Zamihan Mat Zain, Selangor.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Semoga Allah Memberi rahmat kepada kita