Ketahuilah (semoga anda semua dirahmati Allah) bahawasanya diharamkan ke atas semua individu Muslim untuk mengeksploitasi fatwa ulamak yang senang dan paling mudah. Mereka sengaja mencari keputusan yang paling senang dan paling secocok dengan hawa nafsu mereka. Perkara ini tentunya dibuat tidak berdasarkan dalil-dalil dan hujah-hujah syarak.
Mereka mentarjih dan menentukan satu-satu masalah berdasarkan hawa nafsu mereka dengan berselindung di sebalik slogan : "Dalam masalah ini terdapat khilafiyah. Yakni terdapat dua atau lebih pendapat ulamak yang berselisih faham tentangnya."
Mereka yang mengikut cara sebegini zahirnya selalu berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain. Mereka juga selalu berpindah dari satu pendapat kepada pendapat yang lain demi mengikut hawa nafsu mereka. Di hadapan manusia mereka berselindung dengan dakwaan mereka mengikut hukum Allah subahanahu wa ta'ala, mengikut sunnah dan pendapat ulamak. Namun hakikatnya, di sisi Allah mereka hanya menunggang hawa nafsu semata-mata.
Firman Allah subahanahu wa ta'ala di dalam al Quran :
أَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ ۥ هَوَٮٰهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيۡهِ وَڪِيلاً (٤٣) أَمۡ تَحۡسَبُ أَنَّ أَڪۡثَرَهُمۡ يَسۡمَعُونَ أَوۡ يَعۡقِلُونَۚ إِنۡ هُمۡ إِلَّا كَٱلۡأَنۡعَـٰمِۖ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ سَبِيلاً (٤٤)(Surah al Furqan : 43-44)
Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? (43) Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.
FirmanNya lagi :
أَفَكُلَّمَا جَآءَكُمۡ رَسُولُۢ بِمَا لَا تَہۡوَىٰٓ أَنفُسُكُمُ ٱسۡتَكۡبَرۡتُمۡ فَفَرِيقً۬ا كَذَّبۡتُمۡ وَفَرِيقً۬ا تَقۡتُلُونَ (٨٧)(Surah al Baqarah : 87)
Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?
FirmanNya lagi :
(Surah al Maidah : 70)
وَأَرۡسَلۡنَآ إِلَيۡہِمۡ رُسُلاً۬ۖ ڪُلَّمَا جَآءَهُمۡ رَسُولُۢ بِمَا لَا تَهۡوَىٰٓ أَنفُسُہُمۡ فَرِيقً۬ا ڪَذَّبُواْ وَفَرِيقً۬ا يَقۡتُلُونَ (٧٠)
(Tetapi) tiap-tiap kali datang seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi.
FirmanNya lagi :
فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُ ۥۤاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرً۬ا (١٣٥)(Surah an Nisa' :135)
Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
FirmanNya lagi :
يَـٰدَاوُ ۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَـٰكَ خَلِيفَةً۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَٱحۡكُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلۡهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ(Surah Sad : 26)
Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah.
FirmanNya lagi :
وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَـٰهُ بِہَا وَلَـٰكِنَّهُ ۥۤ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُۚ(Surah Al A'raf : 176)
Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya;
FirmanNya lagi :
وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُ ۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُ ۥ فُرُطً۬ا (٢٨)(Surah al Kahfi :28)
dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
FirmanNya lagi :
(Surah al Qasas : 50)
فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهۡوَآءَهُمۡۚ وَمَنۡ أَضَلُّ مِمَّنِ ٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ بِغَيۡرِ هُدً۬ى مِّنَ ٱللَّهِۚ
Ertinya : maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayat petunjuk dari Allah.
FirmanNya lagi :
ثُمَّ جَعَلۡنَـٰكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ۬ مِّنَ ٱلۡأَمۡرِ فَٱتَّبِعۡهَا وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ (١٨)
Ertinya :
Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).(Surah al Jatsiah :18)
FirmanNya lagi :
(Surah al Maidah : 77)
وَلَا تَتَّبِعُوٓاْ أَهۡوَآءَ قَوۡمٍ۬ قَدۡ ضَلُّواْ مِن قَبۡلُ وَأَضَلُّواْ ڪَثِيرً۬ا وَضَلُّواْ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ (٧٧)
dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.
Daripada getusan ayat-ayat ini, kita dapat mengetahui bahawa ilmu usuluddin melarang seseorang itu daripada mengikut hawa nafsunya. Dan mencari pendapat yang paling mudah pula satu dari perbuatan mengikut hawa nafsu. Ia sesuatu yang terlarang lagi haram sebagaimana yang telah dijelaskan oleh ulamak.
عن سيدنا أنس رضي الله عنه قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : حفة الجنة بالمكاره, وحفة النار بالشهوات (رواه مسلم )
ertinya :
Daripada saidina Anas RadiyaLlahu 'anhu, RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda : "Syurga itu dikelilingi oleh sesuatu yang tidak mengujakan nafsu (di dunia). Manakala neraka pula dikelilingi oleh perkara yang menyeronokkkan nafsu (di dunia)".Riwayat Muslim dalam Sahihnya .
Jelas kepada kita bahawa mencari pendapat ulamak yang paling mudah dan mengikut pendapat manusia ramai yang jahil adalah satu perbuatan mengikut hawa nafsu.
Sesungguhnya telah berlaku ijmak di kalangan ulamak muktabar bahawa haram hukumnya bertindak sembrono dalam mengeluarkan fatwa dan menyimpang dari pendapat yang sahih lagi rajih. Maka wajib ke atas ulamak mujtahid mencari dalil yang tepat dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Dan wajib ke atas setiap ulamak mujtahid mencari dalil yang tepat dalam mengeluarkan sesuatu hukum. dan wajib pula atas setiap muqallid (pengikut) mengikuti dalil yang sahih lagi rajih (paling kuat) dalam lingkungan mazhab imamnya. Marilah kita ikuti beberapa pandangan ulamak mengenai hal ini :
1. Al Imam al Hafiz Ibn Abd al Barr di dalam kitabnya Jami' Bayan al Ilmi wa Fadhluh m/s 112 juz 2 mengatakan :
"Jika anda mengambil setiap pendapat yang paling mudah dari orang alim maka terkumpullah segala kejahatan." Katanya lagi : "Ini adalah ijmak ulamak (kesepakatan semua ulamak)".
2. Imam An Nawawi di dalam kitabnya al Majmu' Syarh al Muhadzhab m/s 55 juz 1 mengatakan :
"Sekiranya seseorang itu dibolehkan mengikuti apa yang dikehendakinya, nescaya perbuatan itu ini akan membawa kepada keinginan untuk mencari keringanan di dalam mazhab. Perbuatan ini sebenarnya hanya menurut hawa nafsu/ Seseorang itu akan mudah memilih antara yang halal, haram, wajib dan harus. Perbuatan ini boleh membawa kepada terungkainya tuntutan taklif."Kata-kata yang senada juga turut diluahkan oleh Imam al Hafiz Ibn al Solah di dalam kitabnya Adab al Mufti wa al Mustafi' m/s 46 juz 1.
3. Imam an Nawawi sekali lagi di dalam al Majmu' Syarh al Muhadzab m/s 46 juz 1 menegaskan :
"Haram hukumnya bertindak sembrono dalam memberikan fatwa. Dan haram pula bagi mereka yang meminta fatwa daripada orang yang bersikap sembrono itu."
4. Allamah as Syatibi di dalam al Muafaqat m/s 134 juz 4 mengatakan :
"Sesungguhnya mengikut perkara yang paling mudah di dalam mazhab itu akan membawa kepada pegangan yang tidak berdasarkan kepada dalil syarak. Sesungguhnya Ibn Hazm telah menyatakan telah berlaku kesepakatan secara ijmak bahawa perbuatan sedemikian adalah fasiq (kejahatan) dan tidak halal ".
Bagi saya, perkataan Imam al Syatibi "pegangan yang tidak berdasarkan dalil syarak" bermaksud dalil yang tidak muktabar (tidak dikira benar). Contohnya, bagi mereka yang tidak solat, mereka pergunakan satu ayat yang berbunyi :
فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡمُصَلِّينَ (٤)
Ertinya : maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang; (Surah al Ma'un : 4)
Ini adalah satu contoh pengambilan dalil yang salah.
5. Imam al Hafiz al Zahabi di dalam kitabnya Siyar A'lam al Nubala' m/s 90 juz 8 mengatakan :
"Barangsiapa yang mencari kemudahan dalam mazhab dengan kekeliruan ulamak mujtahid.. maka tipislah agamanya. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Auza'ie dan lain-lain yang berbunyi : "Sesiapa yang mengambil pendapat ulamak Makkah tentang kebenaran nikah mut'ah (sinonim denga amalan pengikut Syi'ah), pendapat para ulamak Kufah tentang arak dan pendapat para ulamak Madinah tentang nyanyian serta pendapat ulamak Syam(Jordan, Palestin dan Syiria) tentang maksumnya khalifah yang empat, maka sesungguhnya dia telah mengumpul kejahatan. Dan demikian juga bari mereka yang menghalalkan jual beli riba, nikah, talak dan sebagainya. Kesemua ini membawa kepada kehancuran. Marilah kita memohon taufiq dan hidayah dari Allah subahanahu wa ta'ala".
6. Imam al Hafiz Taqiyuddin al Subki di dalam fatwanya m/s 147 juz 1 mengatakan :
"Bagi mereka yang mengambil pendapat yang mudah di dalam mazhab: mereka akan menikmatinya dengan sedap kerana sebenarnya mereka mengikut hawa nafsu dan bukan mengikut agamanya."
Bagi saya, pendapat ini merangkumi sikap sesetengah kita yang memilih pendapat ulamak yang paling lemah dan ringan dalam satu mazhab yang dikira sesuai dengan ciratasa mereka.
Sumber : Dr Hassan Ali al Saqqaf, Sifat Solat Nabi Yang Sahih, Cetakan Ketiga 2011, Zamihan Mat Zain, Selangor.
Bacaan Tambahan :
Soalan : Apakah hukum bertaqlid kepada seorang Imam dalam satu masalah dan kemudiannya bertaqlid kepada Imam lain dalam masalah yang lain pula?
Jawapan : Inilah yang dinamakan talfiq. Sebahagian ulama membenarkannya dan sebahagian yang lain melarangnya. Pada pandangan saya. sekiranya talfiq ini bertujuan mencari hukum yang termudah dan yang bertepatan serta disukai oleh hawa nafsu tanpa mengira dalil, maka hukumnya adalah tidak harus.
Para salaf telah berkata :
"Orang yang mencari rukhsah(Keringanan) daripada mazhab-mazhab adalah fasiq."
Sebagai contoh : Seseorang yang mengambil pendapat mazhab tertentu apabila kepentingannya terdapat di dalam pendapat tersebut seperti seorang lelaki mengambil pendapat Abu Hanifah yang mengatakan jiran mempunyai syuf'ah bagi membolehkannya memiliki rumah jiran sebelahnya. Tetapi jika pendapat mazhab tersebut mendatangkan maslahat kepada jirannya, dia akan mengambil pendapat sebaliknya iaitu jika dalam masalah yang sebaliknya.
Dia berkata : " Aku mengambil pendapat Imam Syafi'ie dan aku menolak pendapat lainnya." Ini adalah kerana dia mengikut hawa nafsunya, mempermain-mainkan agama dan menjadikan mazhab-mazhab sebagai hamba kepada kepentingannya.
Seorang Mukmin sepatutnya sentiasa bersama-sama kebenaran sama ada kebenaran itu baginya atau ke atasnya (zahirnya menguntung atau merugikannya). ALlah telah mencela kaum Munafiq di dalam firmannya yang berertii :
"Dan (dia antara orang-orang yang tidak dikehendakinya ke jalan yang lurus ialah mereka yang berkata :"Kami beriman kepada ALLah dan kepada RasulNya serta kami taat, kemudian segolongan dari mereka berpaling (membelakangkan perintah ALLah dan Rasul) Sesudah pengakuan itu dan (Kerana berpalingnya Tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya beriman. Dan (Bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada kitab ALlah dan sunnah RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta-merta segolongan dari mereka berpaling engkar (menolak ajakan itu kiranya keputusan tidak menguntungkan mereka). Dan (sebaliknya) jika keputusan itu mmeberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya denan tunduk dan ta'at (menerima hukumannya)"(Surah An Nur : 47-19)
Kaum ini mahukan kebenaran mengikut mereka, bukannya mereka mengikut kebenaran seperti yang dilakukan oleh Mukmin sebenar.
Adapun sekiranya seseorang itu mengikut pendapat yang paling betul (rajih) pada pandangannya (dari segi dalil dan hujah) dan paling kuat pada penilaian hatinya, bolehlah dia mengikut pandangan Abu Hanifah yang mengatakan bahawa menyentuh perempuan tidak membatalkan wuduk, pandangan Syafi'e yang mengatakan bahawa keluar darah tidak membatalkan wuduk dan pandangan Maliki yang mengatakan bahawa Air tidak akan najis melainkan apabila berubah warna, bau atau rasa, setelah dia merasa tenang dengan dalil-dalilnya. - (Tambahan dari admin : Orang yang sebegini sebenarnya telah mencapai satu taraf sebagai mujtahid tarjih. Imam as Syatibi menyatakan :
Ia belum mencapai tingkat ijtihad tetapi mampu memahami dalil dan mampu melakukan tarjih. Untuk golongan ketiga ini, kita perlu melihat keadaannya. Bila berkemampuan tarjihnya dapat dianggap memenuhi syarat, bererti ia adalah mujtahid sebab hakikat mujtahid hanyalah mengikuti ilmu dan menganalisisnya. Jadi orang yang mampu melakukan tarjih dan dapat diterima hasil tarjihnya adalah seorang mujtahid.
Akan tetapi, bila tarjihnya masih belum dapat diterima, keadaannya adalah sama dengan orang awam. Hal ini kerana orang awam mengikut mujtahid untuk mendapatkan kebenaran ilmu yang tidak mampu ia lakukan sendiri. Demikianlah halnya orang yang tarjihnya masih belum diterima . ( Al I'tisham, susunan Imam Asy Syatibi, jilid III, hlmn 250))
Inilah fatwa saya. Semoga ALlah memudahkan kita untuk memahami agama-Nya. Sesiapa yang ALlah hendak berikan kebaikan akan diberi kefahaman dalam agama. Selawat dan salam ke atas nabi Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Rujukan : Feqh Mu'asaroh - Fatwa Masakini Jilid 5&6 - Dr Yusuf al Qardhawi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan