CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 16 Jun 2010

Kesimpulan Penjelasan Tentang As-Sawad Al-A'zhom Bab 4

Penjelasan tentang Hadith Al-Ghuraba’

Sesetengah pihak turut menjadikan hadith Ghuraba’ dalam menolak konsep As-Sawad Al-A’zhom sebagai majoriti ulama’ Islam sejak zaman berzaman padahal hadith Ghuraba’ menceritakan tentang kurangnya dari kalangan masyarakat Islam sendiri yang ingin mengamalkan agama Islam secara sempurna walaupun ketika itu mereka sudah ramai. Ia sama sekali tidak bertentangan majoriti para ulama’ yang masih berpegang kepada manhaj dan asas kebenaran dalam agama.

Lihatlah perkataan Imam As-Sindi dalam mensyarahkan hadith Al-Ghuraba’ dengan berkata:


بِقِلَّةِ مَنْ يَقُوم بِهِ وَيُعِين عَلَيْهِ وَإِنْ كَانَ أَهْله كَثِيرً



Maksudnya: “((Akan kembali asing)) dengan sedikitnya orang yang mendirikannya (mengamalkannya) dan membantunya walaupun ramai ahlinya (penganut agama Islam).”
[Syarah Sunan Ibn Majah: no: 3976]

Hadith ini juga tidak menafikan sama sekali konsep kebenaran yang tetap bersama dengan majoriti ulama’ Islam yang memimpin majoriti umat Islam sebagaimana yang disebut dalam hadith As-Sawad Al-A’zhom. Ini kerana, kedua-dua hadith (hadith As-Sawad Al-A’zhom dengan hadith Al-Ghuraba’) membincangkan dua konteks yang berbeza. Hadith As-Sawad Al-A’zhom menjelaskan tentang majoriti ulama’ Islam yang memimpin majoriti umat Islam dalam bidang agama yang tidak akan sesat dalam masalah usul agama sedangkan hadith Al-Ghuraba’ menceritakan tentang sedikitnya orang Islam yang mengamalkan agama dengan sempurna. Jadi, sangat berbeza antara “berpegang kepada kebenaran pada perkara usul” dengan “mengamalkannya secara sempurna”. Bahkan, berbeza juga antara membandingkan keseluruhan masyarakat Islam dengan majoriti ulama’ Islam sejak zaman berzaman yang disebut sebagai As-Sawad Al-A’zhom itu sendiri.


Oleh sebab itulah dalam Musnad Imam Ahmad ada menyebut syarah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam tentang Al-Ghuraba’ iaitulah:


الذين يصلحون إذا فسد الناس

Maksudnya:

“Mereka yang melakukan kebaikan ketika manusia sudah rosak (banyak melakukan keburukan)”.
[hadith riwayat Imam Ahmad, no: 16049]

Dalam hadith Mursal pula ada menyebut maksud Al-Ghuraba’, bahawasanya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

الذين يزيدون اذا نقص الناس



Maksudnya: “Mereka yang bertambah (amalan mereka) ketika manusia berkurangan (amalan mereka)”
[Madarij As-Salikin: 3/203]



Dalam suatu penjelasan yang lain berbunyi:



الذين يحيون سنتي ويعلمونها عباد الله



Maksudnya: “(Al-Ghuraba’) adalah mereka yang menghidupkan sunnahku dan mengajarkannya kepada para hamba Allah”.
[riwayat Imam Al-Bazzar (no:3287) dalam Kasyf Al-Astar, Imam Al-Khatib dalam Syarf Ashab Al-Hadith (m/s: 38) dan Ibn Abdil Bar dalam Jami’e Bayan Al-Ilm]



Maksudnya, mereka (Al-Ghuraba’) ini masih lagi mengamalkan ajaran murni Islam secara lengkap dan sempurna kerana kesempurnaan iman mereka, berbanding dengan ramai manusia yang sudah tidak lagi mahu mengamalkan ajaran Islam secara sempurna. Namun, aqidah dan kebenaran tetap bersama dengan majoriti ulama’ Islam dan majoriti umat Islam yang mengikut para ulama’ tersebut. Oleh yang demikianlah, konsep Al-Ghuraba’ dalam hadith ini sedikit pun tidak menolak maksud As-Sawad Al-A’zhom sebagai majoriti ulama’ Islam yang memimpin bidang agama majoriti umat Islam sejak zaman berzaman secara keseluruhan dari zaman awal Islam sehingga hari ini atau lebih dikenali sebagai manhaj arus perdana.



Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خذلهم حتى يأتي أمر الله

Maksudnya:

Sentiasa satu golongan daripada umatku akan menonjol (terzahir) di atas kebenaran yang tidak dapat dimudaratkan oleh mereka yang cuba menyaingi golongan tersebut sehinggalah datangnya urusan Allah (Hari Kiamat).




[Hadith riwayat Imam Muslim, no: 3544]



Imam An-Nawawi r.a. juga mensyarahkan hadith ini dengan menyebut:



وَأَمَّا هَذِهِ الطَّائِفَة فَقَالَ الْبُخَارِيّ : هُمْ أَهْل الْعِلْم , وَقَالَ أَحْمَد بْن حَنْبَل : إِنْ لَمْ يَكُونُوا أَهْل الْحَدِيث فَلَا أَدْرِي مَنْ هُمْ ؟ قَالَ الْقَاضِي عِيَاض : إِنَّمَا أَرَادَ أَحْمَد أَهْل السُّنَّة وَالْجَمَاعَة , وَمَنْ يَعْتَقِد مَذْهَب أَهْل الْحَدِيث , قُلْت : وَيَحْتَمِل أَنَّ هَذِهِ الطَّائِفَة مُفَرَّقَة بَيْن أَنْوَاع الْمُؤْمِنِينَ مِنْهُمْ شُجْعَان مُقَاتِلُونَ , وَمِنْهُمْ فُقَهَاء , وَمِنْهُمْ مُحَدِّثُونَ , وَمِنْهُمْ زُهَّاد وَآمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَنَاهُونَ عَنْ الْمُنْكَر , وَمِنْهُمْ أَهْل أَنْوَاع أُخْرَى مِنْ الْخَيْر , وَلَا يَلْزَم أَنْ يَكُونُوا مُجْتَمعِينَ بَلْ قَدْ يَكُونُونَ مُتَفَرِّقِينَ فِي أَقْطَار الْأَرْض


Maksudnya:

“Adapun At-Tho’ifah ini maka:-

Imam Al-Bukhari berkata: Mereka adalah ahli ilmu.

Imam Ahmad bin Hanbal r.a. berkata: Kalau mereka bukan ahli hadith, maka saya tidak tahu siapa mereka.

Imam Al-Qadhi Iyadh Al-Maliki berkata: Imam Ahmad bermaksud mereka adalah Ahlus-Sunnah wal Jamaah dan mereka yang berpegang dengan mazhab ahli hadith.


Saya katakan (Imam An-Nawawi):
Golongan ini membawa maksud yang pelbagai dalam jenis orang-orang beriman yang berbeza yang mana antara mereka adalah para pejuang yang berani, para fuqaha’, para ahli hadith, ahli zuhud, mereka yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah keburukan dan sebahagian mereka adalah mereka yang dari golongan-golongan lain dalam kebaikan. Mereka ini tidak semestinya berhimpun (di sesuatu tempat atau dalam sesuatu golongan) tetapi boleh juga terpisah-pisah di serata pelusuk dunia.”
[Syarah Imam An-Nawawi kepada hadith tersebut]



Jadi, Imam An-Nawawi r.a. sendiri menceritakan tentang golongan yang ramai yang sentiasa menonjol dalam masyarakat Islam dan tidak pernah dikalahkan oleh mana-mana pihak yang menyalahi mereka. Golongan tersebut adalah ahli ilmu dan para ulama’ yang berpegang kepada manhaj yang benar dalam perkara-perkara usul.



Konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul dalam Manhaj Keilmuan Islam



Konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul adalah suatu konsep asas dalam membentuk manhaj dalam aliran As-Sawad Al-A’zhom. Ini kerana, kitab-kitab karangan ulama’, manhaj dan disiplin ilmu agama sentiasa berkembang mengikut keperluan semasa dan kepentingan dalam menjaga kefahaman agama yang sahih. Setiap manhaj yang tumbuh dan disiplin ilmu baru yang berkembang dalam insititusi ulama’ sentiasa dinilai dan dikaji secara adil berdasarkan ukuran keilmuan oleh para ulama’. Maka, setiap disiplin dan manhaj yang diterima oleh As-Sawad Al-A’zhom (majoriti ulama’ Islam) akan terus dipertahankan kerana mereka tidak akan sepakat dalam kesesatan.



Selain daripada konsep penerimaan ramai ulama’ tentang kitab-kitab karangan ulama’, konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul juga berlaku dalam manhaj atau metodologi keilmuan Islam dalam rangka menjaga manhaj tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan manhaj keilmuan Islam ini adalah, suatu struktur atau kerangka umum yang menghimpunkan kaedah-kaedah dan disiplin keilmuan untuk berinteraksi dengan sumber agama secara sahih dalam usaha untuk memahami ajarannya secara sahih.



Dalam perkembangan ilmu mengenai hukum-hakam syariat Islam, ilmu fiqh pada awalnya berkembang sebagai sarana yang menghimpunkan ijtihad-ijtihad ulama’ berdasarkan sumber agama seperti Al-Qur’an, As-Sunnah dan sebagainya. Maka, sejajar dengan perkembangan ilmu-ilmu yang menjaga sumber agama seperti ilmu Nahu, Ilmu Rijal, Ilmu Qiraat dan sebagainya, ilmu-ilmu lain yang menjaga manhaj sahih dalam berinteraksi dengan sumber agama juga turut berkembang. Ilmu itu akhirnya dikenali sebagai Usul Fiqh.

Perpaduan antara Ilmu Fiqh yang merangkumi ijtihad para ulama’ dengan ilmu Usul Fiqh akhirnya dikenali sebagai mazhab fiqh. Ia adalah nama lain bagi suatu manhaj atau disiplin ilmu dalam memahami syariat Islam melalui sumbernya. Empat mazhab fiqh mendapat penerimaan dalam kalangan ulama’ Islam secara meluas walaupun pada awalnya, masih banyak mazhab-mazhab fiqh ulama’ lain yang berkembang dalam masyarakat Islam di zaman salaf.

Namun, Allah s.w.t. memelihara empat mazhab fiqh ini (iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali) dan ianya diterimapakai malah dikembangkan oleh para ulama’ Islam yang berkhidmat terhadap mazhab masing-masing. Setelah itu, tradisi Tamazhub (bermazhab) menjadi suatu tradisi yang diterima pakai oleh para ulama’ Islam secara sepakat. Tradisi Tamazhub (bermazhab) dalam kalangan ulama’ Islam sebenarnya bukanlah suatu tradisi Taqlid atau berpegang kepada sesuatu perkataan tanpa dalil, tetapi tradisi bermazhab yang diamalkan oleh ulama’ Islam adalah suatu tradisi Ittiba’ Manhaji atau mengikuti seseorang ulama’ dari sudut metodologi dan disiplin dalam berijtihad dan menggali hukum syarak daripada sumbernya.


Hatta, para ulama’ yang menerima dan mengikut sesuatu mazhab fiqh sebenarnya memperjuangkan mazhab yang dipegang dan menyebarkannya atas dasar Ijtihad mereka terhadap kebenaran sesuatu Manhaj fiqh tersebut dalam neraca umum Islam. Oleh sebab itulah, tradisi bermazhab dalam ulama’ Islam tidak boleh disamakan dengan amalan Kristian yang sekadar bertaqlid kepada para paderi mereka terdahulu tanpa suluhan wahyu kerana dari sudut sumber agama mereka sahaja sudah diragui.



Ia berbeza dengan masyarakat awam di mana masyarakat awam pada asasnya tidak mengamalkan tradisi bermazhab dalam erti kata yang khusus kepada mazhab-mazhab besar tersebut secara langsung, tetapi lebih bersifat bertalqid kepada para ulama’ dan para mufti tempatan yang menjaga urusan agama di tempat mereka. Ini kerana, mereka tidak menguasai disiplin ilmu untuk menggali hukum hakam secara sendirian dan tidak menguasai kerangka usul sesuatu mazhab sehingga dapat berinteraksi dengan sesuatu mazhab secara langsung. Secara asasnya, taqlid berbeza dengan ittiba’ yang boleh dilihat perbahasannya dalam kitab-kitab Usul Fiqh walaupun kedua-duanya adalah antara bentuk-bentuk tamazhub (tradisi bermazhab).

Tradisi bermazhab berkembang berdasarkan penilaian para ulama’ terhadap kesempurnaan manhaj penggalian hukum dan pendalilan para ulama’ mujtahid mustaqil (terasing) yang telah mereka susun seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam As-Syafi’e dan Imam Ahmad. Lalu, para fuqaha’ yan lahir setelah mereka khususnya yang mempelajari ilmu fiqh daripada para ashaab (murid-murid) para imam tersebut hanya mengembangkan sahaja manhaj para imam mujtahid tersebut. Maka, walaupun pintu ijtihad tidak ditutup sepenuhnya tetapi tiada ruang lagi untuk membuat suatu manhaj tersendiri yang baharu yang belum pernah disusun oleh para mujtahid terdahulu.

Imam Az-Zarkasyi berkata tentang perkara ini:

وهذا كله يوضح أن الضرورة دعت المتأخرين إلى اتباع المتقدمين ، لأنهم سبقوهم بالبرهان حتى لم يبقوا لهم باقية يستبدون بها ، وذلك فضل الله يؤتيه من يشاء ، ولكن الفضل للمتقدم ، وظهر بهذا تعذر إثبات مذهب مستقل بقواعد


Maksudnya:

“Ini semua menunjukkan bahawasanya sangat penting bagi golongan ulama’ terkemudian untuk mengikut golongan ulama’ terdahulu kerana mereka sudah mendahulu mereka (golongan terkemudian) dari sudut penguasaan dalil-dalil sehingga tiada lagi tersisa bagi mereka (ulama’ terkemudian) untuk menzahirkan dengannya (dalil-dalil lain). Inilah kelebihan Allah yang diberikan kepad sesiapa yang Dia kehendakinya. Akan tetapi, kelebihan tersebut ada pada golongan ulama’ terdahulu, maka terzahirlah suatu keuzuran dalam menetapkan suatu mazhab lain yang tersendiri dengan kaedah-kaedah (tersendiri)…”
[Al-Bahr Al-Muhith 8/217]



Oleh sebab itulah kita perlu fahami, di mana, sebahagian para fuqaha’ menjelaskan bahawasanya pintu Ijtihad sudah tertutup itu sebenarnya bererti, suatu Ijtihad dengan mengadakan sebuah mazhab tersendiri yang baharu, yang berbeza dengan mazhab-mazhab yang sudah diterima oleh ummah samada Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafi’e mahupun Mazhab Hanbali. Oleh yang demikian, sebahagian para fuqaha’ lain masih berpegang kepada pintu Ijtihad masih terbuka iaitulah Ijtihad Tarjihi (menguatkan salah satu daripada pendapat para ulama’ yang saling berselisihan) dan Ijtihad dalam masalah yang baharu.



Imam Al-Khattab berkata:

التقليد هو الأخذ بقول الغير من غير معرفة دليله ، والذي عليه الجمهور أنه يجب على من ليس فيه أهلية الاجتهاد أن يقلد أحد الأئمة المجتهدين سواء كان عالما أو ليس بعالم

Maksudnya:

Taqlid adalah mengambil perkataan orang lain tanpa mengetahui dalilnya. Maka, majoriti ulama’ mengatakan bahawasanya wajib bagi orang yang tidak mempunyai keahlian untuk berijtihad agar bertaqlid kepada para imam mujtahid samada orang tersebut seorang yang berilmu atau tidak.
[Mawahib Al-Jalil 1/30]



Imam Al-Ghazali r.a. berkata:

مسألة تقليد العامي للعلماء: العامي يجب عليه الاستفتاء واتباع العلماء

Maksudnya:

Masalah pada taqlid seorang awam kepada ulama’. Maka, seorang awam perlu meminta fatwa daripada para ulama’ dan mengikut para ulama’.
[Al-Mustashfa: 1/372]



Oleh sebab itulah kita dapati, para ulama’ hadith yang menguasai bidang Riwayah juga tetap mengikut mazhab fiqh para ulama’ mujtahid yang mendapat penerimaan ulama’ Islam secara sepakat. Ini kerana, mazhab fiqh sudah menghimpunkan sudut Dirayah dan Riwayah dalam bidang syariah Islamiyyah.

Antara para ulama’ hadith yang bermazhab adalah:

Bermazhab Hanafi: Imam At-Tahawi, Imam Az-Zil’ie, Imam Al-‘Aini, Imam Al-‘Ala’ie, Imam Al-Muttaqi Al-Hindi, Imam Al-Mubarakfuri, Imam Al-Azhimabadi, Imam Al-Laknawi, Imam Al-Kandahlawi dan sebagainya.

Bermazhab Maliki: Imam Ibn Abdil Bar, Imam Al-Qadhi ‘Iyadh, Imam Ibn Al-Munir, Imam Ibn Bathal, Imam Ibn Arabi, Imam Ar-Zarqani dan sebagainya.



Bermazhab Syafi’e: Imam Abu Zur’ah, Imam Ibn Abi Hatim, Imam At-Tirmizi, Imam Ibn Khuzaimah, Imam Ad-Darqutni, Imam Al-Hakim, Imam Al-Baihaqi, Imam Ar-Ruyani, Imam Al-Khatib Al-Baghdadi, Imam Ibn ‘Asakir, Imam Ibn As-Sholah, Imam An-Nawawi, Imam Al-‘Iraqi, Imam Ibn Jama’ah, Imam Ibn Hajar Al-Asqollani, Imam As-Sakhawi, Imam As-Suyuti, Imam Al-Munawi dan sebagainya.

Bermazhab Hanbali: Imam Abu Daud, Imam An-Nasa’ie, Imam Al-Khallal, Imam Ibn Al-Jauzi, Imam Al-Maqdisi, Imam Ibn Rajab dan sebagainya.

[rujuk kitab At-Tamazhub m/s 111 oleh Sheikh Abdul Fattah Al-Yafi’e]


Maka, penerimaan ulama’ Islam terhadap keempat-empat mazhab fiqh tersebut adalah hasil ijtihad mereka dalam mempertahankan mazhab-mazhab tersebut terutamanya sebagai disiplin ilmu untuk memahami nas dalam bab syariat. Maka, penerimaan para ulama’ terhadap mazhab-mazhab fiqh ini menunjukkan ianya diterima baik dalam tradisi keilmuan Islam. Sebagaimana kedudukan Sahih Al-Bukhari yang diterima oleh para ulama’ secara menyeluruh sebagai sumber agama paling sahih selepas Al-Qur’an lalu ianya tidak dipertikaikan lagi, begitu jugalah mazhab-mazhab fiqh sebagai disiplin untuk menggali hukum daripada sumber agama.

Ramai orang awam tidak memahami tradisi bermazhab dalam kalangan ulama’ Islam lalu menyangka bermazhab hanya sebagai mengikut perkataan seseorang ulama’ semata-mata. Jika seseorang ulama’ berbeza pendapat dengan ulama’ sesuatu mazhab bererti sudah menyalahi mazhab imam tersebut. Ini suatu kekeliruan yang nyata berdasarkan neraca keilmuan yang sebenar.

Oleh kerana itu didapati berlaku perbezaan pendapat antara sebahagian Fuqaha’ Syafi’iyyah dengan pendapat dan ijtihad asal Imam As-Syafi’e dalam sesuatu masalah, namun tidak menjadikan para Fuqaha’ Syafi’iyyah tersebut terkeluar daripada disiplin mazhab As-Syafi’e kerana secara asasnya, mengikut mazhab seseorang ulama’ itu merujuk kepada mengikut kerangka usul Fiqh dalam sesuatu mazhab tersebut di samping ijtihad mereka. Oleh sebab itulah muncul istilah seperti Ashab Al-Wujuh (para ulama’ yang mana ijtihad mereka dirujuk dalam sesuatu mazhab), Al-Mu’tamad fi Al-Mazhab (Ijtihad yang muktamad dalam sesuatu mazhab fiqh) dan sebagainya. Mazhab Fiqh bukanlah suatu mazhab yang merujuk kepada pelopor utamanya sahaja (yang dikenali sebagai Imam Al-Mazhab), tetapi merujuk kepada para Fuqaha’ yang mengembangkan mazhab seseorang imam itu juga.

Sepertimana dalam mazhab dalam bidang fiqh, dalam bidang aqidah juga wujud mazhab-mazhab yang mencapai tahap penerimaan ulama’ Islam secara majoriti. Mazhab-mazhab tersebut adalah mazhab Al-Asy’ari dan mazhab Al-Maturidi. Mazhab-mazhab ini adalah penerus kepada pegangan As-Salaf As-Sholeh dalam masalah aqidah tetapi dirangka dalam bentuk yang lebih teratur dengan gabungan hujah secara naqli dan aqli.

Akhirnya, kedua-dua mazhab ini mencapai tahap At-Talaqqi bi Al-Qabul dan terus dikembangkan oleh majoriti ulama’ Islam sepanjang zaman. Ini menunjukkan keagungan dan keutuhan mazhab aqidah tersebut dalam konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul di sisi majoriti ulama’ Islam. Kedua-dua golongan ini (Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah) akhirnya lebih dikenali sebagai Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Imam Az-Zabidi meriwayatkan dalam kitab tersebut bahawa: Imam Al-Khayali berkata dalam Hasyiyah ‘Ala Syarh Al-‘Aqa’id :
“Al-Asya’irah adalah ahlus-Sunnah wal Jamaah…Disebutkan juga Ahlus-Sunnah wal Jamaah kepada golongan Al-Maturidiyyah pengikut Imam Abu Manshur Al-Maturidi…”
[Ittihaf Saadah Al-Muttaqin]

Tiada ulasan: