BUKAN TEMPAT MAKAN MINUM ORANG ISLAM
Soalan:
Di dalam fatwa Allahyarham Pehin Mufti Bil: 14 dalam MKB/9/179 (37/MU/JUM/11/1981) bertarikh 14hb. September, 1982 bersamaan 25hb. Zulkaedah, 1402 menyatakan:
"Mana-mana restoran/kedai makan yang tidak memenuhi syarat-syarat berikut:
1.
Pemilik orang Islam
2.
Pengurus orang Islam
3.
Pekerja orang Islam
Pada lazimnya akan dilabel/ditanda dengan "Bukan Tempat Makan Minum Orang Islam."
Persoalannya: Bagaimana kedudukan syarikat/restoran/kedai makan yang pemilik sahamnya terbanyak dipunyai oleh orang Islam?
Jawapan:
Dalam sistem perniagaan masa kini, pemilik syarikat, restoran, kedai makan atau pemegang sahamnya yang terbanyak, belumlah tentu mereka itu sendiri yang terjun secara langsung menangani pengurusan syarikat, restoran atau kedai makan itu. Bahkan ada di antara para pemegang saham yang kurang tahu-menahu tentang perjalanan syarikat. Yang paling utama baginya hanyalah pulangan atau keuntungan sahaja.
Selain itu ada juga yang berurusan atau berkongsi dengan orang lain, seperti dengan orang bukan Islam.
Jadi, pemilikan orang-orang Islam terhadap sesebuah syarikat, restoran atau kedai makan jika hanya ditinjau daripada segi hak milik sahaja, belumlah boleh menjamin kehalalan makanan yang dihidang atau diproduksi itu. Pada hakikatnya kehalalan makanan bukanlah semata-mata berdasarkan kepada siapa pemilik restoran, malahan dasar utamanya ialah bertolak daripada bahan makanan yang dihidang itu sendiri, misalnya jika yang dihidang sate daging maka wajiblah daging itu berasal daripada binatang halal yang disembelih mengikut syara’. Kemudian adakah ia bercampur dengan bahan-bahan yang syubhah, seperti minyak binatang atau bahan-bahan najis?
Jika ianya jelas berasal daripada binatang halal, disembelih mengikut syara’ dan tidak bercampur dengan yang syubhah atau najis, maka hidangan di syarikat, restoran atau kedai makan itu adalah halal.
Akan tetapi jika ianya masih diragukan, apalagi diyakini tidak berasal daripada binatang halal, tidak disembelih atau bercampur dengan yang syubhah atau najis, seperti dimasak di tempat memasak babi atau dalam bekas yang najis, maka hidangan atau sajian di syarikat, restoran atau kedai makan itu adalah haram.
Jika pemilik dan pengurus sepenuhnya orang Islam, kita adalah disuruh tetap berprasangka baik terhadap sesama saudara seagama kita itu, tidak perlu ragu terhadap makanan dan minuman yang dihidangkannya, kecuali jika jelas dan nyata ada bukti-bukti lain yang makanan dan minuman itu tidak halal atau syubhah.
Jika pemilik dan pengurus sepenuhnya bukan orang Islam, maka ini sudah jelas makanan dan minuman yang dihidang itu boleh menjadi haram atau syubhah kerana orang bukan Islam itu tidak mengerti dan tidak mengenali apa itu halal atau haram dalam Islam.
Manakala jika pemilikan dan pengurusan itu dikongsi sama oleh orang Islam dan bukan Islam, maka makanan hidangannya juga boleh membawa kepada syubhah atau haram kerana dalam perkara ini timbullah kesamaran dan ketidak pastian akibat percampuran dan perkongsian itu, memandangkan bahawa kedua-dua pihak adalah sama-sama berkuasa dan berpengaruh ke atasnya.
Orang Islam tahu dan kenal apa itu halal dan haram, sedangkan orang bukan Islam pula sebaliknya. Orang Islam percaya dan sangat tamak kepada pahala daripada Allah, sedangkan orang bukan Islam tidak percaya dan tidak timbul sama sekali untuk mendapatkan pahala itu. Orang Islam, jika melanggar hukum Allah akan takut rugi serta takut akan diazab di akhirat, sedangkan orang bukan Islam tidak merasakan apa-apa. Tetapi kedua-duanya itu sama-sama berkuasa dan berpengaruh ke atas syarikat-syarikat, restoran-restoran atau kedai-kedai makan itu. Yang satu pihak masih terikat dengan hukum halal haram dan masih ingatkan janji Allah mengenai dengan Hari Akhirat atau kehidupan di akhirat, sementara yang satu lagi tidak merasa terikat dengan hukuman halal haram dan bahkan tidak terlintas atau terdetik walau sebesar habuk sekalipun mengenai kehidupan yang sedang menunggunya di akhirat itu.
Namun daripada segi pengaruh, kuasa dan peluang mereka tidaklah berbeza.
Ibarat dua nakhoda bagi sebuah kapal, masing-masing sama mahir dan sama-sama ada tauliah serta sama-sama ada budi bicara, peluang dan kuasa. Tidak diragukan kedua-duanya itu sama-sama mampu melakukan peranan masing-masing. Mereka tidak sunyi daripada mempunyai peluang, kuasa dan pengaruh untuk itu. Maka begitulah pula halnya dengan keadaan dua pemilik dan pengurus tadi, masing-masingnya mempunyai peluang, pengaruh dan kuasa untuk membawa ke mana jua syarikat, restoran atau kedai makan yang dikongsi itu mengikut cita rasa masing-masing. Pendeknya kerana kuasa dan pengaruh yang sama, mereka sama-sama pula mempunyai kesempatan untuk memenuhi cita rasa masing-masing, walaupun apa yang dilakukan oleh satu pihak itu tidak disukai oleh pihak yang lain.
Inilah hakikat yang ada, bahawa pengaruh dan kuasa itu adalah perkara yang paling menentukan.
Dalam pengertian lain, jika pemilik dan pengurus Islam, dengan kuasa dan pengaruh yang ada padanya sebagai pemilik dan pengurus boleh membawa dan memasukkan benda-benda yang baik atau halal, mengapa pula rakan kongsi milik dan pengurus yang bukan Islam yang juga sama-sama mempunyai kuasa dan pengaruh yang sama tidak boleh membawa dan memasukkan benda-benda yang haram dan najis? Yakni semua itu boleh dan harus sahaja berlaku tertakluk kepada adanya peluang-peluang bagi kedua belah pihak itu.
Jadi dalam kedudukan ini, semua perkara menjadi ‘bermasuk-masukan’, tiada siapa yang dapat menjamin boleh menentukannya dengan tepat sama ada halal atau haram, yakni halal dan haram itu boleh sahaja bercampur-campur, baik dengan disenghaja ataupun tidak, disedari ataupun tidak disedari.
Maka apabila keadaan begini wujud, kaedah syara’ pun menetapkan, sebagaimana dalam al-Asybah wa an-Naza’r oleh al-Imam as-Suyuthi begini:
Ertinya: "Apabila berhimpun yang halal dan yang haram, maka lebih kuat atau lebih mengatasilah yang haram."
As-Suyuthi telah memberikan banyak contoh, antaranya:
Ertinya: "Dan jikalau berlaku kesamaran binatang yang disembelih dengan bangkai binatang atau susu sapi dengan susu keldai atau air dengan air kencing, maka tidaklah harus (tidak halal) mempergunakannya walaupun sedikit."
Mengenai hukum kesamaran ini Baginda Sallallahu ‘alaihi wasallam telahpun menjelaskannya dalam hadis-hadis Baginda:
h_mj18.jpg (8661 bytes)
Maksudnya: "Tinggallah perkara-perkara yang membawa ragu-ragu kepadamu, (dan) ambillah apa-apa yang tidak meragukanmu."
(Hadis riwayat Nasa’i dan lain-lain)
Sabda Baginda lagi:
h_mj19.jpg (109953 bytes)
Maksudnya: "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang) dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakkan manusia, maka sesiapa memelihara (dirinya daripada) segala yang kesamaran, sesungguhnya dia telah memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah dia ke dalam yang haram. Seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah, bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya. Ketahuilah, bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah dia hati."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Untuk menetukan sama ada sesebuah syarikat, restoran atau kedai makan itu munasabah atau wajar diletakkan label "Bukan Tempat Makan Minum Orang Islam’ akan tertakluk kepada keadaan perkongsian itu, dari segi jumlah pemegang saham dan jumlah nilai saham termasuk kuasa-kuasa yang mereka miliki bagi menentukan pengurusan yang selaras dengan kehendak-kehendak syara’.
Suatu hal yang patut menjadi perhitungan ialah, bahawa sesebuah syarikat pengeluar atau penyedia makanan yang dikongsi sama oleh orang Islam dan bukan Islam mungkin tidak serupa dengan sebuah syarikat yang sama fungsinya tetapi berlainan kuasanya berdasarkan besar atau kecil sesebuah syarikat itu.
Sebuah syarikat pengeluar atau penyedia makanan yang mempunyai pegawai-pegawai khusus yang terdiri daripada orang-orang Islam yang ditugaskan khas untuk mengawal atau mengendalikan kehalalan produk syarikat berkenaan, adalah tidak sama dengan syarikat pengeluar atau penyedia makanan yang tidak mempunyai pegawai-pegawai seperti yang disebutkan.
Jadi, keadaan sesebuah syarikat makanan serta cara-cara pengendalian dan juga kuasa-kuasanya akan turut menentukan sama ada wajar ditanda ‘Bukan Tempat Makan Minum Orang Islam’ atau sebaliknya.
Keadaan yang sama dilihat juga kepada restoran atau kedai makan, sama ada patut ditanda atau dilabel dengan label berkenaan itu, adalah akan turut bergantung kepada bagaimana bentuk dan syarat-syarat perkongsian di antara orang-orang Islam dengan orang-orang bukan Islam itu.
Oleh itu, semua persoalan ini hendaklah dilihat berdasarkan ‘kes’ demi ‘kes’ dengan menyediakn garis pandu mengapa ianya dilabelkan ‘Bukan Tempat Makan Minum Orang Islam’ atau sebaliknya adalah berdasarkan persyaratan-persyaratan mengikut hukum syara’. Jaminan atau ikrar oleh pemegang-pemegang saham Islam akan kehalalan sesuatu produk syarikatnya dapatlah dilihat sebagai sesuatu perkara yang positif.
Sumber : Mufti Brunei
Tiada ulasan:
Catat Ulasan