CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Jumaat, 6 Februari 2009

Wahai Muslimah Fahamilah Tuntutan Menutup Aurat

Fahami Sebenar-Benarnya Maksud Menutup Aurat
( Bilangan 301 Bahagian Pertama )

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Menutup aurat merupakan kewajipan agama yang sudahpun diketahui umum umat Islam. Tuntutan menutup aurat itu sabit berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur'an, hadits dan kesepakatan para ulama. Akan tetapi ramai umat Islam yang mengabaikan dan bersifat acuh tak acuh akan tuntutan dan kewajipan menutup aurat ini, baik lelaki mahupun perempuan.

Apa yang menyedihkan ialah cara atau tren berpakaian segolongan individu, khususnya perempuan, tidak menepati dengan apa yang digariskan oleh syara‘. Pakaian yang mereka pakai bukan untuk menutup aurat, sebaliknya hanya menampal sebagai perhiasan semata-mata agar dipandang cantik dan bergaya.

Lebih mengecewakan lagi, anggapan sesetengah individu itu bahawa memadai apabila dia memakai tudung sahaja, maka sudah bermakna dia menutup aurat. Sedangkan pakaian yang dipakai nyata masih tidak menepati tuntutan menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘, seperti memakai seluar yang ketat atau pakaian pendek, nipis (jarang) dan kain berbelah, sama ada mereka sedari ataupun tidak bahawa pakaian yang mereka pakai itu adalah mengghairahkan. Bahkan cara bertudung pun masih
menampakkan anggota aurat yang wajib ditutup atau disembunyikan.

Ada pula yang memakai pakaian yang lengkap menutup aurat pada waktu-waktu tertentu sahaja, seperti ketika menghadiri majlis-majlis keagamaan dan kedukaan seperti kematian, tetapi tidak pada waktu-waktu lain.

Sikap sebahagian wanita-wanita muslimah seumpama ini menunjukkan bahawa mereka belum memahami maksud sebenar menutup aurat itu dan bagaimana cara melaksanakannya
sebagaimana yang dituntut oleh syara‘.

Tuntutan Menutup Aurat Adalah Perintah Allah Subhanahu Wa Ta‘ala

Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mewajibkan lelaki mahupun perempuan untuk menutup aurat mereka dan menggariskan caracara menutup aurat itu. Tuntutan menutup aurat ini adalah perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana yang digariskan oleh syara‘ bererti mentaati perintahNya. Bilamana menutup aurat merupakan suatu ketaatan, maka memakai pakaian yang mendedahkan aurat pula merupakan suatu kederhakaan.

Tuntutan menutup aurat ini tidak boleh dipandang ringan. Ancaman dan balasan Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap mereka yang tidak melaksanakan atau tidak memperdulikan
tuntutan menutup aurat itu adalah sangat keras. Antara akibat melanggar tuntutan ini ialah laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka yang melakukan penderhakaan terhadap perintahNya itu tidak akan masuk syurga, bahkan bau syurga pun tidak dapat dihidu oleh mereka, sebagaimana yang ditegaskan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh).” (Hadits riwayat Muslim)


Oleh itu, kita hendaklah mengenakan pakaian untuk menutup aurat sebagaimana yang disuruh syara‘ kerana mentaati perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bukannya kerana tuntutan fesyen semasa atau kesesuaian tempat dan keadaan.

Menutup Aurat Nikmat Anugerah Allah Subhanahu Wa Ta‘ala

Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan bahan-bahan pakaian di muka bumi dan memberikan manusia keupayaan menghasilkan pakaian sebagaimana yang ditegaskan melalui
firmanNya:

Tafsirnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup ‘aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”. (Surah al-A‘raaf: ayat 26)


Ayat ini menjelaskan bahawa bahan pakaian yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya itu sebagai tanda-tanda limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya untuk menutup aurat mereka. Maka mereka yang mengabaikan kewajipan ini dengan mendedahkan aurat mereka adalah orang-orang yang tidak bersyukur dan tidak menghargai nikmat tersebut.

Banyak kebaikan dan faedah yang boleh didapat daripada kewajipan menutup aurat ini. Islam tidak mensyariatkan sesuatu melainkan untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia itu sendiri.
Tuntutan menutup aurat ke atas wanita adalah untuk kebaikan bagi diri kaum wanita juga.

Di antara rahsia atau faedah menutup aurat yang khusus bagi wanita sepertimana yang dijelaskan dalam al-Qur'an ialah untuk mereka dikenal sebagai perempuan yang baik-baik dan dengan berpakaian sedemikian, maka mereka tidak akan diganggu. Secara tidak langsung pakaian yang menutup aurat dan sopan merupakan antara cara untuk menghindari fitnah, pandangan yang jahat atau berlakunya perkara yang buruk, umpamanya kes rogol.

Oleh itu, kewajipan menutup aurat juga merupakan satu nikmat yang wajib disyukuri, iaitu dengan cara melaksanakan kewajipan ini.

Bagaimana Cara Menutup Aurat Yang Dituntut Syara‘?

Sebelum dijelaskan cara menutup aurat bagi wanita sebagaimana yang dituntut oleh syara‘, perlu disebut terlebih dahulu bagaimana aurat wanita itu di hadapan lelaki bukan mahramnya. Secara sepintas lalu, bagaimana aurat perempuan dalam sembahyang, maka itulah juga auratnya di luar sembahyang. Apa yang boleh nampak di hadapan orang-orang yang bukan mahramnya hanyalah kedua tapak tangan dan muka sahaja, manakala keseluruhan anggota badan yang lain merupakan aurat yang wajib ditutup.

Cara berpakaian bagi perempuan yang sempurna menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki syara‘ itu dirujuk kepada firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab: 59)


Dalam ayat di atas telah jelas menyatakan bahawa pakaian yang dipakai ketika keluar itu hendaklah dalam keadaan labuh dan menutup seluruh tubuh pemakainya. Terdapat juga beberapa hadits yang menyebut tentang ciri-ciri pakaian yang dikehendaki oleh syara‘, umpamanya hadits yang diriwayatkan oleh ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha:

َ
Maksudnya:
“Bahawa Asma’ binti Abu Bakar telah berkunjung kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan memakai pakaian yang nipis. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpaling daripadanya. Baginda bersabda: “Wahai Asma’, sesungguhnya orang perempuan apabila sampai umur haidh (umur baligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini… dan ini... (sambil) Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda.” (Hadits riwayat Abu Daud)


Berdasarkan kepada dua dalil di atas, maka dijelaskan bahawa ciri-ciri pakaian menutup aurat yang dituntut oleh syara‘ bagi wanita itu adalah seperti berikut:

1. Pakaian yang longgar. Bukan pakaian sempit yang menampakkan susuk atau bentuk tubuh badan.

2. Pakaian yang labuh yang menutupi keseluruhan anggota aurat. Bukan pakaian yang pendek, singkat atau terbelah yang mendedahkan perut, dada, leher, tangan, kaki dan punggung.

3. Pakaian yang menutup warna kulit anggota aurat dari kelihatan. Bukan pakaian yang nipis atau jarang yang menampakkan warna kulit dan bayang-bayang tubuh dari luar.

bersambung

3 ulasan:

Mohd Al-Amin Daud Al-Azhari berkata...

Assalamualaikum..

Cantik tulisannya..banyak ilmu boleh dapat kat sini..semoga terus thabat dalam memberi penjelasan kepada umat Islam..

Admin berkata...

wa'alaikumussalam wbth sheikh..

Terima kasih kerana sudi hadir ke blog ini dan juga sudi membantu di dalam memberikan penjelasan dan ilmu di sini.

Fatwa ditulis oleh Mufti Brunei.. Saya cuma membawakan sahaja di blog ini dan mencantikkan cara susunan ayat seperti diletakkan quote agar lebih mudah dibaca.

Segala pujian bagi ALlah yang masih memberikan ulamak yang ikhlas memberikan pengajaran kepada umat Islam..

ifti berkata...

banyak ilmu yang bermanfaat..terima kasih..semoga perjuangan ustaz dipermudahkan Allah =)