QADA' : ADAKAH SATU PILIHAN UNTUK MENINGGALKAN SEMBAHYANG ?
(BILANGAN 223 BAHAGIAN AKHIR)
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Akibat Orang Yang Meninggalkan Sembahyang
ِPerbuatan senghaja meninggalkan sembahyang itu, menurut sesetengah ulama boleh menjadikan seseorang itu dihukumkan kafir, berdasarkan zahir sabda Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wassalam yang diriwayatkan daripada Buraidah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya perjanjian antara kami dan mereka (orang kafir) ialah sembahyang, maka barangsiapa yang meninggalkan sembahyang maka sesungguhnya dia kafir.
(Hadits riwayat an-Nasa’ie dan at- Tarmidzi)
Qatadah Radiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: Allah Subhanahu wa Taala berfirman:
Maksudnya: “Aku telah memfardhukan ke atas umatmu (wahai Muhammad) sembahyang lima waktu, seraya Aku berjanji pada diriKu suatu perjanjian, bahawasanya barangsiapa yang memeliharanya tepat pada waktunya, akan Aku masukkannya ke dalam syurga. Dan barangsiapa yang tiada memeliharanya, maka tiadalah perjanjian apa-apa dari Aku baginya.”
(Hadits riwayat Abu Daud)
Namun akibat yang sudah pasti meninggalkan sembahyang itu adalah suatu dosa besar. Firman Allah Subhanahu wa Taala:
Tafsirnya: (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang, (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.
(Surah Al-Ma‘un: 4-5)
Dalam ayat lain, Allah Subhanahu wa Taala menjelaskan tentang balasan neraka bagi orang-orang yang senghaja tidak mengerjakan sembahyang sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka (Saqar)?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang”.
(Surah Al-Muddatstsir: 42-43)
Daripada sahabat, Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan sembahyang, dia akan menemui Allah dalam keadaan dia dimurkai (oleh Allah).
(Hadits riwayat Thabarani)
Masih banyak lagi nash-nash Al-Qur’an dan Hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam yang berupa perintah untuk mendirikan sembahyang dan peringatan-peringatan terhadap mereka yang melalaikannya sehingga berlalu waktu sembahyang.
Sembahyang Di Awal Waktu
Sebagai langkah menghindar diri dari terlepas menunaikan kewajipan sembahyang, maka tunaikanlah sembahyang itu di awal waktunya. Menunaikan sembahyang di awal waktunya itu adalah kerja yang afdhal (lebih utama).
Ummu Farwah Radiallahu ‘anha ada meriwayatkan:
Maksudnya: Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wassalam pernah ditanyakan: “Apakah perbuatan-perbuatan yang lebih utama?” Baginda bersabda : “Sembahyang pada awal waktunya”.
(Hadits riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadits di atas, sembahyang pada awal waktunya adalah satu anjuran daripada Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wassalam dengan tujuan untuk memperolehi fadhilatnya di samping mengelak dari kelalaian sehingga berlalunya waktu sembahyang. Walau bagaimanapun jika seseorang itu mengakhirkan sembahyang kerana sesuatu sebab, maka hendaklah dia sentiasa berniat serta berazam akan menunaikannya dalam waktunya.
Dalam hal ini, As-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani Rahimahullah menjelaskan bahawa sebaik saja masuk waktu sembahyang fardhu hendaklah dilakukan salah satu daripada dua perkara, sama ada dengan melakukannya terus (sembahyang) atau berazam melakukannya dalam waktunya. Maka jika dia tidak terus melakukannya dan juga tidak berazam untuk melakukannya (dalam waktunya), maka dia berdosa.
Ditegaskan sekali lagi, bahawa menjaga sembahyang fardhu lima waktu adalah perkara yang sangat dituntut oleh agama sementara mencuaikannya akan membawa kepada balasan serta azab yang amat besar dari Allah Subhanahu wa Taala. Bagi mereka yang mencuaikan atau melalai-lalaikan sembahyang hingga luput waktunya adalah wajib mengqadha’ setiap sembahyang yang ditinggalkannya. Tidak cukup dengan itu sahaja, malahan dia wajib bertaubat kepada Allah Subhanahu wa Taala kerana perbuatannya meninggalkan sembahyang fardhu dengan senghaja itu.
Para ulama berkata: Taubat itu wajib dari segala dosa. Jika dosa dan maksiat itu berlaku di antara hamba dengan Allah dan tiada berhubung dengan hak manusia, maka baginya tiga syarat:
1. Hendaklah dia keluar (berhenti) dari dosa itu.
2. Hendaklah dia menyesal di atas perbuatannya.
3. Berazam tidak akan kembali mengerjakan dosa itu selama-lamanya. Jika tiada ada satu dari tiga syarat itu, maka tiadalah sah taubatnya itu.
Mengqadha’ sembahyang bukanlah satu pilihan untuk seseorang itu meninggalkannya dengan senghaja atau dengan apa jua alasan sekalipun atau berniat akan melakukannya kemudian pada waktu yang terdekat, umpamanya sembahyang Maghrib akan dilakukannya pada waktu Isya atau waktu Zohor akan dilakukan pula pada waktu Asar. Maka dalam keadaan seumpama ini tetaplah dia berdosa dan yang paling menakutkan, ada ulama yang mengkafirkannya kerana adanya hadits yang menunjukkan sedemikian.
Diambil dari : Mufti Brunei
Tiada ulasan:
Catat Ulasan