CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Sabtu, 21 Februari 2009

Hukum Qadha' Solat Dan Sengaja Meninggalkan Solat Bab 1

QADA' : ADAKAH SATU PILIHAN UNTUK MENINGGALKAN SEMBAHYANG ?

(BILANGAN 223 BAHAGIAN PERTAMA )


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Sembahyang fardhu merupakan satu kewajipan yang amat dituntut dalam Islam. Ianya adalah amal perbuatan yang pertama sekali akan dihisab oleh Allah terhadap hambaNya di akhirat kelak, kemudian diikuti oleh perhitungan amal-amal yang lain. Ianya bukan hanya merupakan satu perintah dari Allah Subhanahu wa Taala semata-mata tapi ianya adalah satu ibadah yang terkandung di dalamnya bermacam-macam hikmah dan kebaikan.

Allah Subhanahu wa Taala telah menetapkan sembahyang fardhu lima waktu dan setiap satu mempunyai waktu-waktunya tersendiri sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala:

Tafsirnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

(Surah an-Nisaa: 103)

Dari Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda kepada Mu’az bin Jabal ketika beliau diutus oleh Baginda ke Negeri Yaman:

Maksudnya: Khabarkan kepada mereka sesungguhnya Allah Ta’ala telah memfardhukan ke atas mereka sembahyang lima waktu pada tiap-tiap siang dan malam.

(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sembahyang fardhu lima waktu wajib dikerjakan secara tunai kecuali jika ada keuzuran dari segi syara’. Ianya juga perlu dijaga dengan menyempurnakan segala perkara-perkara wajib dan sunat dalam sembahyang.

Namun masih terdapat di kalangan umat Islam yang kurang menjaga ketepatan waktu sembahyang fardhu sebagaimana yang ditetapkan oleh syara’ kerana beralasan bahawa mereka akan dapat melakukannya kemudian. Golongan seumpama inilah yang menganggap bahawa qadha’ adalah pilihan dalam melakukan ibadah sembahyang.

Pengertian Qadha’ Dalam Konteks Ibadah

Menurut hukum syarak, setiap sembahyang fardhu yang ditinggalkan wajib diqadha’ sama ada disebabkan lupa, tidur atau orang murtad yang kembali semula kepada Islam setelah murtad.

Dari segi istilah fuqaha, qadha’ ialah sesuatu (ibadah) yang dilakukan selepas berlalu waktu tunainya untuk mendapatkan sebagaimana yang sebelumnya dengan melakukannya secara qadha’ atau mengerjakan semula ibadat-ibadat yang tidak sah, atau yang tertinggal atau senghaja ditinggalkan pada waktu-waktu yang lain.

Dari Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

Maksudnya: Jika tertidur seseorang daripada kamu sehingga tertinggal sembahyangnya ataupun terlupa mengerjakannya, maka hendaklah dia mendirikan sembahyang yang tertinggal itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman:“Dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku”.

(Hadits riwayat Muslim)

Hukum harus mengqadha’ sembahyang itu bukanlah sebagai satu kelonggaran yang membolehkan seseorang itu meninggalkannya dengan senghaja sehingga luput waktunya walaupun berhasrat untuk mengqadha’nya pada waktu yang lain. Adapun anggapan bahawa meninggalkan sembahyang dengan senghaja dan boleh menggantinya pada waktu yang lain asal saja kewajipan itu tidak terus ditinggalkan atau dilupakan adalah satu anggapan yang salah.

Meninggalkan Sembahyang Fardhu

Orang yang meninggalkan sembahyang tetapi tidak ingkar akan kewajipannya kadang-kadang disebabkan keuzuran yang diiktiraf oleh syara’. Kadang-kadang pula disebabkan oleh alasan yang bukan syari’e dan inilah yang sering berlaku. Sebab-sebab meninggalkan sembahyang itu boleh dibahagikan kepada dua bentuk yang masing-masing ada kaitan dengan hukum, iaitu:

Pertama: Meninggalkan sembahyang kerana keuzuran. Orang seperti ini tidaklah berdosa kerana terluput waktu sembahyang bukan dengan kehendak atau kelalaiannya, akan tetapi wajib ke atasnya qadha’ sembahyang yang luput itu dan sunat disegerakan qadha’nya.

Kedua: Meninggalkan sembahyang tanpa ada keuzuran seperti malas atau melalai-lalaikan sehingga luput waktunya. Maka orang seperti ini berdosa tanpa diragukan lagi.

Contoh meninggalkan sembahyang kerana keuzuran atau tanpa disenghajakan itu seperti tertidur, terlupa dan seumpamanya sehingga luput waktu. Namun apabila terbangun daripada tidur atau teringat daripada lupa, maka dia wajib melakukan sembahyang tersebut kerana kewajiban sembahyang masih lagi ditanggungnya.

Dalam sebuah hadits shahih, Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu menceritakan mengenai dengan perjalanan mereka bersama Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wassalam. Dalam perjalanan itu mereka keletihan lantas tertidur. Apabila mereka terbangun daripada tidur waktu sembahyang sudah pun berlalu. Mereka bertanya sesama sendiri, apakah kaffarah yang mesti dibayar atas kelengahan mereka melakukan sembahyang. Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wassalam mendengar bisikan mereka lantas bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya di dalam tidur tidak ada kelalaian. Sesungguhnya kelalaian itu ke atas seseorang yang tidak melakukan sembahyang sampai habis waktunya. Maka sesiapa yang melakukan demikian, segeralah dia sembahyang ketika dia ingat akannya. Maka pada hari esoknya hendaklah ia menunaikan sembahyang ketika waktunya.

(Hadits riwayat Muslim)

Walaupun terdapat pengecualian dalam melaksanakan tanggungjawab sembahyang bagi orang yang sedang tidur, ini bukanlah bermakna senghaja tidur atau ditidur-tidurkan untuk mengelak atau mencari helah daripada melakukan sembahyang pada waktunya.

As-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani Rahimahullah dalam kitabnya Fath al-‘Allam ketika bercakap mengenai tidur dan hubungannya dengan sembahyang, beliau menyatakan adalah harus tetapi tidak digalakkan tidur selepas masuk waktu sembahyang dan sebelum menunaikan sembahyang, jika mengikut sangkaannya bahawa dia akan bangun dari tidurnya, sama ada bangun dengan sendirinya atau dikejutkan oleh orang lain, dan masih ada waktu untuk dia menunaikan sembahyang. Jika tidak, maka hukumnya adalah haram. Bahkan baginya dua dosa; dosa kerana meninggalkan sembahyang dan dosa kerana tidur. Maka jika dia bangun dari tidur (sebelum tidur dia menyangka bahawa jika bangun dari tidur tidak ada waktu baginya untuk menunaikan sembahyang) tetapi dia sempat mengerjakan sembahyang, maka terangkat dosa meninggalkan sembahyang. Manakala dosa yang wujud disebabkan dia tidur tidak akan terangkat kecuali dengan beristighfar.

Adapun meninggalkan sembahyang tanpa uzur syari’e atau meninggalkannya dengan senghaja seperti melalaikannya sehingga masuk waktu yang lain adalah berdosa dan wajib baginya mengqadha’ dengan segera sembahyang yang luput itu.

Sibuk dengan apa urusan sekalipun bukanlah alasan untuk meninggalkan sembahyang sehingga luput waktu, begitu juga dengan alasan tidak dapat melakukan sembahyang kerana tidak mampu untuk berdiri atau rukuk atau lain-lain alasan kerana sakit.

Sakit tidaklah termasuk antara sebab-sebab yang membolehkan seseorang itu tidak menunaikan sembahyang sebagaimana yang diriwayatkan daripada Imran bin Hushain Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: Aku menghidap buasir, maka aku bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam tentang sembahyang. Maka Baginda bersabda: “Sembahyanglah berdiri, dan jika engkau tidak mampu, maka duduklah, dan jika engkau tidak mampu, maka sembahyanglah dengan mengiring”.

(Hadits riwayat al-Bukhari)

Tiada ulasan: