Beliau menyatakan dalam kitabnya : "Tahzib al Asma wal Lughat" (Jld 3/22) bahawa : Bid'ah pada syarak ialah mengadakan sesuatu yang tiada wujud di zaman rasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam dan ia terbahagi kepada bid'ah hasanah (bid'ah baik) dan bid'ah qabihah (yang keji).
Menurut as Syeikh al Imam Abu Muhammad Abdul Aziz bin AbdusSalam (yang disepakati akan kepimpinannya dalam agama), kemuliaannya, kemampuannya dalam menguasai pelbagai ilmu dan kecerdikannya) di penghujung kitabnya :"Al Qawaid" :
'Bid'ah dikategorikan kepada wajib sunat, haram, makruh dan harus. Kemudian beliau menyambung : "Dan cara untuk menentukannya ialah dengan merujuk kepada kaedah-kaedah syarak (qawaid syar'iyyah). Jika ia termasuk dalam kaedah yang mewajibkan maka ia adalah wajib. Atau sekiranya ia termasuk dalam kaedah yang menjadikannya haram, maka ia haram.
Begitulah kalau dalam kaedah sunat, maka sunat. Kalau dalam kaedah makruh, maka ia makruh dan kalau termasuk dalam kaedah harus, maka ia harus.
Contoh-contoh :
1. Bagi bid'ah yang wajib
Antaranya :
a. Berusaha mempelajari dan mengajar Ilmu Nahu (tatabahasa Arab) yang dapat memahami al Quran atau hadith RasuluLlah SallaLlahu 'alaihi wasallam melaluinya. Ia menjadi wajib kerana memelihara syariat adalah wajib dan tiada jalan untuk memeliharanya melainkan melaluinya. Jadi sesuatu yang tidak menyempurnakan yang wajib melainkan dengannya, maka ia adalah wajib.
b. Menghafaz bahasa yang pelik (gharib) yang terdapat dalam al Quran dan Hadith.
c. Menyusun ilmu Usuluddin (Ilmu Tauhid) dan Usul Fiqh dalam bentuk kitab dan buku.
d. Memperkatakan ilmu-ilmu yang berkait dengan Mustalah Hadith seperti Ilmu Jarah wa at ta'dil, ilmu untuk membezakan di antara hadith yang sahih dan hadith yang dhaif dan sebagainya.
Dalam hal ini, kaedah-kaedah syariah telah menentukan bahawa memelihara syariat adalah fardhu kifayah sekiranya ia boleh menyebabkan perkembangan ke atas perkara-perkara fardhu ain. Dan ia tidak dapat dibangunkan melainkan dengan apa yang telah kami nyatakannya di atas.
2. Bid'ah Haram
Seperti munculnya golongan Qadariah, Jabariah, Murjiah, Mujassimah dan sebagainya. Namun begitu, usaha menangkis fahaman golongan-golongan tadi termasuk dalam bid'ah yang wajib.
3. Bid'ah yang Sunat
Seperti : Mengadakan Ribat (tempat untuk berzikir kepada ALLah), sekolah-sekolah dan setiapkebajikan yang tidak pernah wujud pada zaman pertama RasuluLLah s.a.w) seperti solat Terawih 20 (20 rakaat berjemaah) dan mengajar tasawuf secara terperinci dan cara-cara untuk berhujah. Termasuk juga dalam kategori ini, mengadakan pertemuan mengumpul dalil-dalil dan hujah-hujah sekiranya ia diniatkan ikhlas semata-mata kerana ALlah s.w.t
4. Bid'ah Makruh
Seperti : Menghiasi masjid dan mashaf (kitab al Quran)
5. Bid'ah Harus
Seperti : Bersalam-salaman selepas solat Subuh dan Asar, mempelbagai makanan dan minuman yang enak,begitu uga pada pakaian, tempat tinggal, memakai selendang (diatas bahu),membesarkan lengan baju dan sebagainya.
Kemudian Imam al Nawawi meriwayatkan kata-kata Imam Asy Syafie yang bermaksud: "Perkara-perkara baru dalam agama ada dua bentuk" :
1. Perkara baru yang menyalahi Al Quran atau Hadith atau kata-kata para sahabat atau Ijmak, maka itu adalah bid'ah sesat.
2. Perkara baru yang berbentuk kebaikan yang tidak dipertikaikan oleh seorangpun di kalangan para ulama. Dan ini perkara baru yang tidak dikeji.
Saidina Umar r.a pernah berkata mengenai solat Terawih : "Sebaik-baik bid'ah ialah ini." Ianya membawa erti bahawa ianya benda baru dan belumpernah dilakukan sebelumnya. Walaupun ia tidak ada, ia tidaklah menolak apa yang datang sebelumnya..."
Seterusnya al Imam an Nawawi menyambung lagi: "Perkara baru yang diadakan dan tidak ada asas (dalil) dalam syarak dinamakan bid'ah. Tetapi sekiranya ada asas dalam syarak, maka ia bukannya bid'ah. "
Tiada ulasan:
Catat Ulasan