CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Khamis, 2 Jun 2011

Sheikh Muhammad ‘Awadh Al-Manqush

Oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis














Sheikh Muhammad ‘Awadh Al-Manqush

Al-Faqir penulis sempat belajar dengan seorang ulama' hadith yang dihormati ketika di Mesir dahulu iaitu Sheikhna Sheikh Muhammad 'Awad Al-Manqush, seorang ulama' hadith dari Libya yang menetap di Mesir. Beliau pada awalnya adalah seorang tokoh yang mengikut aliran salafi wahabi bahkan antara pengembang aliran tersebut khususnya di Mesir. Beliau memiliki syarikat percetakan dalam mengembangkan kitab-kitab aliran tersebut.

Namun, Allah s.w.t. memberi hidayah kepada beliau dengan menjinakkan hati beliau untuk menghadiri majlis pengajian Al-Mufti Sheikh Dr. Ali Jum’ah. Beliau kemudiannya melazimi majlis Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim seterusnya bersuhbah dengan Sheikhna Sayyidi As-Syarif Yusuf Al-Hasani. Beliau menceritakan kepada saya yang faqir bahawasanya, perkembangan pemikiran beliau dan kecenderungan hati beliau untuk beralih kepada ilmu tasawwuf adalah setelah perbincangan selama tiga hari berturut-turut dengan Sheikhna As-Syarif Yusuf Al-Hasani yang pada ketika itu sering juga menyertai majlis ilmu Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim. Setelah berpuas hati dengan perbincangan tersebut, akhirnya beliau mengambil tarbiah daripada Sheikhna Sayyidi Yusuf Al-Hasani lalu meninggalkan fahaman salafinya.

Namun, beliau mendapat tentangan hebat daripada rakan-rakannya sehingga banyak fitnah dilemparkan kepada beliau. Walaupun begitu, Sheikhna Muhammad ‘Awadh tetap tabah dalam jalan kebenaran. Rakan-rakan beliau daripada golongan wahabi terasa kehilangan yang sangat besar kerana Sheikhna Muhammad ‘Awadh adalah antara tokoh rujukan mereka dalam bidang hadtih terutamanya.

Penulis belajar beberapa kitab turoth daripada beliau antaranya: sebahagian besar daripada kitab Al-Muqizoh karangan Imam Az-Zahabi (dalam ulum hadith), sebahagian kitab Sahih Al-Bukhari (ilmu hadith) beserta penjelasan terhadap manhaj Imam Al-Bukhari dalam penyusunan kitab Sahihnya dan matan al-aqidah at-tohawiyah karangan Imam At-Tohawi (ilmu tauhid).

Al-Faqir juga meriwayatkan beberapa hadith musalsal daripada beliau serta –dengan kemurahan Allah s.w.t.- turut menerima ijazah 'ammah dalam meriwayatkan ilmu-ilmu agama daripada beliau juga (semoga Allah s.w.t. membalasi jasa beliau). Sanad ilmu dan hadith beliau bersambung kepada Rasulullah s.a.w. melalui banyak jalan antaranya melalui Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim, mujizuna Sheikhna As-Syarif Yusuf Al-Hasani, mujizuna Sheikh Al-Muhaddith Syed Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith Al-Kattani (Sheikhul Iskandaiyyah, seorang ulama' hadith di Iskandariah, Mesir), Sheikh Muhammad 'Ali Taufiq An-Nahhas, mujizuna Sheikh Dr. Sa'ad Sa'ad Jawis, Sheikh Malik As-Sanusi, Mujizuna Sheikh Dr. 'Ali Jum'ah (mufti Mesir), Sheikh Abdul Salam Bin Muhammad Habus As-Syarqowi, Sheikh Al-Muhaddith Raf'at bin Fauzi Al-Hanafi dan sebagainya.

Adapun Sheikh Abdul Salam Bin Muhammad Habus As-Syarqowi, guru kepada Sheikhna Muhammad 'Awadh tersebut, meriwayatkan hadith-hadith dan ilmu agama daripada Sheikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari, Sheikh Muhammad Yasiin Al-Fadani, Sheikh Muhammad Hasyim Al-Bukhari (yang meriwayatkan daripada Sheikh Husein Ahmad Al-Madani daripada Sheikh Ahmad Al-Barzanji) dan sebagainya.

Guru beliau iaitu Sheikh Al-Muhaddith Raf'at bin Fauzi Al-Hanafi pula meriwayatkan ilmu-ilmu agama dan kitab-kitab hadith daripada beberapa guru iaitu Sheikh Abdullah bin As-Siddiq Al-Ghumari (w: 1413 H), Sheikh Abdul Subhan Nur Ad-Din Al-Barmawi (w: 1421 H), Sheikh Sholeh Idris Al-Arkani (w: 1418 H) dan Sheikh Muhammad Al-Hafiz bin Abdul Latif bin Salim At-Tijani Al-Maliki (w: 1398 H).

Beliau sering menasihatkan kepada kami bahawasanya, antara ciri-ciri penuntut ilmu yang sebenar adalah, dia mengkhatamkan kitab sahih Al-Bukhari sekurang-kurangnya setahun sekali. Begitulah antara kesungguhan Sheikhna Muhammad ‘Awadh Al-Manqush dalam bidang ilmu hadith terutamanya.

Sumber : http://www.facebook.com/note.php?note_id=163189663708220

Tiada ulasan: