CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Jumaat, 2 Oktober 2009

Hukum Mengeluarkan Zakat Fitrah Dengan Wang

Penulis : Ustaz Abu Zahrah

Entri ini adalah untuk memenuhi permintaan seorang pengunjung al-Fanshuri yang e-mail kepada ambo bertanyakan mengenai membayar zakat dengan nilaian wang yang diamalkan di tempat kita. Ambo bukannya ahli untuk menjawab persoalan ini, ambo sekadar mendatangkan pendapat-pendapat atau fatwa yang telah dikeluarkan oleh alim-ulama atau pihak berkuasa yang berfatwa.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57, bertarikh 10 Jun 2003.

Kategori: Zakat
Tajuk: Penentuan Zakat Fitrah Seluruh Malaysia

Keputusan:
a) Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Bagdhdad bersamaan 2.60kg.

b) Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White Rice bagi negeri Sabah dan Thai White Rice bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg

Oleh: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57
Tarikh Keputusan: 10 Jun 2003
Tarikh Muzakarah: 10 Jun 2003 hingga 10 Jun 2003

Fatwa ini menunjukkan bahwa pihak pemerintah Malaysia yang mazhab rasminya adalah Mazhab Syafie telah menerimapakai pendapat bahwa membayar zakat fitrah dengan nilaian wang adalah dibolehkan.





Di dalam kitab Mustika Hadits, Jilid Ketiga terbitan JAKIM, dinyatakan: Tersebut di dalam kitab al-Itsaarah (الايثارة), karangan Shohibul Fadhilah Dato’ Haji Mahmud Ghazali bin ‘Abdullah, Mantan Mufti Negeri Selangor [menjadi mufti sekitar tahun 1968 – 1973, beliau kemudiannya kembali ke Perak dan menjadi Mufti Perak dari tahun 1977 - 1981], terbitan Majlis Agama Islam Selangor:

Berdasarkan hadits yang lalu, zakat fitrah WAJIB dikeluarkan dari jenis makanan utama [asasi] penduduk sesebuah negeri, dan ini menjadi pegangan dalam mazhab Syafie (kecuali adanya dharurat, atau diperintahkan oleh pihak yang berkuasa, maka diHARUSkan membayarnya dengan wang sebagai ganti makanan – beras), seperti yang sedang di’amalkan oleh jabatan-jabatan agama Islam di Malaysia, kerana memudahkan urusan pemungutan zakat fitrah dan pembahagiannya [pengagihannya]. Masalah ini dihuraikan di dalam kitab al-Itsaarah [Al-Ithaarah Pada Huraian Hukum-hukum Zakat dan Fitrah] seperti berikut:

Berfitrah dengan wang:

(a) Membayar fitrah dengan wang adalah TIDAK SAH mengikut MAZHAB SYAFIE jika diniatkan wang menjadi zakat fitrah seperti diniatkan “Wang ini fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku”. Tetapi HARUS digantikan makanan dengan wang dan hendaklah diniatkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan (orang-orang) tanggunganku – pada tahun ini".


(b) Berfitrah dengan wang sebagai ganti beras (makanan) adalah HARUS dalam mazhab Syafie tetapi LEBIH AFDHAL dengan makanan. Di dalam mazhab Hanafi pula lebih afdhal dengan harga daripada makanan.


Didalam mazhab kita Syafie yang mengharuskan ialah;
  • Kerana dharurat
  • Kerana diperintahkan oleh raja (pemerintah) [menurut kitab al-Itharah, bahwa keterangan mazhab Syafie tersebut ada dinyatakan dalam kitab Majmu’ Syarah al-Muhazzab 5/431 dan keterangan mengenai mazhab Hanafi yang mengatakan: Tiap-tiap benda yang harus disedekahkan maka haruslah dikeluarkan menjadi bayaran ganti zakat – ada disebutkan dalam kitab al-Majmu’ (5:429). Dalam kitab al-Itharah juga ada menyebutkan keterangan kitab al-Majmu’ (5:429) bahawa dalil pihak yang mengharuskan zakat fitrah dengan harganya ialah hadits yang disebut oleh Imam Bukhari رحمه الله dengan tegas sebagai ulasan, bahawa Sayyidina Muadz رضي الله عنه, semasa diutuskan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ke negeri Yaman sebagai pemungut zakat, ia telah meminta mereka membayar zakat dengan kain keluaran negeri itu sebagai ganti gandum (kerana cara yang demikian katanya bukan sahaja memberi kemudahan kepada pembayar-pembayar zakat bahkan orang-orang miskin yang berhak menerima zakat di Madinah juga memerlukan pakaian].

Pemerintah menghukumkan berfitrah dengan wang itu kerana beberapa sebab yang bertujuan baik, di antaranya:
  • Asnaf yang 8 terutama faqir dan miskin lebih suka menerima wang daripada beras
  • Menyimpan wang lebih selamat, sedang beras selain daripada menyusahkan pihak pemerintah, pejabat agamadan memerlukan upah mengangkutnya – akan rosak jika disimpan lama.







Fadhilatus Syaikh Dr. ‘Ali Jumaah, Mufti Mesir, ketika ditanya mengenai membayar zakat dengan menggunakan wang, maka beliau mengatakan ianya dibolehkan. Hal ini tersebut di dalam kitab beliau bertajuk al-Bayan al-Qawwim li Tashih Ba’dhi al-Mafaahim [pertanyaan 27] dan al-Bayan Lima Yashghal al-Azhan [pertanyaan 71].

Pertanyaan: Apakah boleh mengeluarkan (membayar) zakat fitrah dengan menggunakan wang?

Jawaban: Boleh mengeluarkan (membayar) zakat fitrah dengan menggunakan wang. Ini adalah pendapat segolongan para ‘ulama yang memandang sebagaimana itu adalah pendapat segolongan tabi’in, antara lainnya:
  • Imam Hasan al-Basri رضي الله عنه; diriwayatkan darinya, bahawa beliau berkata:لا بأس أن تعطي الدراهم في صدقة الفطر “Tidak mengapa memberikan wang-wang dirham di dalam membayar zakat fitrah.” (Diriwayat oleh Ibnu Abi Syaibah, Mushannaf Abi Syaibah)
  • Imam Abu Ishaq As-Subai’e, meriwayatkan dari Zuhair, bahawa beliau berkata, Aku mendengar Imam Abu Ishaq berkata, “Aku berjumpa dengan mereka, dan mereka memberikan wang-wang dirham pada membayar zakat fitrah dengan senilai makanan.”
  • Sayyidina ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz رضي الله عنه; meriwayatkan dari Waqi’ dari Qurrah, bahawa beliau berkata, “Telah sampai kepada kami surat dari Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz رضي الله عنه tentang zakat fitrah, satu sha’ (Satu Sha’ mengikut nilaian lama menyamai 5 1/3 rithil (الرطل) ‘Iraqi iaitu gantang Baghdad atau dikenali sebagai 1 gantang Baghdad disini – abu zahrah) ke atas setiap orang atau nilainya adalah setengah dirham.” (‘Abdurrazaq, Mushannaf ‘Abdurrazaq, vol. 2, hlm. 316 (5778))
  • Dan, ini juga adalah mazhab ats-Tsauri, Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Yusuf.

Dan juga pendapat dari para ‘ulama Mazhab Hanafi. Pendapat inilah yang diamalkan dan difatwakan di kalangan mereka pada setiap jenis zakat, kaffarah, nazar-nazar, cukai, dan lain-lainnya. [Bada’i’ ash-Shana’i’ oleh al-Kasaani, 2/979 dan 980, cetakan Zakaria ‘Ali Yusuf; dan al-Mabsuuth oleh as-Sarkhasi, 3/113 dan 114] Ini juga adalah pendapat al-Imam an-Naashir dan al-MuayyadbilLah, dari kalangan para imam ahlul bait mazhab az-Zaidiyyah. [al-Bahr az-Zakhkhar al-Jami’ li Madzahib ‘Ulama al-Amshar oleh Ahmad ibn Yahya ibnal-Murtadha, 3/202 dan 203].

Dan, pendapat ini yang dikemukakan oleh Ishaq bin Rahawiyah dan Abu Tsaur kecuali mereka berdua mengaitkannya dengan keadaan darurat, sebagaimana pendapat para ‘ulama ahlul bait yang lainnya. [as-Sail al-Jarrar ‘ala Hadaaiq al-Azhaar oleh Asy-Syaukani, 2/ 86] Saya maksudkan boleh mengeluarkan nilai pada keadaan dharurat. Dan mereka menjadikannya (membayar zakat fitrah dengan wang) termasuk di dalam keadaan darurat, kerana Imam menuntut harta sebagai ganti apa yang telah ditegaskan di dalam nash.

Ini juga merupakan pendapat sekumpulan ‘ulama dari mazhab Maliki seperti Ibnu Habiib, Ashbagh, Ibnu Abi Haazim, Ibnu Dinaar, dan Ibnu Wahab, berdasarkan pengambilan dari mereka yang berpendapat secara muthlak di dalam membolehkan mengeluarkan nilai-nilai (harga) dalam zakat; mencakupi zakat harta dan zakat individu-individu (zakat fitrah). Dan itu adalah berbeza-beza (yakni, tidak secara muthlak) dengan pendapat yang mereka ambilkan daripada Ibnu Qasim dan Asyhab, bahawa mereka berdua membolehkan mengeluarkan nilai harga pada zakat kecuali pada zakat fitrah dan kaffarat sumpah.

Dan atas dasar ini jugalah, kami melihat bahawa terdapat segolongan besar para imam, kalangan para tabi’in, dan para ahli feqah umat ini yang berpendapat bahawa tidak mengapa dan boleh mengeluarkan nilai harga zakat fitrah di dalam bentuk wang. Padahal ketika masa itu, sistem barter (pertukaran barang) masih lagi berlaku, dalam erti deklarasi setiap barang layak sebagai media pertukaran, khususnya biji-bijian. Jadi, sistem barter itu menjual gandum (al-qumh) dengan gandum (sya’ir), menjual bijian (zarrah) dengan gandum (al-qumh), dan seterusnya. Adapun, pada masa sekarang ini, media-media pertukaran sudahpun terhimpun pada mata wang sahaja, sehinggakan kami berpandangan bahawa pendapat inilah yang lebih tepat dan lebih kuat. Bahkan, kami mengira bahawa orang yang berbeza pendapat dengan pendapat ini dari kalangan para ‘alim ‘ulama masa lalu, seandainya mereka menemui (berada pada) masa kita sekarang, nescaya akan berpendapat sama dengan pendapat Imam Abu Hanifah رضي الله عنه. Jelaslah di sini bagi kita, hal ini dari feqah mereka dan kekuatan pandangan mereka.

Mengeluarkan zakat fitrah di dalam bentuk wang adalah lebih utama, kerana memberikan kemudahan bagi orang yang faqir untuk membeli apa sahaja yang ia inginkan pada hariraya kelak. Sebab, kadang-kadang dia tidaklah memerlukan beras, tetapi lebih memerlukan kepada pakaian-pakaian, daging atau selain itu. Dengan memberikan beras kepadanya, membuatkannya terpaksa berjalan jauh sekeliling untuk mendapatkan orang yang ingin membelikan beras tersebut. Kadang-kadang dia harus menjualkan beras itu dengan harga yang lebih murah daripada apa yang diperolehinya, iaitu dengan harga yang sedikit daripada harga beras yang sebenar yang diperolehinya. Ini semuanya di dalam keadaan mudah dan banyaknya beras yang beredar di sekitar pasar-pasar. Adapun, pada keadaan yang sulit (susah) dan jarangnya beras di pasar-pasar, maka membayar dengan benda adalah lebih utama daripada nilai harga kerana menjaga kemaslahatan orang faqir. Prinsip dasar yang menjadi alasan disyariatkannya zakat fitrah adalah kemaslahatan orang faqir dan mencukupkan keperluannya pada hari di mana seluruh kaum muslimin bergembira pada saat itu.

Al-‘Allamah Ahmad bin Shiddiq al-Ghummari telahpun mengarang sebuah kitab tentang masalah ini, dan memberikannya judul “Tahqiq Al-‘Amal fi Ikhraj Zakat Al-Fithri bi Al-Mal.” Beliau merajihkan di dalam kitab tersebut pendapat ‘ulama dari Mazhab Hanafi dengan dalil-dalil yang banyak dan tinjauan dari berbagai pendapat yang berbeza-beza hinggalah mencapai kepada 32 pendapat. Oleh kerana itu, kami berpandangan bahawa, pendapat mereka yang menyatakan untuk mengeluarkan nilai harga zakatnya adalah kuat dan rajih. Dan itulah yang lebih utama pada masa sekarang ini. Dan Alllah Ta’ala Maha Tinggi dan lagi Maha Mengetahui.


Pendapat yang mengharuskan pembayaran zakat fitrah dengan matawang ini juga disetujui oleh ramai ulama kontemporari seperti Dr. Yusuf Qardhawi (di dalam kitabnya Fiqh Zakat), Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili di dalam Fatawa al-Mu’ashirahnya, Dr. Musthafa al-Khin dan Dr. Musthafa al-Bugha yang menjelaskan dalam kitab mereka al-Fiqh al-Manhaji. Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji di sebutkan:

Di dalam mazhab Syafie, bahawa ianya tidak memadai jika dikeluarkan dengan nilaian, bahkan mesti dikeluarkan makanan asasi bagi sesebuah negeri itu sendiri. Walaubagaimanapun, tidak mengapa mengikut [bertaklid] mazhab Abu Hanifah رضي الله عنه dalam masalah ini pada zaman sekarang, iaitu harus mengeluarkan zakat fitrah dengan nilaian. Ini kerana pada hari ini mengeluarkan dengan nilaian lebih memberi manfaat kepada orang faqir daripada makanan asasi dan lebih dekat untuk mencapai matlamat yang diharapkan.

Pun begitu ...... bagi mereka yang masih berpegang pendapat yang di dalam mazhab Syafie yang mengatakan bahawa zakat fitrah hanya sah dengan bahan makanan, maka jalan keluarnya adalah dimana penerima zakat seperti orang faqir atau orang miskin atau amil menyediakan beras sebanyak 1 gantang Baghdad, dan pembayar pula membeli beras tersebut dari mereka dan seterusnya digunakan beras tersebut untuk membayar zakat fitrah. Keadah ini masih terdapat di berapa kawasan ambo di Kedah. Nak mudah lagi bayar zakat fitrah dengan beras terus kepada mereka yang layak menerima zakat tersebut.

Sekian. Segala salah dan silap mohon dimaafkan dan diperbetulkan.

Al-Faqir Abu Zahrah al-Qedahi
Taman Seri Gombak
Sahur, 20 Ramadhan 1430H

Rujukan:
  • e-Fatwa JAKIM
  • Mustika Hadits, Jilid 3 (Edisi Jawi) oleh Syaikh ‘Abdullah bin Muhammad Basmieh; Terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kuala Lumpur
  • Al-Bayan Lima Yashghal al-Azhan oleh Syaikh Dr. ‘Ali Jumaah, Mufti Mesir.
  • Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam asy-Syafie, Jilid 1; Terbitan Dar al-Qalam, Dimasyq.

Tiada ulasan: