CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 27 Jun 2012

Bagaimana Wudhuk Dan Solat Orang Yang Sentiasa Dalam Hadas ?

Oleh : Mufti Brunei


Wudhu Dan Sembahyang Orang Yang Sentiasa Dalam Hadas 


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda) 


 Sembahyang adalah ibadat yang paling utama dalam syariat Islam. Ia merupakan amalan yang paling awal sekali dihisab pada hari akhirat kelak. Tamim ad-Dari Radhiallahu ‘anhu telah berkata, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: 


Maksudnya: “(Amalan) yang paling awal sekali diperhitungkan seorang hamba dengannya pada hari qiamat kelak ialah sembahyangnya”. (Hadits riwayat Imam Abu Daud, Imam Ibnu Majah, Imam Ahmad dan Imam ad-Darimi) 


Tuntutan sembahyang tidak akan gugur selagimana seorang hamba Allah itu masih dikategorikan dalam golongan yang mencukupi syarat-syarat wajib mengerjakannya walaupun keadaan fizikalnya memaksa dirinya untuk mengerjakan sembahyang itu secara duduk, berbaring, isyarat mata, menggantikan wudhu dengan tayammum dan sebagainya. 


Bagaimana pula halnya orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas?


Hal ini menimbulkan kemusykilan kerana antara syarat sah sembahyang itu ialah suci daripada hadas dan najis. Orang yang sentiasa dalam hadas, umpamanya orang yang sentiasa keluar air kencing, atau sentiasa keluar air mazi, atau perempuan yang mengalami istihadhah, tidak syak lagi akan sentiasa berada dalam keadaan berhadas dan akan sentiasa menanggung najis. \


Ini kerana sepertimana yang dimaklumi, tiap sesuatu yang keluar daripada dua jalan yang biasa iaitu qubul dan dubur, sama ada air kencing, air mazi, air wadi, tahi, kentut dan sebagainya adalah termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan wudhu. 


Bagaimana pula halnya jika kedua-dua jalan tersebut (qubul dan dubur), atau salah satu daripadanya terhenti atau tersumbat kerana suatu penyakit atau sesuatu halangan? Adakah air kencing, tahi dan sebagainya yang keluar daripada selain dua jalan yang biasa itu juga membatalkan wudhu? 


Bagi menjawab persoalan ini, ulama mazhab as-Syafi‘e membahagikan permasalahan ini kepada dua keadaan:


 i. Jika ia keluar daripada lubang di kawasan bawah pusat, maka ia juga membatalkan wudhu. 


 ii. Jika ia keluar daripada lubang di kawasan atas pusat atau pada kawasan pusat itu sendiri, maka ianya tidak membatalkan wudhu. 


 Persoalannya di sini, adakah perkara ini dianggap suatu keuzuran yang mengharuskan orang yang sentiasa dalam hadas ini untuk meninggalkan sembahyang atas alasan sembahyangnya tidak akan sah kerana sentiasa dalam hadas? 


 Persoalan ini terjawab dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, bahawa Fatimah binti Abu Hubaisyh Radhiallahu ‘anha telah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:     


Maksudnya:“Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya adalah perempuan yang beristihadhah, sehingga saya tiada (waktu) suci. Apakah saya boleh meninggalkan sembahyang?” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun menjawab: “Tidak, itu hanyalah ‘irq (pendarahan) dan ia bukannya haidh. Oleh kerana itu jika datang haidhmu, maka tinggalkan sembahyang, dan jika kadar masa telah berlalu (tamat), maka bersihkanlah darah daripada dirimu, kemudian sembahyanglah”. (Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)


 Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan jelas menegaskan bahawa perempuan yang dalam istihadhah, sungguhpun keadaan mereka itu menyebabkan mereka sentiasa dalam keadaan berhadas, ianya bukanlah satu keuzuran yang mengharuskan mereka untuk meninggalkan sembahyang. 


Maka para ulama pun mengqiaskan hukum tetap wajib sembahyang ke atas perempuan istihadhah dalam hadits ini dengan keadaan-keadaan seumpamanya yang lain yang menyebabkan seseorang itu sentiasa dalam keadaan berhadas, seperti orang yang sentiasa keluar air kencing, air mazi, kentut dan sebagainya. 


 Jelasnya di sini, orang yang sentiasa dalam hadas itu tetap sahaja wajib mengerjakan sembahyang. Akan tetapi, terdapat beberapa perkara yang wajib diketahui dan wajib dipatuhi oleh orang yang sentiasa dalam hadas ini dalam perkara mengambil wudhu dan begitu juga dalam perkara mengerjakan sembahyang itu sendiri. 



  
Menurut ulama, orang yang sentiasa dalam hadas disyaratkan untuk berwudhu bagi setiap kali hendak menunaikan sembahyang fardhu dan disyaratkan juga supaya wudhu itu dikerjakan sesudah masuk waktu sembahyang. Jadi, tidak sah wudhu itu jika dikerjakan sebelum masuk waktu sembahyang fardhu yang hendak ditunaikan itu.  


Ini kerana wudhu yang dikerjakan oleh orang yang seumpama ini adalah  thaharah (penyucian) ketika darurat, jadi tidaklah harus baginya untuk mengerjakan sesuatu sebelum tiba waktunya disebabkan ketiadaan darurat pada ketika itu. 


Sebelum berwudhu, orang yang sentiasa dalam hadas disyaratkan supaya beristinja terlebih dahulu kemudian bersegera menampal tempat keluar najis  dengan sesuatu yang dapat menghalang najis daripada mengotori pakaian, tempat sembahyang dan sebagainya. 


Kemudian hendaklah orang tersebut bersegera mengambil wudhu dengan memastikan bahawa wudhu itu dikerjakan sesudah masuk waktu sembahyang sepertimana yang telah disebutkan tadi.   Dari segi niat pula, orang yang sentiasa dalam hadas ini tidak memadai wudhunya jika ianya diniatkan bagi mengangkat hadas 
semata-mata, bahkan hendaklah  diniatkan wudhunya itu bagi membolehkan dan mengharuskannya mendirikan sembahyang. Ini kerana pada hakikatnya, hadas  orang tersebut tidak terangkat disebabkan air kencing atau darah istihadhah atau sebagainya yang sentiasa keluar atau boleh keluar pada bila-bila masa. 


Contoh niat wudhu bagi mengharuskan sembahyang itu adalah seperti berikut:  “Sahaja aku berwudhu bagi mengharuskan sembahyang fardhu Zuhur kerana Allah Ta‘ala”.


Walaubagaimanapun, menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, sunat disatukan niat mengangkat hadas dengan niat mengharuskan sembahyang sebagai jalan keluar daripada perselisihan pendapat di kalangan para ulama dalam permasalahan niat wudhu bagi orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas ini. 


Contoh niatnya:  “Sahaja aku mengangkat hadas bagi mengharuskan sembahyang fardhu Zuhur kerana Allah Ta‘ala”. 


Perlu diingat di sini bahawa  satu wudhu hanya sah untuk mendirikan satu sembahyang fardhu sahaja. Maka tidak sah orang tersebut mendirikan sembahyang fardhu yang lain jika dia telahpun mengerjakan satu sembahyang fardhu dengan wudhunya itu tadi walaupun pada hakikatnya wudhunya itu belum lagi batal. 


Jelasnya di sini, jika orang tersebut hendak mengerjakan sembahyang fardhu yang lain selepas itu, misalnya hendak mengerjakan sembahyang nazar, maka wajib ke atasnya untuk berwudhu sekali lagi. 


Walaubagaimanapun, had satu wudhu bagi satu sembahyang fardhu ini hanya dikhususkan bagi sembahyang fardhu sahaja. Adapun bagi sembahyang sunat pula, orang tersebut diharuskan mengerjakan sembahyang sunat  dengan wudhunya itu sebanyak mana yang dikehendakinya tanpa perlu  berwudhu kembali walaupun setelah mengerjakan sembahyang fardhu. 


Jika dia meniatkan wudhu itu  untuk mengharuskan sembahyang fardhu secara umum tanpa menentukan adakah ia sembahyang fardhu Subuh, atau sembahyang fardhu Zuhur, atau sembahyang fardhu Asar dan sebagainya, misalnya dia berniat:  “Sahaja aku berwudhu bagi mengharuskan sembahyang fardhu kerana Allah Ta‘ala”, maka dalam hal ini dia boleh mengerjakan apa sahaja satu sembahyang fardhu dan beberapa apa sahaja sembahyang sunat. 


Walaubagaimanapun, jika dia meniatkan wudhu itu untuk mengharuskan sembahyang sunat semata-mata, maka tidak sah baginya mengerjakan sembahyang fardhu. 


Jika dia meniatkan wudhu itu  untuk mengharuskan sembahyang semata-mata tanpa menentukan  sembahyang apakah yang ingin dikerjakannya, misalnya dia berniat: “Sahaja aku berwudhu bagi mengharuskan sembahyang kerana Allah Ta‘ala”, maka menurut pendapat yang  ashah (yang lebih sahih) dalam mazhab asySyafi‘e, wudhunya itu hanya memadai untuk mengerjakan sembahyang sunat sahaja dan  tidak memadai untuk mengerjakan sembahyang fardhu.   


Manakala wudhu yang diniatkan bagi mengharuskan atau mengerjakan ibadat lain seperti  sujud tilawah, menyentuh atau membaca al-Qur‘an dan sebagainya tidaklah memadai untuk membolehkannya mengerjakan ibadat sembahyang sama ada sembahyang fardhu mahupun sembahyang sunat kerana ibadat sembahyang lebih tinggi daripada ibadat-ibadat tersebut. 


Ini kerana niat untuk mengharuskan suatu ibadat yang lebih rendah tidak memadai untuk mengharuskan suatu ibadat yang lebih tinggi. 


Sembahyang Orang Yang Sentiasa Dalam Hadas 


Orang yang menghadapi  masalah seperti ini, selain disyaratkan untuk mengerjakan wudhu setelah masuk waktu sembahyang fardhu yang hendak dikerjakannya, disyaratkan juga ke atasnya supaya segera menunaikan sembahyang fardhu sebaik sahaja selesai berwudhu. Bagaimanapun, diharuskan baginya melewatkan sedikit sembahyangnya itu kerana keperluan atau tuntutan yang berkaitan dengan sembahyang seperti menutup aurat, azan, iqamat, berijtihad dalam menentukan qiblat, berusaha mencari pendinding 
tempat dia bersembahyang dan sebagainya. Akan tetapi jika dia melewatkannya tanpa sebarang keuzuran, maka batallah wudhunya kerana dia telah melampaui batas yang telah ditentukan. 


Secara ringkasnya, orang yang sentiasa dalam hadas itu tetap wajib ke atasnya untuk mendirikan sembahyang fardhu. Jika dia hendak mengerjakan sembahyang fardhu, hendaklah dia beristinja terlebih 
dahulu kemudian segera menampal tempat keluar najis dengan sesuatu yang dapat menahan najis daripada mengotori pakaian, tempat sembahyang dan sebagainya. 


Selepas itu hendaklah dia segera berwudhu dengan memastikan bahawa wudhunya itu dikerjakan setelah  sabit masuk waktu sembahyang fardhu yang hendak dikerjakannya dengan mematuhi kaedah berniat yang telah disebutkan sebelum ini. Sebaik sahaja selesai berwudhu, maka hendaklah dia terus sahaja mengerjakan sembahyang fardhu tersebut kecuali jika ada keperluan atau tuntutan yang berkaitan dengan sembahyang yang memerlukannya melakukan demikian.

Sumber :

1. 
http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil12_bhg1-2012.pdf

2. http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil12_bhg2-2012.pdf

Sabtu, 23 Jun 2012

Tiada Ikhtilaf Yang Rahmat ?

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni


Ada antara kita yang begitu bersemangat dengan seruan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah mengkritik dengan tidak berfikir panjang terhadap perselisihan (ikhtilaf) di antara mazhab-mazhab fiqh. Mereka mencemuh alim-ulama yang mengatakan bahawa perselisihan pandangan di antara ulama Islam itu adalah suatu rahmat. Bagi mereka semua bentuk perselisihan itu adalah tercela di sisi syarak, tanpa membezakan di antara perselisihan dalam masalah-masalah usul (perkara-perkara pokok), mahupun perselisihan dalam masalah-masalah furu’ (perkara-perkara cabang). Manakala hadis yang ada menyatakan ‘perselisihan (ikhtilaf)  umat itu rahmat’ dihukum secara total sebagai hadis palsu..

Ada antara mereka yang meratakan hukum tersebut kepada semua jenis perselisihan, menulis dengan penuh semangat dalam rumusannya: “... Oleh itu, semua perselisihan adalah suatu yang tercela dalam agama kerana ianya boleh menyebabkan umat ini menjadi lemah”. Sedangkan majoriti ulama seperti sedia maklum, berpendapat bahawa perselisihan dalam masalah-masalah furu’ tidak termasuk kepada perselisihan yang dicela. Justeru persoalan yang boleh kita tujukan kepadanya; apakah perselisihan mazhab-mazhab fiqh yang muktabar dalam Islam itu turut wajar dicela!?

Tanpa ia sedar, di kalangan mereka yang menyeru kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah itu juga tidak terlepas dari berselisih pandangan antara sesama mereka. Ini sebagaimana yang terdapat dalam kitab al-Ijaz fi Ba’d ma Ikhtalafa fihi al-Albani wa Ibn ‘Uthaymin wa Ibn Baz, sebagai contohnya (Boleh baca secara online @ save as di sini). Kitab ini mendedahkan secara detil perselisihan pendapat antara Syeikh al-Albani, Syeikh Ibn 'Uthaymin dan Mufti Bin Baz dalam sebahagian masalah-masalah agama.

Saya sertakan di bawah beberapa contoh masalah daripada kitab tersebut yang telah diringkaskan oleh penulis sendiri. Sebagai peringatan, kitab ini disusun sendiri oleh penulis yang pro kepada mereka, dan bukannya dihasilkan oleh pihak ‘lawan’ mereka. Seruan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah adalah seruan  positif yang umum kepada umat Islam, namun praktisnya bukanlah semudah sepertimana yang ditutur oleh lidah kita.

Sila baca dengan teliti:

 * Maaf tiada terjemahan Melayu..

Saya percaya, jika dihimpunkan pandangan tokoh-tokoh yang lain dalam isu-isu agama selain tiga tokoh di atas, seperti al-Fawzan, al-Jibrin, Bakr Abu Zayd, Muqbel, al-Madkhali dan lain-lain, tentunya kita akan dapat melihat lebih banyak lagi perselisihan pandangan di kalangan mereka yang menyeru kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah itu sendiri.

Apakah perselisihan pandangan di antara mereka sahaja yang baru dianggap sebagai rahmat??


Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2012/06/tiada-ikhtilaf-yang-rahmat.html

Ahad, 17 Jun 2012

Hukum Qaza' (Mencukur Sebahagian Kepala Dan Membiarkan Yang Lain)

HUKUM QAZA’ (MENCUKUR SEBAHAGIAN KEPALA DAN MEMBIARKAN YANG LAIN).

Definasi qaza seperti kata Imam Nawawi:

القزع حلق بعض الرأس مطلقا وهو الأصح

Qaza’ ialah mencukur sebahagian kepala.

Hukum Qaza’

ULAMA TELAH BERSEPAKAT MENYATAKAN MAKRUH QAZA’

Imam Nawawi menyebut dalam kitab al-Minhaj (syarh sahih Muslim):

وأجمعوا على كراهة القزع إذا كان في مواضع متفرقة إلا أن يكون لمداواة وهي كراهة تنزيه

Sepakat ulama bahawa makruh QAza’ sekiranya cukur dibeberapa tempat dan dikecualikan sekiranya untuk tujuan perubatan. Maksud makruh disini ialah makruh yang biasa (bukan makruh tahrim)

PENDAPAT EMPAT MAZHAB

MAZHAB HAMBALI

Al-Mardawi dalam kitab al-Insaf berkata:

ويكره القزع بلا نزاع وهو أخذ بعض الرأس وترك بعضه على الصحيح من المذهب

Makruh Qaza’ tanpa ada pertikaian iaitu mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian lain. Ini pendapat sahih dlm mazhab Hambali.

MAZHAB MALIKI

An-Nafrawi berkata:

يكره القزع وهو تفريق شعر الرأس مع حلق ما بينه

Makruh Qaza’ iaitu membelah rambut dengan mencukur ditengahnya.

MAZHAB HANAFI

Imam ibnu Abidin berkata dalam Hasyiahnya:

ويكره القزع وهو أن يحلق البعض ويترك البعض قطعاُ مقدار ثلاثة أصابع

Makruh Qaza’ iaitu mencukur sebahagian dan membiarkan yang lain terpisah-pisah sekadar 3 jari.”

MAZHAB SYAFIE

Imam Nawawi berkata dalam kitab Raudatut Talibin:

كُره القزع وهو حلق بعض الرأس سواء كان متفرقاً أو من موضع واحد

Makruh Qaza’ iaitu mencukur sebahagian kepala samada ditempat yg berbeza atau tempat yang sama.

DALIL MAKRUH

ابن عمر رضي الله عنهما يقول : سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم ينهى عن القزع

Ibnu Umar berkata “AKu mendengar Rasulullah saw menegah dari Qaza’ ([ البخاري برقم 5576 ومسلم برقم 2120]

عن ابن عمر رضي الله عنهما : أن النبي صلى الله عليه و سلم رأى صبياً قد حلق بعض شعره وترك بعضه فنهاهم عن ذلك فقال ” احلقوه كله أو اتركوه كله ” [رواه أبو داود 4195].

Sesungguhnya Nabi saw melihat seorang budak mencukur sebahagian kepalanya dan membuiarkan sebahagian yg lain. Nabi saw menegahnya dan berkata “ Hendaklah kamu mencukur semuanya atau membiarkan semuanya.”

PENTING

1. ULama berkata larangan ini tidak haram kerana termasuk dalam bab adab.
2. Dibolehkan qaza’ untuk tujuan perubatan seperti yg disebut oleh imam Nawawi
3. menggunting dan menipiskan tepi tidak termasuk dalam larangan.
4. Berdosa mengeluarkan hukum haram qaza’ sekiranya dia bukan ulama yg mujtahid (seperti tersebar dalam fb)

Sumber : http://darulilmi.org/2012/06/16/hukum-qaza-mencukur-sebahagian-kepala/

Bacaan Tambahan :

1. Hukum Mencukur Sebahagian Rambut Oleh Ustaz Ayman Al Akiti

Jumaat, 8 Jun 2012

Hukum Mengambil Upah Membaca Al Quran



Soalan : 

 Apakah hukum mengambil upah dengan membaca al Quran ? Begitu juga dengan sesetengah tempat selepas kematian tuan rumah akan memanggil sekumpulan Huffaz al Quran untuk membaca al Quran. Setelah itu mereka akan dihidangkan makanan dan diberi sagu hati berupa wang. Tujuannya ialah untuk bersedekah bagi pihak roh simati dengan harapan agar Allah memberi keringanan kepadanya. Apakah hukum perkara tersebut ?

 Jawapan 1 : 

 Jawapan diberikan oleh Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi (bekas Mufti Iraq) dalam bukunya : Al Bid'ah fi al Mafhum al Islamy ad Daqiq - Salah faham terhadap Bid'ah menyebutkan :

 Membaca al Quran adalah ibadah. Para ulama berselisih pendapat, adakah dibolehkan mengambil upah atau imbalan ke atas ibadah yang dilakukan termasuk di antaranya ialah membaca al quran dan mengajarnya. Sebahagian fuqaha' berpendapat mengambil upah hasil pembacaan al Quran adalah tidak harus.

Ini adalah salah satu pendapat yang dikemukakan oleh Imam Ahmad, para ulama bermazhab Hanafi yang terawal dan Ishaq bin Rahawaih. Manakala para ulama Hanafiyyah yang terkemudian mengharuskan pengambilan upah hasil menjadi imam, mengajar dan muazzin. Alasan mereka ialah sekiranya dipegang pendapat yang melarang pengambilan upah maka ia akan menyebabkan tugas-tugas tersebut terabai kerana mereka yang layak untuk melaksanakan tugas tersebut terpaksa meninggalkannya untuk mencari sara hidup, seterusnya menyebabkan tugas tersebut terabai atau berlaku kepincangan.

 Manakala sebahagian ulama yang lain seperti Imam Malik, Asy Syafie, Ibnu Al Munzir dan Ahmad pada satu riwayat yang lain mengharuskan pengambilan upah hasil membaca al Quran. Mereka berdalilkan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh AlBukhari bahawa Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda (yang bererti) :

 Yang paling berhak kamu mengambil upah ke atasnya adalah Kitab Allah (Al Quran) 

 kerana Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam tidak membantah ke atas para sahabat yang mengambil upah hasil jampian dengan al Quran. Namun bagi para ulama yang mengharuskannya kesemua mereka bersepakat bahawa sekiranya seorang qari (yang membaca al Quran) membaca dengan niat untuk mendapat upah dan mengaut harta, maka dia tidak akan mendapat pahala dan berkemungkinan dia berdosa kerana dia membaca Al Quran bukan kerana Allah subahanahu wa ta'ala (ikhlas kerana Allah).

 Mereka juga berpendapat sekiranya pembacaan Al Quran dijadikan sebagai kerja untuk mengaut keuntungan dan harta yang banyak maka hukumnya adalah haram yang tidak diakui oleh syarak.

 Jawapan 2 : 

 Membaca al Quran adalah sangat dianjurkan. Begitu juga bersedekah. Mengambil upah untuk tugas-tugas keagamaan seperti membaca al Quran , menjadi imam, membaca khutbah jumaat, azan, mengajar ilmu-ilmu syariah, telah menjadi kebiasaan diamalkan umat Islam di negara-negara Islam sejak zaman berzaman. Adapun mengambil upah membaca alQuran ia termasuk dalam keumuman hadith RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallan (yang bererti) :

 Yang paling berhak kamu mengambil upah ke atasnya adalah Kitab Allah (Al Quran)

 (Riwayat Bukhari)

 Hadith ini adalah bahagian akhir hadith yang panjang riwayat Al Bukhari dari Ibn Abbas iaitu :

Bahawasanya satu jama'ah para sahabat Nabi melalui di tempat yang ada air yang ada di sana seseorang bernama Ladigh atau Salim (perawi tidak pasti antara keduanya yang kena sengat binatang ), Datanglah seorang lelaki dari tempat air itu lalu berkata : Adakah di antara kamu yang pandai menjampi kerana sesungguhnya di tempat air itu ada seorang lelaki yang disengat binatang bisa. Lalu ada seorang dari mereka lalu membaca Surah al fatihah dengan pembayaran beberapa ekor kambing. Lalu (selepas menjampi) dia membawa kambing tersebut kepada kawan-kawannya. Kawan-kawannya tidak suka dengan perkara tersebut. Mereka berkata : Apakah kamu mengambil upah dengan membaca kitab Allah? (perkara ini berlarutan) sehinggalah mereka sampai di Madinah, lalu mereka berkata : Ya Rasulullah, dia telah mengambil upah melalui kitab Allah. Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam lalu mengatakan : Sesungguhnya yang paling berhak kamu mengambil upah ke atasnya ialah kitab Allah (Al Quran) 

Imam Nawawi berkata dalam Raudhah ath Tholibin : Dari al Qadhi Husain di dalam Al Fatawa, menyebutkan :

Sesungguhnya mengupah membaca al Quran di atas kubur pada tempoh tertentu adalah dibolehkan sebagaimana (dibolehkan) mengupah orang untuk azan dan mengajar al Quran 

 (lihat Fath al Mu'in m/s 84, Lihat Minhaj al Wadhih (Soal Jawab Agama membahaskan Masalah Terkini dalam Feqah)

Mengikut Bughyah al Mustarsyidin, sah (boleh) upah membaca al Quran di atas kubur dan mendoakannya kerana bacaan itu boleh memberi manfaat dan dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Dalil dari hadith dan pendapat-pendapat para ulama' mu'tabar di atas memberi penjelasan bahawa tidak mengapa mengambil upah membaca al Quran kepada si mati.

 Rujukan : 

 1. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Al Bid'ah fi al Mafhum al Islamy ad Daqiq - Salah faham terhadap Bid'ah

 2. Muhadir bin Hj Joll, Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama, Inilah Jawapannya, m/s 660-661, Cet Pertama 2011, Mawleed Publishing, Selangor

Isnin, 4 Jun 2012

Penjelasan Hadith Palsu Riwayat Facebook

Alhamdulillah, memberi peringatan terhadap bahaya penyebaran hadith palsu memang baik. Namun sekiranya menyebarkan hadith yang kononnya dikatakan PALSU sedangkan ada yang bertaraf HASAN. Maka ini dinamakan satu jenayah ilmiyyah dan satu bentuk pembohongan terhadap Rasulullah !

Oleh itu, dengan inisiatif beberapa sahabat yang menyedari perkara ini telah turut sama mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh  individu/golongan yang anti hadith dhoief dan mengelirukan umat Islam yang menyebarkan  kononnya semua hadith yang dimuatnaik dalam youtube susunan mereka (20 Hadith Palsu Riwayat Facebook) adalah PALSU kesemuanya.

Suka kami peringatkan firman Allah yang memerintahkan agar :



يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٍ۬ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةٍ۬ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِينَ (٦)

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Surah al Hujaarat: Ayat 6)



Ini adalah youtube yang telah dibuat oleh sahabat kami dalam rangka memberi penjelasan, dan pencerahan terhadap hadith yang dikatakan PALSU berkenaan :



Tingkatkan pemahaman kita mengenai apakah itu hadith dhoief dan hadith palsu di bawah ini :

1.HADITH DHAIF الحديث الضعيف
2.HADITH MAUDHU’ الحديث الموضوع

3.Perbincangan Tentang Hadith Dhoief - Al Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim Bab 1

4.Perbincangan Tentang Hadith Dhoief - Al Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim Bab 2

5.Perbincangan Tentang Hadith Dhoief Bab 3 (Akhir)

6. BENARKAH IMAM AL-BUKHARI BERAMAL DENGAN HADIS DHAIF?

Ahad, 27 Mei 2012

Adakah Mi'raj RasuluLLah Menunjukkan Allah Ta'ala di Langit ?

Oleh : Thoriq

 Mi’raj Rasul Tidak Menunjukkan Allah Ta’ala di Langit

 Sebagian pihak yang berkeyakinan bathil bahwa Allah berada di langit berpedoman kepada hadits yang menjelaskan mi’raj Rasulullah Shallallahu Alahai Wasallam. Bagaimana para ulama menjelaskan masalah itu?
Sebelum masuk ke pembahasan ini, perlu diketahui juga bahwa mereka yang berkeyakinan bahwa Allah Ta’ala berada di langit didasari oleh keyakinan bahwa Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam di saat mi’raj menyaksikan dzat Allah dengan mata. Jika demikian, dasar yang dijadikan pijakan sudah rapuh sejak awal, karena para ulama bahkan sahabat Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam sudah berbeda pendapat dalam masalah ini. Ibnu Abbas Radhiyallahu Anhu yang berpandangan bahwa Rasulullah Shallallallahu Alaihi Wasallam menyaksikan secara kasat mata, sedangkan sahabat lainnya seperti Ibnu Mas’ud Radhiyallahu Anhu dan Aisyah Radhiyallahu Anha menolak padangan itu, hingga beliau menyampaikan,”Barang siapa mengira bahwa Muhammad menyaksikan Rabb-Nya maka ia telah berbohong.” Sedangkan sejumlah muhaqiqin memilih tawaquf dalam masalah ini. (lihat, Nur Ad Dzalam, hal. 66-67)
Rapuh karena menyandarkan sebuah kayakinan dari perkara yang diperselisihkan, bahkan oleh para sahabat Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam.
Jika seaindanya pihak yang berpandangan bahwa Allah bertempat di langit masih memaksakan diri dengan pendapat bahwa Rasulullah Shallallahu Alalihi Wasalam menyaksikan Allah dengan mata, hak itu juga tidak mampu “menolong” kayakinannya karena para ulama menjelaskan bahwa penglihatan Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam adalah penglihatan yang pantas bagi kebesaran Allah Ta’ala. (lihat, Nur Ad Dzalam, hal. 66)
Sedangkan penilaian bahwa Allah berada di sebuah tempat adalah pandangan yang tidak pantas bagi kebesaran Allah Ta’ala dimana hal itu termasuk penyerupaan terhadap benda yang terikat dengan tempat. Sebab itulah para ulama yang mengambil pendapat bahwa  Rasulullah Shallallahu Alalihi Wasallam menyaksikan Allah menjelaskan. Al Allamah Ahmad Al Marzuki Al Makki Al Maliki telah menyampaikan dalam nadzam akidah beliau yang cukup terkenal yakni Aqidah Al Awwam:
Gambar
Artinya: Dan setelah (Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam) isra’ naik ke langit. Hingga melihat Rabb berfirman. Tanpa kaif dan tanpa terlingkupi dan diwajibkan. Bagi beliau (Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam) 5 setelah 50 kewajiban (shalat). (lihat, Aqidah Al Awwam dan Syarhnya Nur Adz Dzalam, hal. 63)
Pernyataan bahwa Allah berada di langit sama dengan menyatakan bahwa Allah terlingkupi oleh langit. Allah Ta’ala tidak mungkin terlingkupi oleh makhluk-Nya termasuk langit atau yang lain karena melingkupi adalah pembatasan. Bagaimana Allah bisa terbatasi oleh makhluk? Dan hal itu juga merupakan penyerupaan dzat Allah dengan benda yang selalu terikat dengan tempat.
Mungkin saja pihak yang berkeyakinan bahwa Allah Ta’ala berada di langit berargumen bahwa mereka juga bisa memperoleh pijakan dari peristiwa dimana Allah memerintahkan wajibnya shalat langsung kepada Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam, bahwa Allah berada di langit maski Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam tidak menyaksikan dzat Allah.
Dalam hal ini, Al Allamah Nawawi Al Bantani Sayyid Ulama Hijaz telah menjelaskan masalah ini. Beliau menyampaikan,”Sayyiduna Rasulullah juga telah mendengar kalam Allah yang qadim pada malam isra’. Dan Allah tidak berada dalam satu tempat atau arah namun tempat bagi yang menyimak.” (Nur Ad Dzalam, hal. 17)
Demikian munajat Rasulullah Shallallahu Alalihi Wasallam di Sidratul Muntaha tidak melazimkan bahwa Allah berada di tempat itu.  Syeikh Umar Abdullah Kamil salah satu ulama Al Azhar menjelaskan bahwa munajat itu tidak terikat dengan tempat. Maka munajat Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam di Sidratul Muntaha sama dengan munajat Musa Alaihissalam di bukit Thur yang juga sama dengan munajat Yunus Alaihissalam di perut ikan khut. (lihat, Syarh Arkan Al Iman li Al Ummah Al Islam min Aqidati Al Awwam, hal. 29)
Walhasil peristiwa mi’raj Rasulullah tidak menunjukkan bahwa Allah berada di langit, namun menunjukkan bahwa Rasulullah bermunajat di Sidratul Muntaha dan hal itu tidak berkonsekwensi Allah berada di tempat yang sama, sebagaimana munajat Musa Alaihissalam di bukit Thur juga tidak berkonsekwensi bahwa Allah berada di bukit tersebut, demikian juga munajat Yunus Alaihissalam di perut ikan khut tidak berkonsekwensi Allah berada di tempat itu.
Demikianlah penjelasan para ulama dalam masalah ini. Semoga kita terhindar dari keyakinan yang mengakibatkan penyerupaan dzat Allah dan sifat-Nya terhadap makhluk.
Rujukan:
1. Nur Ad Dzalam Syarh Mandzumah Aqidah Al Awwam oleh Al Allamah Sayyid Ulama Hijaz Nawawi Al Bantani, cet. 1 (1429 H), Dar Al Kutub Al Islamiyah, Jakarta.
2. Syarh Arkan Al Iman li Al Ummah Al Islam min Aqidati Al Awwam, dipublikasikan oleh okamel.com, situs resmi Syeikh Umar Abdullah Kamil.

Jumaat, 25 Mei 2012

Takhrij Hadis 'Bohong Sunat'

Oleh :  Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni (Jabatan al Quran dan al Sunnah & Institut Kajian Hadith (INHAD) KUIS


Soalan:

Assalamu 'alaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Kalau ustaz ada kelapangan, nak tnya brknaan hadith ni:

كل الكذب يكتب على ابن آدم إلا ثلاث , الرجل يكذب فى الحربِ , فإن الحربَ خدعة , والرجل يكذب على المرأة فيرضيها , والرجل يكذب بين الرجلين ليصلح بينهما

Riwayat Ibnu Sunni.

Mohon penjelasan dari ustaz berkenaan takhrij dan penjelasan hadith ini. Saya search dalam Maktabah Syamilah, ada jumpa Albani mendhaifkannya. Mohon pencerahan.

Jawapan:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Untuk manfaat semua, terlebih dahulu diberikan terjemahan teks hadis tersebut, iaitu Sabda Rasulullah SAW:

“Setiap dusta itu akan ditulis ke atas anak Adam kecuali tiga perkara; seorang lelaki yang berdusta dalam peperangan, dan sesungguhnya peperangan itu adalah suatu tipu helah, seorang lelaki yang berdusta kepada isterinya supaya ia meraih redhanya, dan seorang lelaki yang berdusta di antara dua orang lelaki untuk mendamaikan antara kedua-duanya”.

Berdusta adalah satu dosa besar, namun tiga perkara itu dikecualikan, di mana sekiranya berdusta ia tidak dianggap sebagai satu dosa. Hadis ini menunjukkan adanya dusta yang diharuskan, atau apa yang dikatakan orang ‘bohong sunat’ – jika istilah ini sesuai digunapakai - .

Tetapi bagaimana status hadis tersebut??

Perbincangan lanjut adalah menurut riwayat-riwayat berikut;

1. Riwayat al-Nuwas bin Sam‘an RA

Hadis yang dipertanyakan berkenaan diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir, Ibn al-Sunni dalam ‘Amal Yawm wa Laylah dan al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq dari al-Nuwas bin Sam‘an RA. Al-Suyuti dalam al-Jami‘al-Saghir (6276) mengisyaratkannya sebagai hasan. Manakala al-Albani menyatakannya sebagai daif.

Kata al-Haythami (8/81): “Terdapat padanya, Muhammad bin Jami‘ al-‘Attar, seorang yang daif”. Demikian juga menurut al-Busiri dalam Ithaf al-Khirah al-Maharah (3214), meskipun Ibn Hibban menyenaraikan Muhammad bin Jami‘  dalam kalangan para perawi thiqah.

2. Riwayat Umm Kulthum binti ‘Uqbah RA

Hadis yang semakna walaupun berbeza lafaz, dan lebih kuat sanadnya diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya (4923) dari Umm Kulthum binti ‘Uqbah RA.

عَنْ أُمِّ كُلْثُومٍ بِنْتِ عُقْبَةَ قَالَتْ مَا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُرَخِّصُ فِى شَىْءٍ مِنَ الْكَذِبِ إِلاَّ فِى ثَلاَثٍ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ: « لاَ أَعُدُّهُ كَاذِبًا الرَّجُلُ يُصْلِحُ بَيْنَ النَّاسِ يَقُولُ الْقَوْلَ وَلاَ يُرِيدُ بِهِ إِلاَّ الإِصْلاَحَ، وَالرَّجُلُ يَقُولُ فِى الْحَرْبِ، وَالرَّجُلُ يُحَدِّثُ امْرَأَتَهُ وَالْمَرْأَةُ تُحَدِّثُ زَوْجَهَا ».

Kata al-Albani: Sahih. Bahkan ia juga diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya (4717), tapi tiada lafaz Nabi SAW dalam riwayatnya, iaitu kata Umm Kulthum RA:
وَلَمْ أسْمَعْهُ يُرْخِّصُ في شَيْءٍ مِمَّا يَقُولُهُ النَّاسُ إلاَّ في ثَلاثٍ ، تَعْنِي : الحَرْبَ ، وَالإِصْلاَحَ بَيْنَ النَّاسِ ، وَحَدِيثَ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ ، وَحَدِيثَ المَرْأةِ زَوْجَهَا .

3. Riwayat Asma’ binti Yazid RA

Hadis yang semakna juga turut diriwayatkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya (1862@ 2064) dari Asma’ binti Yazid RA. Lafaznya, sabda Rasulullah SAW:
لَا يَحِلُّ الْكَذِبُ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ؛ يُحَدِّثُ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ لِيُرْضِيَهَا، وَالْكَذِبُ فِي الْحَرْبِ، وَالْكَذِبُ لِيُصْلِحَ بَيْنَ النَّاسِ.

Menurut al-Tirmizi:
“Kata Mahmud - salah seorang perawi - dalam hadis beliau: (لَا يَصْلُحُ الْكَذِبُ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ). Hadis ini hasan. Kami tidak ketahui dari hadis Asma’ melainkan dari hadis Ibn Khuthaym. Dawud bin Abi Hind meriwayatkan hadis ini dari Syahr bin Hawsyab dari Nabi SAW (yakni secara mursal) dan tidak menyebut padanya; ... dari Asma’. Ini diberitakan kepada kami oleh Muhammad bin al-‘Ala’, diberitakan kepada kami oleh Ibn Abi Za’idah dari Dawud. Dalam bab yang sama, ada riwayat dari Abu Bakr RA”.

Meskipun al-Albani mendaifkan riwayat al-Nuwas, namun beliau menghukum riwayat Asma’ ini sebagai sahih, dengan mengecualikan kata-kata: (ليرضيها). Pengecualian al-Albani tersebut menurut penulis, adalah tidak perlu kerana banyak jalan riwayat yang menyebutnya atau menyebut kalimah yang seertinya. Manhaj al-Albani yang berbeza-beza semestinya difahami oleh mereka yang menelaah karya-karyanya.

Riwayat Asma’ RA juga diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Jarir al-Tabari, al-Tabarani, Abu Ya‘la dan lain-lain lengkap dengan sabab al-wurudnya. Kata al-Haythami dalam Majma‘ al-Zawa’id (10354): “Terdapat padanya, Syahr bin Hawsyab. Ada yang menthiqahkan beliau, namun terdapat kelemahan padanya. Dan baki para perawinya adalah thiqah”.

4. Riwayat Abu Bakr RA

Riwayat Abu Bakr RA ini berdasarkan kata-kata al-Tirmizi di atas tadi:“Dalam bab yang sama, ada riwayat dari Abu Bakr RA”.

Riwayat ini pada zahirnya, menyokong riwayat Asma’ di atas. Ia menjelaskan sebab mengapa al-Tirmizi menyatakan darjat hadis tersebut sebagai hasan, walaupun sanad riwayat Asma’ mengandungi sedikit masalah kecil.

Bagaimanapun, Syeikh al-Mubarakpuri dalam Tuhfah al-Ahwazi tidak dapat mentakhrijkan riwayat Abu Bakr RA ini. Meskipun begitu, kata-kata al-Tirmizi itu merupakan suatu fakta yang menunjukkan kewujudan riwayat berkenaan dan beliau sendiri telah menemukannya, walaupun kita pada masa ini belum lagi dapat menjumpainya.

5. Riwayat Abu Ayyub al-Ansari RA

Riwayat Abu Ayyub al-Ansari RA ini direkodkan oleh Abu ‘Awanah dalam Musnadnya (6545) dengan jalan riwayatnya sendiri. Lafaznya:
لا يحل الكذب إلا فى ثلاثة؛ الرجل يكذب امرأته يرضيها بذلك، والرجل يمشى بين رجلين يصلح بينهما، والحرب خدعة.
Lihat al-Jami‘ al-Kabir (17553).

6. Riwayat Abu al-Tufayl RA

Riwayat Abu al-Tufayl RA ini direkodkan oleh Ibn Jarir al-Tabari. Lafaznya:
لا يصلح الكذب إلا فى إحدى ثلاث؛ رجل كذب امرأته لينصلح خُلُقها، ورجل كذب ليصلح بين امرأين مسلمين، ورجل كذب فى خديعة حرب، فإن الحرب خدعة.
Lihat al-Jami‘ al-Kabir (17878).

7. Riwayat ‘A’isyah RA

Riwayat ‘A’isyah RA ini direkodkan oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Najjar. Lafaznya:
لا يصلح الكذب إلا فى ثلاث؛ يحدث الرجل امرأته ليرضيها، والكذب فى الحرب، والكذب ليصلح بين الناس.
Lihat al-Jami‘ al-Kabir (17879).

Ulasan:

Kesemua riwayat di atas, walaupun berbeza-beza sedikit lafaz-lafaznya, menjelaskan bahawa hanya ada tiga jenis dusta sahaja yang diharuskan oleh syarak, iaitu;

  1. harus berdusta dalam peperangan, kerana peperangan itu adalah suatu tipu helah.
  2. harus suami berdusta kepada isteri (juga sebaliknya) supaya ia meraih redhanya.
  3. harus berdusta untuk mendamaikan antara dua pihak yang berselisihan.

Maka, tujuh jalan riwayat yang mengandungi makna hadis yang sama ini telah membuktikan kekuatan makna hadis yang dipertanyakan dan dapat dijadikan sebagai hujah, dan tentunya ia tidak dapat dihukum sebagai lemah. Walaupun status riwayat-riwayat tersebut berbagai-bagai antara daif, hasan dan sahih.

Bagi menjelaskan isu hadis ini, Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim (8/331) menukilkan dari al-Qadhi ‘Iyadh katanya: Tiada khilaf tentang keharusan berdusta dalam bentuk-bentuk sebegini.

Namun, ulama berbeza pendapat mengenai dusta yang harus ini. Sebahagian ulama berpendapat, ia adalah berbentuk mutlak/umum. Sebahagian yang lain pula, antaranya al-Tabari berpendapat, tidak harus berdusta dalam bentuk apa pun dari segi asalnya, dan maksud keharusan berdusta tersebut ialah melakukan penyembunyian (tawriyah) dan menggunakan kata-kata samar, bukannya dusta sebenar, seperti misal ia menjanjikan isterinya layanan baik dan pakaian tertentu, tapi ia berniat jika Allah mentakdirkannya demikian.. 

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan dari Imam al-Nawawi, katanya: “Zahirnya, adalah mengharuskan hakikat dusta itu sendiri dalam ketiga-tiga perkara berkenaan, akan tetapi kata-kata yang samar (ta‘ridh) adalah lebih utama”.

Demikian takhrij dan penjelasan ringkas bagi isu yang terkandung dalam hadis berkenaan.

Khamis, 24 Mei 2012

Benarkah Wanita Kurang Riwayatkan Hadith ?

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni (Jabatan al Quran dan al Sunnah & Institut Kajian Hadith (INHAD) KUIS

 Orang Perempuan Kurang Riwayat Hadis?


Wanita dan Periwayatan Hadis

 Oleh kerana tak berapa ramai penyertaan kaum wanita dalam majlis daurah periwayatan hadis ni, maka suka saya nak berkongsi di sini tentang penglibatan kaum wanita dalam bidang periwayatan hadis di kalangan alim ulama kita terdahulu. Moga-moga dapat memberi sedikit motivasi kepada kaum wanita untuk bersama-sama mengikuti majlis-majlis periwayatan hadis (kalau tak @ belum disibukkan oleh suami dan anak).

 Yang konsisten mengikuti tu, saya ucapkan syabas!..

 Meskipun penglibatan dalam bidang periwayatan hadis ini kebanyakannya dimonopoli oleh orang lelaki kerana tradisi dan naturenya begitu. Namun, tidak bermakna seolah-olah ada sekatan khusus bagi kaum wanita dari melibatkan diri. Perlu diingat, antara tujuh perawi hadis yang paling banyak meriwayatkan hadis di kalangan sahabat Nabi SAW ialah Umm al-Mu’minin Sayyidatuna ‘A’isyah RA. Beliau telah mempelajari banyak ilmu dari baginda SAW. Dan sesudah baginda wafat, beliau tidak lokek untuk meriwayatkan hadis-hadis Nabi SAW kepada orang yang datang kepadanya menuntut ilmu. Maka, banyak ilmu yang ditimba oleh para sahabat dan para tabiin daripada beliau.

 Jika kita menelusuri sejarah imam-imam terkenal dahulu, kita akan dapati bahawa bukan semua guru-guru mereka adalah lelaki. Selain kaum lelaki, ramai di antara mereka turut meriwayatkan hadis atau menimba ilmu dari kaum wanita juga. Misalnya, Imam al-Syafi‘i, antara guru beliau ialah Sayyidah Nafisah, tokoh wanita Ahlul Bait yang masyhur makamnya di Mesir. Beliau menghafaz al-Quran dan banyak meriwayatkan hadis-hadis.

 Al-Khatib al-Baghdadi, pengarang Tarikh Baghdad dan alim hadis tersohor, telah meriwayatkan kitab Sahih al-Bukhari dari gurunya, Syeikhah Karimah binti Ahmad al-Marwaziyyah, di mana beliau telah membaca Sahih al-Bukhari di hadapannya selama lima hari sahaja di Makkah. Iaitu suatu tempoh yang jarang dapat dilakukan melainkan dengan aturan waktu yang benar-benar ketat dan padat!

 Bukan saja al-Khatib al-Baghdadi, bahkan ramai ahli hadis di zamannya yang datang berpusu-pusu kepada Syeikhah Karimah kerana ingin meriwayatkan Sahih al-Bukhari dari beliau. Syeikhah Karimah meninggal dunia dalam usia kira-kira 100 tahun dan tidak pernah berkahwin!

 Al-Hafiz Abu ‘Amr Muslim al-Azdi telah meriwayatkan hadis dari 70 orang wanita. Begitu juga al-Hafiz Abu al-Walid Hisyam al-Bahili. Manakala al-Hafiz Abu ‘Abdillah Muhammad Ibn al-Najjar pula telah merekodkan seramai 400 orang wanita dalam senarai guru-gurunya!

 Antara tokoh wanita dalam bidang periwayatan hadis ialah Syuhdah binti Abi Nasr Ahmad al-Ibriyyah (w. 549H). Oleh kerana beliau banyak meriwayatkan hadis, maka ramailah orang di zamannya yang datang untuk mendengar hadis daripada beliau pula.

 Syeikhah Maryam binti ‘Abd al-Rahman (w. 758H) antara tokoh-tokoh wanita yang alim dengan hadis sehinggakan al-Hafiz Ibn Hajar, pengarang Fath al-Bari, telah menghimpunkan di dalam sebuah kitab seramai 283 orang guru beliau, sama ada lelaki dan wanita yang ada meriwayatkan hadis yang diberi judul: Mu‘jam al-Syaykhah Maryam.

 Perlu diperhatikan, bahawa mereka ini bukan saja mendengar sebutir dua hadis lalu meriwayatkannya. Tetapi sebutir dua kitab hadis yang mengandungi ribuan, malah puluhan ribu buah hadis di dalamnya. Cuba lihat misalnya;

 ‘Atikah binti Abi al-‘Ala’ al-Hasan al-‘Attar (w. 609H) meriwayatkan kitab Sunan Abi Dawud yang mengandungi kira-kira 5,274 buah hadis dan kitab Makarim al-Akhlaq oleh Ibn Lal. 

‘Afifah binti Ahmad al-Asbahaniyyah (w. 606H) meriwayatkan al-Mu‘jam al-Kabir dan al-Mu‘jam al-Saghir kedua-duanya oleh al-Tabarani serta kitab al-Fitan oleh Nu‘aym bin Hammad. Kitab-kitab ini semua didengari dari Syeikhah Fatimah binti ‘Abdullah al-Juzadaniyyah. Perlu diketahui, kitab al-Mu‘jam al-Kabir dikatakan mengandungi lebih kurang 60,000 buah hadis!

 Zaynab bin Abd al-Rahman (w. 615H) meriwayatkan Sahih al-Bukhari yang mengandungi kira-kira 7,397 buah hadis dan menerima ijazah sanad dari ramai orang syeikh.

 Dan sebagainya. Sangat ramai untuk disenaraikan kesemua mereka. Bagi merakamkan peranan dan sumbangan wanita dalam bidang periwayatan hadis ini, beberapa buah buku telah disusun oleh para sarjana kini. Antaranya;

 1- جهود المرأة في رواية الحديث القرن الثامن الهجريoleh Dr. Ṣāliḥ Yūsuf Maʻtūq, khusus tentang sumbangan wanita dalam periwayatan hadis di kurun ke-8 hijrah.

2- صفحات مشرقة من عناية المرأة بصحيح الإمام البخاري oleh Dr. Muhammad bin ‘Azzuz, khusus tentang perhatian wanita terhadap kitab Sahih al-Bukhari.

3- جهود المرأة الدمشقية في رواية الحديث الشريف juga oleh Dr. Muhammad bin ‘Azzuz, khusus tentang sumbangan wanita kota Dimasyq dalam periwayatan hadis.

4- دور المرأة في خدمة الحديث في القرون الثلاثة الأولى oleh Amal Qirdasy binti al-Husayn, tentang peranan wanita dalam periwayatan hadis di tiga kurun pertama hijrah.

5- Dan lain-lain. Prof. Dr. Muhammad Akram al-Nadwi pula telah berjaya merekodkan seramai lebih 8,000 biografi perawi wanita di dalam kitabnya al-Wafa’ bi Asma’ al-Nisa’ yang setebal 40 jilid! Justeru, anda di mana?..

Sumber :  http://sawanih.blogspot.com/2012/05/orang-perempuan-kurang-riwayat-hadis.html