CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 27 Jun 2012

Bagaimana Wudhuk Dan Solat Orang Yang Sentiasa Dalam Hadas ?

Oleh : Mufti Brunei


Wudhu Dan Sembahyang Orang Yang Sentiasa Dalam Hadas 


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda) 


 Sembahyang adalah ibadat yang paling utama dalam syariat Islam. Ia merupakan amalan yang paling awal sekali dihisab pada hari akhirat kelak. Tamim ad-Dari Radhiallahu ‘anhu telah berkata, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: 


Maksudnya: “(Amalan) yang paling awal sekali diperhitungkan seorang hamba dengannya pada hari qiamat kelak ialah sembahyangnya”. (Hadits riwayat Imam Abu Daud, Imam Ibnu Majah, Imam Ahmad dan Imam ad-Darimi) 


Tuntutan sembahyang tidak akan gugur selagimana seorang hamba Allah itu masih dikategorikan dalam golongan yang mencukupi syarat-syarat wajib mengerjakannya walaupun keadaan fizikalnya memaksa dirinya untuk mengerjakan sembahyang itu secara duduk, berbaring, isyarat mata, menggantikan wudhu dengan tayammum dan sebagainya. 


Bagaimana pula halnya orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas?


Hal ini menimbulkan kemusykilan kerana antara syarat sah sembahyang itu ialah suci daripada hadas dan najis. Orang yang sentiasa dalam hadas, umpamanya orang yang sentiasa keluar air kencing, atau sentiasa keluar air mazi, atau perempuan yang mengalami istihadhah, tidak syak lagi akan sentiasa berada dalam keadaan berhadas dan akan sentiasa menanggung najis. \


Ini kerana sepertimana yang dimaklumi, tiap sesuatu yang keluar daripada dua jalan yang biasa iaitu qubul dan dubur, sama ada air kencing, air mazi, air wadi, tahi, kentut dan sebagainya adalah termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan wudhu. 


Bagaimana pula halnya jika kedua-dua jalan tersebut (qubul dan dubur), atau salah satu daripadanya terhenti atau tersumbat kerana suatu penyakit atau sesuatu halangan? Adakah air kencing, tahi dan sebagainya yang keluar daripada selain dua jalan yang biasa itu juga membatalkan wudhu? 


Bagi menjawab persoalan ini, ulama mazhab as-Syafi‘e membahagikan permasalahan ini kepada dua keadaan:


 i. Jika ia keluar daripada lubang di kawasan bawah pusat, maka ia juga membatalkan wudhu. 


 ii. Jika ia keluar daripada lubang di kawasan atas pusat atau pada kawasan pusat itu sendiri, maka ianya tidak membatalkan wudhu. 


 Persoalannya di sini, adakah perkara ini dianggap suatu keuzuran yang mengharuskan orang yang sentiasa dalam hadas ini untuk meninggalkan sembahyang atas alasan sembahyangnya tidak akan sah kerana sentiasa dalam hadas? 


 Persoalan ini terjawab dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, bahawa Fatimah binti Abu Hubaisyh Radhiallahu ‘anha telah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:     


Maksudnya:“Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya adalah perempuan yang beristihadhah, sehingga saya tiada (waktu) suci. Apakah saya boleh meninggalkan sembahyang?” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun menjawab: “Tidak, itu hanyalah ‘irq (pendarahan) dan ia bukannya haidh. Oleh kerana itu jika datang haidhmu, maka tinggalkan sembahyang, dan jika kadar masa telah berlalu (tamat), maka bersihkanlah darah daripada dirimu, kemudian sembahyanglah”. (Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)


 Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan jelas menegaskan bahawa perempuan yang dalam istihadhah, sungguhpun keadaan mereka itu menyebabkan mereka sentiasa dalam keadaan berhadas, ianya bukanlah satu keuzuran yang mengharuskan mereka untuk meninggalkan sembahyang. 


Maka para ulama pun mengqiaskan hukum tetap wajib sembahyang ke atas perempuan istihadhah dalam hadits ini dengan keadaan-keadaan seumpamanya yang lain yang menyebabkan seseorang itu sentiasa dalam keadaan berhadas, seperti orang yang sentiasa keluar air kencing, air mazi, kentut dan sebagainya. 


 Jelasnya di sini, orang yang sentiasa dalam hadas itu tetap sahaja wajib mengerjakan sembahyang. Akan tetapi, terdapat beberapa perkara yang wajib diketahui dan wajib dipatuhi oleh orang yang sentiasa dalam hadas ini dalam perkara mengambil wudhu dan begitu juga dalam perkara mengerjakan sembahyang itu sendiri. 



  
Menurut ulama, orang yang sentiasa dalam hadas disyaratkan untuk berwudhu bagi setiap kali hendak menunaikan sembahyang fardhu dan disyaratkan juga supaya wudhu itu dikerjakan sesudah masuk waktu sembahyang. Jadi, tidak sah wudhu itu jika dikerjakan sebelum masuk waktu sembahyang fardhu yang hendak ditunaikan itu.  


Ini kerana wudhu yang dikerjakan oleh orang yang seumpama ini adalah  thaharah (penyucian) ketika darurat, jadi tidaklah harus baginya untuk mengerjakan sesuatu sebelum tiba waktunya disebabkan ketiadaan darurat pada ketika itu. 


Sebelum berwudhu, orang yang sentiasa dalam hadas disyaratkan supaya beristinja terlebih dahulu kemudian bersegera menampal tempat keluar najis  dengan sesuatu yang dapat menghalang najis daripada mengotori pakaian, tempat sembahyang dan sebagainya. 


Kemudian hendaklah orang tersebut bersegera mengambil wudhu dengan memastikan bahawa wudhu itu dikerjakan sesudah masuk waktu sembahyang sepertimana yang telah disebutkan tadi.   Dari segi niat pula, orang yang sentiasa dalam hadas ini tidak memadai wudhunya jika ianya diniatkan bagi mengangkat hadas 
semata-mata, bahkan hendaklah  diniatkan wudhunya itu bagi membolehkan dan mengharuskannya mendirikan sembahyang. Ini kerana pada hakikatnya, hadas  orang tersebut tidak terangkat disebabkan air kencing atau darah istihadhah atau sebagainya yang sentiasa keluar atau boleh keluar pada bila-bila masa. 


Contoh niat wudhu bagi mengharuskan sembahyang itu adalah seperti berikut:  “Sahaja aku berwudhu bagi mengharuskan sembahyang fardhu Zuhur kerana Allah Ta‘ala”.


Walaubagaimanapun, menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, sunat disatukan niat mengangkat hadas dengan niat mengharuskan sembahyang sebagai jalan keluar daripada perselisihan pendapat di kalangan para ulama dalam permasalahan niat wudhu bagi orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas ini. 


Contoh niatnya:  “Sahaja aku mengangkat hadas bagi mengharuskan sembahyang fardhu Zuhur kerana Allah Ta‘ala”. 


Perlu diingat di sini bahawa  satu wudhu hanya sah untuk mendirikan satu sembahyang fardhu sahaja. Maka tidak sah orang tersebut mendirikan sembahyang fardhu yang lain jika dia telahpun mengerjakan satu sembahyang fardhu dengan wudhunya itu tadi walaupun pada hakikatnya wudhunya itu belum lagi batal. 


Jelasnya di sini, jika orang tersebut hendak mengerjakan sembahyang fardhu yang lain selepas itu, misalnya hendak mengerjakan sembahyang nazar, maka wajib ke atasnya untuk berwudhu sekali lagi. 


Walaubagaimanapun, had satu wudhu bagi satu sembahyang fardhu ini hanya dikhususkan bagi sembahyang fardhu sahaja. Adapun bagi sembahyang sunat pula, orang tersebut diharuskan mengerjakan sembahyang sunat  dengan wudhunya itu sebanyak mana yang dikehendakinya tanpa perlu  berwudhu kembali walaupun setelah mengerjakan sembahyang fardhu. 


Jika dia meniatkan wudhu itu  untuk mengharuskan sembahyang fardhu secara umum tanpa menentukan adakah ia sembahyang fardhu Subuh, atau sembahyang fardhu Zuhur, atau sembahyang fardhu Asar dan sebagainya, misalnya dia berniat:  “Sahaja aku berwudhu bagi mengharuskan sembahyang fardhu kerana Allah Ta‘ala”, maka dalam hal ini dia boleh mengerjakan apa sahaja satu sembahyang fardhu dan beberapa apa sahaja sembahyang sunat. 


Walaubagaimanapun, jika dia meniatkan wudhu itu untuk mengharuskan sembahyang sunat semata-mata, maka tidak sah baginya mengerjakan sembahyang fardhu. 


Jika dia meniatkan wudhu itu  untuk mengharuskan sembahyang semata-mata tanpa menentukan  sembahyang apakah yang ingin dikerjakannya, misalnya dia berniat: “Sahaja aku berwudhu bagi mengharuskan sembahyang kerana Allah Ta‘ala”, maka menurut pendapat yang  ashah (yang lebih sahih) dalam mazhab asySyafi‘e, wudhunya itu hanya memadai untuk mengerjakan sembahyang sunat sahaja dan  tidak memadai untuk mengerjakan sembahyang fardhu.   


Manakala wudhu yang diniatkan bagi mengharuskan atau mengerjakan ibadat lain seperti  sujud tilawah, menyentuh atau membaca al-Qur‘an dan sebagainya tidaklah memadai untuk membolehkannya mengerjakan ibadat sembahyang sama ada sembahyang fardhu mahupun sembahyang sunat kerana ibadat sembahyang lebih tinggi daripada ibadat-ibadat tersebut. 


Ini kerana niat untuk mengharuskan suatu ibadat yang lebih rendah tidak memadai untuk mengharuskan suatu ibadat yang lebih tinggi. 


Sembahyang Orang Yang Sentiasa Dalam Hadas 


Orang yang menghadapi  masalah seperti ini, selain disyaratkan untuk mengerjakan wudhu setelah masuk waktu sembahyang fardhu yang hendak dikerjakannya, disyaratkan juga ke atasnya supaya segera menunaikan sembahyang fardhu sebaik sahaja selesai berwudhu. Bagaimanapun, diharuskan baginya melewatkan sedikit sembahyangnya itu kerana keperluan atau tuntutan yang berkaitan dengan sembahyang seperti menutup aurat, azan, iqamat, berijtihad dalam menentukan qiblat, berusaha mencari pendinding 
tempat dia bersembahyang dan sebagainya. Akan tetapi jika dia melewatkannya tanpa sebarang keuzuran, maka batallah wudhunya kerana dia telah melampaui batas yang telah ditentukan. 


Secara ringkasnya, orang yang sentiasa dalam hadas itu tetap wajib ke atasnya untuk mendirikan sembahyang fardhu. Jika dia hendak mengerjakan sembahyang fardhu, hendaklah dia beristinja terlebih 
dahulu kemudian segera menampal tempat keluar najis dengan sesuatu yang dapat menahan najis daripada mengotori pakaian, tempat sembahyang dan sebagainya. 


Selepas itu hendaklah dia segera berwudhu dengan memastikan bahawa wudhunya itu dikerjakan setelah  sabit masuk waktu sembahyang fardhu yang hendak dikerjakannya dengan mematuhi kaedah berniat yang telah disebutkan sebelum ini. Sebaik sahaja selesai berwudhu, maka hendaklah dia terus sahaja mengerjakan sembahyang fardhu tersebut kecuali jika ada keperluan atau tuntutan yang berkaitan dengan sembahyang yang memerlukannya melakukan demikian.

Sumber :

1. 
http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil12_bhg1-2012.pdf

2. http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil12_bhg2-2012.pdf

Tiada ulasan: