CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 19 September 2011

Pengamatan Semula Sejarah Perkembangan TAJDID di Tanah Melayu

Oleh : Abdullah Zaidi Bin Hassan



Kertas yang dirujuk merupakan suatu usaha untuk memaparkan sejarah perkembangan kefahaman agama di tanah air kita, ianya adalah suatu usaha yang diharapkan dapat mendatangkan kebaikan dan meluruskan kefahaman kita tentang perkara yang dibincangkan.

Hanya terdapat beberapa ‘tanda-tanya’ di dalam kertas tersebut yang sekiranya ia dapat dijawab dengan baik oleh Dr. Farouk, maka kertas tersebut akan merupakan suatu sumbangan kepada pemurnian kefahaman sejarah bangsa kita. Dan sekadar usaha tambahan agar nilai kertas tersebut menjadi lebih baik, maka dibawah diperturunkan beberapa pengamatan awal tentang ‘tanda-tanya’ yang dimaksudkan, semoga Allah mentaqdirkan natijah yang sebaiknya serta mendapat respon yang hangat mesra dari penulisnya Dr. Farouk dan kira-kira di sisi Allah ianya sebagai suatu usaha islah yang diberi manafaatnya di Hari Akhirat nanti. Amin.


1- Definisi tajdid.

Dipetik definisi yang dikatakan diberi oleh Syaikh Yusuf al-Qardawi, yakni tajdid “ialah memperbaharui agama dan mengubahnya agar sesuai dengan zaman”.

Secara amnya kita semua bersetuju maksud tajdid itu ialah memperbaharui semula aqidah, amalan dan semangat agama yang mana-mana telah luntur agar segar semula berdasarkan aqidah, amalan dan semangat agama yang ada pada zaman Rasulullah SAW dan salaf as-soleh.

Tetapi ‘mengubahnya agar sesuai dengan zaman’ itu adalah suatu keganjilan walaupun kita memang menerima keanjalan ajaran Islam serta kesesuaiannya sehingga akhir zaman, ini adalah suatu takrifan yang sukar dihadam kerana bagaimana hendak kita fahamkan kedudukannya dengan isyarat-isyarat al-Quran yang jelas yang bermaksud “kamu sekali-kali tidak akan dapati Sunnah Allah (termasuk ketentuan agama-Nya ) berubah (istilah tahwila atau tabdila)”. (al-Fatir:43)

Perubahan pada perkara-perkara teras agama, baik dari segi aqidah, amalan dan semangat adalah suatu proses decadence dan bukannya evolution (pertukaran yang bergerak ke arah penyesuaian dan kesempurnaan). Takrifan ini walaupun datangnya dari seorang ulama yang kita semua hormati, perlulah diletakkan di atas qistas al-mustaqim, agar kita berlaku adil kepada sejarah kita; apa lagi apabila ianya dipetik dari tulisan terjemahan. Semoga ianya didatangkan dengan niat mencari kemurnian faham bukan untuk memenangkan aliran-aliran tertentu.

Apakah kita perlu terikat dengan ketat kepada takrifan seorang ulama yang dihormati, sedangkan nas-nas yang kita fahami tidak selari dengan takrifan tersebut? Sudah tentu Dr. Farouk boleh bersetuju agaknya, sekiranya kita dianjurkan oleh ‘gerakan tajdid’ supaya tidak terikat kepada huraian ulama mazhab, maka sudah tentu perbincangan tentang ‘Sejarah Gerakan Tajdid’ juga perlu kembali kepada ‘primary dan secondary sources’ yang boleh dipertanggung-jawabkan, bukan sekadar bertaqlid kepada penulis-penulis terdahulu. Itu piawaian yang diterima oleh golongan yang masih bermazhab seperti pencatit ini. Mungkin munasabahnya, piawaian Dr.Farouk lebih ketat dan lebih cermat lagi.


2- Dalam perkara 2, 'Sejarah Ringkas Gerakan Tajdid di Tanah Melayu', Dr.Farouk menyebut:

“Sejak kehancuran kuasa politik ummat Islam di Laut Mediterranean, tamadun Islam juga turut hancur”

Siapakah selain daripada Dr. Farouk yang seberani beliau untuk mengumumkan bahawa tamadun Islam telah hancur? Apakah Dr. Farouk menghalusi maksud perkataan ‘hancur’ dan juga maksud ‘tamaddun’? Pihak pengkaji dan cendiakawan barat yang membincangkan tamadun-tamadun dunia hari ini masih menyebut tentang ‘Islamic civilization’, umpama dalam tulisan yang Samuel Huntington iaitu The Clash of Civilization. Mungkin penganut Islam telah kehilangan kuasa politik, mungkin umat Islam terkebelakang dari segi kemajuan dan pengetahuan, tetapi ummah ini masih mempunyai tamadun yang hidup.

Tentang pengertian tamaddun, yang dihurai oleh Dr. Naguib al-‘Attas mungkin terlalu klasikal bagi Dr. Farouk, tetapi memadailah huraian Dr. Albert Schweitzer dalam buku masyhurnya Ethics and Civilization yang membezakankan fenomena ‘material progress’ yang berpaksikan kebendaan dengan ‘civilization’ yang berpaksikan kemanusian. Lihatlah juga tulisan Toynbee dalam Civilization on Trial sebagai perbandingan, walaupun Dr. Farouk mahu berijtihad dalam bidang ini sekalipun!

Kemudian Dr. Farouk menterjemahkan ayat 140 Surah Ali-Imran sebagai:
Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran).

Terjemahan Dr. Farouk ini adalah terjemahan yang agak ganjil, bahkan ianya lebih merupakan tafsir Dr. Farouk sendiri terhadap ayat ini, yang mungkin sesuai dengan apa yang dia ingin canangkan. Dr. Farouk mungkin dapat berhujjah dengan terjemahannya dari ayat ini, tetapi pengertian ayat ini sendirilah yang menerima akibat dari ijtihad Dr. Farouk itu. Ayat ini dan ayat sebelumnya mungkin lebih adil diterjemah sebagai:
Dan jangan kamu merasa lemah (dalam menghadapi serangan orang kafir) dan jangan pula bersedih hati (di atas musibah yang menimpa kamu), padahal kamu adalah orang-orang yang tertinggi kedudukannya) sekiranya kamu adalah orang-orang yang beriman. Jika kamu mendapat luka-luka (kecederaan dalam peperangan Uhud), maka sesungguhnya golongan kafir itupun telah mendapat luka-luka (cedera) yang serupa. Dan demikianlah hari-hari itu Kami pergilirkan (masa menang dan kalah) di antara manusia, supaya Allah mengetahui (secara lahiriah) orang-orang yang beriman (secara ikhlas dan yang tidak) dan supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.

Sudah tentu di dalam ayat ini, hampir semua pihak dapat memahaminya dengan melihat kepadaasbabu an-nuzul dan urutan ayat-ayat di sekitarnya. Ianya merakamkan naik-turun dalam perjuangan dan kehidupan, ada masa kalah ada masa menang, ada hari senang ada hari susah, musim kuat dan musim lemah; begitulah kitaran kehidupan. Tetapi yang menentukan kedudukan secara hakikinya ialah ‘ketulusan di dalam iman’ dan ‘sikap sedia untuk berkorban kerana agama’. Ayat ini merupakan ayat kaunseling, ayat yang memberi ketahanan dan ketenangan kepada orang yang beriman ketika menghadapi hari-hari muram. Tidak terbayang secara zahirnya dari ayat ini tentang dua keadaan yang extreme ‘kejayaan atau kehancuran’ yang dimaksudkan oleh Dr. Farouk itu.

Seakan-akan Dr.Farouk mengambarkan keadaan ummat ini hanya dalam dua suasana, berjaya atau hancur, berada di nombor satu atau paling tercorot, tanpa pertimbangan untuk meletakkannya pada suasana lemah, tidak memuaskan, kalah atau seumpamanya. Apakah yang dapat diharapkan pada ummat dan tamaddun ummat yang telah hancur? Tentunya segala usaha ijtihad dan tajdid tidak akan memberi apa-apa kesan, kecualilah kita merubah paradigma itu kepada yang lebih mempunyai variasi, yakni menerima ummat kita berada di dalam keadaan mundur, terkebelakang dan lemah, tetapi belum hancur dan masih mampu dipulihkan sebagaimana yang telah terdapat isyarat-isyaratnya di dalam hadith Rasulullah SAW.

Lagipun agar sukar untuk dihadam oleh pemikiran seorang yang sederhana pendiriannya yang ummat yang disebut Allah sebagai ‘Khairu al-Ummah’ dan ‘Ummatan Wasatan’ yang dijadikan‘syuhada ‘ala an-nas’ itu telah menemui kehancurannya, sedangkan kitab mereka disebut Allah:
Sesungguhnya Kami yang menurunkan az-Zikra (al-Quran), dan sesungguhnya Kami yang menjaganya”.(al-Hijr:9) Ummat ini juga diisyaratkan di dalam hadith-hadith fitnah di akhir zaman yang mereka akan terus berjuang di atas kebenaran. Mereka akan memperolihi ketinggian sekali lagi sehinggalah kepada masa yang ditentukan oleh Allah sebelum berlakunya Qiyamat.

3- Dalam bahagian ke 3, ‘Tokoh-tokoh Generasi awal Gerakan Islam’, Dr. Farouk sekali lagi membuat penyataan yang disesuaikan oleh beliau mengikut lenggok perbahasan yang beliau kehendaki, tanpa sangat memberi tumpuan untuk menentukan apa yang diungkap beliau itu tepat dan benar. Beliau mengatakan :
Gerakan tajdid berusaha menentang pencemaran agama Islam oleh pengaruh adat resam serta taqlid buta, serta penentangan terhadap segala bentuk penjajahan baik yang merupakan penjajahan pemikiran mahupun penjajahan tanah air.

Apabila kita berbicara tentang usaha tajdid dan sejarah para mujaddid, kita akan jumpai sebahagian besar ulama beranggapan yang Saiyyidina Umar bin Abdul Aziz RD, khalifah Umayyah itu sebagai mujaddid yang pertama bagi ummat ini, kemudian ramai di kalangan ulama yang beranggapan Imam as-Syafi’e RD sebagai mujaddid kurun kedua bagi ummat ini. Di manakah kita mahu meletak mereka berdua dan juga ulama-ulama lain yang dianggap mujaddid pada kurun mereka masing-masing sekiranya digunakan criteria yang dikemukan oleh Dr.Farouk tersebut?

Di antara tulisan semasa yang membicarakan tokoh-tokoh mujaddid dalam sejarah ummah ini ialah buku 'The Saviour Of Islamic Spirit' oleh Maulana Abu Hassan an-Nadwi, tulisan ini dijadikan rujukan dan tersebar di dalam belbagai bahasa. Sudah tentunya perbincangan buku tersebut lebih berautoriti dari kriteria yang dikemukaan oleh Dr. Farouk, paling kurangnya.

Dr. Farouk meneruskan lenggokkannya dengan mengatakan:
Tajdid dan reformasi yang dipelopori oleh Ibnu Taimiyyah (1263-1328M) dan diikuti oleh muridnya Ibnu al Qayyim al Jauziyyah (1292-1350M), kemudian dihidupkan kembali oleh Muhammad Abdul Wahab (1703-1787M)…

Di awal tulisannya, Dr. Farouk telah mendatangkan hadith Rasulullah SAW, yang diterjemah oleh beliau sebagai:
Sesungguhnya Allah akan mengutuskan kepada umat pada awal setiap satu kurun, orang yang mentajdidkan bagi umatnya agamanya

Berdasarkan pengertian yang kita fahami dari hadith ini, sudah tentu agak kekok untuk membincangkan tentang usaha tajdid di kalangan ummah ini dengan memulainya dengan seorang tokoh besar kurun ke 8 Hijrah yang disebut oleh Dr.Farouk ‘tajdid dan reformasi yang dipelopori oleh Ibnu Taimiyyah; tanpa melihat kepada tokoh-tokoh yang terlebih awal kerana usaha tajdid adalah usaha yang ‘cyclic’, yang berlaku pada setiap awal kurun. Kemudian digambarkan usaha tajdid di kalangan ummah ini terputus untuk hampir 400 tahun, hanya kemudiannya dihidupkan semula oleh Syaikh Muhammd Ibn Abdul Wahab.


4- Dalam bahagian ke 4, Dr.Farouk membincangkan 'Perjuangan Para Mujaddid di Tanah Melayu'.

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah kerana terdapat orang yang mempunyai sangka-baik, seperti Dr.Farouk, terhadap ahli ilmu agama di tanahair kita sehingga beranggapan yang mereka ini juga mencapai tahap mujaddid. Semoga sangka baik itu dapat bertepatan dengan keadaan yang sebenar, bukan waham yang terdorong oleh semangat ‘berpasukan’.

Dr.Farouk membuat pengamatan:
Di antara seruan utama gerakan tajdid ialah dalam membebaskan pemikiran ummat daripada belenggu taqlid buta. Para mujaddid tersebut telah mengemukakan ide memerdekakan fikiran, membebaskan diri daripada belenggu adat-resam budaya dan masyarakat, kerana selama seseorang itu dibelenggu, selagi itulah akalnya buta dan jumud serta suka bertaqlid. Perjuangan mereka memerdekakan umat adalah penting kerana kemerdekaan politik, ekonomi dan masyarakat, bertitik tolak daripada pemikiran yang bebas.

Sekali lagi apakah benar seruan utama gerakan tajdid yang kita fahami dari isyarat hadith itu ialah membebaskan pemikiran ummat daripada belenggu taqlid buta? Sebelum itu apa yang dimaksudkan dengan ‘taqlid buta’? Apakah beramal ibadat dengan menggunakan huraian suatu mazhab yang tertentu sahaja itu taqlid buta yang harus diperangi, walaupun huraian itu murupakan huraian yang rajih (yang terpilih) di kalangan ulama mazhab tersebut?

Apakah seorang yang menemui nas-nas al-Quran dan hadith, tetapi beramal mengikut faham daripada dalil-dalil yang dikemukakan oleh ulama yang terdahulu, kerana mereka mengetahui terdapat perbezaan di antara nas dan dalil itu juga dianggap taqlid buta? Apakah ulama yang menemui nas tertentu tetapi tidak mengeluarkan pendalilan yang sendiri dari nas tersebut, malah mengikut huraian ulama terdahulu kerana merasakan huraian ulama terdahulu itu lebih tepat dan lebih mencakupi jangkauannya dianggap taqlid buta? Atau adakah orang awam yang tidak terdedah kepada ilmu-ilmu yang perlu secara mencukupi dan bersikap memada dengan huraian ulama mazhabnya dianggap taqlid buta yang harus diperangi?

Ketergantungan kita kepada huraian kefahaman dan analisa ulama terdahulu adalah sesuatu yang hampir-hampir tidak dapat ditanggalkan, sekiranya kita hanya memada dengan nas-nas al-Quran dan hadith untuk beramal , maka untuk menentukan kedudukan sesebuah hadith, sama ada sahihnya sehingga kepada maudu’nya, kita juga terpaksa bergantung kepada huraian ulama yang mengkaji rijal (perawi-perawi hadith); dan kita ‘telan’ apa yang mereka catitkan tentang perawi-perawi di dalam sesuatu sanad hadith itu.

Dan pada hari ini, ramai daripada golongan yang anti taqlid itu bertaqlid kepada huraian Sheikh Nasiruddin Albani di dalam menentukan kedudukan sesuatu hadith, walaupun sebahagian kenyataan Albani telah disanggah oleh ulama hadith yang lain, bahkan Albani sendiri pun mempunyai pandangan-pandangan yang bercanggah tentang satu hadith, atau seorang perawi yang sama di dalam kitab-kitabnya yang berbeza.

Apakah benar apabila seseorang itu tidak bertaqlid kepada mana-mana mazhab feqah, maka dia akan berfikiran merdeka dalam hal-hal lainnya? Adakah seseorang itu apabila dia bertaqlid dengan sesuatu mazhab feqah yang tertentu, maka fikiran dia akan terjajah dalam hal-hal lainnya? Adakah semua adat resam Melayu kita perlu dirungkai, bukankah sudah ada pengaruh Islam yang menyerap dan menjadi darah daging kepada adat-resam Melayu? Bukankah Rasulullah SAW sendiri tidak merombak adat-resam dan kebiasaan masyarakat Arab jahiliah yang tidak bertentangan dengan Islam, malah ianya diraikan dan dijernihkan berdasarkan ajaran Islam sehingga ia menjadi lebih halus dan berseni?

Apakah ianya sentiasa betul yang perjuangan memerdekakan pemikiran umat adalah penting kerana kemerdekaan politik, ekonomi dan kemasyarakatan bertitik tolak daripada pemikiran yang bebas?. Kemerdekaan dituntut oleh orang yang berjiwa patriotic, pejuang kemerdekaan tidak dibatasi atau ditentukan oleh sikap taqlid mazhab atau tidaknya. Kemerdekaan ekonomi adalah bab yang lain daripada ijtihad dan taqlid fiqhi. Sehingga sekarang belum ada kajian dan perangkaan yang menunjukkan bahawa kemerdekaan ekonomi, ataupun pencapaian ekonomi seseorang individu atau kelompak mempunyai hubung-kait dengan sikap terhadap taqlid dan ijtihad fiqhi Malah ada orang yang sangat berjaya pencapaian ekonominya daripada golongan bermazhab, ada dari golongan tidak bermazhab, ada dari golongan ajaran sesat dan ramai daripada golongan orang kafir, begitu jugalah disebaliknya


5- Dr. Farouk menyebut yang gerakan tajdid di tanah air adalah kesanimbungan perjuangan yang diasaskan oleh mujaddid ulung, Sheikh Muhammad Abduh serta muridnya Sayyid Rashid Redha.

Adalah agak keterlaluan untuk diungkapkan yang Sheikh Muhammad Abduh adalah mujaddid ulung. Lebih adil agaknya dikatakan Sheikh Muhammad Abduh adalah seorang ulama terkenal yang mengambil tempat sebagai seorang ulama yang berfahaman modernist dan bukanlah beliau seorang ulama berfahaman salafi. Beliau mengkagumi kemajuan kebendaan dan perkembangan kebebasan pemikiran yang berlaku di barat, sehingga terdapat tulisan-tulisan yang ‘menuduh’ beliau dan mentornya, Syaikh Jamaluddin al-Afghani, seorang tokoh yang masih diselimuti tanda-tanya. Termasuklah persoalan adakah mereka berdua benar-benar ahli lodge freemason? Lihat sebagai contoh buku yang ditulis oleh Dr. Abdul Naim Husnain, ketua jabatan bahasa timur di Universiti Ain Sham dan mantan dekan kuliah Bahasa dan terjemahan di Universiti al-Azhar'Haqiqatu Jamaluddin al-Afghani'. Buku ini mengandungi salinan-salinan asli surat-menyurat Syaikh Jamaluddin al-Afghani. (diterbitkan oleh Dar al-Wafa, Mansurah, Masir. Cetakan pertama 1986).

Ramai juga cendiakawan Islam yang resah dengan sebahagian tafsir al-Quran yang dilakukan oleh beliau yang dilihat sebagai percubaan untuk menyesuaikan Islam dengan sains moden secara tohoran dan meminggirkan fahaman-fahaman tentang perkara-perkara ghaib. Hal ini berlainan dengan Syaikh Rashid Reda , walaupun merupakan pengikut Syaikh Muhammad Abduh, tetapi beliau menunjukkan kecenderungan salafi yang jelas dan antara lain telah menyusun kitabMajmu‘atu al-Hadithi an-Najdiyyati yang merupakan ta’liq kepada sembilan risalah dengan empat risalah ini daripada tulisan Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab.

Dr. Farouk menyebut:
Setelah kematian Sayyid Muhammad Rashid Reda, ‘al-Manar’ telah diteruskan oleh Hassan al-Banna. Beliau menjadi penyambung gerakan tajdid…

Kita tidak mengetahui sejauh manakah kebenaran dakwaan yang Imam Hassan al- Banna adalah penerus perjuangan Syaikh Muhammad Abduh dan Syaikh Sayyid Rashid Reda. Agaknya Dr. Farouk telah bertaqlid kepada penulis-penulis sebelum beliau, dan tidak membuat penilaian dengan menyelunsuri tulisan-tulisan Imam Hassan al-Banna itu sendiri. Imam Hassan al-Banna menghuraikan aqidah di dalam Majmu ar-Rasail-nya dengan huraian sebagaimana huraian ulama tradisional, bahkan menolak pegangan yang berdasarkan makna-makna zahir ayat-ayat tentang Sifat Allah, beliau mengambil sifat tafwid (menyerahkan makna dan kaifiat Sifat-Sifat Allah yang dipertikaikan) mengikut huraian Imam Abdul Rahman Ibnu Jauzi di dalam kitabnya yang menolak aliran hasyawiyyah mujassimah ‘Diffu as-Syubhah’.

Imam Hassan al-Banna juga di dalam kitab ‘Usul al-‘asyrin, jelas menggarap masalah taqlid dan ijtihad, khilafiyyah, tawassul dan lain-lain isu yang dipertikaikan dengan selayak dan selari dengan huraian ulama tradisional. Kemudian lihatlah juga di Majmu ar-Rasail-nya, Hadith ath-Thulatha yang sangat jelas mencerminkan pegangan dan perjalanan pemahaman serta dakwah Imam Hassan al-Banna. Kemudian eloklah dirujuk kepada tulisan-tulisan Imam Hassan Hudaibi untuk lebih menjadi jelas intipati perjuangan Ikhwan al-Muslimin.

Tidak hairan golongan salafi, seperi Syaikh Rabi al-Mudkhali, atau laman web seperti Allahuakbar.com yang diselenggara oleh golongan ini serta beberapa lagi tulisan dan laman-laman salafi yang lain telah menghentam Imam Hassan al-Banna dan Ikhwan al-Muslimin keseluruhannya, termasuklah hentaman ke atas Syaikh Said Hawwa, Syaikh Yusuf al-Qardawi, Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan Sayyid Qutb (bahkan mereka yang terpengaruh dengan Sayyid Qutb dinamakan aliran Qutubiyyah yang mereka sesatkan).


6- Adapun tentang Pendita Za’aba, kita semua akui sumbangan beliau yang besar kepada perjuangan bahasa dan bangsa Melayu.

Kita terhutang budi kepada beliau di atas jasa beliau yang cuba menyelaraskan ejaan jawi, yang sehingga kini dirujuk sebagai ejaan jawi Sistem Za’aba. Beliau adalah seorang cendiakawan besar bangsa kita. Kita akui kecenderungan beliau kepada fahaman ‘kaum muda’ dan sukakan pembaharuan serta beliau berkawan dengan A. Hassan Bandung. Bagaimanapun beliau bersikap liberal dan ‘agak longgar’ dalam fahaman dan amalan Islam. Sekiranya kita membaca riwayat hidup Za’ba serta tulisan-tulisan beliau, agaknya amat sukar untuk kita membuat kesimpulan beliau adalah seorang yang berfahaman salaf. Sepatutnya kita bertindak jujur terhadap sejarah dan pegangan seseorang itu, tanpa mengheret soal sebenar kerana mahu ditundukkan mengikut selera kita. (Antara lain saya manafaatkan buku ‘Pendita Za’ba Dalam Kenangan’ tulisan Abdullah Hussain dan Khalid Hussain, Terbitan DBP, 1974)


7- Dr.Farouk dalam tajuk Pembebasan Daripada Khurafat dan Bid’ah telah memetik Sheikh Abu Bakar al-Asya’ari yang menunjukkan haramnya beramal dengan amalan bid’ah dan khurafat. Sudah tentu keharaman kedua perkara ini telah disepakati oleh para ulama dan orang awam yang berpengetahuan secara amnya. Apa yang berbeza di kalangan ulama ialah kefahaman terhadap :
i- apakah semua perkara yang Rasulullah SAW tidak perentah itu haram untuk diamalkan?

ii- apakah yang dimaksudkan dengan ‘kullu’[semua] di dalam hadith tentang kesesatan bida’ah? Apakah semua tanpa pengkecualian, atau kesemua dengan ada pengkecualian?

iii- apakah bid’ah yang terlarang itu terkhusus di dalam rubu ibadat sahaja atau kesemuanya?

iv- apakah kedudukan qiyas di dalam penentuan hukum di dalam syara?

v- apakah terdapat perbezaan di antara zahir nas dan pendalilan daripada nas tersebut?

vi- apakah ijtihad dan amalan khalifah ar-Rasyidin yang tiada warid jelas daripada Rasulullah SAW itu boleh dijadikan dalil syara?

Sudah tentu kita boleh mengambil sikap dan pendirian kita terhadap perkara-perkara yang disebut, tetapi kita patut terima memang terdapat kefahaman yang berbeza di kalangan ulama tentang perkara-perkara ini. Agaknya jika ada polemik yang ingin diteruskan pun tentang perkara-perkara ini, penyelesaiannya sukar dicapai sebagaimana ianya tidak mampu diselesaikan oleh ulama-ulama terdahulu daripada kita.


8- Di bawah sub-tajuk Kesedaran Pendidikan, Dr.Farouk bersemangat dalam menegaskan ‘Perjuangan gerakan tajdid di mana sahaja di atas muka bumi ini akan mendokong cita-cita untuk merubah masyarakat setempat’.

Ini adalah cita-cita besar dan slogan yang berani; kerana tidak ramai yang mempunyai kudrat untuk merubah masyarakat. Tetapi setiap Muslim sama ada mujaddid atau tidaknya berkewajiban secara fardu kifayah untuk mengislahkan masyarakatnya sedaya mungkin. Usaha mengislah masyarakat tidak sama dan tidak serupa dengan usaha merubah masyarakat. Merubah adalah kerja-kerja menukarkan sesuatu secara total (semada keseluruhan atau sebahagian) kepada sesuatu yang sama sekali lain dan mungkin pertukaran itu ke arah kebaikan atau keburukan. Ianya biasanya berbentuk revolusi . Pengislahan ialah kerja-kerja mengelokkan, meluruskan, membetulkan apa-apa yang tidak elok, tidak lurus atau tidak betul serta membiarkan elemen-elemen lainnya yang baik untuk berterusan bahkan mungkin ada elemen-elemen sedia ada yang disuburkan lagi. Sebagaimana yang dirakamkan di dalam al-Quran: ‘Tiada yang hamba inginkan kecuali pengislahan sedaya mungkin’. (Hud:88)

Kita hormati cita-cita besar Dr. Farouk dan rakan-rakan beliau, dan didoakan agar Allah membimbing kita semua di dalam memahami tabiat agama kita yang suci ini.

Adapun penekanan kepada kepentingan ilmu, terutama kepada ilmu-ilmu yang berkaitan kemajuan dunia bukanlah merupakan suatu yang khusus kepada kelompok gerakan tajdid sahaja, bahkan tokoh Melayu yang lebih awal dan lebih jelas memberi tekanan kepada penguasaan ilmu ialah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani (m.1908). Syaikh Ahmad menulis perkara ini di dalam kitabnya yang masyhur Hadiqatu al-Azhar, beliau menyarankan agar raja-raja Melayu, pembesar-pembesar serta hartawan agar membuka madrasah bagi pengajian lelaki dan perempuan.

Beliau menulis tentang peri-penting mempelajari bahasa-bahasa selain bahasa sendiri, termasuklah mempelajari Bahasa Inggeris. Beliau menekankan perlu pendokumentasian dan penyelidikan perubatan dan kegunaan pokok-pokok perubatan yang terdapat di Tanah Melayu sebagai yang ditulis di dalam Taiyyibu al-Ehsan. Beliau menekankan peri-pentingnya pembakuan Bahasa Melayu untuk mengelak ianya menjadi rosak, peri-pentingnya pendokumentasi sejarah bangsa dan perlunya dilaksanakan usaha-usaha untuk memajukan bangsa sebagaimana yang diungkap dalam syair yang dikarang indah yang ditujukan kepada Sultan Zainal Abidin II.

Beliau juga menekankan keberkesanan strategi di dalam gerak-kerja siyasah. Syaikh Ahmad bercita-cita untuk melihat negeri-negeri Melayu menjadi ‘bendaharaan ilmu, perladungan kepandaian’ (the treasure of knowledge and the reservoir of technologies). Antara jasanya yang besar ialah beliau merintis jalan bagi kerja-kerja percetakan bagi kitab-kitab Melayu dengan memohon izin daripada Sultan Abdul Hamid Kedua di Istanbul, dan kitab pertama dari usaha besar ini ialah Sabila al-Muhtadin karangan Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang dicetak di percetakan milik kerajaan Uthmaniyyah.

Gagasan Syaikh Ahmad itu teruskan oleh murid-muridnya terutamanya di Kelantan, mereka telah membuka pondok-pondok, memulakan Madrasah Muhammadiyyah pada tahun 1918 yang mempunyai tiga aliran; Melayu, Arab dan Inggeris. Kelas Inggeris ini telah mendahului sekolah Inggeris kerajaan, Ismail English School, yang ditubuhkan pada tahun 1936. Mereka memulakan kerja-kerja penerbitan dengan menubuhkan Matbaah al-Miriyyah al-Kelantaniyyah, kemudian cambahlah aktiviti pengeluaran bahan bacaan di Kota Bharu, dan yang paling menonjol ialah Matbaah Majlis Agama Islam. Majlis Agama juga telah mengadakan jabatan penterjemahan yang khusus dipimpin oleh Tuan Guru Haji Omar Sg. Keladi bagi kerja-kerja menterjemah kitab-kitab dari bahasa Arab dan Inggeris. Kemuncak bagi kerja penerbitan ini ialah Majalah Pengasuh yang dikeluarkan pada 1918 dan dipimpin oleh Tok Kenali. Za’ba juga merupakan di antara penyumbang awal bagi isi kandungan majalah ini. Majalah ini telah menjadi gelanggang bagi perbincangan isu agama, pengetahuan, politik dan sosial yang terkedepan pada masa itu.


9- Kemudian Dr. Farouk membicarakan Pembebasan dan Emansipasi Wanita.

Dr. Farouk banyak memanafaat tulisan Dr. Farish Noor tentang peranan Syed Syaikh Al Hadi, yang disifatkan beliau ‘seperti para mujaddid yang lain pada zamannya berjuang untuk mematahkan monopoli golongan agama dan membuka semula pintu ijtihad’. Kemudian beliau menyebut ‘kritikannya [Syed Syaikh Abdul Hadi] pada ulama tradisional yang berkuasa adalah dalam bentuk penulisan yang kritis dan tajam seperti novel Hikayat Faridah Hanum. Di dalam kisah ini, Faridah Hanum digambarkan sebagai wanita yang rasional, progresif dan moden yang mampu melaksanakan kebebasan dan memilih dan menggunakan pemikirannya secara rasional. Faridah Hanum juga memiliki kekuatan memelihara diri dan kehormatannya serta mempunyai kawalan terhadap kehendak batinnya’.

Sudah tentu bagi orang yang pernah membaca Hikayat Faridah Hanum akan bersetuju yang mesej novel ini lebih kepada idea pembebasan wanita secara standard dan nilai barat daripada penonjolan wanita muslimah sebagaimana yang dituntut oleh syara sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Pengaruh gerakan emansipasi wanita secara kebaratan yang berkembang semasa itu di Masir telah mempengaruhi penerbitan novel ini lebih daripada ajakan untuk mentajdidkan agama dengan kembali kepada nilai-nilainya yang semurninya itu , iaitu sebagaimana yang difahami dan dihayati oleh generasi salaf. Bagaimana boleh tergamak kita senaraikan novel ini sederet dengan hasilan-hasilan ulama mujaddid seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Imam Syafi’ie, Imam Ghazali, Imam Sayuti, Imam Ahmad Sirhindi yang dikenali sebagai Mujaddid Alif Thani atau Imam Syah Waliyullah al-Dehlawi?

Dr. Farouk menyambung dengan nada tulisan yang yakin kepada diri sendiri:
Sekiranya bukan kerana usaha dan perjuangan gerakan tajdid yang moden lagi progresif ini, niscaya masyarakat Melayu Islam yang berada di bawah kekuasaan golongan ulama tradisional tidak akan berubah sama sekali.

Apalah bezanya keadaan masyarakat Melayu di negeri Perlis yang dibawah kekuasaan (meminjam istilah Dr. Farouk) ulama golongan tajdid berbanding dengan masyarakat Melayu di negeri-negeri lain yang berada di bawah kekuasaan ulama tradisional? Seruan supaya bangsa Melayu memajukan diri dengan mengadakan madrasah yang mengajar belbagai ilmu, serta dibincangkan fadilat ilmu perubatan, fadilat ilmu tawarikh, fadilat mengetahui bahasa selain bahasa sendiri, fadilat ilmu siyasah dan tadbir, fadilat mempelajari sains dan teknologi semasa sebagai sumber kekuatan agama, mengesyorkan supaya berusaha memerentah tanahair sendiri merupakan seruan-seruan yang dibuat oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani. Syaikh Ahmad menyeru agar bangsa kita bergerak ke arah kemajuan ilmu dan kemahiran yang sentiasa berkembang serta mengekalkan kefahaman dan amalan amalan agama yang memang bersifat perennial.

Tidak hairanlah Majalah Pengasuh yang mendukung fahaman agama secara tradisional itu telah dijadikan medan untuk melontar dan memperkembang perbincangan untuk penubuhan universiti di tanah air, mengadakan bank yang berjalan di atas dasar syariat dan reformasi social di dalalm masyarakat pada awalam 1920-an lagi.

Dr. Farouk masih dengan nada yang yakin menyatakan:
Merekalah yang telah mengajar bahawa kekuasaan barat tidak dapat dikalahkan dengan jampi serapah dan tangkal azimat. Atas usaha mereka itulah maka Gerakan Melayu Islam mula tersusun dalam bentuk Organisasi dan parti politik yang memperjuangakan kemerdekaan tanahair.

Dr. Farouk tidak menyebut rujukan bagi dakwaan hebatnya ini. Sedangkan sehingga kini yang kita ketahui mungkin antara gerak kerja orang Melayu secara berorganisasi bermula dengan penubuhan Jam’iyyatu al-Fataniyyah’di Makkah pada akhir kurun ke 19, yang kemudian menjadi model kepada penubuhan Jamiyyatu ar-Riyawiyyah di Pulau Riau dan Jamiyyatu al-Asriyyah di Kota Bharu pada awal kurun ke 20. Organisasi awal ini dianggotai oleh ulama-ulama tradisional.

Apakah adil untuk mengambarkan yang ulama tradisional mengajar orang awam yang kekuasaan barat dapat dikalahkan dengan jampi serapah dan tangkal azimat? Siapakah di antara ulama tradisional yang dimaksudkan oleh Dr. Farouk? Seandai yang dimaksudkan adalah seumpama kitab Urwatu al-Wusta karangan Syaikh Abdul Samad al-Falembani yang memuatkan wirid dan bacaan yang dianjurkan untuk diamalkan sebagai persiapan untuk jihad fi sabilillah, maka apakah itu tidak termasuk di dalam anjuran ‘dan apabila kamu bersemuka dengan gerombolan musuh, maka tetapkan pendirian dan berzikirlah kepada Allah dengan banyak semoga kamu akan memperolehi kemenangan’ (al-Anfal:45)

Syaikh Abdul Samad al-Falembani sendiri telah mengetuai pasukan jihad kerajaan Kedah menentang penaklukan Siam sehingga sampai ke kawasan Chenok, di utara Pattani. Di sanalah beliau menemui kesyahidannya dan sehingga kini kubur yang disemadikan kepalanya yang dipenggal itu masih terpelihara di bawah naungan cengal yang besar.

Begitu jugalah dengan sebahagian ulama tradisional yang telah berjuang dengan gigih menentang penjajahan seumpama Syaikh Daud Abdullah al-Fatani dan barisan ulama Pattani, para ulama Acheh bergenerasi, Syaikh Yusuf Taj al-Khalwati al-Makasari dan pengikutnya yang terbuang sehingga ke Ceylon dan Afrika Selatan, Raja Ali Haji yang masyhur dengan keberanian di medan tempur sehingga menmui syahid di Tanjung Ketapang, Syaikh Abdul Rahman Limbong, Terangganu yang dibuang negeri oleh pihak Inggeris ke Makkah. Mereka adalah ahli zikir, mereka adalah ahli kerohanian yang mengamalkan tariqah tertentu, mereka bertaqlid kepada kepada mazhab Imam Syafi’ie dan mereka adalah para mujahid yang berjuang. Perjuangan mereka tidak didesak dan dipengaruhi oleh tulisan-tulisan kaum muda, bahkan kepatuhan mereka kepada ajaran Islam secara tradisional itulah yang telah menjadi ruh kepada perjuangan dan jihad mereka.

Dr.Ibrahim Abu Bakar dari UKM telah membuat beberapa penelitian terhadap tulisan Syed Syaikh Al-Hadi, di antaranya di dalam kertas ‘Pemikiran Politik Muslim Modenis beranggapan dan Fundamentalis –Satu Perbandingan Ringkas’, Dr. Farouk mengambarkan seolah-olah yang Syed Syaikh al-Hadi dan ‘gerakan tajdid-nya yang bertanggung-jawab meniupkan semangat perjuangan kemerdekaan. Dr. Ibrahim mengatakan:

Di samping alasan ekonomi, keselamatan dan kebebasan kepada Muslim berada di bawah pemerentahan Inggeris di Malaya, al-Hadi juga menggunakan beberapa ajaran Islam untuk memberikan justifikasi dan legitimasi kepada sikap dan pandangannya supaya Muslim di Malaya tidak menentang Inggeris dan memikirkan kebaikan yang dibawa oleh pemerentahan Inggeris kepada mereka.

Pertama, ajaran Islam supaya berlaku adil dan menegakkan keadilan. Islam mewajibkan pemerentah berlaku adil menegakkan keadilan. Al-Hadi melihat keadilan dan keamanan dan kebebasan wujud di bawah pemerentahan Inggeris di Malaya. Beliau menyamakan Inggeris dengan tentera Tuhan yang dikirimkan ke Malaya untuk menyelamatkan Muslim di Malaya daripada penindasan dan kezaliman pemerentah yang beragama Islam dan berfahaman feudalisme. Al-Hadi menyatakan Inggeris adalah satu kumpulan tentera daripada Tuhan seluruh alam yang telah memerentah mereka datang untuk membebaskan kita daripada kegelapan, penjara kejahilan, kezaliman dan kejahatan dan daripada kekejaman ketua-ketua kita sendiri (ibrahim 1994:159). Persepsi negative al-Hadi terhadap ketua-ketua Melayu berfahaman feudalisme ini membawa pengertian yang sama dengan penjelasan Shaharuddin Maaruf yang menulis “in the Malay feudal history there were frequent wars among the rival chiefs. Besides causing loss of lives, these wars caused economic distruption and poverty among the subject” (Sharuddin 1984:29)

Kedua, al-Hadi merujuk kepada al-Quran, surah al-Anbiya (21:105) yang mengatakan bumi diwaisnya oleh hamba-hamba-Ku yang salih. Salih dalam fahaman al-Hadi termasuk berlaku adil dan menegakkan keadilan di bumi atau di dunia. Al-Hadi memberi tafsirannya kepada konsep hamba yang salih sebagai mereka yang berupaya dan mampu memerentah dengan baik dan betul, memberikan kemakmuran dan menarik lebih penduduk dengan keadilan dan persamaan dan dengan penyebaran ilmu dan keamanandi daerah pemerentahan mereka sekalipun mereka adalah musyrikun. (ibrahim 1994:159-160)

Ketiga, al-Hadi merujuk kepada Quran, Surah Hud (11:117) yang mengatakan bahawa Tuhan tidak memusnahkan perkampongan dengan zalim sedangkan penduduknya adalah muslihun(orang salih). Tafsiran al-Hadi kepada Quran (11:117) adalah Tuhan tidak akan memusnahkan negeri-negeri kerana kemusyrikan atau kesyirikan penduduknya sedangkan mereka tidak menambah kepada kesyirikan itu kezaliman dan kemusnahan tetapi mereka melakukan kebaikan dan keadilan di kalangan mereka. Kezaliman diberi tafsiran kesyirikan. Semata-mata kesyirikan wujud di kalangan penduduk di sesuatu negeri. Tuhan tidak memusnahkan penduduk di negeri berkenaan selama mereka adalah muslihun (ibrahim 1994;160-161)

Keempat, al-Hadi merujuk kepada Quran, Surah Rum (30:30) yang mengatakan mengenai fitrah Allah yang dijadikan manusia di atas fitrah itu. Fitrah manusia yang dijadikan oleh Allah kepada manusia ditafsirkan al-Hadi sebagai peraturan Allah kepada manusia di dunia ini. Peraturan itu meliputi sifat semulajadi manusia mahu mencari kelebihan di dunia, dan manusia mesti berusaha dan berjuang untuk kesurvivilan mereka di dunia. Bnagsa-bangsa Eropah termasuk Inggeris telah mengikut fitrah manusia berkenaan, di mana mereka mencari kelebihan dan ketinggian melalui akal yang waras, ilmu yang luas dan kuasa. Mereka mencapai kekayaan, penghormatan dan sedemikian rupa kerana mereka telah mengikut fitrah manusia yang dijadikan oleh Allah kepada manusia. (Ibrahim 1994:163-164)

Dr. Ibrahim membuat kesimpulan:
Mereka [golongan modenis; Syed Ahmad Khan di India. Muhammad Abduh di Masir dan al-Hadi dii Malaya] akhirnya menaja dan menyebarkan politik berbaik dan bekerjasama dengan penjajah Inggeris untuk kemajuan Muslim di dalam bidang pendidikan dan ekonomi dan mereka tidak mahu Muslim menentang pemerentah Inggeris. Ketiga-tiga Muslim modenis berkenaan tidak mengemukakan idea atau wawasan Negara Islam “Islamic State” atau kerjaan Islam “Islamic government”sebagai jalan keluar kepada kelemahan Muslim di bawah penjajahan pemerentahan Inggeris. Mereka mahu Muslim berfikir mengenai kebaikan yang mereka telah perolihi dan akan perolihi daripada penjajahan dan pemerentahan Inggeris di negeri atau Negara mereka. Untuk itu, tiga Muslim modenis berkenaan tidak menggunakan ajaran atau sejarah Islam untuk menentang Inggeris atau menuntut kemerdekaan daripada Inggeris. Malahan mereka menggunakan ajaran Islam dan peristiwa-peristiwa dalam sejarah Islam untuk Muslim berbaik sangka dan bekerjasama dengan pemerentahan Inggeris untuk kebaikan Muslim sendiri. Mereka tidak menjadikan pengaruh dan penguasaan asing iaitu Inggeris sebagai musuh utama dan musuh ketat mereka. Sebaliknya, ketiga-tiga Muslim modenis itu menjadikan penyebab utama kemunduran dan kelemahan umat Islam adalah Muslim tradisionalis, Muslim konservatif, ketua-ketua Muslim yang feudalis dan Muslim yang tidak mengamalkan suruhan-suruhan Islam dalam kehidupan mereka.

Sengaja dipetik tulisan Dr. Ibrahim Abu Bakar dengan cara yang agak detail ini untuk menunjukkan yang agak sulit untuk diterima bahawa semangat penentangan terhadap pihak Inggeris, perjuangan kemerdekaan itu datangnya dari tokoh yang sangat mengkagumi Inggeris itu sendiri, kecuali Dr. Farouk mendatangkan bukti-bukti yang nyata untuk menjelaskan kefahamannya itu. Kita boleh sahaja tidak bersetuju dengan pandangan Dr. Ibrahim sekiranya terdapat petunjuk-petunjuk yang nyata menyalahi pandangan beliau. Itulah semangat tidak bertaqlid yang ingin kita sama-sama suburkan.

Dr. Farouk mengatakan ‘penjajah Inggeris amat berwaspada dengan parti ini ekoran tuduhan oleh Dato’Onn Jaafar yang mengatakan parti itu berdamping rapat dengan kominis. Sikap Dato’Onn itu digambarkan dalam ucapannya: “Bahaya di gunung itu masih ada lagi ditambah pula satu bahaya lagi (Hizb al-Muslimin) supaya orang Melayu terhapus kerana sebenar-benarnya parti Islam itu merah”

Kita tidak perlu bersetuju dengan pendirian Dato’ Onn yang kritikal terhadap Hizb al-Muslimin, tetapi kita mengakui dari segi catitannya yang majlis penubuhan Hizb al-Muslimin telah dihadiri antara lain oleh pemimpin-pemimpin utama Melayu dari Parti Komunis Malaya. Selain daripada kehadiran pemimpin Melayu yang dianggap golongan kiri yang lain di dalam majlis tersebut. Dalam kita menyanjungi langkah penubuhan Hizb al-Muslimin oleh Ustaz Abu Bakar Baqir itu, kita masih sulit untuk menerima bahawa langkah itu merupakan suatu usaha tajdid yang telah diisyaratkan di dalam hadith Rasulullah SAW sebagaimana yang disebut oleh Dr. Farouk sendiri. Kita harapkan usaha yang lebih jernih dan lebih murni daripada yang telah berlaku itu, iaitu langkah yang lebih hampir kepada kemurnian Islam sebagaimana yang difahami dan diamalkan oleh salaf as-soleh daripada ummah ini. Itulah yang kita fahamkan sebagai usaha tajdid dan yang menjayakannya itu adalah adalah mujaddid.

Dr. Farouk menyatakan: ‘Al Ihya al Syarif lahir pada tahun 1934. Ia diusahakan oleh Ustaz Abu Bakar al Bakir Bin Muhammad Said. Penglibatan Al Ihya dalam bidang politik bukan merupakan satu perkara asing. Ini kerana kedudukan Gunung Semanggol berdekatan dengan Pulau Pinang yang pada waktu itu kuat dipengaruhi oleh aliran Kaum Muda’. Hanya terdapat sedikit penjelasan lanjut yang perlu dibuat oleh Dr. Farouk untuk menyakinkan kita yang Ustaz Abu Bakar al Baqir terpengaruh dengan aliran Kaum Muda, ini memandangkan Ustaz Abu Bakar Bakir disenarai Oleh Dato’ Ahmad Badawi sebagai murid awal Syaikh Abdullah Fahim yang belajar di rumah Syaikh Abdullah Fahim seawal tahun 1330H. Syaikh Abdullah Fahim adalah tokoh besar dalam memperjuangkan seruan kemerdekaan untuk tanah airnya. Perkara ini dicatit antara lain oleh Ustaz Ismail Awang di dalam artikel yang dimuatkan di dalam buku Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu Jilid ke 2. Syaikh Abdullah Fahim juga sangat tegas menentang aliran Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah. Syaikh Abdullah membuat catitan:

Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu se-Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadi-qadi, ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekelian mereka bermazhab dengan mazhab al-Imam asy-Syafie ijma’an, tiada seorangpun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafie… (kemudian beliau menyenaraikan kitab-kitab rujukan bagi ulama Melayu).

Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya [dan daripada] segala hukum-hukum di dalamnya , kesemuanya mustanbat [diambil] daripada Quran dan hadith yang [di] halusi dan ditapis oleh ulama ajilla, diamal dengan dia sudah lebih daripada seribu tahun dan diterjemah kepada Bahasa Melayu beratus-ratus tahun [sudah lamanya].

Dr. Farouk menambah rentetan kepada sejarah perjuangan politik Islam di tanah air:
Pengharamannya (Hizb al-Muslimin) bukan bermakna perjuangannya telah terkebur. Keadaan ini ternyata dengan kelahiran parti politik yang memperjuangkan Islam selepasnya, iaitu kemunculan Parti Islam se-Malaya (PAS) pada atahun 1951 di Kelab Melayu Bagan, Seberang Perai. Idealogi yang diperjuangkan oleh parti baru itu tidaklah terkubur tapi sebenarnya adalah sambungan kepada perjuangan Islam oleh Hizb al-Muslimin yang telah diharamkan oleh Inggeris.

Sekiranya kita bertanya secara jujur apakah PAS itu benar-benar merupakan sambungan kepada Hizb al-Muslimin di Gunung Semanggul itu? Atau lebih dekat lagi untuk dikatakan cetusan PAS itu ialah daripada bekas beberapa pemimpin sayap ulama di dalam UMNO yang telah keluar parti beserta Dato’ Onn telah bergabung dengan tokoh-tokoh yang mempunyai kecenderungan keagamaan lainnya dalam menubuhkan PAS, iaitu singkatan Persatuan Islam se-Malaya. Penubuhan asalnya bukanlah sebagai sebuah parti politik, bahkan sebagai badan keagamaan, lihatlah risalah yang dinamakan ‘Ketetapan Majlis Muzakarah Ulama SeMalaya’, yang diterbitkan berikutan suatu muzakarah yang diadakan di Kepala Batas pada 4/1/1953 di antara ahli-ahli ilmu dari seluruh Malaya di bawah anjuran PAS.

Risalah ini telah dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang pada tahun 50’an dengan kata-kata aluannya oleh Ustaz Ahmad Fuad bin Hassan, Yang DiPertua PAS yang pertama. Dalam kata-kata nya, Ustaz Ahmad Fuad antara lain menyatakan:

Dan kami mengingatkan hendaklah tuan-tuan memetik akan ilmu-ilmu agama itu daripada tempat yang muktabar iaitu kitab-kitab yang telah termasyhur diterima pakai dan diakui oleh ahli-ahli ilmu yang muktabar.

Awaslah daripada tiru-tiru yang menghendaki supaya tuan-tuan hanya mengambil hukum-hakam agama daripada al-Quran dan hadith dan mencampakkan segala kitab-kitab ulama di belakang tuan-tuan.

Ketahuilah bahawasanya kandungan-kandungan kitab-kitab yang muktabar semada feqah, usul dan tasauf itu semuanya mempunyai sandaran kepada al-Quran atau hadith, dan ulama itu tiada sekali-kali berani mengada-ngadakan perkara agama, tetapi harus pembaca-pembaca bagi kitab ulama itu tiada dapat menyelidiki tempat-tempat sandaran bagi qaul-qaul demikian, maka terus ia mengatakan pula ulama itu tidak bersendikan Quran dan hadith, tatkala itu bukanlah ulama-ulama yang terkenal itu yang tersalah tetapi pembaca-pembaca yang sedikit pengetahuannnya itulah yang salah.

Sementara persoalan-persoalan yang dibincangkan di dalam risalah khusus ini ialah dalil-dalil yang didatangkan bagi amalan seperti bacaan ‘bismillah’, azan pertama pada hari jumaat, sekurang-kurang 40 orang sebagai syarat sah jumaat, melafaz usalli, membaca saiyyidina di dalam tahiyyat, berdiri ketika membaca marhaban, sunnat membaca talqin selepas pengkebumian, hukum bertaqlid dan lain-lain lagi.

Sudah tentu kita dapat fahami yang pendirian PAS sekurang-kurangnya pada tahun 1953 adalah tidak selari dengan perjuangan kaum muda. Bagaimana Dr. Farouk agaknya dapat mengatakan yang PAS itu adalah penerusan kepada ‘usaha tajdid’ Syeikh Syed Hadi?

PAS sebagaimana yang diketahui umum didaftarkan di Pejabat Pertubuhan Pulau Pinang hasil daripada perjumpaan dan persidangan alim ulama pada 24hb November 1951 di Butterworth.. Alangkah eloknya sekiranya kita dapat berlaku adil kepada sejarah dan segala artifaknya tanpa dipengaruhi oleh rasa kepuakan yang melulu.

Sudah tiba masanya kita mengalu-alukan minat terhadap agama dan sejarah ummah serta bangsa yang ada di kalangan professional, sokongan kita itu ialah dengan cara kita memberi sumbangan agar minat itu akan jadi lebih matang dan lebih bermakna melalui perbincangan yang disulami rasa hormat serta kasih-sayang sesama Islam dalam kita mencari kebenaran. Semoga Allah merahmati kita semua dan memberi keberkatan ke atas perkerjaan serta usaha kita. Semoga yang benar dan berfaedah akan kekal di bumi serta yang batil dan karut akan hilang seumpama buih di permukaan. Semoga Allah mentakdirkan kita bersama dengan kebenaran yang membawa kebahagiaan dan menjauhi kebatilan yang mendatangkan penyesalan

Memadailah Allah tempat berserah, tiada daya dan tiada upaya kecuali Daya dan Upaya Allah, serta selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Saiyyidina Muhammad Nabi yang ummi, keluarga baginda yang bersih, para sahabat yang terpilih dan ummat baginda sebaik-baik ummat yang dibangkitkan sebagai saksi ke atas sekelian manusia sehingga Hari Qiyamat.


Alhamdulillah, selesai mencatit pada awal Syawal 1427. Selepas memulainya di penghujung Ramadan yang penuh berkat. Semoga dikira-kira sebagai suatu pertaruhan untuk Hari yang tiada keamanan kecuali yang datang kepada-Nya dengan hati yang sejahtera.
- Abdullah Zaidi Bin Hassan

*** Kertas ‘Sejarah Perkembangan Gerakan Tajdid Di Tanah Melayu’ oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Farouk Musa ini pertama kali di bentang Dewan Sime Darby, KL dan keduanya di UIA pada 7 Oktober 2006.

Isnin, 22 Ogos 2011

Beberapa Kesilapan Yang Dilakukan Semasa Berpuasa Ramadhan Bab Akhir

Oleh : Mufti Brunei

6) Berlebih-lebihan ketika berbuka puasa

Dalam kegembiraan menanti waktu berbuka, umat Islam kadangkala tidak menyedari bahawa mereka telah melanggar etika sepertimana yang dianjurkan Islam.
Salah satu kesilapan yang sering berlaku di kalangan umat Islam ialah berlebih-lebihan ketika berbuka puasa, baik dalam penyediaan juadah berbuka mahupun ketika menikmatinya.

Adakalanya waktu berbuka itu menjadi seolah-olah pesta makan. Sebenarnya sepanjang bulan Ramadhan, umat Islam digalakkan untuk memakan makanan yang berkhasiat semasa berbuka dan bersahur bagi tujuan mendapatkan kekuatan dan kesihatan yang membolehkan mereka menjalani ibadat puasa dengan baik. Namun begitu, sudah menjadi tradisi, para suri rumah akan menyediakan aneka juadah bagi hidangan berbuka tanpa menitikberatkan nilai dan kuantiti pemakanan.

Adakalanya, disebabkan terlalu banyak hidangan yang tidak habis dimakan, akhirnya terbuang begitu sahaja. Perkara seumpama ini tidak sehaluan dengan kehendak Islam. Selain itu, amalan berbuka puasa di hotel-hotel dan restoran-restoran juga seakan menjadi ‘trend’ kini. Terdapat banyak hotel dan restoran yang menawarkan hidangan bufet untuk berbuka puasa.

Memandangkan tawaran ini dikenakan kadar bayaran, sesetengah orang beranggapan mereka perlu makan dan minum seberapa banyak yang mungkin agar berbaloi dengan wang yang
dikeluarkan dan akhirnya mengakibatkan makan dan minum secara berlebihan.
Berlebih-lebihan ketika berbuka boleh membawa kepada pembaziran dan mengundang penyakit. Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

(Surah al-Isra’: 26-27)

Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga berfirman:

Tafsirnya:
“Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orangorang yang melampaui batas.”
(Surah al-A‘raf: 31)

Kadang-kadang apa yang berlaku kepada setengah orang, oleh kerana terlalu asyik menikmati juadah sungkai dan menjadi terlalu kenyang menyebabkannya merasa sukar dan malas untuk
menunaikan sembahyang dan pergi ke masjid.Oleh itu, umat Islam seharusnya bijak dan pandai mengawal diri agar situasi sedemikian ini tidak menyalahi konsep Ramadhan.
7) Bersikap malas dengan alasan berpuasa

Sesungguhnya ibadat puasa itu adalah kekuatan, jihad, kemenangan dan kerajinan di dalam perbuatan mahupun pekerjaan, bukannya kelemahan, kekalahan, keletihan, kemalasan dan ‘batu loncatan’ untuk lari dari tanggungjawab.

Memang tidak dinafikan bahawa dengan berpuasa sedikit sebanyak akan mengurangkan tenaga tubuh badan kita disebabkan badan tidak mendapat zat yang mencukupi kerana tidak makan dan minum di siang hari.

Namun begitu, hal ini bukanlah sebagai alasan untuk bersikap tidak produktif, bermalasan dan menghabiskan masa dengan banyak tidur, melakukan aktiviti-aktiviti yang melalaikan dan siasia seperti bermain ‘game’, bermain dam, menonton program hiburan sepanjang hari agar tidak terasa letih menjalani puasa.

Kajian saintifik banyak menemukan keputusan positif mengenai puasa dan hikmah di sebalik puasa itu sendiri. Antaranya, kajian biologi mendapati otak tidak dapat berfungsi dengan baik ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan.

Apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktivitiaktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan. Penyelidikan psikologi pula membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang.

Ujian pernah dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Keputusannya, ternyata menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi markah yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa.

8) Melebihkan mengaut keuntungan dunia berbanding keuntungan akhirat

Tidak dinafikan apabila Ramadhan tiba para peniaga tidak kira dalam apa jua jenis perniagaan akan sibuk mengambil peluang untuk mendapatkan pendapatan yang lebih.

Namun bagi umat Islam yang sedang berpuasa janganlah terlalu ghairah merebut peluang untuk mengaut keuntungan pendapatan dan mensia-siakan peluang yang ada untuk mengaut ganjaran
pahala yang berganda-ganda. Islam tidak melarang umatnya berusaha mencari rezeki, bahkan
menggalakkan umatnya menceburi bidang perniagaan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya mengenai pekerjaan yang paling baik, Baginda bersabda:

Maksudnya:
“Pekerjaan seseorang yang dilakukan dengan tangannya sendiri dan setiap jual beli yang baik.”
(Hadits riwayat ath-Thabrani)

Namun, di dalam perniagaan ada adab dan batas-batasnya. Jangan kerana berniaga dan ingin mendapatkan keuntungan lebih, seseorang yang sedang berpuasa melakukan kesilapan seperti
meninggalkan sembahyang disebabkan terlalu sibuk, bercakap bohong atau menipu dan bersumpah palsu demi melariskan barang jualan.

Kerana terlalu sibuk juga, seseorang itu tidak meluangkan masa untuk menghayati dan menghidupkan bulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang sepatutnya dilakukan di bulan ini seperti menambah-giatkan amal ibadat, membaca ayat-ayat suci alQur’an, berzikir dan memperbanyakkan doa tatkala berpuasa.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”
(Surah al-Jumu‘ah:10)

Ayat di atas menjelaskan, Allah tidak menghalang seseorang mencari sebanyak mana pun dari nikmatNya, tetapi jangan sekalikali mengabaikan suruhanNya.

9) Tidak mengawal kemarahan

Marah merupakan sifat semulajadi manusia yang terjadi apabila merasa tidak puas hati atau tidak senang akan sesuatu. Sifat ini adalah normal bagi setiap orang. Akan tetapi jika tidak terkawal, ia boleh membawa padah, kemudharatan atau kesan negatif terhadap diri individu itu sendiri mahupun masyarakat di sekelilingnya. Marah ada jenis dan peringkatnya. Di dalam keadaan berpuasa, menahan marah adalah sesuatu yang amat dituntut, kerana puasa itu membawa maksud menahan segala hawa nafsu termasuklah juga nafsu amarah.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Puasa itu penjaga (perisai), maka janganlah dia berkata-kata buruk dan janganlah berbuat bodoh. Jika dia dimusuhi atau dicaci maki oleh seseorang maka katakanlah:
“Sesungguhnya aku ini sedang berpuasa” dua kali …”
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Orang yang tidak dapat mengemudi kemarahan dan gagal menanganinya itu tergolong dalam orang yang melampaui batas dan orang yang lemah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah”.
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Umat Islam yang berpuasa dengan betul sudah pasti akan dapat mendisiplinkan hawa nafsu mereka dan dapat meletakkan diri mereka jauh dari segala godaan termasuk godaan syaitan yang ternyata boleh memarakkan nafsu amarah.

Kelebihan orang yang boleh menahan amarahnya, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menjanjikan kepadanya syurga sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya:
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amalamal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;”“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orangorang yang memaafkan kesalahan orang. dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
(Surah Ali-‘Imran: 133-134)

Sebagai kesimpulan, memandangkan ibadat puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan, umat Islam hendaklah menjaga dan memelihara kesempurnaannya agar ianya diterima Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Oleh kerana itu, umat Islam yang berpuasa hendaklah sentiasa berusaha untuk mendapatkan kesempurnaan ini dengan menghindar dan mengelak dari berlakunya sebarang kesalahan atau kesilapan yang boleh mencacatkan ibadat puasa tersebut iaitu dengan memberi lebih perhatian dan tidak mempermudah-mudahkannya, di samping meninggalkan segala perkara yang
dilarang dan melakukan segala perkara yang diwajibkan dan disunatkan ketika berpuasa.

Beberapa Kesilapan Yang Dilakukan Semasa Berpuasa Ramadhan Bab 2

Oleh : Mufti Brunei

3) Tidak menjaga kehormatan bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan amat tinggi darjatnya di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ia merupakan sebaik-baik bulan dan penghulu segala bulan.

Oleh itu, janganlah ada orang yang melakukan perbuatan yang boleh mencemar kehormatan bulan mulia ini seperti berikut:

1. Tidak menjaga diri daripada perkara-perkara syahwat yang tidak membatalkan puasa. Perkara-perkara syahwat adalah perkara-perkara yang selalunya menjadi keinginan seseorang
sama ada perkara-perkara yang seronok dilihat, sedap didengar, disentuh mahupun dihidu.

Umpamanya mendengar muzik atau lagu-lagu yang mengasyikkan dan melalaikan, menghidu (menikmati) benda-benda harum seperti minyak wangi dan memakainya.

Perkara-perkara ini termasuk di dalam perbuatan bersenang-senang, sedang perbuatan bersenang-senang dan bermewah-mewah merupakan perbuatan yang makruh dilakukan ketika berpuasa dan ianya tidak menepati hikmah di sebalik puasa. Kesilapan seperti ini
sering tidak disedari memandangkan ianya tidak membatalkan.

Selain itu, bercakap bohong, mengumpat, berbantah-bantahan, mengkeji atau mencela, melakukan fitnah atau mengadu domba, berkata sia-sia dan berangan-angan kosong ketika menjalani ibadat puasa juga dituntut untuk ditinggalkan sebagaimana hadits riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya:
“Puasa itu bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, akan tetapi puasa yang sebenar-benarnya ialah menahan diri daripada kata-kata yang sia-sia dan kata-kata yang keji.”
(Hadits riwayat al-Hakim)

Termasuk perbuatan yang sia-sia itu juga ialah menghabiskan masa dengan menonton televisyen, video dan filem yang tidak mendatangkan faedah.

2. Tidak menjaga batas-batas agama seperti berpakaian tidak senonoh, tidak menjaga ‘aurat dan berbuat maksiat atau melakukan perkara-perkara yang dituntut oleh syara‘ untuk ditinggalkan seperti berkelahi atau bertengkar, bersuka ria atau berhibur dengan berlebih-lebihan, berdua-duaan yang boleh menimbulkan fitnah atau syak wasangka.
Walaupun maksiat itu dilarang pada setiap masa tanpa mengira bulan, namun pada bulan Ramadhan dosanya lebih besar kerana dianggap pencabulan terhadap kehormatan dan
kemuliaannya. Menurut riwayat yang diceritakan daripada Sufyan daripada ‘Atha bin Abi Marwan daripada bapanya:

Maksudnya:
“Ali Radhiallahu ‘anhu telah didatangi oleh Najasyi si penyair, yang telah meminum arak pada (siang hari) bulan Ramadhan, lalu dia berbuka. Maka Ali menghukumnya dengan lapan puluh sebatan yang dilaksanakan pada keesokkan harinya dan menghukumnya lagi dengan dua puluh sebatan dengan berkata:

“Sesungguhnya aku menghukum kamu dengan dua puluh sebatan ini adalah kerana keberanianmu (kederhakaanmu) terhadap Allah dan kerana kamu tidak berpuasa di (siang hari) bulan Ramadhan.”
(Hadits riwayat al-Baihaqi)

Dengan meninggalkan perbuatan-perbuatan yang dilarang, orang yang berpuasa akan mendapat dua ganjaran pahala iaitu mendapat pahala wajib kerana menahan diri dari melakukan perbuatan yang dilarang dan mendapat pahala sunat kerana menahan diri dari melakukan perbuatan yang dilarang ketika sedang berpuasa.

Sebaliknya orang yang tidak meninggalkan perbuatan sedemikian akan mendapat dosa kerana melakukan perbuatan yang dilarang. Di samping itu juga akan menghilangkan pahala puasanya, kerana melanggar suruhan yang disunatkan iaitu suruhan menjaga kesucian puasa dan bulan Ramadhan.

4) Meninggalkan sahur atau bersahur sebelum waktunya

Meninggalkan sahur atau bersahur sebelum waktunya adalah antara kesilapan yang sering berlaku bagi orang yang hendak menunaikan ibadat puasa. Mereka sering memberikan alasan tidak ada selera untuk makan di waktu awal pagi. Selain itu segelintirnya pula memberi alasan sukar untuk bangun dari tidur. Hal sedemikian adalah sangat merugikan walaupun pada hakikatnya meninggalkan sahur itu tidak menjejaskan kesahihan ibadat puasa. Terdapat banyak hadits yang menyebutkan tentang kelebihan bersahur.

Antaranya menurut riwayat Abdullah bin al-Harits, seorang sahabat telah menceritakan ketika beliau masuk ke rumah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda sedang bersahur
lalu bersabda:

Maksudnya:
“Sesungguhnya (sahur itu) mempunyai berkat yang diberikan Allah kepada kamu sekalian, maka janganlah kamu meninggalkannya.”
(Hadits riwayat an-Nasa’ie)

Apakah berkat yang ada pada sahur itu?

Amalan bersahur hukumnya sunat dan merupakan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, selain mengikut sunnah dan menambah pahala, sahur juga membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang ahli kitab, menghalang perbuatanperbuatan yang tidak baik yang dipengaruhi oleh kesan berlapar di siang hari, menggalakkan perbuatan bersedekah dan bersahur bersama-sama, mengingatkan dan memberi peluang bagi orang yang lupa berniat puasa sebelum tidur dan yang paling utama ialah untuk memberi kekuatan dan kecerdasan kepada orang yang berpuasa dalam melakukan ibadat ketika menghadapi rasa lapar dan dahaga di siang hari.

Ini adalah bersesuaian dengan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:
“Memohonlah kamu (kepada Allah kekuatan) melalui makan sahur supaya memperolehi kekuatan berpuasa di siang hari.”
(Hadits riwayat Ibnu Majah)

Di dalam kitab Fathul-Bari, terdapat pendapat yang mengatakan, berkat di waktu sahur itu mengandungi bangun daripada tidur dan berdoa di waktu sahur, kerana pada waktu itu rahmat turun dan doa terangkat sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Daripada Abi Umamah, beliau telah berkata: “Wahai Rasulallah Shallallahu ‘alaihi wasallam, bilakah waktu doa itu lebih didengar?” Baginda bersabda: “Pada waktu tengah malam dan selepas (menunaikan) sembahyang-sembahyang fardhu.”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Waktu sahur bermula sebaik sahaja masuk waktu pertengahan malam atau dinihari sehingga terbit fajar. Dikatakan juga waktu sahur itu adalah 1/6 terakhir malam. Sahur itu sendiri dari sudut bahasa ialah makan dan minum di waktu sahar dan sahar itu pula ialah waktu akhir malam hampir terbit fajar.

Oleh yang demikian, janganlah makan sahur sebelum waktunya kerana orang yang bersahur sebelum masuk waktunya tidak akan mendapat ganjaran pahala sunat bersahur. Yang afdhalnya sunat mengakhirkan atau melambatkan sahur kira-kira kadar membaca lima puluh ayat sebelum terbit fajar.

Zaid bin Tsabit Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:

Maksudnya:
“Kami bersahur bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian Baginda mendirikan sembahyang, lalu ditanyakan kepada Baginda: “Berapakah jarak antara azan dan sahur?” Baginda bersabda: “Kira-kira lima puluh ayat.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)

5) Melambat-lambatkan berbuka

Bersegera untuk berbuka merupakan salah satu perkara yang disunatkan ketika berpuasa. Sebaliknya, perbuatan sengaja menangguh atau melambat-lambatkan berbuka puasa apabila sudah yakin akan masuknya waktu Maghrib (terbenamnya matahari) hukumnya adalah makruh. Namun jika ia berlaku tanpa disengajakan atau tanpa ada tujuan untuk melengah-lengahkan maka tidaklah mengapa.

Hadits ada menyebutkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Manusia selalu berada dalam kebaikan selama mereka segera berbuka.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam Sunan Ibnu Majah pula menyebutkan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Manusia selalu berada dalam kebaikan selama mereka segera berbuka, maka segeralah berbuka, sesungguhnya Yahudi melewatkan (berbuka).”
(Hadits riwayat Ibnu Majah)

Sunat berbuka puasa dengan ruthab (kurma masak yang masih basah). Jika tidak ada, berbukalah dengan tamar (kurma masak yang sudah kering) dan mengambilnya dalam jumlah yang ganjil, umpamanya tiga biji. Jika tidak ada, berbukalah dengan air.

Diutamakan untuk mendahulukan berbuka dan kemudian barulah menunaikan sembahyang. Ini adalah berdasarkan perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti yang diriwayatkan
oleh Abu Daud daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan kurma basah sebelum Baginda sembahyang. Jika tidak ada, Baginda berbuka dengan kurma kering. Jika tidak ada, Baginda meneguk beberapa teguk air.”
(Hadits riwayat Abu Daud)

bersambung

Khamis, 11 Ogos 2011

Hukum Orang Bukan Islam Masuk Ke Masjid

Oleh : Mufti Brunei

Fatwa siri 40/2001-(Orang Bukan Islam Memasuki Masjid)
Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Jawapan:

Ulama asy-Syafi‘iyyah telah membahaskan mengenai dengan hukum orang bukan Islam masuk ke masjid dengan memerhatikan kepada dua keadaan iaitu masjid yang dimasuki itu sama ada Masjidil Haram atau masjid selainnya.

Hukum Masuk Masjidil Haram Bagi Orang Kafir

Di dalam mazhab asy-Syafi‘e orang kafir haram dan ditegah sama sekali daripada masuk Masjidil Haram. Larangan ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka itu menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini.

(Surah at-Taubah: 28)

Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah berpendapat bahawa ayat di atas adalah umum bagi keseluruhan orang kafir dan khusus bagi Masjidil Haram. Demikian yang dijelaskan oleh al-Qurtubiy di dalam kitabnya al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân 8/105.

Pengarang kitab at-Tafsîr al-Munîr pula menjelaskan bahawa menurut mazhab asy-Syafi‘e yang dimaksudkan dengan Masjidil Haram di atas itu ialah tanah haram Makkah seluruhnya. Oleh itu orang-orang bukan Islam dilarang memasuki seluruh kawasan haram Makkah termasuklah
masjid-masjid dan tempat-tempat selainnya yang ada di dalam tanah haram. (At-Tafsîr al-Munîr 9/168)

Demikian kedudukan hukum bagi orang bukan Islam di mana mereka itu ditegah sama sekali daripada memasuki Masjidil Haram khususnya dan seluruh tanah haram umumnya.

Hukum Masuk Masjid Selain Masjidil Haram

Di dalam kitab I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid karangan Muhammad Abdullah az-Zarkasyi ada dibahaskan tentang hukum orang musyrik masuk ke masjid selain Masjidil Haram.

Menurut kitab tersebut orang kafir dibolehkan masuk ke masjid dan diam di dalamnya, sekalipun dia di dalam keadaan berjunub. Ini berdasarkan hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjelaskan bahawa pada zaman Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam orang-orang kafir masuk ke dalam masjid Baginda yang mana tidak diragukan lagi bahawa mereka itu dalam keadaan berjunub. (I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid: 318)

‘Illah ataupun sebab keharusan ini kerana mereka beri‘tiqâd bahawa tidak haram hukumnya ke atas mereka masuk masjid dalam keadaan berhadas besar. Berlainan pula halnya dengan orang Islam, mereka ditegah masuk atau berada di masjid dalam keadaan berhadas besar atau berjunub sebagaimana menurut ketentuan hukum syara‘ terhadap mereka.

Adapun keharusan orang kafir masuk ke masjid selain Masjidil Haram berdasarkan hadis Baginda yang di antaranya sebagaimanana diriwayatkan oleh Abu Hurairah, katanya:

Maksudnya:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengutus satu pasukan berkuda ke Najd. Kemudian mereka datang kembali dengan membawa seorang lelaki daripada Bani Hanifah bernama Tsumawah bin Utsal lalu mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid.

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Menurut Ibnu Hajar dalam kitabnya Fath al-Bâri Syarh Shahîh alBukhari berkata tentang masalah ini:

“Dan di dalam masalah masuknya orang musyrik ke dalam masjid ada beberapa pendapat menurut mazhab-mazhab: Menurut riwayat daripada mazhab Hanafi, adalah harus secara mutlak. Pendapat mazhab Maliki dan al-Muzani ianya ditegah secara mutlak. Mazhab Syafi‘e pula menjelaskan di antara Masjidil Haram dan selainnya berpandukan ayat al-Qur’an (Ayat 28, surah at-Taubah). Ada juga pendapat yang mengizinkan tetapi khusus bagi Ahli Kitab, tetapi hadis bab ini menolak pendapat tersebut dengan alasan Tsumawah bukannya daripada kalangan Ahli Kitab.” (Fath al-Bâri 2/136)

Manakala pendapat Imam ar-Rafi‘e dan Imam an-Nawawi Rahimahumallah pula secara mutlak membolehkan orang kafir memasuki masjid selain daripada Masjidil Haram tetapi dengan mendapat keizinan orang Islam. Jika sekiranya tidak mendapat keizinan maka menurut pendapat as-shahîh dia tidak dibolehkan memasukinya. (I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid: 319-320)

Sementara itu, orang Islam yang memberi kebenaran kepada mereka untuk masuk itu hendaklah seorang yang baligh dan berakal. (Fath al-‘Allâm 1/374)

Berkata al-Khatib asy-Syarbini tentang hukum masuk masjid bagi orang kafir ini:

“Adapun dia (orang kafir) dibolehkan untuk diam di dalam masjid menurut pendapat al-ashah di dalam kitab ar-Raudhah dan asalnya kerana dia tidak beri‘tiqâd akan haramnya itu. Ya, perempuan (kafir) yang dalam keadaan haidh dan nifas jika takut akan mencemarkan (masjid) maka hukumnya adalah seperti perempuan Muslimah. Dan tidak boleh bagi orang kafir walaupun bukan dalam keadaan berjunub memasuki masjid kecualilah ada hajat seperti kerana (perkara atau urusan yang berkaitan dengan agama) Islam dan mendengar alQur’an, bukannya untuk tujuan makan atau minum umpamanya walaupun telah diizinkan oleh orang Islam untuknya masuk kecualilah jika ada sesuatu kes perbicaraan, dan hakim telah duduk di masjid itu untuk membicarakankan kes itu”.
(Mughni al-Muhtâj 1/71)

Menurut al-qaul al-mu‘tamad kedua-dua syarat iaitu keizinan dan hajat atau keperluan itu merupakan syarat atas harusnya orang kafir masuk ke masjid. (Bujairimi ‘ala al-Khathîb 1/368).

Asy-Syeikh al-Qalyubiy berpendapat, katanya:

Ertinya:
Dan dilarang orang kafir daripada masuk (masjid selain daripada Masjidil Haram) kecuali dengan izin orang Islam yang baligh ataupun kerana meminta fatwa daripada ulama atau kerana ada kemaslahatannya kepada kita. Salah satu perkara-perkara itu adalah memadai sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Ibnu Abdil Haq, syarah Syeikh kami tidak bertentangan dengannya bagi siapa yang mengamat-amatinya. Adapun jika dia masuk tanpa sebarang perkara
(yang mengharuskannya masuk), maka dia dihukum ta‘zîr. Begitu juga halnya hukum bagi kita masuk ke tempat-tempat ibadat mereka.
(Hâsyiatân Qalyubi wa ‘Umairah 1/73-74)

Daripada penjelasan para ulama Syafi’iyyah di atas jelas bahawa orang kafir adalah dibolehkan masuk ke dalam masjid, selain daripada Masjidil Haram apabila telah memenuhi syarat-syarat yang telah dijelaskan.

Ahad, 7 Ogos 2011

Beberapa Kesilapan Yang Dilakukan Semasa Berpuasa Ramadhan Bab 1

Oleh : Mufti Brunei

BEBERAPA KESILAPAN YANG DILAKUKAN SEMASA BERPUASA RAMADHAN
(Bahagian Pertama)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Ramadhan merupakan bulan yang padanya terdapat limpahan keberkatan dan kerahmatan, bulan yang dianggap bonus untuk mengaut ganjaran pahala lebih dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Alangkah ruginya jika tidak direbut peluang ini untuk menebus segala dosa yang boleh membelenggu diri dari redhaNya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:
“Sesiapa yang menunaikan puasa kerana iman dan mengharapkan pahala dari Allah, nescaya diampunkan dosadosanya yang telah lalu.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Ibadat utama yang diwajibkan di bulan ini ialah puasa di setiap siang harinya. Meninggalkan tanpa uzur kewajipan ini bukan sahaja berdosa, bahkan ia tidak boleh ditebus dengan apa jua cara sekalipun sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:
“Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Dalam menunaikan ibadah ini, kita umat Islam kadang-kadang ada melakukan kesilapan. Adakalanya, kesilapan-kesilapan tersebut menyebabkan puasa menjadi batal dan ada juga kesilapan yang tidak menyebabkan puasa menjadi batal, akan tetapi mengurangkan pahala atau lebih dikhuatiri akan mendatangkan dosa.

Kesilapan-kesilapan ini pada kebiasaannya berlaku disebabkan oleh kurangnya ilmu pengetahuan dalam perkara yang berkaitan dengan puasa, atau disebabkan oleh kurang prihatin terhadap perkara yang boleh mejejaskan pahala puasa dan hanya fokus kepada perkara yang membatalkan puasa sahaja.

Untuk memelihara pahala puasa, umat Islam perlu mengelak dari terjebak ke dalam kesilapan-kesilapan. Kita tidak mahu puasa yang ditunaikan hanya mendapat lapar dan dahaga semata-mata. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Berapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga sahaja.”
(Hadits riwayat an-Nasa’ie)

Hadits ini memberi peringatan kepada kita untuk lebih berhati-hati supaya tidak menjadi rugi jika berlaku sebarang kesilapan.

Selain perkara-perkara yang membatalkan puasa dan perkara-perkara yang makruh dilakukan ketika berpuasa, antara kesilapan lain yang sering dilakukan samada disedari mahupun tidak ialah:

1) Berpuasa tetapi tidak mendirikan sembahyang fardhu

Kesilapan ini sungguh besar. Walaupun sembahyang fardhu lima waktu tidak termasuk menjadi syarat sah puasa dan meninggalkannya membatalkan puasa, namun ia adalah merupakan salah satu rukun Islam yang sangat dituntut. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


Maksudnya:
“Kepala (inti) segala perkara di dalam Islam dan tiangnya adalah sembahyang.”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Sembahyang fardhu lima waktu adalah ibarat tiang sebuah rumah. Bagaimana dinding rumah boleh didirikan selagi tiangnya belum ditegakkan? Jika satu tiang runtuh, yang lain-lain akan pincang dan rumah boleh roboh. Beginilah gambaran apabila seseorang hanya berpuasa tetapi tidak sembahyang.

Orang Islam yang berpuasa menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum dan syahwat, sungguhpun pada zahir, puasanya tidak batal dengan meninggalkan sembahyang, namun adakah puasanya itu akan diberi ganjaran pahala dan diterima di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala?

Dikhuatiri puasanya itu tidak diterima dan tidak mendapat ganjaran pahala. Ulama sepakat mengatakan bahawa meninggalkan sembahyang dengan sengaja disebabkan malas dan mempermudahmudahkannya dihukumkan fasiq, menderhaka dan berdosa besar serta boleh mengheret ke gaung neraka. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya:
“(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?" Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;”
(Surah al-Muddaththir: 42-43)

Terdapat beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menjelaskan kedudukan orang yang meninggalkan sembahyang, antaranya:

Maksudnya:
“Garis yang memisahkan antara seseorang dengan syirik atau kekafiran adalah meninggalkan sembahyang.”
(Hadits riwayat Muslim)

Di dalam sebuah hadits, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Barangsiapa yang tidak mengerjakan sembahyang fardhu ‘Ashar maka amalannya menjadi kurang dan sia-sia.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadits ini, ada ulama mengatakan bahawa apabila seseorang itu tidak mendirikan sembahyang, segala kebaikan di sepanjang hari, termasuk ibadat puasa yang dilakukan pada hari tersebut tidak memberi sebarang manfa‘at, iaitu sia-sia belaka. Dari itu, jelas kepada kita bahawa ibadat sembahyang bukanlah remeh bahkan asasi.

Kita sebagai umat Islam juga dapat mengambil pertimbangan dari apa yang disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Baginda bersabda:

Maksudnya:
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan sebaliknya melakukannya, maka Allah tidak menghendaki (memerlukan lagi) untuk dia meninggalkan makanan dan minumannya.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)

Hadits ini membawa maksud bahawa tiada faedah atau tidak ada gunanya puasa orang yang berdusta atau berkata nista sedang dia berpuasa. Jika disebabkan berdusta pun puasa ditolak, apatah lagi meninggalkan sembahyang.

2) Tidak mengetahui hukum hakam puasa dan tidak bertanya

Terdapat sebilangan orang Islam yang tidak mengetahui hukum hakam puasa dan menunaikannya hanya kerana mengikut kebiasaan tanpa menghiraukan dan mengetahui perkara-perkara penting yang berkaitan dengan puasa seperti syarat-syarat wajib puasa, syarat-syarat sah puasa, rukun puasa, waktu-waktu berpuasa, perkara-perkara yang membatalkan puasa, perkaraperkara sunat dalam berpuasa, adab ketika berpuasa dan
sebagainya. Ini adalah tidak wajar kerana ia boleh saja membawa kepada ketidaksempurnaan puasanya, bahkan mungkin membatalkannya.

Setiap orang amat dituntut untuk mempunyai ilmu dalam melaksanakan satu-satu ibadat.
Terdapat sebuah hadits menyebutkan akan perlunya mempelajari dan memahami perkara-perkara yang berkaitan dengan puasa agar puasa itu tidak sia-sia dan dapat menebus segala dosa yang ada sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:
“Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian mengetahui batas-batas (berpuasa Ramadhan) dan menjaga apa yang semestinya dijaga (berusaha bersungguh-sungguh menjaga diri dari melakukan sesuatu yang merosakkan puasa), maka hal itu akan menjadi penebus dosa-dosa yang pernah dilakukan sebelumnya.”
(Hadits riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan Ibnu Hibban)

bersambung

Jumaat, 5 Ogos 2011

Adakah Kita Peduli Dengan Aqidah Umat Islam, Atau Diam Membisu ?

Serbuan JAIS Ke Atas Gereja Yang Berusaha Memurtadkan Umat Islam – Apa Pendirian Kita?August 5, 2011

JANGAN KITA APATHY

JANGAN PULAK KITA MENGALAH!

Jangan ikut yang ini melatah tanpa usul periksa:

Kenapa tidak jawab untuk menyelidiki dahulu sebelum melatah?

Bukankah kalau ini benar, ianya suatu kesalahan? Perlembagaan Persekutuan Artikel 11.4
Tahniah Hassan Ali!

Mereka pula mengambil peluang untuk mengapi-api sesama mereka:


Sumber : http://membelaislam.wordpress.com/2011/08/05/serbuan-jais-ke-atas-gereja-yang-berusaha-memurtadkan-umat-islam/

Isnin, 1 Ogos 2011

Beberapa Isu Lupa Sewaktu Berpuasa Ramadhan

Oleh : Mufti Brunei


BEBERAPA ISU LUPA SEWAKTU BERPUASA RAMADHAN
( Bilangan 291)

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Puasa Ramadhan merupakan satu tuntutan fardhu ‘ain yang wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam yang mukallaf. Mengerjakan ibadah puasa itu, sudah setentunya kita berusaha dan mengharap agar ia terlaksana dengan sebaik-baiknya.

Walau bagaimanapun, disebabkan ada kelemahan-kelemahan tertentu sesuai dengan sifat semula jadi manusia, kita mempunyai keterbatasan untuk memastikan apa yang dilakukan itu benar-benar terpelihara daripada perkara-perkara yang boleh menjejaskan ataupun mempengaruhi kesempurnaan ibadah yang dikerjakan.

Umpamanya sifat lupa, ia boleh menyebabkan tertinggal pada melakukan perkara-perkara yang disuruh, dan ia juga boleh mengakibatkan terlanjur pada berbuat perkara-perkara yang
dilarang.

Lupa di sisi syariat Islam, walaupun pada dasarnya merupakan suatu keuzuran yang dapat mengecualikan seseorang itu daripada dosa, tetapi ia bukan bererti seseorang itu terlepas daripada taklif atau tanggungan sama sekali. Ini kerana ada tanggungjawab ataupun gantian lain yang masih perlu dilakukan semasa di dunia. Khusus dalam ibadah puasa, ada keadaan lupa yang dimaafkan dan ada juga yang menyebabkan puasa itu tidak sah dan perlu diqadha.
Antaranya ialah:

(1) Niat Puasa

Niat adalah salah satu rukun puasa. Ia wajib dilakukan pada setiap malam bulan Ramadhan, iaitu setelah terbenam matahari sehingga sebelum terbit fajar Shadiq.

Jika sesorang itu terlupa untuk berniat puasa pada waktu tersebut, maka puasanya tidak sah. Sabda Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:
“Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar shadiq maka tidak ada puasa baginya.”
(Hadits riwayat an-Nasa’ie)

Jika seseorang itu lupa berniat puasa untuk keesokan harinya, maka wajib ke atasnya imsak iaitu menahan diri daripada makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa serta wajib ke atasnya mengqadha puasa tersebut.

Dalam hal ini, di samping kita diwajibkan berniat puasa pada tiap-tiap hari, kita digalakkan juga berniat puasa untuk satu bulan penuh di awal bulan Ramadhan. Ini bertujuan untuk berjaga-jaga, kalau-kalau kita terlupa berniat pada malammalam berikutnya dengan bertaqlid kepada mazhab Imam Malik. Contoh lafaz niat satu bulan penuh itu ialah:

Ertinya:
“Sahaja aku puasa bulan Ramadhan seluruhnya pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.”
Berniat satu bulan penuh hendaklah dilakukan pada malam pertama puasa sahaja. Tidak dikira niat sebulan penuh itu jika ia dilakukan pada malam berikutnya seperti berniat pada hari kedua puasa.

(2) Makan Atau Minum

Batal puasa apabila seseorang itu makan atau minum dengan senghaja di siang hari puasa. Wajib ke atasnya imsak di hari tersebut dan mengqadhanya.

Adapun jika makan atau minum (sama ada banyak atau sedikit) disebabkan lupa adalah tidak membatalkan puasa. Perkara ini disebut oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya:
“Sesiapa yang lupa lalu dia makan atau minum sedang dia berpuasa, maka sempurnakanlah puasanya. Sesungguhnya Allah telah memberikannya makan dan minum.”

(Hadits riwayat Muslim)

(3) Bersetubuh

Orang yang berpuasa jika dia melakukan persetubuhan di siang hari bulan Ramadhan dengan senghaja adalah berdosa. Di samping wajib ke atasnya mengqadha puasa tersebut, wajib juga ke atasnya membayar kaffarah dengan mengikut tertibnya iaitu: membebaskan hamba yang mukmin, jika tiada diperolehinya maka berpuasa dua bulan berturut-turut, dan jika tiada terdaya olehnya maka memberi makan 60 orang miskin atau fakir.

Adapun jika seseorang yang berpuasa itu bersetubuh di siang hari bulan Ramadhan disebabkan lupa, maka puasanya tidak batal. Ini sama halnya dengan makan atau minum disebabkan lupa. Demikian juga, tidak wajib ke atasnya membayar kaffarah disebabkan lupa itu.

Oleh itu, kita hendaklah berwaspada dan sentiasa berhati-hati khususnya dalam perkara niat puasa, agar tidak terlupa untuk berniat di malam hari. Ini kerana lupa untuk berniat puasa
Ramadhan akan menyebabkan puasa tidak sah dan wajib diqadha.

Semoga penjelasan yang telah dihuraikan ini akan menjadi panduan kepada kita agar mencapai kesempurnaan puasa.

Puasa Ramadhan : Hukum Dan Beberapa Permasalahan Kanak-kanak

Oleh : Mufti Brunei

PUASA RAMADHAN: HUKUM DAN BEBERAPA PERMASALAHAN KANAK-KANAK

( Bilangan 294)

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Kedatangan bulan Ramadhan merupakan rahmat bagi setiap orang yang beriman. Di bulan ini dibukakan segala pintu-pintu langit, pintu-pintu syurga dan pintu-pintu rahmat. Sebagai seorang yang beriman, sudah setentunya tidak ingin terlepas segala peluang yang ada. Lebih-lebih lagi di bulan ini banyak keistimewaan dan ganjaran pahala.

Di samping itu, kanak-kanak tidak ketinggalan juga turut berpuasa sama ada didorong oleh ibu bapa ataupun kemahuan mereka sendiri. Pada kebiasaannya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka yang belum baligh berpuasa walaupun puasa mereka itu
tidak sampai sehari penuh. Kadang-kadang ia hanya sebagai satu latihan praktikal kepada anak-anak, di samping mengenal apa itu puasa.

Tindakan ibu bapa melatih anak-anak mereka berpuasa adalah satu tindakan yang terpuji. Ini selaras dengan syara‘ untuk menyuruh anak-anak mereka, jika terdaya untuk berpuasa ketika berumur 7 tahun dan memukulnya (pukulan yang tidak mencederakan) jika meninggalkan puasa ketika berumur 10 tahun. Perkara ini diqiyaskan kepada menyuruh anak mengerjakan kewajipan sembahyang.

Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:
“Perintahkanlah anak-anak kamu supaya bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka atas (keengganannya) ketika mereka berumur sepuluh
tahun…”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Hukum Kanak-Kanak Berpuasa

Salah satu syarat wajib puasa itu ialah baligh. Kanak-kanak yang sudah mencapai umur baligh adalah diwajibkan ke atasnya puasa Ramadhan.

Sementara kanak-kanak yang belum mencapai umur baligh, tidak diwajibkan ke atasnya puasa Ramadhan dan tidak diwajibkan qadha. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:
“Diangkatkan (dibebaskan) dosa daripada tiga (golongan): orang yang tidur sehingga dia sedar, kanak-kanak sehingga dia mimpi (baligh) dan orang gila sehingga dia berakal.”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Persoalannya, bagaimana pula jika kanak-kanak yang belum mumayyiz atau yang sudah mumayyiz berpuasa, adakah puasa mereka itu sah ataupun tidak?

Penjelasan hukum mengenainya adalah seperti berikut:-

(1) Kanak-Kanak Yang Belum Mumayyiz

Kanak-kanak yang belum mumayyiz ialah kanak-kanak yang tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk. Tidak sah puasa kanak-kanak yang belum mumayyiz. Ini kerana syarat sah bagi orang yang berpuasa itu ialah berakal dan mumayyiz.

(2) Kanak-Kanak Yang Mumayyiz

Kanak-kanak yang mumayyiz ialah kanak-kanak yang sudah tahu membezakan di antara yang baik dan buruk. Sah puasa kanak-kanak yang mumayyiz apabila ia berniat puasa di
malam hari, walaupun puasa Ramadhan itu tidak diwajibkan ke atasnya.

Beberapa Permasalahan Kanak-Kanak Mengenai Puasa Ramadhan

Di antara permasalahan kanak-kanak dalam puasa Ramadhan adalah seperti berikut:-

(1) Baligh Sebelum Masuk Waktu Puasa

Apabila kanak-kanak mencapai umur baligh sebelum masuk waktu puasa, adalah diwajibkan ke atasnya berpuasa. Sebagai contoh, kanak-kanak itu bermimpi (keluar air mani) di malam hari puasa maka wajib dia berniat puasa untuk siang harinya.

(2) Baligh Selepas Masuk Waktu Puasa

Kanak-kanak yang mencapai umur baligh selepas masuk waktu puasa, penyelesaiannya adalah seperti berikut:-

(i) Jika di siang hari itu dia berpuasa, lalu mencapai umur baligh, maka wajib disempurnakan puasanya itu. Ini kerana dia sudah tergolong orang yang diwajibkan
berpuasa ketika itu.

Persoalannya, adakah wajib ke atasnya qadha? Dalam hal ini, tidak lagi diwajibkan ke atasnya qadha.

(ii) Jika di siang hari itu dia tidak berpuasa, lalu mencapai umur baligh, maka tidak diwajibkan ke atasnya imsak (menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa) pada baki waktu puasa di hari tersebut. Walau bagaimanapun disunatkan juga ke
atasnya imsak pada baki waktu puasa di hari tersebut bagi menghormati waktu dan sebagai jalan keluar daripada perselisihan pendapat ulama yang mengatakan wajib imsak.

Persoalannya, adakah wajib ke atasnya qadha? Dalam hal ini, tidak diwajibkan ke atasnya qadha. Walau bagaimanapun sunat ke atasnya mengqadha puasa tersebut.

Ibu bapa adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang agama Islam sejak di usia awal mereka lagi. Mendidik tentang pengetahuan agama, menanamkan akhlak-akhlak mulia dan sebagainya. Ini termasuklah juga menyuruh mereka berpuasa
ketika berumur 7 tahun sebagaimana dalam perkara sembahyang.

Semoga penjelasan yang telah dihuraikan mengenai hukum kanak-kanak berpuasa serta beberapa permasalahannya akan menjadi panduan kepada ibu bapa malah kepada anak-anak mereka bagi menjalani ibadah puasa dengan sesempurnanya.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2008/bil294.pdf