Oleh : Mufti Brunei
3) Tidak menjaga kehormatan bulan Ramadhan
Bulan Ramadhan amat tinggi darjatnya di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ia merupakan sebaik-baik bulan dan penghulu segala bulan.
Oleh itu, janganlah ada orang yang melakukan perbuatan yang boleh mencemar kehormatan bulan mulia ini seperti berikut:
1. Tidak menjaga diri daripada perkara-perkara syahwat yang tidak membatalkan puasa. Perkara-perkara syahwat adalah perkara-perkara yang selalunya menjadi keinginan seseorang
sama ada perkara-perkara yang seronok dilihat, sedap didengar, disentuh mahupun dihidu.
Umpamanya mendengar muzik atau lagu-lagu yang mengasyikkan dan melalaikan, menghidu (menikmati) benda-benda harum seperti minyak wangi dan memakainya.
Perkara-perkara ini termasuk di dalam perbuatan bersenang-senang, sedang perbuatan bersenang-senang dan bermewah-mewah merupakan perbuatan yang makruh dilakukan ketika berpuasa dan ianya tidak menepati hikmah di sebalik puasa. Kesilapan seperti ini
sering tidak disedari memandangkan ianya tidak membatalkan.
Selain itu, bercakap bohong, mengumpat, berbantah-bantahan, mengkeji atau mencela, melakukan fitnah atau mengadu domba, berkata sia-sia dan berangan-angan kosong ketika menjalani ibadat puasa juga dituntut untuk ditinggalkan sebagaimana hadits riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya:
“Puasa itu bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, akan tetapi puasa yang sebenar-benarnya ialah menahan diri daripada kata-kata yang sia-sia dan kata-kata yang keji.”(Hadits riwayat al-Hakim)
Termasuk perbuatan yang sia-sia itu juga ialah menghabiskan masa dengan menonton televisyen, video dan filem yang tidak mendatangkan faedah.
2. Tidak menjaga batas-batas agama seperti berpakaian tidak senonoh, tidak menjaga ‘aurat dan berbuat maksiat atau melakukan perkara-perkara yang dituntut oleh syara‘ untuk ditinggalkan seperti berkelahi atau bertengkar, bersuka ria atau berhibur dengan berlebih-lebihan, berdua-duaan yang boleh menimbulkan fitnah atau syak wasangka.
Walaupun maksiat itu dilarang pada setiap masa tanpa mengira bulan, namun pada bulan Ramadhan dosanya lebih besar kerana dianggap pencabulan terhadap kehormatan dan
kemuliaannya. Menurut riwayat yang diceritakan daripada Sufyan daripada ‘Atha bin Abi Marwan daripada bapanya:
Maksudnya:
“Ali Radhiallahu ‘anhu telah didatangi oleh Najasyi si penyair, yang telah meminum arak pada (siang hari) bulan Ramadhan, lalu dia berbuka. Maka Ali menghukumnya dengan lapan puluh sebatan yang dilaksanakan pada keesokkan harinya dan menghukumnya lagi dengan dua puluh sebatan dengan berkata:“Sesungguhnya aku menghukum kamu dengan dua puluh sebatan ini adalah kerana keberanianmu (kederhakaanmu) terhadap Allah dan kerana kamu tidak berpuasa di (siang hari) bulan Ramadhan.”
(Hadits riwayat al-Baihaqi)
Dengan meninggalkan perbuatan-perbuatan yang dilarang, orang yang berpuasa akan mendapat dua ganjaran pahala iaitu mendapat pahala wajib kerana menahan diri dari melakukan perbuatan yang dilarang dan mendapat pahala sunat kerana menahan diri dari melakukan perbuatan yang dilarang ketika sedang berpuasa.
Sebaliknya orang yang tidak meninggalkan perbuatan sedemikian akan mendapat dosa kerana melakukan perbuatan yang dilarang. Di samping itu juga akan menghilangkan pahala puasanya, kerana melanggar suruhan yang disunatkan iaitu suruhan menjaga kesucian puasa dan bulan Ramadhan.
4) Meninggalkan sahur atau bersahur sebelum waktunya
Meninggalkan sahur atau bersahur sebelum waktunya adalah antara kesilapan yang sering berlaku bagi orang yang hendak menunaikan ibadat puasa. Mereka sering memberikan alasan tidak ada selera untuk makan di waktu awal pagi. Selain itu segelintirnya pula memberi alasan sukar untuk bangun dari tidur. Hal sedemikian adalah sangat merugikan walaupun pada hakikatnya meninggalkan sahur itu tidak menjejaskan kesahihan ibadat puasa. Terdapat banyak hadits yang menyebutkan tentang kelebihan bersahur.
Antaranya menurut riwayat Abdullah bin al-Harits, seorang sahabat telah menceritakan ketika beliau masuk ke rumah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda sedang bersahur
lalu bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya (sahur itu) mempunyai berkat yang diberikan Allah kepada kamu sekalian, maka janganlah kamu meninggalkannya.”(Hadits riwayat an-Nasa’ie)
Apakah berkat yang ada pada sahur itu?
Amalan bersahur hukumnya sunat dan merupakan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, selain mengikut sunnah dan menambah pahala, sahur juga membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang ahli kitab, menghalang perbuatanperbuatan yang tidak baik yang dipengaruhi oleh kesan berlapar di siang hari, menggalakkan perbuatan bersedekah dan bersahur bersama-sama, mengingatkan dan memberi peluang bagi orang yang lupa berniat puasa sebelum tidur dan yang paling utama ialah untuk memberi kekuatan dan kecerdasan kepada orang yang berpuasa dalam melakukan ibadat ketika menghadapi rasa lapar dan dahaga di siang hari.
Ini adalah bersesuaian dengan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya:
“Memohonlah kamu (kepada Allah kekuatan) melalui makan sahur supaya memperolehi kekuatan berpuasa di siang hari.”(Hadits riwayat Ibnu Majah)
Di dalam kitab Fathul-Bari, terdapat pendapat yang mengatakan, berkat di waktu sahur itu mengandungi bangun daripada tidur dan berdoa di waktu sahur, kerana pada waktu itu rahmat turun dan doa terangkat sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Daripada Abi Umamah, beliau telah berkata: “Wahai Rasulallah Shallallahu ‘alaihi wasallam, bilakah waktu doa itu lebih didengar?” Baginda bersabda: “Pada waktu tengah malam dan selepas (menunaikan) sembahyang-sembahyang fardhu.”(Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Waktu sahur bermula sebaik sahaja masuk waktu pertengahan malam atau dinihari sehingga terbit fajar. Dikatakan juga waktu sahur itu adalah 1/6 terakhir malam. Sahur itu sendiri dari sudut bahasa ialah makan dan minum di waktu sahar dan sahar itu pula ialah waktu akhir malam hampir terbit fajar.
Oleh yang demikian, janganlah makan sahur sebelum waktunya kerana orang yang bersahur sebelum masuk waktunya tidak akan mendapat ganjaran pahala sunat bersahur. Yang afdhalnya sunat mengakhirkan atau melambatkan sahur kira-kira kadar membaca lima puluh ayat sebelum terbit fajar.
Zaid bin Tsabit Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya:
“Kami bersahur bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian Baginda mendirikan sembahyang, lalu ditanyakan kepada Baginda: “Berapakah jarak antara azan dan sahur?” Baginda bersabda: “Kira-kira lima puluh ayat.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)
5) Melambat-lambatkan berbuka
Bersegera untuk berbuka merupakan salah satu perkara yang disunatkan ketika berpuasa. Sebaliknya, perbuatan sengaja menangguh atau melambat-lambatkan berbuka puasa apabila sudah yakin akan masuknya waktu Maghrib (terbenamnya matahari) hukumnya adalah makruh. Namun jika ia berlaku tanpa disengajakan atau tanpa ada tujuan untuk melengah-lengahkan maka tidaklah mengapa.
Hadits ada menyebutkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Manusia selalu berada dalam kebaikan selama mereka segera berbuka.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam Sunan Ibnu Majah pula menyebutkan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Manusia selalu berada dalam kebaikan selama mereka segera berbuka, maka segeralah berbuka, sesungguhnya Yahudi melewatkan (berbuka).”(Hadits riwayat Ibnu Majah)
Sunat berbuka puasa dengan ruthab (kurma masak yang masih basah). Jika tidak ada, berbukalah dengan tamar (kurma masak yang sudah kering) dan mengambilnya dalam jumlah yang ganjil, umpamanya tiga biji. Jika tidak ada, berbukalah dengan air.
Diutamakan untuk mendahulukan berbuka dan kemudian barulah menunaikan sembahyang. Ini adalah berdasarkan perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti yang diriwayatkan
oleh Abu Daud daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan kurma basah sebelum Baginda sembahyang. Jika tidak ada, Baginda berbuka dengan kurma kering. Jika tidak ada, Baginda meneguk beberapa teguk air.”
(Hadits riwayat Abu Daud)
bersambung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan