CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Sabtu, 21 Disember 2019

ADAKAH BACAAN AL-FATIHAH DENGAN SUARA BERBISIK TIDAK SAH SOLATNYA ?


Jawapan oleh : Ustaz Syed Shahridzan


Mengenai bacaan al-Fatihah dengan suara berbisik, terdapat nukilan dari kitab ‘Hasyiah Al-Syubramullisi ‘ala al-Nihayah’ iaitu salah satu rujukan utama fiqh mazhab Syafi’ie:

( ﻗﻮﻟﻪ : ﻭﻳﺸﺘﺮﻁ ﺃﻥ ﻳﺴﻤﻊ ﻧﻔﺴﻪ ‏) ﺃﻱ ﻓﻠﻮ ﻫﻤﺲ ﺑﻪ ﺑﺤﻴﺚ ﻟﻢ ﻳﺴﻤﻌﻪ ﻟﻢ ﻳﻌﺘﺪ ﺑﻪ ﻓﺘﺠﺐ ﺇﻋﺎﺩﺗﻪ .

Maksudnya: “Kata beliau: Disyaratkan mendengarkan dirinya (rukun qauli), iaitu jika dia berbisik dengan suaranya yang mana tidak memperdengarkan dirinya maka ia tidak dikira (sah), hendaklah dia mengulanginya.”

Menurut zahir kata-kata Sheikh Syubramullisi, jikalau bacaan al-Fatihah berbisik yg tidak didengari telinga sendiri maka tidak sah. Ini bermakna jikalau suara berbisik yang didengar di telinga sendiri hukum fatihahnya tetap sah.

Kesimpulannya menurut mazhab Syafi’ie, bacaan al-Fatihah di dalam solat dengan suara bisikan tetap sah, asalkan bacaan dengan suara bisikan itu didengari oleh telinga.

Fakta yang sama juga disebut dalam kitab Hasyiah al-Syarwani ‘ala al-Tuhfah dan Hasyiah al-Jamal ‘ala al-Manhaj. Oleh itu, fakta yg disebutkan dalam video ini adalah kurang tepat, ia memerlukan penjelasan yang lebih terperinci.

Walaubagaimana pun usaha al-Fadhil Ustaz Mohammad Asraff al-Hafiz memberi penjelasan dan kesedaran kepada ummah tentang betapa pentingnya bacaan al-Fatihah di dalam solat amatlah terpuji dan perlu diteruskan.

Saya sangat mengharapkan supaya lebih banyak video dari beliau agar kesedaran tentang kepentingan ilmu tajwid dan cinta al-Quran dapat dipupuk dalam jiwa masyarakat kita.
Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Sumber : https://m.facebook.com/582894800/posts/10157711395969801/?d=n

Tiada ulasan: