CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Sabtu, 2 Februari 2019

Aqidah Salafussoleh VS Aqidah Mujassimah

Soalan :


Adakah Mujassimah ini kafir? Boleh ke kita kata mereka ini Islam atau mukmin ?

Jawapan :

Kaum musyabbihah ertinya kaum yang menyerupakan

Mereka digelarkan sebagai Kaum Musybih (meyerupakan) kerana mereka menyerupakan Allah dengan makhlukNya. Mereka mengatakan bahawa Allah bertangan, berkaki, bertubuh seperti manusia.

Ada juga yang menamakan kaum ini dengan kaum mujassimah, iaitu kaum yang menubuhkan/menjasadkan/menjisimkan. Kerana mereka mengatakan Allah bertubuh, terdiri dari darah daging, muka,bermata, bertangan, berkaki dan bahkan ada yang mengatakan Allah itu berkelamin dan kelaminnya itu lelaki (Lihat Syarah Nahjul Balaghah juz iii, hal 225)

Seorang Ulama' Islam dari Ahlu Sunnah wal Jama'ah iaitu Jamaluddin Ibnu Al Jauzi Al Hanbali (bukan Ibnu Qayyim al Jauzi - ramai yang terkeliru antara kedua-duanya) telah mengarang sebuah kitab untuk menolak fahaman kaum musyabbihah/mujassimah/hasyawiyah ini dengan mengarang sebuah kitab yang diberi nama "Daf'u Syubahah At Tasybih Wa Ar Radd 'alal Mujassimah (penolak syubhat tasybih dan penentang kaum mujassimah)

Kaum ini mengambil ayat mutasyabihah dengan lahiriah sahaja. Dan ia amat merbahaya kepada aqidah. Sebagai contoh :

يد الله فوق ايديهم

ertinya : "tangan Allah di atas tangan mereka" (surah al Fath : 10)

الرحمن على العرش استوى

ertinya : Ar Rahman itu duduk bersila di atas Arasyh (Taha : 5)

Mereka menterjemahkan ayat di atas dengan diambil zahir ayat semata-mata. Iaitu jika disebut bertangan, ya bertangan, kalau disebut bermuka, ya bermuka, kalau disebut bersila, ya bersila.

Sekiranya kita menterjemahkan al Quran itu menurut zahir sahaja maka ia akan membawa kesalahan seperti ayat di bawah :

اعملوا ما شئتم

Ertinya : Buatlah apa yang kamu sukai (Fusilat : 40)

Sekiranya ayat ini diertikan secara yang tersurat sahaja, maka Allah ini memberi erti Allah memberi izin dan menyuruh kita membuat apa sahaja yang kita sukai.

Dan contoh lain dalam surah al Kahfi ayat 29 menyebutkan :

فمن شاء فليوءمن ومن شاء فليكفر

Ertinya : Maka barangsiapa yang menyukai iman ia boleh beriman dan barangsiapa yang suka kafir maka ia boleh menjadi kafir (Al Kahfi:29)

Jika ayat ini diambil secara zahir tanpa melihat kepada majaz dan pemahaman para ulamak muktabar, maka dapat diambil kesimpulan bahawa Allah telah mengizinkan kita menjadi kafir sebagaimana Dia mengizinkan kita menjadi orang Islam. Alangkah bahayanya fahaman ini.

Ulamak salafussoleh menolak fahaman Mujassimah antaranya :

1. Imam Abu Hanifah radiyallahu 'anhu :

Allah adalah sesuatu yang tidak sama seperti sesuatu yang lain. Makna sesuatu itu adalah (Dia) wujud tanpa jisim, tanpa jauhar dan tanpa ardh (Al Fiqh Al akbar)


2. Imam Abu Al Fadhl Abdul Wahid bin Abdul aziz At Tamimi (410H) meriwayatkan :

Imam Ahmad bin Hanbal mengingkari mereka yang menyifatkan Tuhan dengan kejisiman. Beliau (Imam Ahmad) berkata : Sesungguhnya, nama-nama diambil daripada syariat dan bahasa. Adapun ahli bahasa meletakkan nama tersebut (nama-nama yang boleh membawa kepada maksud jisim) dengan maksud, sesuatu yang ada ukuran, ketinggian, ukuran lebar, tersusun dengan beberapa anggota, mempunyai bentuk dan sebagainya. Sedangkan Maha Suci Allah daripada sebarang sifat kejisiman tersebut (Maha suci Allah subahanahu wa ta'ala daripada makna-makna lafaz mutasyabihat tersebut dari sudut bahasa). (Manaqib Imam Ahmad karangan Imam al baihaqi)

3. Imam At Tohawi (321H) berkata juga ketika menjelaskan tentang aqidah Imam Abu Hanifah (150H) dan anak muridnya :

"Maha Tinggi dan Suci Allah subahanahu wa ta'ala daripada sebarang had, sempadan, anggota dan alat. Dia tidak tertakluk dalam mana-mana sudut yang enam (tidak bertempat) (matan Aqidah Tohawiyah)

4. Imam Abu Hasan Al Asy'ari (324 H) mengingkari kejisiman bagi Allah dalam buku beliau yang bertajuk Al Luma' (m/a 18)

5. Imam Abu Bakar Al Razi (370 H) berkata :

Allah subahanahu wa ta'ala juga bukan suatu jisim ataupun yang menetap pada jisim, sedangkan Dialah Maha Pencipta segala sifat baharu dan segala jisim (Syarh Bad'ie Al Amali m/s 159-160)

6. Imam hadith menolak fahaman tajsim :

Imam Ibn Al-Batthal Al-Maliki berkata:

غرض البخاري في هذا الباب الرد على الجهمية المجسمة في تعلقها بهذه الظواهر، وقد تقرر أن الله ليس بجسم فلا يحتاج إلى مكان يستقر فيه، فقد كان ولا مكان ، وانما أضاف المعارج إليه إضافة تشريف ، ومعنى الارتفاع إليه اعتلاؤه - أي تعاليه - مع تنزيهه عن المكان

Imam Al-Bukhari membentangkan bab ini dalam menolak golongan Jahmiyyah dan Mujassimah pada pergantungan mereka terhadap makna-makna zahir (mutasyabihat) tersebut. Maka, beliau (Imam Al-Bukhari) telah menetapkan bahawasanya Allah s.w.t. tidak berjisim dan tidak berhajat kepada tempat untuk menetap padanya. Allah s.w.t. telah wujud tanpa bertempat, maka Al-Ma'arij (naik) kepadaNya itu merupakan suatu nisbah kemuliaan... [Bahjah An-Nufus 13/416]

Kedudukan Ahli Tajsim/Golongan Mujassimah Menurut Ulama Sunnah :

1. Imam As Sayuthi berkata : Kaedah : Imam Syafie berkata : Tidak boleh mengkafirkan seseorangpun dari ahli kiblat (Muslim) melainkan mujassim dan orang yang mengingkari ilmu Allah terhadap perkara-perkara juz'iyyat (As Asybah wa An Nazho'ir m/s488)

2. Imam Ibn Hajar al Haithami berkata :

Ketahuilah bahawasanya Imam al Qarafi dan sebagainya meriwayatkan daripada Imam as Syafie, Imam Malik, imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah radiyallahu anhum bahawasanya mereka berpegang dengan pendapat tentang mengkafirkan orang-orang yang menetapkan tempat dan kejisiman bagi Allah subahahu wa ta'ala. Mereka benar dalam pegangan tersebut. (Al Minhaj al Qowin m/s 224)

3. Imam Al Mulla 'Ali Al Qafri Al hanafi juga berkata :

Maksudnya : Begitu juga dengan orang yang berkata bahawasanya Allah itu berjisim, Allah itu mempunyai tempat (bertempat), Allah diliputi oleh peredaran zaman dan sebagainya, maka dia ialah kafir kerana tidak tetap baginya akan hakikat keimanan (Syarh Fiqh Al Akbar m/s 271)

Namun Imam Al Ramli As Syafie ketika menjawab soalan mengenai hukum orang yang menetapkan tempat atau posisi bagi Allah yang mana ia membawa kepada kejisiman, beliau berkata :

القائل المذكور مسلم, وإن كان مبتدعا

Maksudnya :Orang yang berkata sebegitu tetap seorang Muslim walaupun seorang pembid'ah

Demikianlah sebahagian pendapat para ulama' mengenai golongan mujassimah. Para ulama salaf dan khalaf bersepakat dalam menghukum sesat golongan mujassimah, walaupun berbeza pendapat dalam mengkafirkan mereka. Walau bagaimanapun dengan wujudnya pendapat ulama yang mengkafirkan gologan mujassimah ini, menunjukkan betapa beratnya kesesatan fahaman tajsim ini dan sewajarnya para ulama berusaha sedaya upaya untuk membanterasnya.

Bagaimana cara berinteraksi dengan nas-nas mutasyabihat (ayat yang samar-samar maknanya) ?

Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali radiyaLlahu 'anhu berkata :

Ketahuilah bahawasanya kebenaran yang jelas, sepertimana yang dijelaskan oleh ahlul basa'ir (orang yang celik mata hatinya) ialah mazhab salaf, iaitu yang saya maksudkan di sini ialah mazhab para sahabat dan tabi'in dan saya akan jelaskannya beserta dalil-dalilnya.

Maka saya berkata : Hakikat mazhab salaf, yang mana merupakan mazhab yang benar pada pandangan kami (ulama Islam) iaitu apabila sampai suatu hadith yang mutasyabihat kepada orang awam (kaum Muslimin yang awam), maka wajib bagi mereka (orang awam tersebut) berpegang dengan tujuh perkara ini iaitu :

1. Taqdis (menyucikan Allah daripada sifat kejisiman)

2. kemudian tasdiq (membenarkan lafaz yang disebut oleh Allah subahanahu wa ta'ala dan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam).

3. kemudian i'tiraf (mengaku kelemahan diri dalam memahami nas mutasyabihat tersebut)

4. kemudian As Sukut (tidak bertanya tentang maksud sebenar perkataan mutasyabihat tersebut)

5. kemudian al Imsak (tidak mengubah lafaz-lafaz zahir tersebut ataupun mengubah maknanya dengan kefahaman sendiri).

6. kemudian al Kaff( menahan akal daripada memikirkan tentang nas-nas mutasyabihat tersebut)

7. kemudian At Taslim il ahlil makrifat (menyerahkan perbahasan tersebut kepada ahli makrifat yang mendalam ilmu mereka tentang masalah tersebut, tanpa melibatkan diri dalam perbahasan tersebut dengan mereka).

Demikianlah asas-asas bagi orang awam, dalam menjaga aqidah mereka daripada fahaman tajsim dan ta'thil.

WaLLahua'lam



Tiada ulasan: